Thursday, July 03, 2008

Memahami Konsep Taaruf, Tafaahum dan Takaaful



Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Hujurat ayat 13, mafhumnya ;

“Wahai manusia, sesungguhnya kami telah ciptakan kalian dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-puak agar kalian saling berkenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”

1. At-Taaruf ialah saling berkenalan. Tujuan manusia dicipta ialah untuk mengabdikan diri dan hidupnya kepada Allah s.w.t. Adapun tujuan manusia dicipta sebagai lelaki dan perempuan dari bangsa dan suku kaum yang berbeza dan pelbagai ialah untuk mereka saling berkenalan antara satu sama lain

2. Alangkah besarnya kepentingan taaruf atau berkenalan di dalam Islam. Mengapa? Kerana taaruf adalah muqaddimah atau permulaan kepada At-Tafaahum iaitu membina hubungan yang intim sehingga ke peringkat saling memahami antara insan yang berkenalan itu tadi.

3. At-Tafaahum bermaksud saling memahami. Hubungan yang terjalin di atas dasar saling memahami ini biasanya berlaku di kalangan dua yang bersaudara. Seorang abang lebih memahami adik sebagai saudaranya berbanding orang luar yang tiada ikatan persaudaraan. Di sinilah indahnya Islam. Ia menjadikan orang-orang mukmin itu bersaudara. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Hujurat ayat 10, mafhumnya : “Hanya sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara”

4. Persoalan seterusnya, atas kepentingan apakah hubungan persaudaraan itu terjalin? Keakraban hubungan tersebut dijalinkan atas asas iman kepada Allah, demi menunaikan tabiat penciptaan manusia yang diciptakan saling melengkapi antara satu sama lain (At-Takaaful). Sabda Rasulullah s.a.w., mafhumnya : “Perumpamaan orang Mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.” (Hadith Riwayat Muslim).

5. Manusia saling memerlukan di antara satu sama lain. Bayangkan manusia yang ingin menyuapkan nasi ke mulutnya memerlukan pesawah yang mengusahakan sawah padi, pengurus, pengilang beras, pembekal, pemborong, peruncit, pembeli dan tukang masak malah tukang hidang untuk mencapai tujuannya. Bagaimna kita mampu menikmati sesuap nasi tanpa semua itu? Inilah tabiat hidup dan manusia.

6. Kepada siswa dan siswi baru, kalian amat memerlukan ilmu dan kemahiran dari para pensyarah, kerjasama dan pertolongan staf pentadbiran, perkongsian pengalaman dan tunjuk ajar pelajar senior dan lain-lain lagi. Segala kelengkapan tersebut lebih mudah dan selesa diperolehi dengan membina hubungan yang baik antara satu sama lain. Hubungan itu hanya akan terbina kukuh didahului dengan taaruf atau berkenalan.

7. Untuk saling mengenali, memerlukan kemahiran komunikasi dan keramahan. Untuk lebih mengenali memerlukan pergaulan dan bersosial. Segala-galanya itu boleh diperolehi dengan penglibatan kita dalam pelbagai aktiviti anjuran fakulti, kelab, persatuan, jabatan dan unit, tidak semata-mata terhad kepada bilik kuliah.

8. Selain itu, hidup secara bermasyarakat atau berjamaah dapat memelihara kita dari ancaman fenomena kelemahan jiwa (syahwat) dan pujuk rayu syaitan tatkala bersendirian. Sesungguhnya syaitan ibarat seringala kepada manusia, seperti seringala kepada sekumpulan kambing yang akan menerkam mana-mana kambing yang bersendirian..

9. Oleh itu, marilah hidup secara berjamaah, bermasyarakat dan memakmurkan masjid sebagai medan berhimpun. Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP melalui aktiviti SAHAM atau Sahabat Masjid bersedia membantu kalian bagi mencapai cita-cita tersebut. Pelbagai aktiviti yang menarik menanti anda untuk bersama-sama kita membina peribadi berkualiti di samping mewujudkan persekitaran yang kondusif.

(Pengisian ini ditokok-tambah dari tazkirah zuhur yang telah saya sampaikan di Masjid UMP pada 1hb Julai 2008 (Selasa) sempena kemasukan pelajar-pelajar baru UMP)

~ SELAMAT DATANG KE BUMI UMP BUAT SISWA DAN SISWI BARU 2008 ~

No comments: