Sunday, February 14, 2010

Memahami Fitnah (Cabaran) Dalam Dakwah & Jamaah (3)


3. Pendokong fitnah (pemecahbelah jamaah) biasanya memiliki sedikit hujjah yang disangka benar, lalu dicampurkan dengan sangkaan-sangkaan yang berlebih-lebihan.


Sesuatu fitnah (isu yang memecahbelah) amatlah sukar untuk berkembang selagimana ia tidak bersandar kepada sedikit kebenaran (hujjah). (Fitnah Aisyah - peristiwa ifk- sebagai contoh adalah berdasarkan fakta Aisyah sampai ke Madinah lewat dari rombongan dan ditemani oleh seorang lelaki yang bukan mahram, maknanya berdua-duaan - pen). Api yang memusnahkan sudah pasti ada permulaannya...

(Haruslah disedari) Fitnah adalah salah lantaran ia membawa kepada kerosakan (pecahbelah), bukan disebabkan (benar atau salah) pendapat yang menjadi dasar kepada fitnah itu. Bahkan menjadi satu kaedah umum bahawa seringkali fitnah yang berlaku adalah bergantung kepada sedikit kebenaran tetapi ahli yang mendokong fitnah ini mencampur adukkan sedikit kebenaran tersebut dengan berbagai-bagai kebatilan (andaian dan prasangka).

Mereka mencampurkan di antara keyakinan yang sedikit dan sangkaan yang banyak, lalu sesuatu perkara itu tidak diletakkan pada tempat yang sepatutnya dan sesuatu sikap (tindakan) tidak ditafsirkan sebagaimana sepatutnya. Cerita-cerita bercampur aduk. Sebab-sebab dan alasan-alasan tidak lagi dikaji. Khususnya ijtihad yang dilakukan oleh para pemimpin adalah berasaskan banyak faktor dan suasana tertentu, ditentukan oleh sebab-sebab, disempadankan oleh beberapa suasana dan rahsia, juga dikelilingi oleh kesukaran dan halangan.

Jika kita kembali kepada fitnah pertama yang berlaku di zaman Uthman r.a., kita akan dapati bahawa beliau tidak pernah mempunyai aib dan kekekurangan, tetapi ahli fitnah telah mencampur adukkan kebatilan (rekaan-rekaan) yang banyak dengam sedikit kebenaran yang ada bersama mereka. (Dalam isu Saidina Uthman, baginda difitnah sebagai mengamalkan kronisme sedangkan beliau memberi jawatan kepada kerabatnya yang memang layak untuk memegang jawatan tersebut-pen).

Pada setiap masalah Uthman r.a. mempunyai sebab dan ijtihadnya yang tersendiri (sila rujuk buku Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w. : Antara Ketulenan Fakta dan Pembohongan Sejarah tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin-pen). Kita tidaklah mahu mempertahankan Uthman r.a. di sini (dalam kesempatan ini). Tetapi kita mahu membuktikan tentang fenomena ini, bagaimana ahli fitnah sentiasa menambah-nambah dan melebih-lebihkan sesuatu. Selepas itu disebarkan berita-berita dan gosip-gosip yang tidak benar, tetapi kelihatan kepada umum seolah-olah ia adalah kebenaran dan mereka nampak bahawa ketepatan itu bersama ahli perpecahan.

Dalam waktu yang sama, ahli kebenaran sukar untuk menangkis segala serangan dan tuduhan, serta mustahil untuk para pemimpin membincangkan tentangnya secara terang-terangan, mungkin kerana ;

- bimbangkan rahsia jamaah akan terbongkar,
- atau kerana menjaga maklumat-maklumat penting dari terlepas kepada pihak musuh,
- atau bertujuan tidak mahu menyebabkan timbul masalah yang lebih besar,
- atau kerana tidak ingin membangkitkan perasaan tidak senang sesama sendiri,
- ditambah lagi dengan keinginan untuk menjaga kejernihan hati dan jiwa,
- tidak mahu melampaui adab-adab Islam,
- atau terheret sama ke arah perdebatan (yang membuang masa dan bukan keutamaan)

Ke semua faktor-faktor yang dinyatakan di atas akan menyebabkan orang menyangka bahawa kebenaran berada di pihak ahli fitnah dan urusan jamaah sekarang tidak berada di atas landasan kebenaran.

* Petikan (bersama terjemahan bebas) dari buku Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah - Muhammad Ahmad Ar-Rashid m.s. 65-67

Tuesday, February 09, 2010

Memahami Fitnah (Cabaran) Dalam Dakwah & Jamaah (2)


2. Penimbul fitnah (perpecahan) dalam jamaah seringkali menggunakan alasan yang indah untuk menjustifikasi tindakan

Sikap menjustifikasikan tindakan sumbang dengan alasan yang indah (cth : kerana sayangkan jamaah) ini adalah merupakan syiar golongan kafir yang menjangkiti penimbul fitnah dalam jamaah Islam.

"Kemudian ada pemimpin yang dituduh tidak memahami permainan politik. Qiaskan apa yang berlaku sekarang dengan apa yang telah berlaku dahulu. Al-Quran telah memberi amaran kepada kita daripada terlibat dengan tuduhan-tuduhan tersebut kerana ia merupakan syiar golongan kafir. Firaun (dan menteri-menterinya) telah berkata tentang Nabi Musa a.s ;

{dan Firaun berkata ; Biarkan aku membunuh Musa dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya kerana aku bimbang dia akan menukar agama kamu atau dia akan menimbulkan kerosakan di muka bumi} - Surah Al-Ghafir ayat 26

{Dan berkata pula ketua-ketua dari kaum Firaun ; Adakah kamu (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir)} - Surah Al-A'raf ayat 127

Bukankah inilah perkataan yang turut digunakan oleh setiap thagut yang melakukan kerosakan di atas muka bumi dan mendakwa yang yang mereka melakukan pembaikan? Bukankah ia merupakan perkataan batil yang hodoh dan digunakan bagi berhadapan dengan kebenaran yang indah? Bukankah ia juga perkataan yang digunakan oleh si penjahat bagi membangkitkan keraguan dan syak wasangka di sisi seorang yang beriman lagi tenang? Logik yang digunakan adalah sama. Ia berulang ketika bertembung di antara kebenaran dan kebatilan, iman dan kufur, kebaikan dan keburukan di sepanjang zaman dan setiap tempat. Kisah ini sentiasa berulang dari masa ke semasa" [Fi Zilal Al-Qur'an, 5/3078]

Oleh itu para daie hendaklah sentiasa berwaspada daripada menyerupai golongan kafir, iaitu dengan mengadakan alasan ;

- bahawa fitnah yang digembar-gemburkan bertujuan untuk membaiki,
- bahawa mereka keluar dari jamaah demi melakukan pembetulan,
- bahawa bisikan yang dilakukan di kalangan mereka bertujuan untuk berbincang (wacana),
- bahawa umpatan yang dilakukan bertujuan untuk mewujudkan suasana dialog,
- bahawa percanggahan dengan pemimpin atas alasan kebenaran bukannya satu,
- bahawa ketidak tegasan (dengan Islam-pen) dengan hujjah untuk mendapatkan sokongan,
- bahawa tidak taat kepada dakwah atas alasan mempermudahkan (dinamik)
- bahawa mengkritik golongan yang membawa kebaikan dengan alasan (kebaikan) itu subjektif,
- bahawa meninggalkan dasar-dasar syarak dengan hujjah maslahah,........

Tetapi, kerosakan adalah tetap kerosakan, tidak boleh diubah oleh ibarat dan lafaz yang digunakan untuk menggambarkannya. Tetap teguh di atas manhaj adalah lebih utama daripada mendapat sokongan yang cepat. Kesatuan jamaah adalah daripada lebih utama dari mendapatkan sokongan di dalam satu-satu situasi. Kemaslahatan umum mengatasi kepentingan individu.

* Petikan dari buku Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah - Muhammad Ahmad Ar-Rashid m.s. 55-57


Memahami Fitnah (Cabaran) Dalam Dakwah & Jamaah (1)



1. Golongan yang berbisik-bisik di belakang atau tidak melalui saluran jika tidak berpuas hati dan menimbulkan klik dalam jamaah

"As-Syahid Sayyid Qutb ketika menafsirkan ayat yang membicarakan tentang berbisikan (Surah An-Nisak ayat 114-pen) berkata : Nampaknya sebahagian kaum muslimin - yang terdiri drpd mereka yang belum sensitif dengan deria tanzim Islami - ketika berlaku sesuatu perkara, mereka berkumpul sesama sendiri untuk bersembang-sembang dan berbisikan serta bermesyuarat jauh dari pantauan qiadah (pimpinan) mereka.

Kaedah ini tidak diperakui oleh tabiat perjalanan Jamaah Islam dan ruh tanzim Islami yang menuntut agar segala pandangan, pendapat dan cadangan (atau kritikan) yang timbul hendaklah dibentangkan kepada qiadah secara lansung (face to face). Perkumpulan-perkumpulan pinggiran (klik atau team) dalam jamaah adalah tidak dibenarkan.

Adalah diperhatikan bahawa perkumpulan-perkumpulan yang wujud di dalam jamaah akan menyebabkan keadaan kucar-kacir dan menyusahkan jamaah, sekali pun orang yang melakukannya tidak berniat demikian (mungkin niat kerana sayangkan jemaah). Tetapi, cara pengutaraan permasalahan semasa yang dihadapi atau pembentangan pendapat dan cadangan (atau kritikan) dengan cara demikian (tidak melalui saluran) sudah cukup untuk membawa kepada kesulitan dan ketidak patuhan." [Fi Zilal Al-Quran, 6/351]

* Petikan dari buku Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah - Muhammad Ahmad Ar-Rashid m.s. 33