Thursday, September 25, 2008

Membacalah! Anda Tidak Akan Menyesal..


Assalamualaikum wrt wbt

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam (tulis baca). Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” [Al-Alaq ayat 1-5]


Alhamdulillah, hobi saya membaca. Saya sangat-sangat suka membaca. Sehingga kadang-kadang ditegur isteri kerana apabila sampai sahaja ke rumah, saya akan tertiarap membaca (rumah saya tiada sofa atau meja membaca), sedangkan anak-anak perlukan masa untuk bersama saya. Biasanya, apabila ditegur barulah buku tersebut disimpan dan saya akan bergurau senda atau ‘bergelumang’ dengan anak-anak.


Minat membaca ini timbul semenjak saya masih kecil lagi. Saya boleh membaca Al-Quran seawal usia tadika, berkat emak dan ayah saya sebagai guru Al-Quran kampung semenjak dahulu sampailah sekarang walaupun kami berpindah-randah. Rumah kami dari dahulu dipenuhi dengan anak-anak kampung (sekarang bandar) yang belajar mengaji Al-Quran.


Saya tidak perasan secara tepat sejak bila saya mampu membaca. Seingat saya, ketika kami sekeluarga masih menetap di rumah rakit di kampung Kuala Tembeling, Jerantut 25 atau 26 tahun yang lampau.. saya sudah boleh membaca akhbar. Ketika itu mungkin saya masih bersekolah tadika dan saya belajar di tadika selama 2 tahun iaitu ketika berusia 5 dan 6 tahun. Alhamdulillah, tabiat tersebut nampaknya ‘menurun’ kepada anak kedua saya yang berusia 5 tahun sekarang ini sehingga di tegur oleh emaknya. Selain menonton tv, hampir setiap masa dan ketika dia akan membaca dan menyiapkan buku latihan yang diberikan oleh guru PASTI nya sehingga habis semua buku latihannya telah disiapkan walaupun belum disuruh oleh gurunya. Sekarang anak perempuan saya itu sudah mula membaca akhbar sedikit demi sedikit.


Minatnya saya pada membaca, menyebabkan saya dianugerahkan sebagai Peminjam Buku Perpustakaan Terbanyak dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sek. Ren. Keb. Kuala Tembeling pada tahun 1986. Ketika itu saya berada dalam darjah 3 dan tahun tersebut adalah tahun terakhir kami menetap di Kuala Tembeling sebelum berpindah ke Beserah, Kuantan. Dalam majlis penyampaian hadiah tersebut saya merasa amat seronok kerana merangkul banyak anugerah dan hadiah. Selain peminjam buku perpustakaan terbanyak, saya juga mendapat hadiah sebagai pelajar nombor 1 dalam kelas, anugerah sebagai ketua kelas dan mendapat anugerah nombor 1 keseluruhan darjah 3 pada tahun tersebut (kalau tidak salah ingatan saya).


Buku yang banyak saya baca di peringkat sekolah rendah kebanyakkannya ialah buku-buku penyisatan bersiri kanak-kanak sehingga saya pernah bercita-cita menjadi polis, peguam atau penyiasat persendirian. Di peringkat awal menengah, saya juga minat membaca buku-buku novel remaja sebelum kemudiannya beralih kepada buku-buku agama dan dakwah.


Saya amat bersyukur lantaran minat membaca itu berlanjutan hingga ke peringkat menengah, diploma, ijazah dan sampailah ke hari ini. Saya mula memberi tazkirah secara kecil-kecilan di peringkat sekolah menengah dengan berbekalkan maklumat dari buku-buku bacaan saya di samping ilmu yang diperolehi di dalam kelas serta ceramah-ceramah atau kuliah yang saya ikuti di surau-masjid sekitar Mukim Beserah, Kuantan.


Saya telah terdedah dengan dunia dakwah semenjak di peringkat sekolah menengah lagi. Kebetulan saya belajar di Sek. Men. Agama Al-Ihsan, Kuantan dan pada tingkatan 5 saya memegang jawatan Pengerusi Badan Dakwah & Kebajikan SMAAI. Usaha-usaha ceramah, tazkirah, diskusi bersama teman-teman dan penerbitan risalah telah dilakukan walaupun saya masih kekurangan ilmu dan kefahaman yang mendalam berkaitan dakwah.


Ketika menyambung pengajian peringkat diploma di Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang, saya beroleh maklumat serta pandangan baru dan segar tentang dunia dakwah. Ianya bermula dengan sebuah buku yang dipinjam dari perpustakaan Masjid Negeri. Buku yang bertajuk – Dakwah & Tarbiah ; Pandangan Hasan Al-Banna – terbitan Pustaka Aman Press Sdn Bhd. Buku ini adalah terjemahan dari kitab asal yang berjudul – Hasan Al-Banna ; Mauqif fi Ad-Dakwah wat Tarbiyah – karangan Abbas As-Siisi. Penterjemah kepada buku tersebut ialah Haji Mohd Tahir Daeng Mengati.


Seronoknya saya dengan buku tersebut hingga saya mengkhatamkannya berkali-kali. Isinya benar-benar menarik perhatian saya kepada susuk seorang daie yang hebat seperti Hasan Al-Banna. Bukan sahaja pada peribadinya, tetapi dasar dan gagasan dakwah yang dipimpinnya. Pembinaan Iman adalah perkara pokok. Ukhuwwah adalah akar tunjang dalam dakwahnya. Menyusun dan mengikat bata-bata penggerak adalah asas utama dalam binaan jamaah dakwah tersebut. Tarbiyah adalah agenda utama dan banyak lagi asas-asas penting dan maklumat berharga yang diperolehi dari bacaan buku tersebut. Yang menariknya ialah gagasan dakwah beliau adalah bertitik tolak dari kefahaman dan penguasaannya terhadap Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. khususnya dalam konteks dakwah dan tarbiyah.


Ia mengajar saya tentang peringkat-peringkat dakwah, seni dalam menghadapi kepelbagaian sasaran dakwah, perhatian penting kepada persoalan membangunkan jiwa dengan kesedaran dan keimanan mendahului hukum halal dan haram. Ia juga menanamkan ke dalam jiwa saya tentang besarnya nilai dan harga ukhuwwah islamiyyah antara anggota penggerak dakwah. Kelapangan dada dan keterbukaan kepada perbezaan dalam persoalan pendekatan di samping teguh mempertahankan prinsip. Mampu membezakan antara wasilah dan ghayah, antara strategi dan matlamat.


Buku ini menjadi pendorong kepada saya kemudiannya untuk mengkaji lebih mendalam tentang sejarah gerakan dakwah, tokoh dakwah dan tulisan-tulisan mereka. Mengenali tokoh-tokoh dakwah moden seperti Syed Qutb, Hasan Hudhaibi, Said Hawa, Abul A’la Al-Maududi, Mustafa Masyhur, Sheikh Abdullah Azzam, Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Sheikh Muhammad Al-Ghazali, Pak Natsir, Prof Dr Hamka dan lain-lainnya.


Hari ini, saya berbahagia dengan hasil pembacaan tersebut. Saya telah mempersiapkan diri saya untuk dakwah dan tarbiyah. Saya telah meletakkan dakwah dan tarbiyah sebagai jalan hidup. Ketika ingin melangsungkan perkahwinan dengan isteri yang amat dicintai, saya telah menjelaskan padanya bahawa dia akan berkongsi hidup dengan saya dan dakwah. Saya merasakan diri ini terlalu banyak dosa dan berharap agar usaha-usaha dakwah ini akan menjadi kaffarah (penghapus) dosa-dosa yang pernah saya lakukan.


Saya mencoretkan segalanya ini bukan untuk tujuan membesarkan diri. Semoga Allah memelihara tujuan dan niat saya. Segala coretan ini sekadar untuk kembali memotivasi diri dan berkongsi manfaatnya dengan adik-adik serta rakan-rakan saya dalam perjuangan dakwah dan tarbiyah. Segala-galanya bermula dengan minat MEMBACA yang amat mendalam. Membacalah.. jangan jemu membelek kitab.. jangan rasa puas dengan ilmu.. jangan biarkan wujud sebarang keraguan dan kesamaran dalam pemikiran tanpa usaha yang bersungguh-sungguh untuk proses pencerahan dengan ilmu dan membaca.. Demi Allah, saya tidak pernah menyesal kerana minat membaca (gila membaca?).. malah saya amat bersyukur dengannya... walau pun saya sedar dengan penuh insaf, masih banyak yang perlu saya pelajari untuk meningkatkan ilmu yang masih tidak sepertinya ini...


- SELAMAT MEMBACA -


Friday, September 19, 2008

Khutbah Jumaat 19/9/2009 : Jadilah Rabbani Bukan Ramadhani!


إِنّ الْحَمْدَ ِللهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَسَيّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنّ مُحَمّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ .اَللهُمّ صَلّ وَسَلّمْ عَلى مُحَمّدٍ وَعَلى آلِهِ وِأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدّيْن. يَاأَيّهَا الّذَيْنَ آمَنُوْا اتّقُوا اللهَ حَقّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنّ إِلاّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .يَاأَيّهَا الّذِيْنَ آمَنُوْا اتّقُوا اللهَ وَقُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيْدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيْمًا، أَمّا بَعْدُ ...

Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,


Bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taqwa dengan ertikata menjunjung dan melaksankan segala suruhanNya serta menjauhi dan meninggalkan segala tegahannya dan janganlah hendaknya kita mati melainkan sebagai seorang Islam yang tunduk patuh menyerah diri kepada Allah s.w.t.


Alhamdulillah, hari ini kita sudah sampai ke tanggal 19 Ramadhan 1429H. Menjelang sahaja masuk waktu berbuka ketika maghrib nanti kita sudah menjengah ke kawasan 10 hari yang terakhir dari bulan Ramadhan.


كان النّبيُّ صلى الله عليه و سلم إذا دخل العَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وأحْيا ليلهُ وأيْقظَ أ هْلهُ – متفق عليه


Yang bermaksud ; Adalah Nabi s.a.w. apabila memasuki 10 hari yang terakhir, (baginda) akan semakin kemas ikatan kainnya (menjauhi isterinya atau meninggalkan kehendak syahwat dalam hari-hari tersebut), menghidupkan malamnya dengan ibadah, dan menggerakkan ahli keluarga baginda (untuk beribadah) – Muttafaqun alaih


10 hari yang terakhir dari dalam Ramadhan, Baginda s.a.w. akan beriktikaf di masjid dengan meningkatkan amal ibadah dan menggalakkan kita untuk beriktikaf serta mencari lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam hari-hari yang masih berbaki ini.


Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Ramadhan sudah tinggal beberapa hari berbaki dan Syawal pula semakin menjengah tiba. Alangkah indahnya suasana di sepanjang bulan Ramadhan ini. Kita melihat bagaimana ramai manusia menjadi hamba yang taat kepada Allah s.w.t. Hamba yang sanggup letih berlapar dan dahaga, hamba yang cekal menahan diri dari menurut runtunan syahwat di siang harinya, hamba yang tidak jemu-jemu saban hari berbicara dengan penciptanya di dalam halaqah tadarus Al-Quran, hamba yang bersemangat di setiap malam mengagahkan diri melaksanakan solat tarawih, hamba yang berterusan menghidupkan Ramadhannya dengan mengutip mutiara-mutiara tazkirah untuk meningkatkan pengetahuannya dan memperkasa jati dirinya. Segala puji bagi Allah di atas segala nikmat tersebut.


Persoalan besar dan penting yang perlu rasanya dibangkit di mimbar khutbah Jumaat ini untuk muhasabah kita bersama ialah, adakah segala pemandangan dan suasana amal ibadat yang indah yang kita lihat di sepanjang Ramadhan ini akan berkekalan dan berterusan? Ataukah keindahan itu hanya sekadar angin lalu yang bertiup dingin menyapa pipi ketika terik kepanasan, lantas kita rasa terhibur dan apabila berlalunya angin tersebut, suasana akan kembali menjadi hangat membahang? Jawapannya ada pada setiap diri kita sendiri.


Setiap ibadah yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. ada tujuannya yang tersendiri. Keberhasilan ibadah solat ialah apabila ia mampu mencegah kita dari fahsya’ dan mungkar. Firman Allah s.w.t. :


اتلُ ما أوحِيَ إلَيْكَ من الكتابِ و أقِمِ الًلاةَ إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر ولذكر الله أكبرواللهُ يعلمُ ما تصنَعُونَ [العنكبوت:45].


Yang bermaksud : Sampaikan apa yang diwahyukan kepadaMu daripada Al-Kitab dan dirikanlah Solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar dan mengingati Allah itu lebih besar dan Allah mengetahui apa yang kalian kerjakan. [Al-Ankabut : 45]


Ibadah zakat pula adalah bertujuan membersihkan jiwa kita dari kecintaan kepada harta dan kesenangan dunia secara melampau dan berlebihan. Sementara ibadah puasa digambarkan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 183 :

يا أيها اللذين آمنوا كتب عليكم الًصيام كما كتب على اللذين من قبلكم لعلكم تتقون


Yang bermaksud : wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah difardhukan ke atas orang-orang yang sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa [Al-baqarah : 183]


Puasa menatijahkan taqwa. Taqwa ialah menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya tersembunyi atau terang-terangan. Keberhasilan ibadah puasa adalah apanbila ia berjaya melahirkan seorang muslim mukmin yang taat kepada Allah setiap masa dan ketika. Bukan hanya di bulan Ramadhan. Kerana itulah setengah dari Hukama’ atau cerdik pandai Islam mempopularkan seruan dan slogan : Kun Rabbaniyyan Wa Laa Takun Ramadhaniyyan yang bermaksud ; Jadilah kamu Rabbani - penyembah Allah dan jangan kamu jadi Ramadhani - penyembah Ramadhan.


Slogan atau ungkapan ini menjelaskan sejelas-jelasnya kepada kita tentang peri pentingnya sifat taat dan cinta ibadah yang ketara dan menonjol di dalam bulan Ramadhan ini dipastikan kesinambungannya di bulan-bulan yang lain. Allah yang kita sembah di bulan ini jualah yang kita sembah di bulan-bulan yang lain.


Kita semestinya merasa hairan dan bertanya diri kita sendiri secara jujur, mengapa kita taat kepada perintah Allah di bulan Ramadhan sedangkan kita tega mengingkari suruhan Allah di bulan-bulan yang lain. Mengapa kita sanggup meletihkan diri menahan lapar dan dahaga tanpa sedikit pun mempersoalkan perintah tersebut, tetapi kita berani mepersoalkan hukum Allah dalam perintah-perintahnya yang lain di bulan-bulan yang lain. Mengapa kita mengamalkan sikap taat secara berpilih? Kita percaya, yakin dan beriman dengan sebahagian suruhan atau larangan Allah dan kita ingkar, menolak serta mempertikaikan sebahagian suruhan atau larangan yang lain. Firman Allah s.w.t. :


أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب وما الله بغافل عما تعملون


Yang bermaksud : ”Apakah kalian beriman dengan sebahagian al-kitab dan kufur ingkar dengan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi sesiapa yang melakukan demikian itu dari kalangan kamu melainkan kehinaan hidup di dunia dan di hari qiamat mereka akan dikembalikan kepada sepedih-pedih azab. Dan tiadalah Allah lalai terhadap apa yang kalian kerjakan.” [Al-Baqarah : 85]


Marilah kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa setiap masa dan ketika bukan semata-mata dibulan Ramadhan sahaja. Jadilah Golongan Rabbani, yang mengabdikan diri kepada Allah setiap masa dan ketika, bukan Ramadhani yang hanya mengabdikan diri pada bulan Ramadhan. Untuk menjadi golongan Rabbani, budaya ilmu yang bersumberkan Al-Quran sebagai kitab hidayah menstilah disuburkan. Firman Allah s.w.t. :


ولاكن كونوا ربانيين بما كنتم تعلمون الكتاب وبما كنتم تدرسون


Akan tetapi jadilah kalian golongan Rabbani dengan kalian terus mengajarkan Al-Kitab dan kalian tetap terus mempelajarinya


أَقُوْلُ قَوْلِي هَذا أَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرّحِيْمِ

Tuesday, September 16, 2008

Ceramah Nuzul Al-Quran Bersama Pak Cah


Majlis Memperingati Peristiwa Nuzul Al-Quran


Alhamdulillah, pada 15hb September 2008 (Isnin malam Selasa), Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP dapat mengadakan Majlis Memperingati Peristiwa Nuzul Al-Quran bertempat di Masjid UMP yang bermula dengan iftar jamaie (berbuka beramai-ramai), solat maghrib, solat Isya’, solat sunat tarawih dan witir berjamaah. Seterusnya majlis diisi dengan slot ceramah Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh tetamu jemputan iaitu Pak Cahyadi Takariawan


Tokoh Pendakwah, Penulis & Pemimpin Islam Terkenal Indonesia


Ustaz Cahyadi Takariawan atau lebih dikenali di Indonesia dengan panggilan Pak Cah adalah tokoh yang tidak asing lagi di kalangan warga Indonesia.. Beliau mengamalkan ilmu agamanya dengan melakukan dakwah di pelbagai kalangan masyarakat. Beliau pernah menjadi pengajar di Ma'had Ad Da'wah Lid Dirasah Al Islamiyah wal Lughah Al Arabiyah, Yogyakarta pada tahun 1995-1999; pengajar Pesantren Mahasiswa Islamic Centre Al Muhtadin, Yogyakarta tahun 1998, juga pengajar di Pesantren Mahasiswi Darush Shalihah Yogyakarta tahun 1999. Ia juga mengisi berbagai diskusi dan kajian keislaman di Gelanggan Mahasiswa UGM, Masjid Mujahidin UNY, Masjid Amal Mulia UMY, dll. Juga mengasuh acara dialog interaktif Sentuhan Iman di RRI Produa FM Yogyakarta. Maklumat lanjut tentang beliau boleh didapati di alamat berikut : http://pks-anz.org/pkspedia/index.php?title=Cahyadi_Takariawan


Beberapa Mutiara Ilmu Dari Ceramah Pak Cah


1. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dari kalangan generasi awal amat mencintai Al-Quran. Rasulullah s.a.w. pernah solat malam dengan membaca surah Al-Baqarah, Aali Imran dan An-Nisaa’ dalam satu rakaat. Lamanya solat Baginda ketika itu sehingga rukuknya sama panjang dengan qiamnya dan sujudnya sama panjang dengan rukuknya.


2. Seorang sahabat bernama Abdullah bin Amr Bin Al-As sibuk dengan membaca Al-Quran sehingga isterinya mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa Abdullah terlalu sibuk dengan Al-Quran sehingga tidak lansung melihat kain-nya (simbolik kepada tidak memenuhi keinginannya). Rasulullah s.a.w. bertanya beliau (Abdullah) tentang bagaimana dia membaca Al-Quran dan beliau menjelaskan bahawa beliau mengkhatamkan Al-Quran sehari sekali. Rasulullah s.a.w. menggalakkan beliau agar mengkhatamkannya sebulan sekali. Namun beliau menyatakan bahawa beliau lebih kuat dari itu dan dicadangkan oleh Rasulullah s.a.w. agar khatam 20 hari sekali, kemudian 10 hari sekali sehinggalah 3 hari sekali secepat-cepatnya. Akhirnya beliau bersetuju.


3. Ramai orang tersalah tanggap akan fungsi Al-Quran. Sebahagiannya menjadikan Al-Quran sebagai amalan dibaca ayat-ayat tertentu dengan kadar bilangan tertentu untuk menjadi kebal, dipujai wanita, dihormati kawan dan lawan dan sebagainya. Ada yang menjadikan Al-Quran sebagai tangkai pendinding, penarik dan sebagainya. Sedangkan Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai petunjuk kehidupan, sebagai hiburan penenang jiwa dan pemberi syafaat di akhirat kelak.



Thursday, September 11, 2008

Bersiap Pada Yang Tak Pasti, Tapi Cuai Pada Yang Pasti

Saban tahun, bila tiba di tengah-tengah bulan Ramadhan kita akan dapat melihat fenomena yang menyedihkan… masjid dan surau akan kembali berkurangan sedikit demi sedikit ahlinya. Kemeriahan rumah-rumah Allah akan semakin pudar dan tiada lagi keceriaan seperti minggu pertama dahulu.


Dua minggu terakhir Ramadhan ini, pasaraya dan pusat-pusat membeli belah pula yang akan mengambil alih. Lagu-lagu raya semakin kuat berkumandang di corong pasaraya mengatasi suara-suara Al-Quran di corong-corong masjid dan surau. Si suami, sang isteri dan anak-anak bergerombolan memenuhi kedai-kedai pakaian, gerai-gerai perabot, pusat membeli belah dan pasaraya. Malam-malam ‘terawih” akan bertukar menjadi malam buat ‘kuih’. Malam ‘lailatul Qadar’ akan disibukkan dengan mengemas rumah dan menukar ganti alat perabut perhiasan ‘ala kadar’


Ramai orang yang bersungguh-sungguh membuat persiapan bagi menyambut hari Raya, sedangkan tiada siapa pun di antara kita yang PASTI bahawa mereka akan sempat menyambutnya.


Telah berlalu sebelum kita ramai orang yang membuat persiapan raya bersungguh-sungguh, membeli dan menempah pakaian raya yang baru, membeli kuih muih untuk dijamu bersama keluarga di kampong, service kereta dengan menukar serba serbi agar perjalanan balik kampong tidak tergendala, membawa bersama saguhati untuk kedua orang tua, memperuntukkan duit raya yang cukup untuk diagihkan kepada anak-anak saudara dan jiran tetangga, mengangan-angankan dodol, ketupat dan lemang di pagi raya… namun dalam perjalanan pulang di malam raya, Allah terlebih dahulu menjemputnya pulang ke alam baqa’.


Marilah kita bermuhasabah bersama… mengapa ramai di antara kita terlalu bersungguh bersiap menghadapi sesuatu yang kita sendiri tidak pasti.. tetapi cuai dari mempersiapkan diri untuk menghadapi perkara yang pasti… iaitu MATI.. (mati adalah perkara yang pasti.. tetapi bila berlakunya.. tiada siapa yang mengetahui)


Thursday, September 04, 2008

Tazkirah Ramadhan 1 : Mendaki Tangga Muqarabah (Menghampirkan Diri Dengan Allah) di Bulan Ramadhan

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud : “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenaiKu, maka (beritahulah kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sangat hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang-orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk” [Surah Al-Baqarah : 186]

Sesungguhnya, bulan Ramadhan adalah bulan Muqarabatillah. Bulan untuk seorang hamba menghampirkan dirinya kepada Allah s.w.t. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. menyelitkan ayat di atas di tengah-tengah perenggan ayat-ayat puasa Ramadhan bermula dari ayat 183 hinggalah ayat 188 dari surah Al-Baqarah. Dengan jelas Allah s.w.t. menyatakan bahawa Ia amat hampir dengan hambaNya, lantas menerima permintaan hambaNya apabila mereka meminta dengan syarat, mereka beriman dan mematuhi segala perintahNya.

Walaubagaimana pun, harus kita faham bahawa Muqarabah itu ada jalan dan tangganya. Tanpa melalui jalannya yang betul tidak akan menyampaikan kita kepada tujuannya. Tanpa meniti tangganya secara berperingkat, kita tidak akan sampai ke puncaknya. Jalan atau tingkat tangga Muqarabah itu ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. melalui Rasulillah s.a.w. di dalam hadith qudsi berikut :

Yang bermaksud ; dari Abu Hurairah r.a. lapornya ; telah bersabda Rasulullah s.a.w. ; sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman : “Barangsiapa yang menyakiti waliku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang kepadanya. Dan tiada mendekatkan diri hambaKu kepadaKu dengan sesuatu amalan yang lebih Aku sukai dari apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hambaKu menghampirkan diri kepadaKu dengan melakukan amalan sunat (nawafil) hingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang ia mendengar dengannya dan penglihatannya yang ia melihat dengannya dan tangannya yang ia menampar dengannya dan kakinya yang ia berjalan dengannya . Dan jika ia meminta kepadaKu nescaya Aku benar-benar akan memberikan kepadanya dan jika ia meminta perlindunganKu nescaya Aku benar-benar akan menlindunginya” [HR Al-Bukhari]

Tangga pertama yang mesti dijejaki oleh mereka yang ingin menghampirkan dirinya kepada Allah s.w.t. ialah dengan melaksanakan AMALAN YANG FARDHU. Inilah aulawiyat atau keutamaan dalam beramal. Perkara yang fardhu ialah perkara yang jelas secara putus pada nas samada dalam bentuk suruhan atau tegahan. Setelah menyempurnakan kefardhuan, barulah digalakkan kita untuk menjejaki tangga MuqarabatilLah yang seterusnya iaitu istiqamah dengan AMALAN-AMALAN SUNAT atau nawafil sehingga mencapai puncak MahabbatilLah (Cinta Allah) yang diidam-idamkan. Mereka yang mencapai maqam tersebut, penglihatannya, pendengarannya, tindakan dan kerja buatnya akan sentiasa dilindungi dan dipelihara oleh Allah s.w.t. Merekalah Wali Allah yang sebenarnya.

Berikut di antara perkara fardhu yang perlu diberi perhatian dan keutamaan dalam beramal di sepanjang bulan Ramadhan :

  • Iman yang benar dan menjauhi syirik serta kufur. Firman Allah s.w.t. : Yang bermaksud : “barangsiapa yang kafir sesudah beriman, maka terbatallah amalannya dan dia di hari akhirat tergolong dari kalangan orang yang merugi” [Al-Maidah : 5]
  • Solat Fardhu 5 waktu dengan sempurna (berjamaah bagi lelaki). Firman Allah s.w.t. : Yang bermaksud : “Sesungguhnya shalat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.” [An-Nisaa’ : 103]
  • Berpuasa dengan menjaga segala kesempurnaannya. Firman Allah s.w.t. :Yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah difardhukan ke atas mereka yang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa” [Al-Baqarah : 183]
  • Meninggalkan pekerjaan maksiat dan mungkar. Sabda Rasulullah s.a.w. :Yang bermaksud : “Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan mengerjakan kedustaan, maka Allah tidak berhajat kepada amalannya dalam meninggalkan makanan dan minumannya". [HR Al-Bukhari]
  • Menuntut ilmu, menghidupkan tazkirah. Sabda Rasulullah s.a.w. : Yang bermaksud : “Menuntut ilmu itu satu kefardhuan ke atas setiap orang Islam” [HR Ibn Majah – Ulama’ Hadith berbeza pendapat dalam menetapkan darjat hadith ini. Pendapat yang terpilih ialah darjatnya sekurang-kurangnya hasan]
  • Melaksanakan keadilan dan tidak berlaku zalim. Hadith Rasulullah s.a.w. : Dari Abi Dzar Al-Ghifari r.a. ; dari Nabi s.a.w. yang diriwayatkan dari Rabbnya Azza wa Jalla ; “Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah haramkan kezaliman di atas diriKu, dan Aku jadikan dia perkara yang diharamkan antara kamu, maka janganlah kamu berbuat zalim” [HR Muslim]
  • Usaha dakwah, amar makruf nahi mungkar, pendidikan anak-anak, menjaga isteri dan keluarga, usaha menegakkan syariat, jihad fi sabilillah, infaq wajib (zakat) dan sebagainya.

Kesimpulannya, dalam keghairahan kita memperbanyakkan ibadah sunat di bulan Ramadhan ini, jangan sampai kita mencuaikan amalan-amalan fardhu yang merupakan tangga pertama dalam usaha kita untuk mendapat tempat di sisiNya dan bernaung dalam pemeliharaan cintaNya.