Friday, July 25, 2008

Khutbah Jumaat 25 Ogos 2008 di Masjid UMP

BEBERAPA PENGAJARAN DARI ISRA’ & MI’RAJ


إِنّ الْحَمْدَ ِللهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَسَيّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنّ مُحَمّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ .اَللهُمّ صَلّ وَسَلّمْ عَلى مُحَمّدٍ وَعَلى آلِهِ وِأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدّيْن...

يَاأَيّهَا الّذَيْنَ آمَنُوْا اتّقُوا اللهَ حَقّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنّ إِلاّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .يَاأَيّهَا الّذِيْنَ آمَنُوْا اتّقُوا اللهَ وَقُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيْدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيْمًا، أَمّا بَعْدُ ...


Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taqwa dengan ertikata menjunjung dan melaksanakan segala suruhanNya serta menjauhi dan meninggalkan segala tegahannya dan janganlah hendaknya kita mati melainkan sebagai seorang Islam yang tunduk patuh menyerah diri kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Isra’ ayat pertama :

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsha yang telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Alhamdulillah, kita berada di berada di penghujung bulan rajab, satu bulan mulia di antara empat bulan yang dihormati di dalam Islam. Dalam catatan sejarah Islam, pada bulan ini berlakunya peristiwa besar yang disebut Isra’ dan Mi’raj. Peristiwa Nabi s.a.w. diperjalankan dari masjidil haram di Makkah al-Mukarramah, tempat tumpuan jutaan manusia saban masa dan tahun hingga ke masjidil aqsa di Palestine, bumi yang tidak henti bergolak sehingga kini, kemudian dari masjidil aqsa diangkat dari langit ke langit sehingga bertemu Allah s.w.t. di sidratil muntaha.

Saban tahun, tidak sedikit dari kalangan umat Islam yang mengadakan sambutan bagi memperingati peristiwa besar tersebut samada disambut dengan mengadakan majlis-majlis ilmu, ceramah, forum, wacana, halaqah zikir dan seumpamanya. Demikianlah juga saban tahun kita mendengar para pendakwah, penceramah dan pentazkirah mengulang-ulang riwayat atau penceritaan peristiwa tersebut namun kita juga tidak jemu mendengarnya..

Dalam kesempatan masa yang terhad ini, saya ingin mengajak hadirin solat Jumaat sekalian untuk bersama-sama kita mengambil beberapa pengajaran penting secara ringkas dari peristiwa tersebut :

Pengajaran yang pertama : Dalam peristiwa ini, solat fardhu lima waktu disyariatkan. Pentingnya ibadah solat sehingga Allah s.w.t. menjemput Nabi s.a.w. mengadap ke hadratNya untuk disampaikan pensyariatan ibadah tersebut. Solat menjadi tiang agama, penghubung lansung antara manusia dan Penciptanya. Kewajipan yang pertama dinilai oleh Allah s.w.t. di hari akhirat kelak. Persoalannya, adakah ia juga menjadi perkara yang penting dan utama kepada kita? Adakah solat menjadi slot wajib dalam setiap tentatif program dan aktiviti yang kita adakan? Adalah menjadi satu perkara yang amat menyedihkan apabila slot jamuan 6 kali sehari tidak pernah kita lupa dalam setiap kursus, latihan atau seminar yang disertai tetapi slot solat 5 waktu sering diabaikan. Di kala jasad kita terlentang kekenyangan, ruh kita terlantar kelaparan.

Pengajaran yang kedua : Peristiwa Isra’ Mi’raj amat berkait rapat dengan masjid, malah masjidil haram dan aqsa menjadi transit Nabi s.a.w. dalam perjalanan tersebut. Mengapa pentingnya institusi masjid dalam Islam? Tabiat manusia memerlukan di antara satu sama lain. Saling melengkapi, memberi dan menerima. Keperluan ini hanya dapat dipenuhi apabila berlakunya at-taaruf yakni perkenalan. Perkenalan biasanya berlaku di antara sesama manusia di dalam perhimpunan samada majlis keraian, program dan sebagainya. Allah s.w.t. yang memiliki syariat ini telah memprogramkan masjid sebagai tempat pertemuan, pusat komiti masyarakat dalam Islam.

Sebab itulah, masjid menjadi projek pembangunan pertama Rasulullah s.a.w. apabila diangkat sebagai pemimpin negara Madinah. Segala aktiviti masyarakat akan bermula di masjid. Kalau tidak di masjid, manusia akan tetap berkumpul dan berhimpun di mana sahaja dan dengan pelbagai cara. Perhimpunan di masjid adalah perhimpunan yang terkawal. Perkumpulan untuk sebarang aktiviti yang diharuskan tetapi penuh nilai dan etika. Lalu, sebagai penjana untuk menggerakkan manusia ke masjid, solat fardhu secara berjamaah itu disyariatkan. Firman Allah s.w.t. :

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” [At-Taubah ayat 18]

Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Pengajaran yang ketiga : Dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, Nabi s.a.w. dipertemukan oleh Allah dengan nabi-nabi yang terdahulu di antaranya ialah Nabi Musa yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nabi Isa yang dipuja oleh orang Kristian. Fakta ini, jelas menunjukkan kebenaran Islam dan Islam sebagai agama perpaduan. Umat islam diwajibkan mengiktiraf, beriman dan memuliakan Nabi Musa yang dianggap nabi kepada orang Yahudi dan nabi Isa yang dipuja oleh orang Kristian di kala Nabi Muhammad s.a.w. dikeji, difitnah dan dihina oleh ramai orang-orang yahudi dan kristian di negara-negara barat. Umat Islam mengiktiraf kitab Taurat dan Injil yang asal, malah wajib beriman kepadanya di kala Al-Quran dihina oleh musuh islam dari kalangan penganut yahudi dan kristian.

Pengajaran yang keempat : Dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj, Nabi s.a.w. diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa sebagai gambaran kebaikan atau keburukan sesuatu perkara. Di antaranya ialah Rasulullah s.a.w. bertemu dengan satu kaum yang memotong-motong lidah dan bibir mereka dengan gunting besi, apabila bercantum kembali digunting lagi dan seterusnya. Rasulullah juga bertemu dengan satu kaum yang mencakar-cakar muka dan dada mereka yang kuku dari tembaga . Apabila ditanya kepada Jibril maka Jibril menjelskan bahawa yang memotong-motong lidah dan bibir itu ialah penyebar fitnah dan yang mencakar-cakar dada dan muka itu ialah pemakan daging manusia (pengumpat), menjatuhkan maruah dan kehormatan seseorang. Bayangkanlah saudara para hadirin solat Jumaat sekalian, betapa berleluasanya budaya fitnah mengfitnah, umpat mengumpat hingga menjatuhkan maruah satu sama lain yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini yang sebahagiannya disuburkan oleh media dan sebagainya.

Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Pengajaran yang kelima dan terakhir : Dalam perjalanan tersebut, Rasulullah s.a.w. terhidu dengan satu bau yang sangat harum. Jibril memberitahu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa bau tersebut adalah bauan Mashitah seorang pekerja wanita yang menjawat jawatan tukang sikat rambut anak perempuan Firaun yang telah mengorbankan dirinya dan anak-anaknya dengan dicampak oleh majikannya Firaun dalam kawah tembaga yang panas menggelegak demi mempertahankan aqidah serta menolak arahan Firaun agar murtad dari agamannya. SubhanalLah, berbahagialah Masyitah di sisi tuhannya. Dia yang telah tegar memilih mati dari mengorbankan prinsip keimanannya. Sedangkan masyarakat kita pada hari ini ramai yang menggadaikan agamanya kerana kemewahan hidup, membelakangkan agama kerana cinta, menentang agama kerana pangkat dan kedudukan.

Beruntunglah Masyitah, seorang perempuan yang telah menikmati kemanisan iman hingga tegap dan kejap mempertahankan kebenaran di hadapan majikannya, seorang raja yang kejam dan zalim, walau nyawa yang menjadi taruhannya. Sedangkan kita pada hari ini, diam tertunduk membisu tiada upaya walau sekadar untuk mengatakan tidak pada perkara maksiat.

Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Terlalu banyak pengajaran dan manfaat yang boleh diceduk dari keseluruhan peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Perjalanan tersebut benar-benar memperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w. ketika itu dan kepada kita generasi kemudian yang menelitinya akan tanda-tanda keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. :

Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar. [An-Najm : 18]

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذا أَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرّحِيْمِ


No comments: