Sunday, December 07, 2008

Bekalan Para Pendakwah ; Sukarnya Mendidik Hati Utk Menerima Sebuah Teguran..


Kita sesungguhnya sebagai insan, adalah makhluk yang sangat lemah. Allah s.w.t. sendiri menjelaskan hakikat ini dalam firmanNya yang bermaksud ; “dan manusia dijadikan bersifat lemah” [Surah An-Nisaa’ ayat 28].. Lemahnya seorang manusia itu sehingga ia pada bila-bila masa sahaja terdedah dengan kesilapan dan kesalahan. Bila-bila masa sahaja… dan sesiapa sahaja… termasuklah seorang daie itu sendiri.


Catatan saya kali ini adalah sebagai muhasabah kita bersama khususnya para duat atau daie ilalLah. Antara bencana besar yang sangat berisiko menimpa kita sebagai daie, murabbi, ketua, pemimpin atau sesiapa sahaja yang memiliki kelebihan atau kedudukan ialah bencana EGO.


Lantaran kita sahaja yang sering membimbing dan mendidik, memimpin dan menunjuk, sering menyampaikan nasihat dan bertazkirah.. ia boleh menimbulkan sejenis penyakit sampingan yang terkadang tidak disedari kecuali oleh mereka yang mendapat taufik Allah s.w.t. iaitu penyakit sukar menerima teguran, nasihat mahu pun kritikan.


Secara lisan memang mudah untuk seorang yang telah memiliki kedudukan tertentu di mata manusia untuk menyatakan bahawa “kita mestilah boleh menegur dan ditegur!” namun, secara hakikatnya Allah s.w.t. sahaja yang tahu bagaimana sukarnya membuang bisikan mazmumah ketika diri kita ditegur dan dikritik.Di antara kuman atau virus biasa yang akan mendampingi kita (daie, murabbi, qiyadah dsb) tatkala ditegur, dinasihati ataupun dikiritik ialah ;

  • Sukar menerima kesilapan dan kesalahan yang dikritik

  • Mencari justifikasi untuk membenarkan atau mempertahankan kesalahan tersebut

  • Segera berpaling kepada kelemahan dan keburukan yang ada pada si penegur

  • Mempertahankan kesalahan sendiri dan memburukkan peribadi si penegur

Kuman-kuman dan virus tersebutlah sekiranya tidak dihapuskan dengan segera akan mendedahkan kepada situasi yang lebih buruk sehingga membawa kepada terkoyaknya persaudaraan Islam dan timbulnya bibit-bibit permusuhan. Bagaimanakah cara untuk mencegah diri dari ditimpa oleh risiko penyakit jiwa yang merbahaya ini? Di antara tips nya ialah :

  • Sewaktu menerima kritikan dan teguran di atas kesalahan yang memang kita lakukan, berfikirlah dengan dengan akal dan jiwa yang waras, tidak emosional dan dikuasai perasaan.

  • Berusaha melihat sesuatu dengan berjiwa besar dan berpandangan luas (big picture). Sekiranya timbul perasaan malu dan jatuh maruah ketika ditegur, yakinkan diri dengan segera bahawa orang yang berlapang dada dengan teguran akan lebih dihormati.

  • Segera bersangka baik bahawa si penegur yang menasihati kita tersebut sebenarnya sangat sayang akan kita sehingga ia sangat berharap perubahan yang positif dari tegurannya, bukan merendahkan kita.

  • Anggaplah bahwa kejadian ditegur atas kesilapan ini adalah cara Allah s.w.t. mendidik kita secara langsung. Allah sangat sayang kepada kita sehingga ditakdirkan ada orang yang berani menegur dan memperbaiki kesilapan kita. Nikmatilah tarbiyah Allah ini..

  • Bersyukur lantaran ada orang yang menegur agar kita tidak semakin leka, lalai dan terseleweng. Bayangkan jika kita terus di atas jalan kesilapan tersebut.. bagaimana natijahnya?

Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w. juga ditegur oleh Allah s.w.t. dalam peristiwa bersama Abdullah bin Ummi Makhtum yang buta. Tatkala Rasulullah s.w.t. sibuk melayani kalangan pimpinan dan pembesar kafir Quraisy sehingga merasa agak tidak selesa dengan kedatangan Sahabat yang buta lagi miskin ini datang untuk meminta pengajaran. Allah s.w.t. lantas menegur Nabi s.a.w. di atas perkara tersebut. Selepas turun surah ini, Rasulullah s.a.w. terus menyebarkannya agar dijadikan iktibar kepada umat yang lain. Dan jika Baginda bertemu dengan Abdullah bin Ummi Makhtum, baginda akan menyapanya dengan berkata: " Selamat bertemu dengan orang yang menyebabkan aku dikecam oleh Tuhanku". Inilah tarbiyah Allah s.w.t.


Inilah yang ditunjukkan pemimpin Islam selepas era pasca nabawi sebagai menterjemahkan amalan dan sunnah Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar al-Siddiq umpamanya, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai khalifah meminta umat membetulkannya jika dia melakukan penyelewengan. Kata beliau, “andainya aku melakukan kebaikan, bantulah; tetapi andainya aku melakukan kesalahan, perbetulkanlah aku… patuhilah aku selama aku mentaati Allah, tetapi andainya aku sudah tidak mentaati Allah, kamu tidak perlu mematuhi aku lagi…”


Khalifah Sayyidina Umar al-Khattab juga berlapang dada menerima teguran daripada seorang wanita berkenaan saranan beliau supaya kadar mas kahwin yang diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya. Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan. Khalifah tidak menganggap teguran tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah". Penegasan Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku".


Jika Rasulullah s.a.w. juga boleh ditegur, para sahabat besar juga bersedia ditegur.. siapalah kita untuk membesarkan diri (ego) dari menerima teguran??? Firman Allah S.W.T. :


"Dan apabila orang-orang yang apabila ia melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapakh lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain dari Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji tersebut sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasan mereka keampunan dari Tuhan mereka dan balasan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kekal mereka di dalamnya, itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal."[Surah Ali 'Imran: ayat 135-136]



Sunday, November 09, 2008

Kitakah Pendakwah?.. Satu Muhasabah Jujur


Seorang Da’ie – bersegera menunaikan Solat berjamaah apabila azan telah dikumandangkan
Kita – selalu melewatkan solat dan hanya sempat dengan saf beberapa detik sebelum Imam salam


Seorang Da’ie – mewajibkan dirinya agar tetap membaca Al-Quran setiap hari walau sedikit
Kita – sering terlupa membaca Al-Qur’an dengan beralasan sibuk dan membacanya sesekali setelah berlalu berhari-hari


Seorang Da’ie – amat memerhati dan menjaga masanya, tidak diisi secara sia-sia melainkan dengan sesuatu yang terancang dan bermanfaat
Kita – kurang member perhatian kepada masa, sering membuangnya dengan sia-sia dan melakukan banyak perkara secara kebetulan


Seorang Da’ie – selalu terasa dirinya diawasi oleh Allah, mengingati akhirat dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya
Kita – sering tidak terasa kebersamaan Allah, melupai akhirat dan kematian serta kerap menangguh-nangguh amal dan taubat


Seorang Da’ie – suka menghadiri halaqah ilmu, sangat mencintai ilmu dan Ulama’ serta berlapang dada dengan teguran atau nasihat sebagai proses peningkatan diri
Kita – cepat merasa cukup dengan ilmu yang ada, kurang bermotivasi dengan majlis ilmu dan sukar menerima teguran orang lain


Seorang Da’ie – rumahtangganya dihiasi dengan bi’ah solehah, persekitaran tarbiyah, hidup dengan sunnah dan ibadah serta meriah dengan hiburan Al-Qur’an atau nasyid-nasyid Islami
Kita – rumah menjadi sarang syaitan, kosong dari gema Al-Qur’an, hambar dari ruh ibadat dan sunnah, penuh dengan maksiat, hiburan, tayangan-tayangan televisyen yang merosakkan akhlak


Seorang Da’ie – menguasai diri, rasional, berlaku adil terhadap sesiapa pun dan menetapkan sesuatu dengan benar
Kita – sering dikuasai emosi dan marah sehingga membelakangkan keadilan, kebenaran atau kebaikan orang lain


Seorang Da’ie – jiwanya dipenuhi cinta dan kasih sayang, mudah memaafkan, berjiwa besar dan tidak pendendam
Kita – jiwa dirajai dengan benci, suka bermusuhan, sukar memaafkan, keras, kasar dan pendendam


Seorang Da’ie – menjauhi riba, berusaha seupaya mungkin memastikan setiap urusan muamalat terpelihara dari unsur haram dan syubhat
Kita – mencari-cari alasan bagi mengharuskan terjerumus dalam riba, memandang remeh dan tidak sensitive dengan perkara yang haram maupun syubhat dalam muamalat


Seorang Da’ie – memperuntukkan sebahagian harta yang dimilikinya walaupun sedikit untuk dana dakwah
Kita – tidak rasa pentingnya infak, tiada peruntukan untuk dana dakwah kecuali sekali sekala malah zakat (selain zakat fitrah)pun sering terabai


Seorang Da’ie – tahu menguruskan kewangan dan sentiasa menyimpan di masa senang sebagai persiapan di masa kesusahan mendadak
Kita – boros, tidak membudayakan tabungan, suka membuat pinjaman dan tidak mengurus kewangan secara berhemah


Seorang Da’ie – sentiasa berfikir, bangun, berdiri dan bergerak mengusahakan strategi demi strategi untuk menjayakan dakwah Islam
Kita – menunggu, menanti, mengharap keajaiban dan kebetulan dalam usaha menjayakan dakwah


Medan berbicara berbeza dengan medan berfikir, medan amal berbeza dengan medan berbicara, medan jihad berbeza dengan medan beramal, medan jihad yang benar berbeza dengan medan jihad yang salah


Sangatlah mudah bagi sebahagian besar manusia untuk berfikir. Namun tidak semua yang terdetik dalam benak fikiran mampu terungkap dengan kata-kata yang keluar dari lisan. Banyak orang yang boleh berbicara, tetapi amat sedikit di antara kata-kata ucapan itu tercermin dalam bentuk perbuatan. Masih banyak orang yang mampu berbuat amal, tetapi hanya sedikit yang mampu menanggung beban jihad yang begitu berat. Ada orang yang sanggup menanggung beban jihad, tetapi tidak ramai yang mampu berjihad dengan istiqamah!


Kesimpulannya, pendakwahkah aku?


Tuesday, November 04, 2008

Sampaikanlah Walau Pun Satu Ayat!



Seperti biasa, sekelompok pemuda yang taat menjalankan agama pergi ke masjid Abu Bakar As-Siddiq di kota Idku untuk mempelajari Al-Qur’an dan As-Sunnah. Salah seorang daripada mereka bertindak sebagai pembicara (pentazkirah) sesuai dengan kadar keilmuannya.


Tatkala Imam masjid datang, para pemuda itu mempersilakannya untuk menjadi pembicara. Analoginya, apabila terdapat air maka batallah tayammumnya (apabila sudah tiba yang lebih layak, maka yang kurang tadi pun berundur) ketika imam itu memulai pembicaraan di hadapan mereka, ia mula menasihati mereka agar orang yang dijadikan pembicara di tempat seperti ini haruslah seorang yang menguasai Al-Quran, baik hafalan, bacaan, keilmuan mahupun pemahamannya. Selain itu, juga harus banyak menghafal hadis-hadis Nabi sehingga ia layak untuk duduk di tempat yang mulia ini (sebagai pemberi tazkirah atau penceramah).


Para pemuda itu merasa dalam keadaan gelisah yang amat sangat di hadapan hadirin yang sudah akrab dengan mereka, sedang Imam itu menanggapi mereka seperti orang jahil yang berbicara tanpa ilmu yang selayaknya.


Salah seorang pemuda tidak dapat menahan rasa jengkelnya kemudian berkata ; ”wahai Sheikh, kami tidak menganggap diri kami Ulama’, tidak pula Fuqaha’ (ahli fekah). Kami hanyalah mengerjakan setiap apa yang kami pelajari kerana dalam hadith Rasul s.a.w. disebutkan, ”Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat”. Jadi, kami hanyalah pengikut (sunnah tersebut) dan kami tidak berbicara kecuali yang kami tahu”


Di sinilah salah seorang yang hadir dalam majlis itu berumur dalam lingkungan lebih 70 tahun turut memberi pandangan, menyatakan pendapatnya berkenaan permasalahan itu kepada Imam tersebut. Katanya ;


”Sheikh yang mulia, jikalah pendapat anda betul (kena lengkap semua disiplin ilmu Islam baru layak berceramah), maka sesungguhnya pendapat itu akan tertuju (terlebih dahulu) kepada Rasulullah s.a.w, iaitu sepatutnya Rasulullah s.a.w. tidak memulai dakwahnya kepada seluruh manusia sehinggalah Al-Quran diturunkan semuanya. Setelah (sempurna penurunan Al-Quran) itu, barulah Rasul s.a.w. menyampaikan khabar gembira dengan dakwah Islam.Tetapi yang kami dapati, Rasulullah s.a.w. memulakan dakwahnya (bermula) dari ayat pertama yang yang turun kepadanya hinggalah sempurnanya Islam. Kemudian Rasulullah s.a.w. wafat setelah turunnya ayat – Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmatKu, dan Aku redha Islam itu menjadi agamamu – (ayat 3 surah Al-Maidah).”


Sheikh (Imam) itu terdiam dan para pemuda tersebut kaget. Setelah itu, kelompok pengajian itu berlanjutan atas perlindungan Allah. Peristiwa itu tidaklah membuatkan hubungan para pemuda (dakwah) dengan Imam masjid tersebut berkurang, juga penghormatan mereka terhadapnya malah mereka (para pemuda tersebut) mengambil faedah dari ilmunya (Imam itu)


[petikan cerita dari catatan Abbas As-Sisi dalam buku Hikayaatun ’anil Ikhwan]


Moral cerita :

  1. Dakwah adalah tanggungjawab semua orang Islam yang mengetahui sesuatu dari urusan agama walau pun sedikit untuk disampaikan dan dikongsi dengan mereka yang belum tahu.

  2. Untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah samada melalui tazkirah, ceramah, nasihat, tulisan dan sebagainya tidaklah disyaratkan mesti pakar dalam semua bidang atau disiplin ilmu pengajian Islam.

  3. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat terus gigih menyampaikan dakwah Islam setakat mana ayat-ayat Al-Quran yang turun dan tidak menunggu Al-Quran turun keseluruhannya, baru mula berdakwah.

  4. Sampaikan ilmu dan kefahaman Islam kepada orang lain bersungguh-sungguh setakat ilmu yang kita miliki di samping berusaha meningkatkan ilmu dari masa ke semasa.

  5. Dalam berdakwah, elak dari menceburkan diri dalam perbahasan atau menyampaikan fatwa dan pengajaran yang kita tiada ilmu tentangnya sehinggalah kita mempelajari dan memahaminya.

  6. Walau bagaimana pun, usaha memperkasakan kefahaman Islam dengan besungguh-sungguh mempelajari serta mengkaji disiplin ilmu-ilmu Islamsecara mendalam adalah amat dituntut demi memastikan kefahaman kita terhadap Islam tepat dan tidak terseleweng.

Monday, October 27, 2008

Mengikat Bebenang Cinta Pada Sepetang Pertemuan 2



Imam Ahmad meriwayatkan Hadith dengan sanad yang sahih dari Ubadah Bin As-Shomit r.a. katanya : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan dari Rabb-nya (Hadith Qudsi, Firman Allah s.w.t.) yang mafhumnya : " Berhaklah kasih sayangKu diberikan kepada orang yang cinta-mencintai keranaKu. Berhaklah kasih sayangKu diberikan kepada orang yang sering memperhubungkan tali silaturahim keranaKu. Berhaklah kasih sayangKu diberikan kepada orang yang saling berziarah keranaKu. Berhaklah kasih sayangKu diberikan kepada orang yang saling bantu membantu keranaKu. "

Pada 26hb Oktober 2008 Ahad lebih kurang pukul 6.20 petang, pondok saya didatangi tetamu hebat iaitu alumni Al-Azhar dari kalangan hafiz dan hafizah seramai 6 orang. Semoga kedatangan mereka yang walaupun singkat, memperkukuhkan ukhuwwah yang terjalin. Maaf, kerana petang tersebut tidak dapat berbual panjang kerana saya terpaksa bersiap segera untuk kuliah maghrib di surau RRM Permatang Badak.


Salah seorang tetamu tersebut ialah Ustaz Azraie (berbaju kelabu cerah) yang baru sahaja bertugas sebagai Imam Besar di Masjid Daerah Lipis. Semoga dapat berkhidmat dengan jayanya untuk Islam. Terima kasih buat semua atas ukhuwwah yang terbina! Sungguh, ukhuwwah itu adalah nikmat...



Saturday, October 25, 2008

Keutamaan Ilmu Seiring Usaha Dalam Perkongsian Cinta (Dakwah)


Assalamualaikum wrt wbt

Umat Islam adalah umat dakwah. Dakwah adalah perkongsian cinta, perkongsian nikmat Iman dan Islam. Menjadi kewajipan di kalangan mereka yang sedar dari umat ini, untuk berusaha melaksanakan dakwah, menegakkan amar makruf nahi mungkar, memberi peringatan, membudayakan an-nasihah dan menyebarkan mau’izoh. Asal dakwah ialah menyampaikan seruan dengan lunak, lembut dan menggembirakan. Dakwah bukan membenci batang tubuh sesiapa, tetapi membenci sikap dan perangainya yang buruk. Marah di dalam dakwah bukan kerana pembengis, tetapi marah kita adalah seumpama marahnya seorang bapa tatkala melihat anak kecilnya bermain di jalan raya ketika jalan sibuk dengan kenderaan. Kerasnya kita di dalam dakwah bukan kerana tabiat, tetapi demi menyelamatkan mereka yang alpa seperti ’kerasnya’ kita ketika menggerakkan insan yang sedang ’tidur mati’ tatkala rumahnya sedang marak dibakar api..


Untuk memikul beban amanah dakwah yang berat, memerlukan kepada persediaan dan persiapan yang menyeluruh, meliputi dan pelbagai. Sementelah lagi apabila mendepani manusia yang berada di zaman yang serba sofistikated ini. Zaman segala-galanya berubah dengan cepat dan pantas. Perubahan sosial, ekonomi, politik dan teknologi yang amat pantas berlaku samada di peringkat global atau lokal. Pendakwah yang tidak bersedia berubah seiring zaman dan persekitaran yang serba pantas berubah ini, mungkin akan ketinggalan. Walaupun prinsip dan tajuk dakwah tidak berubah iaitu Iman dan Islam, tetapi wasilah, strategik, pendekatan, tektik dan teknik perlu berubah.


Pemimpin gerakan dakwah tidak boleh berpada dengan wibawa peribadi dan aura semata-mata tetapi mestilah juga seorang pengurus yang memiliki kemahiran mengurus organisasi, manusia dan sistem. Pendakwah sewajarnya berusaha melengkapkan diri dengan ilmu prinsip Islam dan kemahiran yang pelbagai. Walaubagaimana pun, seiring membina penguasaan dan kemahiran yang pelbagai, penting juga untuk kita berusaha mempertingkatkan kefahaman kita kepada ilmu teras Islam yang bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunnah secara langsung. Asas ini amat penting demi memastikan kefahaman dan tasawwur Islam kita benar-benar menepati dan tidak terseleweng. Ia juga berguna bagi menjawab persoalan semasa berkaitan APA DIA ISLAM dalam menangani isu semasa berkaitan politik, ekonomi, sosial, budaya, hiburan dan lain-lainnya.


Di kesempatan ini, saya menyenaraikan beberapa disiplin ilmu Islam yang penting untuk dimiliki oleh seorang Islam dewasa ini seperti yang disebut oleh Al-Marhum Ustaz Said Hawa, seorang pendakwah, murobbi, pengarang dan pemimpin gerakan dakwah dalam bukunya yang berjudul JundulLah Thaqafatan wa Akhlaqan (Keilmuan dan Akhlak Tentera Allah) :

  • Ilmu Al-Usul At-Thalathah atau Iman
  • Al-Qur’an dan ilmu berkaitannya
  • As-Sunnah dan ilmu berkaitannya
  • Ilmu Usul Fiqh
  • Ilmu Aqidah (Teologi)
  • Ilmu Feqah
  • Ilmu Al-Akhlak dan Tazkiyah
  • Sirah dan Sejarah Islam
  • Ilmu Bahasa Arab
  • Fiqh Ad-Dakwah
  • Pengajian Islam Kontemporari
  • Perancangan serta propaganda terhadap Islam dan umat Islam

Setiap dari disiplin ilmu itu ada perinciannya dan pembahagiannya. Bukanlah menjadi kewajipan fardhu ain ke atas pendakwah dan individu Islam untuk mempelajari ke semuanya sehingga sampai ke tahap pakar. Ada sebahagian ilmu tersebut hukum mempelajarinya fardhu ain, ada yang fardhu kifayah dan ada yang hukum wajib berdasarkan keperluan. Walau bagaimana pun, penting kepada pemimpin gerakan dakwah Islam dan para pendakwah memiliki tasawwur (gambaran kasar) keseluruhan ilmu-ilmu tersebut walaupun tidak pakar kesemuanya.


Juga tidak menjadi kesalahan untuk para duat berusaha dari masa ke semasa mempertingkatkan dan mendalami disiplin ilmu tersebut satu persatu sedikit demi sedikit selagi hayat di kandung badan. Semakin mendalam pengetahuan kita tentang Islam, semakin luas kefahaman dan semakin jauh kita dari kesalahan dan penyelewengan.


Perlu juga rasanya disebut di sini, kepentingan penguasaan ilmu-ilmu tersebut tidaklah bermaksud kita perlu disibukkan dengannya semata-mata sehingga meninggalkan kerja dan usaha-usaha dakwah. Mungkin akan ada orang yang berhujjah, kita perlu menguasai ilmu dahulu baru boleh berdakwah atau menggabungkan diri dengan dakwah. Kesan dari silap faham ini, terbengkalai atau terbantutlah usaha dakwah lantaran anggotanya beralasan disibukkan dengan kelas-kelas pengajian semata-mata. Hujjah ini bercanggah dengan sunnah Nabi s.a.w. di dalam berdakwah bersama para sahabat.


Jika meneliti sirah, kita akan mendapati bahawa Nabi s.a.w. dan para sahabat giat meneruskan usaha-usaha dakwah walaupun Al-Qur’an belum sempurna penurunannya. Al-Qur’an turun sedikit demi sedikit berperingkat-peringkat dan para sahabat mempelajarinya dari masa ke semasa di samping terus menerus beramal, berdakwah dan berjihad mengikut kemampuan dan peringkat pengetahuan masing-masing.


Kesimpulannya, tidak betul jika meninggalkan usaha dakwah dengan beralasan sibuk menghadiri majlis ilmu sepertimana juga satu kesilapan sekiranya sibuk berdakwah dengan mengabaikan peningkatan ilmu pengetahuan. Apa yang saya catatkan di kesempatan ini hanyalah persiapan berkaitan disiplin ilmu-ilmu Islam secara khusus sebagai keperluan kepada para pendakwah. Itu pun sudah terlalu banyak rasanya yang perlu kita lakukan. Belum lagi kita masuk dalam topik keperluan kemahiran kepimpinan, pengurusan, ilmu dan kemahiran teknologi dan lain-lain lagi yang juga menjadi tuntutan semasa dan keperluan dalam menggerakkan usaha dakwah.


Alangkah banyaknya kewajipan dan kerja kita, tapi amat pelik kerana masih ramai lagi yang bermalas-malasan, membuang masa dan membudayakan sikap menangguh-nangguh kerja termasuklah saya sendiri.. sekian, semoga kita bersama-sama berubah!



Monday, October 20, 2008

Mengikat Bebenang Cinta Pada Sepetang Pertemuan


Alhamdulillah, pada 18hb bersamaan hari Sabtu yang lepas, lebih kurang 30 orang pelajar UMP dari kalangan Sahabat Masjid (SAHAM) datang menziarahi (berhari-raya?) ke pondok tempat kami sekeluarga menumpang teduh. Semoga dengan kehadiran kalian, menambahkan keberkatan teratak kayu kami. Maaflah kiranya jamuan yang dihidangkan ala kadar (mee goreng sotong). Itulah ajer yang sempat disediakan... Walau hangat dengan diskusi topik yang agak berat di selang seli dengan gurau senda hingga menjelang petang, namun jujur saya nyatakan bahawa... membina hubungan dengan kalian benar-benar membahagiakan... pondok kayu usang kami yang dilindungi teduhan rimbunan pepohon itu tampak ceria dengan kehadiran kalian.. terima kasih atas ukhuwwah yang dibina..

Kredit buat isteri tersayang kerana terus berstamina untuk memasak dan melayan tetamu petang itu, walaupun di sebelah paginya telah bertungkus lumus memasak untuk jamuan meraikan lebih kurang 50 orang teman-teman di Majlis Perjumpaan Alumni Al-Azhar Mesir Pahang..

MANISNYA UKHUWWAH.. SEMANIS MAHABBAH..

Thursday, September 25, 2008

Membacalah! Anda Tidak Akan Menyesal..


Assalamualaikum wrt wbt

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam (tulis baca). Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” [Al-Alaq ayat 1-5]


Alhamdulillah, hobi saya membaca. Saya sangat-sangat suka membaca. Sehingga kadang-kadang ditegur isteri kerana apabila sampai sahaja ke rumah, saya akan tertiarap membaca (rumah saya tiada sofa atau meja membaca), sedangkan anak-anak perlukan masa untuk bersama saya. Biasanya, apabila ditegur barulah buku tersebut disimpan dan saya akan bergurau senda atau ‘bergelumang’ dengan anak-anak.


Minat membaca ini timbul semenjak saya masih kecil lagi. Saya boleh membaca Al-Quran seawal usia tadika, berkat emak dan ayah saya sebagai guru Al-Quran kampung semenjak dahulu sampailah sekarang walaupun kami berpindah-randah. Rumah kami dari dahulu dipenuhi dengan anak-anak kampung (sekarang bandar) yang belajar mengaji Al-Quran.


Saya tidak perasan secara tepat sejak bila saya mampu membaca. Seingat saya, ketika kami sekeluarga masih menetap di rumah rakit di kampung Kuala Tembeling, Jerantut 25 atau 26 tahun yang lampau.. saya sudah boleh membaca akhbar. Ketika itu mungkin saya masih bersekolah tadika dan saya belajar di tadika selama 2 tahun iaitu ketika berusia 5 dan 6 tahun. Alhamdulillah, tabiat tersebut nampaknya ‘menurun’ kepada anak kedua saya yang berusia 5 tahun sekarang ini sehingga di tegur oleh emaknya. Selain menonton tv, hampir setiap masa dan ketika dia akan membaca dan menyiapkan buku latihan yang diberikan oleh guru PASTI nya sehingga habis semua buku latihannya telah disiapkan walaupun belum disuruh oleh gurunya. Sekarang anak perempuan saya itu sudah mula membaca akhbar sedikit demi sedikit.


Minatnya saya pada membaca, menyebabkan saya dianugerahkan sebagai Peminjam Buku Perpustakaan Terbanyak dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sek. Ren. Keb. Kuala Tembeling pada tahun 1986. Ketika itu saya berada dalam darjah 3 dan tahun tersebut adalah tahun terakhir kami menetap di Kuala Tembeling sebelum berpindah ke Beserah, Kuantan. Dalam majlis penyampaian hadiah tersebut saya merasa amat seronok kerana merangkul banyak anugerah dan hadiah. Selain peminjam buku perpustakaan terbanyak, saya juga mendapat hadiah sebagai pelajar nombor 1 dalam kelas, anugerah sebagai ketua kelas dan mendapat anugerah nombor 1 keseluruhan darjah 3 pada tahun tersebut (kalau tidak salah ingatan saya).


Buku yang banyak saya baca di peringkat sekolah rendah kebanyakkannya ialah buku-buku penyisatan bersiri kanak-kanak sehingga saya pernah bercita-cita menjadi polis, peguam atau penyiasat persendirian. Di peringkat awal menengah, saya juga minat membaca buku-buku novel remaja sebelum kemudiannya beralih kepada buku-buku agama dan dakwah.


Saya amat bersyukur lantaran minat membaca itu berlanjutan hingga ke peringkat menengah, diploma, ijazah dan sampailah ke hari ini. Saya mula memberi tazkirah secara kecil-kecilan di peringkat sekolah menengah dengan berbekalkan maklumat dari buku-buku bacaan saya di samping ilmu yang diperolehi di dalam kelas serta ceramah-ceramah atau kuliah yang saya ikuti di surau-masjid sekitar Mukim Beserah, Kuantan.


Saya telah terdedah dengan dunia dakwah semenjak di peringkat sekolah menengah lagi. Kebetulan saya belajar di Sek. Men. Agama Al-Ihsan, Kuantan dan pada tingkatan 5 saya memegang jawatan Pengerusi Badan Dakwah & Kebajikan SMAAI. Usaha-usaha ceramah, tazkirah, diskusi bersama teman-teman dan penerbitan risalah telah dilakukan walaupun saya masih kekurangan ilmu dan kefahaman yang mendalam berkaitan dakwah.


Ketika menyambung pengajian peringkat diploma di Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang, saya beroleh maklumat serta pandangan baru dan segar tentang dunia dakwah. Ianya bermula dengan sebuah buku yang dipinjam dari perpustakaan Masjid Negeri. Buku yang bertajuk – Dakwah & Tarbiah ; Pandangan Hasan Al-Banna – terbitan Pustaka Aman Press Sdn Bhd. Buku ini adalah terjemahan dari kitab asal yang berjudul – Hasan Al-Banna ; Mauqif fi Ad-Dakwah wat Tarbiyah – karangan Abbas As-Siisi. Penterjemah kepada buku tersebut ialah Haji Mohd Tahir Daeng Mengati.


Seronoknya saya dengan buku tersebut hingga saya mengkhatamkannya berkali-kali. Isinya benar-benar menarik perhatian saya kepada susuk seorang daie yang hebat seperti Hasan Al-Banna. Bukan sahaja pada peribadinya, tetapi dasar dan gagasan dakwah yang dipimpinnya. Pembinaan Iman adalah perkara pokok. Ukhuwwah adalah akar tunjang dalam dakwahnya. Menyusun dan mengikat bata-bata penggerak adalah asas utama dalam binaan jamaah dakwah tersebut. Tarbiyah adalah agenda utama dan banyak lagi asas-asas penting dan maklumat berharga yang diperolehi dari bacaan buku tersebut. Yang menariknya ialah gagasan dakwah beliau adalah bertitik tolak dari kefahaman dan penguasaannya terhadap Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. khususnya dalam konteks dakwah dan tarbiyah.


Ia mengajar saya tentang peringkat-peringkat dakwah, seni dalam menghadapi kepelbagaian sasaran dakwah, perhatian penting kepada persoalan membangunkan jiwa dengan kesedaran dan keimanan mendahului hukum halal dan haram. Ia juga menanamkan ke dalam jiwa saya tentang besarnya nilai dan harga ukhuwwah islamiyyah antara anggota penggerak dakwah. Kelapangan dada dan keterbukaan kepada perbezaan dalam persoalan pendekatan di samping teguh mempertahankan prinsip. Mampu membezakan antara wasilah dan ghayah, antara strategi dan matlamat.


Buku ini menjadi pendorong kepada saya kemudiannya untuk mengkaji lebih mendalam tentang sejarah gerakan dakwah, tokoh dakwah dan tulisan-tulisan mereka. Mengenali tokoh-tokoh dakwah moden seperti Syed Qutb, Hasan Hudhaibi, Said Hawa, Abul A’la Al-Maududi, Mustafa Masyhur, Sheikh Abdullah Azzam, Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Sheikh Muhammad Al-Ghazali, Pak Natsir, Prof Dr Hamka dan lain-lainnya.


Hari ini, saya berbahagia dengan hasil pembacaan tersebut. Saya telah mempersiapkan diri saya untuk dakwah dan tarbiyah. Saya telah meletakkan dakwah dan tarbiyah sebagai jalan hidup. Ketika ingin melangsungkan perkahwinan dengan isteri yang amat dicintai, saya telah menjelaskan padanya bahawa dia akan berkongsi hidup dengan saya dan dakwah. Saya merasakan diri ini terlalu banyak dosa dan berharap agar usaha-usaha dakwah ini akan menjadi kaffarah (penghapus) dosa-dosa yang pernah saya lakukan.


Saya mencoretkan segalanya ini bukan untuk tujuan membesarkan diri. Semoga Allah memelihara tujuan dan niat saya. Segala coretan ini sekadar untuk kembali memotivasi diri dan berkongsi manfaatnya dengan adik-adik serta rakan-rakan saya dalam perjuangan dakwah dan tarbiyah. Segala-galanya bermula dengan minat MEMBACA yang amat mendalam. Membacalah.. jangan jemu membelek kitab.. jangan rasa puas dengan ilmu.. jangan biarkan wujud sebarang keraguan dan kesamaran dalam pemikiran tanpa usaha yang bersungguh-sungguh untuk proses pencerahan dengan ilmu dan membaca.. Demi Allah, saya tidak pernah menyesal kerana minat membaca (gila membaca?).. malah saya amat bersyukur dengannya... walau pun saya sedar dengan penuh insaf, masih banyak yang perlu saya pelajari untuk meningkatkan ilmu yang masih tidak sepertinya ini...


- SELAMAT MEMBACA -


Friday, September 19, 2008

Khutbah Jumaat 19/9/2009 : Jadilah Rabbani Bukan Ramadhani!


إِنّ الْحَمْدَ ِللهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَسَيّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنّ مُحَمّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ .اَللهُمّ صَلّ وَسَلّمْ عَلى مُحَمّدٍ وَعَلى آلِهِ وِأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدّيْن. يَاأَيّهَا الّذَيْنَ آمَنُوْا اتّقُوا اللهَ حَقّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنّ إِلاّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .يَاأَيّهَا الّذِيْنَ آمَنُوْا اتّقُوا اللهَ وَقُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيْدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيْمًا، أَمّا بَعْدُ ...

Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,


Bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taqwa dengan ertikata menjunjung dan melaksankan segala suruhanNya serta menjauhi dan meninggalkan segala tegahannya dan janganlah hendaknya kita mati melainkan sebagai seorang Islam yang tunduk patuh menyerah diri kepada Allah s.w.t.


Alhamdulillah, hari ini kita sudah sampai ke tanggal 19 Ramadhan 1429H. Menjelang sahaja masuk waktu berbuka ketika maghrib nanti kita sudah menjengah ke kawasan 10 hari yang terakhir dari bulan Ramadhan.


كان النّبيُّ صلى الله عليه و سلم إذا دخل العَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وأحْيا ليلهُ وأيْقظَ أ هْلهُ – متفق عليه


Yang bermaksud ; Adalah Nabi s.a.w. apabila memasuki 10 hari yang terakhir, (baginda) akan semakin kemas ikatan kainnya (menjauhi isterinya atau meninggalkan kehendak syahwat dalam hari-hari tersebut), menghidupkan malamnya dengan ibadah, dan menggerakkan ahli keluarga baginda (untuk beribadah) – Muttafaqun alaih


10 hari yang terakhir dari dalam Ramadhan, Baginda s.a.w. akan beriktikaf di masjid dengan meningkatkan amal ibadah dan menggalakkan kita untuk beriktikaf serta mencari lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam hari-hari yang masih berbaki ini.


Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Ramadhan sudah tinggal beberapa hari berbaki dan Syawal pula semakin menjengah tiba. Alangkah indahnya suasana di sepanjang bulan Ramadhan ini. Kita melihat bagaimana ramai manusia menjadi hamba yang taat kepada Allah s.w.t. Hamba yang sanggup letih berlapar dan dahaga, hamba yang cekal menahan diri dari menurut runtunan syahwat di siang harinya, hamba yang tidak jemu-jemu saban hari berbicara dengan penciptanya di dalam halaqah tadarus Al-Quran, hamba yang bersemangat di setiap malam mengagahkan diri melaksanakan solat tarawih, hamba yang berterusan menghidupkan Ramadhannya dengan mengutip mutiara-mutiara tazkirah untuk meningkatkan pengetahuannya dan memperkasa jati dirinya. Segala puji bagi Allah di atas segala nikmat tersebut.


Persoalan besar dan penting yang perlu rasanya dibangkit di mimbar khutbah Jumaat ini untuk muhasabah kita bersama ialah, adakah segala pemandangan dan suasana amal ibadat yang indah yang kita lihat di sepanjang Ramadhan ini akan berkekalan dan berterusan? Ataukah keindahan itu hanya sekadar angin lalu yang bertiup dingin menyapa pipi ketika terik kepanasan, lantas kita rasa terhibur dan apabila berlalunya angin tersebut, suasana akan kembali menjadi hangat membahang? Jawapannya ada pada setiap diri kita sendiri.


Setiap ibadah yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. ada tujuannya yang tersendiri. Keberhasilan ibadah solat ialah apabila ia mampu mencegah kita dari fahsya’ dan mungkar. Firman Allah s.w.t. :


اتلُ ما أوحِيَ إلَيْكَ من الكتابِ و أقِمِ الًلاةَ إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر ولذكر الله أكبرواللهُ يعلمُ ما تصنَعُونَ [العنكبوت:45].


Yang bermaksud : Sampaikan apa yang diwahyukan kepadaMu daripada Al-Kitab dan dirikanlah Solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar dan mengingati Allah itu lebih besar dan Allah mengetahui apa yang kalian kerjakan. [Al-Ankabut : 45]


Ibadah zakat pula adalah bertujuan membersihkan jiwa kita dari kecintaan kepada harta dan kesenangan dunia secara melampau dan berlebihan. Sementara ibadah puasa digambarkan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 183 :

يا أيها اللذين آمنوا كتب عليكم الًصيام كما كتب على اللذين من قبلكم لعلكم تتقون


Yang bermaksud : wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah difardhukan ke atas orang-orang yang sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa [Al-baqarah : 183]


Puasa menatijahkan taqwa. Taqwa ialah menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya tersembunyi atau terang-terangan. Keberhasilan ibadah puasa adalah apanbila ia berjaya melahirkan seorang muslim mukmin yang taat kepada Allah setiap masa dan ketika. Bukan hanya di bulan Ramadhan. Kerana itulah setengah dari Hukama’ atau cerdik pandai Islam mempopularkan seruan dan slogan : Kun Rabbaniyyan Wa Laa Takun Ramadhaniyyan yang bermaksud ; Jadilah kamu Rabbani - penyembah Allah dan jangan kamu jadi Ramadhani - penyembah Ramadhan.


Slogan atau ungkapan ini menjelaskan sejelas-jelasnya kepada kita tentang peri pentingnya sifat taat dan cinta ibadah yang ketara dan menonjol di dalam bulan Ramadhan ini dipastikan kesinambungannya di bulan-bulan yang lain. Allah yang kita sembah di bulan ini jualah yang kita sembah di bulan-bulan yang lain.


Kita semestinya merasa hairan dan bertanya diri kita sendiri secara jujur, mengapa kita taat kepada perintah Allah di bulan Ramadhan sedangkan kita tega mengingkari suruhan Allah di bulan-bulan yang lain. Mengapa kita sanggup meletihkan diri menahan lapar dan dahaga tanpa sedikit pun mempersoalkan perintah tersebut, tetapi kita berani mepersoalkan hukum Allah dalam perintah-perintahnya yang lain di bulan-bulan yang lain. Mengapa kita mengamalkan sikap taat secara berpilih? Kita percaya, yakin dan beriman dengan sebahagian suruhan atau larangan Allah dan kita ingkar, menolak serta mempertikaikan sebahagian suruhan atau larangan yang lain. Firman Allah s.w.t. :


أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب وما الله بغافل عما تعملون


Yang bermaksud : ”Apakah kalian beriman dengan sebahagian al-kitab dan kufur ingkar dengan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi sesiapa yang melakukan demikian itu dari kalangan kamu melainkan kehinaan hidup di dunia dan di hari qiamat mereka akan dikembalikan kepada sepedih-pedih azab. Dan tiadalah Allah lalai terhadap apa yang kalian kerjakan.” [Al-Baqarah : 85]


Marilah kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa setiap masa dan ketika bukan semata-mata dibulan Ramadhan sahaja. Jadilah Golongan Rabbani, yang mengabdikan diri kepada Allah setiap masa dan ketika, bukan Ramadhani yang hanya mengabdikan diri pada bulan Ramadhan. Untuk menjadi golongan Rabbani, budaya ilmu yang bersumberkan Al-Quran sebagai kitab hidayah menstilah disuburkan. Firman Allah s.w.t. :


ولاكن كونوا ربانيين بما كنتم تعلمون الكتاب وبما كنتم تدرسون


Akan tetapi jadilah kalian golongan Rabbani dengan kalian terus mengajarkan Al-Kitab dan kalian tetap terus mempelajarinya


أَقُوْلُ قَوْلِي هَذا أَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرّحِيْمِ