Monday, February 16, 2009

Tercetusnya Kacau Bilau Bila Tiada Amanah & Berleluasanya Khianat


Firman Allah s.w.t, Raja bagi segala Raja, Penguasa bagi segala Sang Penguasa ;


…dan janganlah kamu lantaran orang-orang yang khianat, menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), [347], (Surah An-Nisaa’ ayat 105)


[347]. Ayat ini dan beberapa ayat berikutnya diturunkan berhubungan dengan pencurian yang dilakukan Thu'mah dan ia menyembunyikan barang curian itu di rumah seorang Yahudi. Thu'mah tidak mengakui perbuatannya itu malah menuduh bahwa yang mencuri barang itu orang Yahudi. Hal ini diajukan oleh kerabat-kerabat Thu'mah kepada Nabi s.a.w. dan mereka meminta agar Nabi membela Thu'mah dan menghukum orang-orang Yahudi, kendatipun mereka tahu bahwa yang mencuri barang itu ialah Thu'mah, Nabi s.a.w. sendiri hampir-hampir membenarkan tuduhan Thu'mah dan kerabatnya itu terhadap orang Yahudi.


Saya merasakan ayat ini sangat penting untuk kita tadabbur dan bermuhasabah dalam situasi yang berlaku dalam Negara kita dewasa ini. Apabila berlakunya sesuatu peristiwa atau isu, penyampai maklumat adalah golongan yang sangat memainkan penting. Penyampai maklumat dalam konteks ini yang saya maksudkan ialah media massa dan blogger.


Dalam situasi krisis di Perak sebagai contoh, golongan penyampai berita ini mestilah bersikap amanah dan tidak khianat. KEBENARAN dalam melaporkan berita dan menyebarkan maklumat adalah lebih utama dari semata-mata KEUNTUNGAN. Intergriti sangat penting. Namun, amat malang sekiranya UNTUNG lebih penting dari BENAR, FITNAH lebih enak dari FAKTA, DUIT lebih utama dari MARUAH, KUASA lebih penting dari segala-galanya….


Benarkah, ada golongan yang ingin menderhakai Raja? Ataukah laporan berita kita yang berlebih-lebihan sehingga membangkitkan sentimen dan perasaan marah orang ramai semata-mata bagi membenarkan tindakan majikan kita? Bukankah kesannya sangat memudharatkan?


Lupakah kita bahawa setiap berita yang kita catatkan juga di’catat’ oleh Rakibun Atid (SB dari kalangan malaikat)? Setiap laporan kita juga akan dilaporkan oleh Kiraman Katibin (malaikat-malaikat yang mulia lagi mencatat)? Lupa kepada hakikat inilah yang menjadikan kita tegar untuk berlaku khianat. Dan di sebabkan sifat khianat dalam melaporkan berita inilah, manusia kekal berbalah dan masyarakat hidup penuh kacau bilau…. Ya Allah, selamatkanlah kaumku dari kesan kejahatan hati-hati yang KHIANAT…


Sunday, February 15, 2009

Rebutlah Peluang Tika Dia Masih Ada Bersama Kita...


Lebih kurang 3 hari yang lepas, 11hb Februari 2009 bersamaan hari Rabu, lebih kurang jam 10.30 malam, saya telah kehilangan ibu mertua yang telah kembali ke rahmatulLah. Sebagai menantu sulung, suami kepada anak al-marhumah yang sulung saya cuba sebaik mungkin untuk menahan diri dari menangis sepanjang menguruskan jenazah al-marhumah bermula dari saat menghembuskan nafasnya yang terakhir hinggalah saya sendiri yang memimpin solat jenazah, tazkirah ringkas (talqin) dan bacaan doa di tanah kuburan. Namun, saya tidaklah terlalu tabah. Ada masanya air mata terus mengalir sebak lantaran beberapa perkara yang ingin saya kongsikan bersama dalam catatan ini.


Al-Marhumah sebenarnya telah lama menderita sakit di rumah dan beliau sangat takut dan sukar untuk diajak ke klinik apatah lagi hospital. Faktor yang membawa kepada keuzurannya sangat banyak. Jangkitan kuman di paru-paru dan TB adalah kemuncaknya. Tidak perlu rasanya saya ceritakan di sini faktor-faktor yang lain. Biarlah ia menjadi kenangan dan pengalaman kami sekeluarga adik beradik dan menantunya yang masih hidup ini. Saya percaya, setiap keluarga ada kisah dan masalahnya yang tersendiri.


Al-Marhumah ibu mertua saya dimasukkan ke hospital lebih kurang 2 minggu yang lepas setelah keadaannya bertambah teruk. Itu pun di atas cadangan saudara mara tua (pak saudara dan tok saudara) yang bersungguh-sungguh mencadangkannya setelah melihat keadaan beliau yang semakin teruk. Kami anak-anak dan menantunya akur kerana itulah yang terbaik. Al-Marhumah juga tidak menolak kerana yang mengesorkan beliau masuk ke hospital itu ialah mereka yang berpangkat adik dan bapa saudaranya sendiri.


Keadaannya semakin tenat setelah didapati pasti mengidap TB. Pada hari Selasa malam Rabu 10hb, saya dan isteri dikejutkan dengan panggilan adik kami yang memberitahu keadaan al-marhumah yang semakin tenat dan tercungap-cungap. Kami menghubungi kebanyakan saudara mara yang tua dan kerabat yang terdekat apabila menghadapi situasi cemas tersebut. Saya diberi taklimat oleh doctor pakar pada malam tersebut bahawa pernafasan dan jantung beliau semakin lemah dan doctor mencadangkan agar dijalankan operasi “intubation” (memasukkan bantuan tiub untuk membantu pernafasan). Pada malam itu, suasana muram dan sedih menguasai keadaan di wad dan katil tersebut. Adik-adik isteri saya tidak dapat lagi mengawal perasaan mereka apatah lagi yang ramai dari kalangan mereka ialah perempuan.


Pada malam tersebut, al-marhumah dalam keadaan bernafas tercungap-cungap sempat bercakap dengan hampir ke semua yang hadir. Saya dan isteri beberapa kali berbisik ke telinganya kalimah syahadah serta lafaz Jalalah (Allah) dan beliau mengikutinya. Hati terasa sebak apabila al-marhumah berbisik kepada saya ; “Mie, mak minta maaf..Mie..” Pada ketika itu hati saya berbisik ; “ mak tidak pernah berdosa kepada saya, sayalah menantu yang tidak mampu untuk membahagiakan mak sewajarnya…” Pada ketika itu saya tidak mampu meluahkannya. Hanya air mata yang mengalir perlahan di pipi saya. Segera saya mengesatnya demi memberi kekuatan kepada adik-adik yang lain.


Alhamdulillah, di tengah malam tersebut dalam keadaan ruangan katilnya dipenuhi dengan kami adik beradik dan kaum kerabat, di samping menunggu doctor pakar yang akan melakukan proses ‘intubation’ tersebut, al-marhumah beransur-ansur bernafas seperti biasa dan baik. Selepas doctor mengesahkan intubation tidak perlu dilakukan dan keadaan kembali normal, saudara-mara tua dan kami anak-anaknya yang datang bersama bala tentera (berpuluh-puluh orang semuanya campur anak-anak) beransur pulang ke rumah sedikit demi sedikit. Tinggallah anak-anak al-marhumah yang bujang (3-4 orang) tidur di hospital menemaninya.


Keesokan harinya, 11hb di sebelah siang, saya dan isteri datang melawat beliau di wad hospital. Keadaan beliau nampak semakin ok dan sekali sekala berleter kepada adik-adik ipar saya. Saya memegang tangannya dan beliau meminta saya mendengar bacaan surah Yaasin. Beliau membaca 4-5 ayat dan kemudian berhenti. Saya memintanya jangan banyak bercakap dan bernafas dengan baik. Saya meninggalkan isteri untuk menemaninya dan pergi membawa anak-anak berehat di rumah mak dan ayah saya di Balok. Menjelang petang, kami sekeluarga kembali ke rumah di Permatang Badak. Pada malam tersebut, selepas waktu maghrib, kami sekali lagi mendapat panggilan telefon kecemasan dari adik di hospital memaklumkan keadaan al-marhumah yang kembali tercungap-cungap seperti semalamnya. Saya dan isteri bergegas ke hospital dan meninggalkan anak-anak kami di rumah salah seorang tok saudara kami.


Sampai sahaja di hospital, doctor yang bertugas memaklumkan bahawa keadaan al-marhumah semakin kritikal. Al-Marhumah sudah semakin tenat. Hampir seluruh pancainderanya semakin lemah. Beliau sudah tidak mengenali kami. Doktor memaklumkan bahawa Intubation hanyak akan dilakukan jika keadaannya stabil. Selepas Isya’ keadaannya semakin tidak stabil dan para doctor dan jururawat mengerumuni beliau serta terpaksa memberikan rawatan bantuan terakhir. Kami adik beradik semakin cemas apabila dimaklumkan oleh jururawat yang bertugas bahawa rawatan bantuan akhir ini hanya akan dilakukan paling lama dalam 40 minit, dan sekiranya jantungnya tidak respon dan berhenti berdenyut, maka mereka sudah tidak boleh berbuat apa-apa. Kami menanti saat-saat tersebut dengan hati yang sebak. Isteri saya dan adik-adiknya semakin kuat menangis. Lebih kurang jam 10.30 malam, doctor memaklumkan bahawa jantung al-marhumah berhenti berdenyut (maknanya telah meninggal dunia) dan sekiranya masih berlaku pergerakan, itu adalah kesan ubat. Inna lilLahi wa Inna Ilaihi Rajiun.


Kami menghubungi dan memaklumkan berita kematian tersebut kepada kaum keluarga dan sahabat handai. Alhamdulillah, jenazah al-marhumah dibawa pulang ke rumah pada malam itu juga. Saya menunggu mendapatkan surah pengesahan dan permit pengkebumian sehingga lebih kurang jam 12.30 malam. Untuk tidak melewatkan masa, saya dan isteri meminta dari pihak hospital untuk membawa sendiri jenazah pulang ke rumah. Saya memandu van (milik salah seorang pak saudara) membawa jenazah tersebut bersendirian dan isteri saya menemani jenazah di bahagian belakang. Hanya saya dan isteri bersama jenazah al-marhumah di dalam van tersebut dengan dieskot oleh biras saya dengan kereta kancil di belakang.


Kami sekeluarga bersetuju agar pengurusan jenazah al-marhumah dilakukan di rumah salah seorang pak saudara al-marhumah merangkap tuk saudara isteri saya. Ini kerana rumah al-marhumah yang sedia ada agak uzur dan kami rasa tidak mampu menangggung kapasiti tetamu yang ramai. Setelah sampai ke rumah tersebut, sebaik sahaja selesai membersihkan diri.. saya dan isteri mendekati jenazah dan kami mengambil peluang ini untuk membaca Al-Quran berhampiran jenazah. Orang-orang lain kebanyakannya telah tidur pada waktu itu. Adik-adik kami sebahagianya telah tertidur dan sebahagiannya ada yang masih berjaga dalam keadaan mengantuk.


Semasa inilah saya tidak mampu mengawal perasaan sebak di dada. Saya membaca surah Yaasin diikuti surah Ar-Ra’du. Sepanjang pembacaan tersebut, saya tidak dapat mengawal perasaan sedih yang amat sangat. Air mata terus menerus mengalir. Saya menangis bukan kerana tidak meredhai pemergian al-marhumah, bukan juga tidak redha dengan ketentuan Allah. Saya redha.. Yang menjadikan saya sebak ialah apabila terkenangkan segala jasa baik dan kasih sayang al-marhumah kepada diri saya secara peribadi. Sewaktu saya dan isteri membuat keputusan untuk berkahwin di Mesir, ada adik beradik dan kaum keluarga kami yang kurang bersetuju.. beliaulah yang menyokong kami dengan sepenuhnya. Beliau adalah ibu mertua yang sangat sporting..


Isteri saya tidak jemu menceritakan keperitan hidup al-marhumah dalam membesarkan anak-anaknya (biarlah keperitan ini hanya menjadi nostalgia kami, tidak pelu diceritakan di sini). Apabila pulang dari Mesir, saya bertekad bersama isteri untuk membahagiakannya. Kami berusaha setakat termampu dalam tempoh tersebut hinggalah ke saat al-marhumah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya bercita-cita apabila adik-adik kami telah mempunyai keluarga sendiri, kami ingin agar beliau menghabiskan usia tuanya bersama kami sekeluarga dengan anak-anak. Saya sekeluarga ingin membawa beliau menetap dengan kami. Bersama-sama menghadiri program-program dakwah kami ke mana-mana sahaja. Itulah permintaannya dahulu. Beliau pernah menyatakan kepada kami untuk menghabiskan usia tuanya menghadiri majlis-majlis ilmu dan dakwah bersama kami. Disebabkan oleh masalah keluarga dan kesibukan, sebahagian dari perkara tersebut tidak tercapai. Saya juga pernah merancang dengan isteri untuk membawa beliau menunaikan haji bersama kami sekiranya ada rezeki nanti. Itu juga nampaknya, tidak tercapai. Banyak lagi yang kami rancang, tetapi perancangan Allah mendahului segala-galanya. Kami akur dan belajar dari ketetapan ini. Beliau pergi di ketika usia 52-53 tahun.


Sehingga ke saat ini, saya merasai kehilangannya. Walaupun saya cuba sibukkan diri dengan terus menghadiri program dan aktiviti yang pelbagai dalam sehari dua ini, tetapi jauh di sudut hati, masih ada kesedihan yang mencengkam. Saya tidak dapat menahan air mata ketika menulis catatan ini. Alhamdulillah, setidak-tidaknya saya berusaha menguruskan jenazahnya dengan baik. Saya mengimamkan solat jenazahnya, memberi tazkirah (talqin) dan memimpin bacaan doa di sisi kuburannya. Semoga amalan yang sedikit itu menjadi sebahagian tanda kasih dan sayang saya terhadap budi baik dan kasih sayang beliau kepada saya selama hidupnya. Selanjutnya, kami (saya dan isteri) menerima amanah beliau untuk menjaga dan mendidik adik-adik yang masih bujang dan bersekolah.


Ibu, masih sangat terasa bagi kami ketiadaanmu… tenanglah dikau di alam barzakh.. doa kami mengiringimu.. semoga kuburmu menjadi taman dari taman-taman syurga..


Ya Allah, kurniakanlah rahmat, keampunan dan syafaat ke atas beliau, ibu kami yang tercinta… kami insaf dan sedar, bahawa kami tidak mampu untuk membahagiakannya sebahagia-bahagianya ketika di dunia… Dikau bahagiakanlah dia, Ya Allah.. di alam sana… Amin Ya Arhamar-Rahimin.


Monday, February 09, 2009

Bengkel Dakwah Kampus 2009


Alhamdulillah, Bengkel Dakwah Kampus 09 anjuran Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI), UMP bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sahabat Masjid (SahaM) berjaya diadakan dengan mencapai sasaran kehadiran melebihi 200 orang penyertaan dari kalangan pelajar UMP serta IPT-IPT sekitar Kuantan.


Program ini juga mendapat respon yang sangat positif oleh para penceramah yang dijemput dari pelbagai pertubuhan dakwah seperti JIM, ABIM, HALUAN, PPMS, PERKIM serta motivator terkenal pemilik laman web http://saifulislam.com/ iaitu Ustaz Hasrizal. Saya sangat berharap agar para pelajar yang didedahkan dengan bekalan ilmu dan maklumat berkaitan dakwah ini akan dapat memainkan peranan mereka sebagai seorang muslim untuk berkongsi nikmat Iman dan Islam dengan sesiapa sahaja yang bersama mereka, di mana sahaja mereka berada samada ketika masih bergelar mahasiswa atau telah bekerjaya, bersama sahabat handai ataupun kaum keluarga. Semoga mereka dapat mempraktikkan perkongsian ilmu dan maklumat yang diperolehi sepanjang bengkel tersebut sebagai bekalan dalam menelusuri perjalanan hidup agar menjadi lebih bermakna.


Saya sendiri yang diamanahkan dengan tajuk “Dakwah Secara Kolektif dan Menangani Kepelbagaian Kumpulan Dakwah di Kampus” sangat berharap dari pengisian tersebut agar dapat berkongsi membantu melahirnya para pendakwah yang berfikiran terbuka, berjiwa besar, berlapang dada terhadap perbezaan dan saling bantu-membantu pada titik-titik persamaan yang sangat banyak. Dalam masa yang sama, keterbukaan terhadap perbezaan pendekatan oleh kepelbagaian pertubuhan dan kumpulan dakwah itu tidaklah menjadi alasan untuk mengendurkan komitmen, kesetiaan, disiplin dan lain-lain tuntutan berorganisasi terhadap pertubuhan dakwah yang dianggotai masing-masing demi merealisasikan matlamat dan objektif dakwah Islam yang disunnahkan gerakannya secara jamaie dan munazzam (organisasi yang tersusun).


Selebihnya ialah saya sangat berharap agar dengan terhimpunnya peserta dari pertubuhan dakwah yang pelbagai ini, dapat menipiskan prasangka antara satu sama lain, melihat peluang-peluang bersama yang cukup banyak, mewujudkan benih-benih ukhuwwah seterusnya berkongsi idea bagi menghadapi tanggungjawab dakwah dan cabaran-cabaran semasa umat Islam dewasa ini. Semoga usaha yang tidak seberapa ini menjadi lorong kecil yang membawa kita ke sebuah halaman yang lebih luas. Sekian, terima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat.


Sunday, February 01, 2009

Wabak Al-Wahnu ; Penawarnya Ada Pada Hamas


Lamanya saya tidak menulis. Sebulan di tahun baru 2009 dan 1430 ini benar-benar meletihkan. Kadang-kadang malu teman-teman yang sering bertanya ; “lama tak update blog?” Saya sendiri pun tak dapat memberi jawapannya secara tepat. Biasalah di fasa peralihan tahun ini. Banyak perancangan tahunan dan laporan tahun lepas yang mesti dibangunkan. Perancangan jabatan atau organisasi kerja, perancangan dakwah umum, perancangan jamaah, perancangan usrah, perancangan keluarga, perancangan peribadi dan lain-lain lagi.


Mungkin saya lebih ringan mulut dari tangan. Saya ringan berceramah, berusrah, berkuliah, berdiskusi.. tapi timbul rasa berat bila ingin menulis. Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan dalam blog ini samada isu Gaza sehinggalah isu terkini iaitu tindakan hebat Erdogan. Tapi seperti saya nyatakan tadi, mulut lebih ringan dari tangan. Untuk Isu Gaza dan Palestin sahaja di sepanjang Januari ini alhamdulillah saya telah berceramah di 7 tempat iaitu di Masjid UMP, Dewan PoliSAS, UIA Kampus Kuantan, Masjid Daerah Kulala Lipis, Surau Sungai Isap Perdana, Surau Balok Pine dan Permatang Badak. Itu pun masih amat sedikit berbanding sahabat-sahabat ustaz yang lain. Sesetengahnya hampir tiap-tiap malam berkuliah mengupas isu Gaza. Walaupun sedikit, saya amat berharap ianya dikira oleh Allah sebagai sumbangan bakti saya untuk Gaza dan Al-Aqsa.

Biasanya dalam perbentangan ceramah atau kuliah saya (diiringi powerpoint) berhubung tragedy di Gaza, saya mulakan dengan beberapa perkara asas seperti menolak dakwaan Yahudi dari aspek sejarah dengan fakta sejarah bermula Sebelum Masihi hingga sekarang, menafikan dakwaan Yahudi dari aspek agama dan kemanusiaan, menayangkan beberapa gambar kezaliman yahudi, menayangkan gambar tragedy Gaza terkini, menyelitkan dengan beberapa berita terkini Gaza, menyampaikan beberapa fatwa dan pandangan Ulama kontemporari dan di akhiri dengan diskusi – apa peranan kita?


Dalam penutup inilah saya akan senaraikan beberapa tindakan jangkamasa pendek dan jangka masa panjang yang menjadi tuntutan kepada kita sebagai Umat Islam untuk membantu Umat Islam Palestin dan memerdekakan Masjid Al-Aqsa. Dalam tindakan jangka masa panjang, ada beberapa senarai usaha yang mesti kita bangunkan dengan bersungguh-sungguh. Antaranya yang sangat-sangat saya tekankan ialah upaya oleh seluruh pihak secara kolektif untuk memulihkan peribadi umat ini yang sedang ditimpa oleh wabak Al-Wahnu. Wabak Al-Wahnu atau “Cinta Dunia & Takut Mati” inilah yang mesti diusahakan penawarnya oleh kita yang sedar. Penawar itu ada pada para pejuang HAMAS hingga mereka kebal dari wabak tersebut. Kita hanya perlu berkongsi dengan mereka….. Hanya individu umat yang CINTA AKHIRAT & TIDAK GENTAR MATI sahaja layak untuk berdiri sebaris dengan para pejuang di Gaza!


Buat para penziarah blog ini, saya akan usahakan untuk menulis paling kurang sekali seminggu untuk perkongsian kita bersama.. insyaAllah.