Monday, September 21, 2009

Catatan Hujung Ramadhan ; Tiada Daya & Upaya Tanpa Allah...


Alhamdulillah, kita sudah tiba di hari terakhir Ramadhan (ketika artikel ini ditulis). Dalam kesempatan ini, saya ingin mengajak kita semua melihat bagaimana Allah s.w.t. menutup ayat 185 dari Surah Al-Baqarah dengan firmanNya :

وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن


Yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”


Ayat 185 surah Al-Baqarah adalah sambungan kepada ayat sebelumnya yang menjelaskan pada awalnya tentang bulan Ramadhan adalah hari-hari tertentu yang difardhukan kita berpuasa. Kemudian dijelaskan kelebihan bulan Ramadhan sebagai bulan diturunkan padanya Al-Quran yang berfungsi sebagai petunjuk kepada manusia, keterangan yang jelas kepada petunjuk serta pembeza di antara hak dan bathil.


Selanjutnya Allah s.w.t. menyebut tentang kelonggaran tidak berpuasa yang diberikan kepada orang yang sakit atau musafir dengan digantikan pada hari yang lain (selain bulan Ramadhan) sebagai bukti kemudahan islam dan Allah tidak ingin menyusahkan manusia agar mereka dapat menyempurnakan bilangan hari puasa mereka.. dan agar mereka mengagungkan Allah s.w.t. (ingat Allah) di atas hidayah yang dikurniakan ke atas mereka (hidayah mampu menyempurnakan ibadah puasa) dan semoga mereka bersyukur.


Sengaja saya bold-kan perenggan terakhir keterangan di atas. Inilah titik tumpuan perbincangan kita. Allah s.w.t. menghendaki agar kita mengagungkannya (ingat kepada Allah) sebaik sahaja kita selesai menyempurnakan sesuatu ibadah. Nada anjuran seumpama ini tidak sahaja terdapat pada ibadah puasa, tetapi juga pada ibadah-ibadah yang lain. Antaranya ialah ;

  • Ibadah Solat – firman Allah s.w.t. yang mafhumnya ; “Maka apabila kamu telah menyelesaikan shalat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring…” [An-Nisaa’:103]
  • Ibadah Solat Jumaat - firman Allah s.w.t. yang mafhumnya ; “Apabila telah ditunaikan shalat (Jumaat), maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.” [Al-Jumuah:10]
  • Ibadah Haji - firman Allah s.w.t. yang mafhumnya ; Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah dengan menyebut Allah..” [Al-Baqarah:200]
  • Ibadah Jihad - firman Allah s.w.t. yang mafhumnya ; Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat” [An-Nashr:1-3]

Ayat-ayat di atas juga menjelaskan kepada kita akan saranan Allah s.w.t. agar segera ingat kepada Allah s.w.t. apabila selesai melakukan sesuatu kebaikan atau amal ibadah termasuklah ibadah puasa. Untuk apakah perlunya ingat kepada Allah s.w.t. setelah berjaya menyempurnakan sesuatu ibadah? Antara hikmahnya ialah ;

  • Semoga manusia tidak cepat lupa diri dan menginsafi bahawa kebaikan yang berhasil dilakukan atau diperolehi bukanlah disebabkan oleh kekuatan dirinya semata-mata melainkan kerana taufik dan hidayah Allah s.w.t. Tiada daya dan upaya kita tanpa Allah s.w.t. Alhamdulillah kerana kita tidak diuji oleh Allah dengan ujian yang tidak mampu kita tanggung. Ada orang yang gagal atau belum dapat menyempurnakan kebaikan lantaran mereka diuji dengan ujian-ujian yang pelbagai. Ada yang diuji dengan ibu bapa yang bermasaalah, ada yang diuji dengan anak isteri yang melalaikan, ada yang diuji dengan teman-teman yang merosakkan, ada yang diuji dengan pangkat dan kedudukan yang menjauhkan mereka dari beramal, ada yang diuji dengan tekanan dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, kita dipermudahkan oleh Allah untuk melalui jalan kebaikan..
  • Agar sesuatu kejayaan dalam melaksanakan kebaikan diisi dengan pengisian kebaikan juga sebagai tanda kesyukuran dan penerusan. Semoga kebaikan tidak terhenti apabila sesuatu ibadah telah dapat disempurnakan dan semoga sesuatu kejayaan dalam menunaikan sesuatu ibadah itu tidak diisi dengan perkara yang menjauhkan manusia dari mengingati Allah s.w.t. apatah lagi perkara-perkara maksiat. Janganlah hendaknya selepas selesai sebulan puasa, terus disambung dengan aktiviti dan perkara-perkara maksiat.. tapi isilah dengan pengisian-pengisian yang membawa kita ingat kepada Allah seperti takbir, solat malam, solat dan khutbah raya, ziarah menziarahi kerana Allah, infak dan sedekah dan sebagainya..
  • Ia juga mengajar kita agar tidak bersikap lupa diri atau besar diri dengan menganggap bahawa segala kebaikan itu hanyalah disebabkan kekekuatan dan kehebatan diri kita semata-mata. Sedarlah, bahawa tanpa taufik dan hidayah, tanpa kemudahan yang dilorongkan oleh Allah belum tentu kita mampu mencapai kedudukan dan martabat kebajikan yang kita lakukan. Di sinilah pentingnya sifat tawadhuk. Sekiranya kita menjadi orang yang alim, kita tidak cepat memandang hina dan rendah keilmuan orang lain. Janganlah kita menyangka hanya kita sahajalah yang betul, orang lain semuanya salah. Hadith yang kita sampaikan sahajalah yang sahih sedangkan hadith yang dipegang oleh orang lain semuanya dhaif dan maudhuk. Hukum yang kita pegang sahajalah yang paling menepati nas sedangkan orang lain semua salah. Belajarlah untuk menghormati orang lain. Kadang-kadang yang di hadapan kita itu mungkin lebih berilmu dari kita. Wallahu A’lam. Kalau kita diberi kurnia pangkat dan kuasa, janganlah lupa diri sehingga pangkat dan kuasa menjadikan kita membelakangi syariat Allah dan berlaku zalim kepada sesama insan. Ingatlah, bahawa Allah-lah pemilik bagi segala kekuasaan!
  • Menginsafi bahawa sebahagian dari kebaikan yang kita perolehi adalah kerana taufik dan hidayah Allah s.w.t. menyebabkan kita tidak cepat memandang kotor dan jijik kepada golongan yang belum mendapat hidayah dan belum berada di dalam nikmat kebaikan. Keinsafan ini sepatutnya menimbulkan satu kesedaran dan keinginan kepada kita untuk bersungguh-sungguh berkongsi nikmat iman dan islam tersebut dengan mereka. Lantaran itulah DAKWAH di syariatkan dan boleh diusahakan dengan pendekatan yang pelbagai mencakupi nasihat-menasihati, membina hubungan baik dalam pergaulan, menunjukkan teladan dan sebagainya…

Demikianlah serba sedikit coretan saya di penghujung Ramadhan ini. Semoga amalan kita di sepanjang Ramadhan diterima Allah s.w.t. dan.. SELAMAT MENYAMBUT EIDIL FITRI.. MAAF ZAHIR BATIN!

Wednesday, September 09, 2009

10 Tanggungjawab Kita Dengan Al-Qur’an



1. Mendengar Seruan Al-Qur’an

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-A’raff : 204]

2. Membaca Al-Qur’an

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran” [Al-Ankabut : 45]

3. Mentadabbur (memperhatikan isi) Al-Qur’an

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” [Muhammad : 24]

4. Mengimani Keseluruhan Al-Qur’an

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ

“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman;”[Al-Baqarah : 285]

5. Menjadikan Al-Qur’an Kitab Rujukan dan Panduan

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa;”

6. Berpegang Teguh Dengan Al-Quran

فَاسْتَمْسِكْ بِالَّذِي أُوحِيَ إِلَيْكَ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

“Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.” [Az-Zukhruf : 43]

7. Mengikut (Melaksana) Ajaran Al-Quran

فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” [Al-A’raaf : 157]

8. Menyampaikan Risalah Ajaran Al-Qur’an

الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالَاتِ اللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ ۗ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ حَسِيبًا

“orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” [ Al-Ahzab : 39]

9. Tidak Menyembunyikan Isi Al-Quran

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَىٰ مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ ۙ أُولَٰئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” [Al-Baqarah : 159]

10. Memiliki Hubungan Hati Yang Sangat Mendalam Dengan Al-Quran

وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَىٰ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ ۖ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ

“Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).” [Al-Maidah : 83]