Friday, February 08, 2013

Khutbah Jumaat 8 Februari 2013


KHUTBAH : KERAS PADA KAFIR, LEMBUT SESAMA ISLAM

HADIRIN SOLAT JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Terlebih dahulu saya berpesan kepada diri saya dan kepada tuan-tuan sekalian, bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taqwa, memenuhi detik masa dalam kehidupan dengan amal soleh, melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi laranganNya, lantaran kehidupan ini sangat singkat dan menipu daya sedangkan kematian itu suisnya tidak di tangan kita.

Di antara kejayaan penjajah British sebelum meninggalkan tanahair kita ialah membawa masuk beramai-ramai bangsa asing yang kemudiannya diberi taraf menjadi warganegara dengan mudah. Namun liciknya British ialah apabila ia memisahkan setiap suku kaum itu di tempat yang berbeza kerana mereka sangat memahami tabiat Islam yang bersifat menyerap dan menarik.

Kaum melayu menjadi petani, penternak dan nelayan di kampung2, kaum cina di pekan2 dan bandar, sementara kaum india menjadi buruh di astet. British faham bahawa jika dibiarkan kaum cina dan india tinggal bersama dan berhampiran orang melayu Islam, maka mereka lama ke lamaan dibimbangi akan tertarik dengan islam dan kemudiannya memeluk Islam. Ini adalah sesuatu yang sangat ditakuti oleh British. Sebab itu mereka mesti diasingkan.

Di samping itu, strategi membawa masuk pendatang asing beramai-ramai, kemudiannya diberi kerakyatan dengan secara mudah agar peratus melayu Islam tidak terlalu ramai pada masa akan datang dan apabila peratus melayu Islam tidak besar majoritinya, maka pelaksanaan syariat Islam yang pernah menjadi undang-undang di negeri-negeri tanah Melayu akan menjadi tidak relevan dalam masyarakat berbilang kaum itu.

Inilah pendekatan British yang kita sedia maklum beragama kristian dan beragendakan agenda zionis yahudi di belakang mereka yang mencetuskan perang dunia kedua, menjajah dan menguasai Negara-negara umat Islam dengan melaksanakan pendekatan pecah dan perintah. Inilah strategik Firaun untuk menguasai rakyatnya dengan memecah-belahkan rakyatnya di antara bangsa qibti dan bani Israel. Firman Allah s.w.t. :

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan.” [Surah Al-Qasas : Ayat 4]

HADIRIN SOLAT JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Agenda pecah dan perintah British itu sepertinya berjaya apabila kita melihat hingga ke hari ini, kesan dari pengasingan penempatan itu menghasilkan perbezaan taraf sosio-ekonomi antara kaum yang berbeza. Hasilnya timbullah curiga dan prejudis yang menebal dan berpanjangan di antara kaum di tanahair kita. Cina beranggapan Melayu sebagai penindas, Melayu beranggapan Cina sebagai ancaman, India beranggapan Cina dan Melayu memperhambakan mereka. Masing-masing berusaha bangkit dengan prasangka yang buruk di antara satu sama lain.

Lebih mendukacitakan ialah, ada orang melayu atau pertubuhan melayu Islam yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran bagi memperbesarkan lagi agenda pecah dan perintah ini. Mereka menyeru kepada kekerasan dan ketegasan terhadap bukan melayu dengan memetik Firman Allah s.w.t. ayat 29 surah Al-Fath :

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).”

Dengan ayat ini mereka menyeru ; “Kita kena bersikap tegas dan keras kepada orang kafir dan bersikap lunak dan lembut kepada sesama melayu Islam” “Tak boleh kita berbuat baik, bekerjasama dan berkawan dengan orang kafir dalam masa yang sama kita berkasar dan berbalah sesama orang-orang Islam” Sekali dengar sepertinya seruan itu bertepatan dengan ayat di atas, tetapi hakikatnya menafsirkan ayat tersebut secara literal dan umum tanpa menerangkan keseluruhan bab tersebut dalam ajaran islam adalah satu tindakan yang terburu-buru, melampau dan tidak rasional!

Benarkah Islam mengajar kita agar berkeras dan bertegas setiap ketika dengan setiap non-muslim tanpa ada pengkhususan dan pengecualian? Dan benarkah Islam menyuruh kita agar sentiasa sepanjang masa bersikap lunak dan lembut dengan semua orang Islam tanpa ada pengecualian dan pengkhususan?

Apabila kita meneliti secara menyeluruh nas-nas Al-Quran dan Hadith, kita akan mendapati sikap menggunakan dalil tersebut secara literal dan umum untuk menghalalkan sikap keras dan tegas kepada non muslim adalah silap. Ia sangat bercanggah dengan ajaran Islam sebagai Rahmat Buat Seluruh Alam. Secara mudahnya, kita bahagikan dalil surah Al-Fath ayat 29 tersebut kepada 2 isu :

Yang pertama ; keras dan tegas dengan non-muslim,
Yang keduanya ; bersikap penyayang dan lunak sesama muslim,
Marilah di kesempatan ini, kita lihat dan teliti satu persatu.

Yang pertama, keras dan tegas terhadap non-muslim.

HADIRIN SOLAT JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Logikkah untuk kita mendakwa bahawa Islam bersikap keras dan tegas kepada orang kafir atau non-muslim kerana semata-mata dia kafir? Jawapannya ialah tidak logik kerana ia akan menimbulkan kecelaruan dalam melaksanakan banyak perintah syarak. Sebagai contoh, firman Allah s.w.t :

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…” (Surah Luqman, ayat 15)

Dalam ayat ini, Allah melarang kita dari memenuhi desakan ibu-bapa kepada kekufuran (mensyirikkan Allah), namun dalam pada itu Allah tetap memerintahkan agar kita bergaul dengan mereka di dunia secara baik.

Berkata Imam al-Qurthubi – dalam mengulas ayat tersebut -; “Ayat ini menjadi dalil kepada tuntutan supaya mengikat hubungan dengan dua ibu-bapa yang kafir termasuk menafkahi mereka –mengikut yang terdaya- jika mereka miskin, bercakap lembut dengan mereka dan mengajak mereka kepada Islam dengan bahasa yang manis” (Tafsir al-Qurthubi, surah Luqman, ayat 15).

Jika kita memahami bahawa mesti berkeras kepada orang kafir, bagaimana untuk mengaplikasi perintah berlembut dan berbuat baik kepada ibu bapa yang masih kafir dalam ayat ini?

HADIRIN SOLAT JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Seterusnya firman Allah s.w.t. :

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)”. [At-Taubah : 6]

Ayat ini juga jelas bercanggah dengan kefahaman yang mengatakan - mesti bersikap keras dan tegas kepada kafir.
  
Di sana banyak lagi nas yang menjadi dalil bahawa Islam pada asasnya tidak menuntut kita bersikap keras dan tegas kepada orang kafir atau non-muslim. Di antaranya ialah hukum berkaitan harus orang Islam lelaki menikahi wanita ahli kitab yang sudah semestinya non-muslim, hukum keharusan makan dari sembelihan ahli kitab, perintah Allah s.w.t. agar tidak berdialog atau berdebat dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang paling baik, ancaman Nabi s.a.w. kepada sesiapa yang membunuh dan menyakiti kafir zimmi atau kafir mu’ahid iaitu kafir yang duduk di bawah pemerintahan islam dan kafir yang mengadakan perjanjian dengan Islam.

Demikian juga suruhan Allah agar kita berlaku adil kepada sesama manusia malah Nabi s.a.w. sendiri sangat bersikap lunak kepada Abu Talib dan Abbas bin Abdul Mutallib ketika mana mereka kafir serta tidak tergambar dalam benak fikiran kita Nabi s.a.w. akan bersikap kasar dan keras kepada non muslim semata-mata kerana mereka kafir kerana jika bersikap kasar dan tegas, bagaimana Nabi s.a.w. boleh menyampaikan Islam dan menarik mereka semuanya kepada Islam!

Lebih menarik sebenarnya, ayat 29 surah Al-Fath yang dijadikan dalil hendaklah berlaku keras kepada orang kafir itu sendiri adalah satu ayat dari surah Al-Fath. Surah Al-Fathu adalah surah yang turun antara lainnya berkaitan perjanjian Hudaibiyyah. Walau pun ia menceritakan tentang peristiwa pembukaan Mekah, tetapi cerita itu disampaikan sejurus selepas perjanjian Hudaibyyah sebagai satu berita gembira kemenangan Islam hasil dari strategik Nabi s.a.w. dalam perjanjian Hudaibiyyah.

Apa yang berlaku dalam perjanjian Hudaibiyyah? Nabi s.a.w. telah mengadakan satu perjanjian damai, genjatan senjata dengan orang kafir dari kalangan musuh Allah s.w.t. sehingga Nabi s.a.w. dilihat zahirnya mengalah dalam beberapa perkara yang tidak melibatkan prinsip dengan memadamkan nama Allah Ar-Rahmannir Rahim dalam Bismillah dan menukar Muhammad Rasulullah kepada Muhammad Ibn Abdullah dalam kertas perjanjian atas permintaan wakil kafir Quraisy.

HADIRIN SOLAT JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Perkara yang kedua dalam ayat tersebut ialah ; Bersikap lunak dan pengasih kepada sesama Islam.

Kita bersetuju bahawa jika pergaulan dengan non-muslim itu asasnya ialah dengan rahmat atau lunak, apatah lagi dalam pergaulan dengan sesama muslim. Hubungan sesama Islam adalah hubungan aqidah dan persaudaraan. Namun, adakah semua muslim atau di sana ada pengecualian? Jawapannya ialah ada pengecualian. Firman Allah s.w.t. :

Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka dan (sebenarnya) tempat mereka ialah Neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. [At-Tahrim : 9]

Ayat ini menyuruh kita berjihad menentang orang kafir dan orang munafiq. Siapakah orang munafiq. Orang munafik ialah orang yang zahirnya Islam. Kita dituntut menentang mereka walaupun mereka Islam. Bagaimana untuk mengenali mereka agar tuntutan ayat ini dapat dilaksana sedangkan mereka orang Islam zahirnya dan bersama-sama dalam masyarakat islam?

Allah s.w.t. tidak akan mengarahkan kita menentang mereka jika mereka tidak dapat dikenali. Mereka adalah syaitan-syaitan yang dikenali. Di dalam Al-Quran dan hadith2 Nabi s.a.w. sangat banyak ayat2 yang membongkar akan sifat-sifat mereka. Sehingga terdapat satu surah di dalam Al-Quran yang dinamakan surah Al-Munafiqun.

Di antara sifat mereka ialah suka berjanji dan berbohong, khianat di atas amanah yang diberikan, apabila mereka melaksanakan perintah agama, mereka melaksanakannya dalam keadaan tidak bersungguh, acuh tak acuh, tetapi mengwarwarkan secara meluas kononnya merekalah contoh  Islam yang terbaik. Budaya hidup mereka ialah penuh dengan aktiviti yang melalaikan, hiburan demi hiburan, keseronokan demi keseronokan berbanding ingat kepada Allah, bersungguh-sungguh menghalang manusia dari jalan Allah, samada menyekat kebebasan suara Islam yang syumul, menggunakan kuasa dan pengaruh menghalang kebenaran dari tersebar, menyempitkan ruang bersuara dan lain-lain lagi. Golongan Islam munafiq ini jauh lebih merbahaya dari golongan kafir yang memusuhi Islam kerana golongan kafir iru jelas dan terang kerana mudah dikenali, tetapi golongan munafik ini mengelirukan kerana mereka orang Islam pada zahirnya. Firman Allah s.w.t. :

Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. [An-Nisaa': Ayat 145]

Selain dari munafiq, di sana ada dalil yang jelas menyebut tentang tuntutan menentang segolongan orang Islam yang melampaui batas dan tidak mahu kembali kepada suruhan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. :

Dan jika dua golongan dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [Al-Hujurat : Ayat 9]

Ayat ini adalah suruhan Allah untuk memperdamaikan di antara dua golongan mukmin yang bertelingkah.

Dalam pengadilan perbalahan tersebut, wajarlah kedua-dua belah pihak dibenarkan memberi keterangan dan pembelaan diri masing-masing secara adil. Namun kita disuruh untuk memerangi jika salah satu pihak bertindak zalim samada zalim dengan cara menghalang pihak yang lain menyatakan hujjah, tidak memberi ruang yang samarata, menyekat sebelah pihak untuk membela diri sedang pihak mereka bertubi-tubi menyerang dan membela diri melalui segala ruang dan peluang yang ada, kemudian apabila diajak bermuzakarah agar menilai siapa yang salah dan siapa yang benar menurut Al-Quran dan Sunnah mereka menolak. Golongan yang membelakangi perintah Allah dan zalim ini, wajib ditentang.

Itulah di antara dalil-dalil dan keterangan yang menyeluruh terhadap ayat 29 surah Al-Fath tersebut. Kesimpulannya, Islam tidak mengajar umatnya memerangi, bersikap tegas dan keras kepada sesiapa sahaja samada Islam atau bukan Islam semata-mata kerana agamanya apatah lagi kaumnya. Penentangan dan pertembungan dalam Islam adalah kepada sesiapa sahaja samada muslim atau non-muslim yang jelas bersikap memerangi orang islam kerana agamanya, serta berbuat zalim kepada sesama manusia. Firman Allah s.w.t. ayat 9 surah Al-Mumtahanah :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”