Wednesday, December 23, 2009

Catatan Santai - Berkongsi Rasa Tawadhuk 2

Adik-adikku barisan pemuda pemudi yang telah membariskan dirinya di jalan dakwah..

4. Banyakkan membaca atsar para salafussoleh yang menggambarkan ketakutan mereka terhadap fitnah kemasyhuran, kemegahan, besar diri, sum'ah dan riyak. Antaranya :

Sulaim bin Hanzalah pernah berkata ; " Ketika kami berada di samping Ubai Bin Kaab (seorang yang sangat alim dari kalangan sahabat) dan berjalan di belakangnya, apabila Umar melihat, beliau (Umar) memukulnya dengan cemeti." Maka Ubai bertanya : " Wahai Amirul Mukminin, apa yang telah kamu lakukan?" Umar menjawab : "Ini (perbuatan mereka mengikut belakang Ubai), adalah penghinaan terhadap pengikut dan fitnah terhadap orang yang diikut".

Al-Hasan berkata : Pada suatu hari, Ibnu Mas'ud keluar dari rumahnya lalu ia diikuti oleh beberapa manusia. Ia berpaling kepada mereka lalu berkata : "Kenapa kamu semua mengikuti aku? Demi Tuhan, sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di sebalik pintu rumahku yang berkunci, nescaya tiada seorang pun yang akan mengikuti aku."

sambung lagi...

Saturday, November 28, 2009

Ancaman Dalam Perjuangan



al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna telah mengingatkan kepada seluruh anggota Al-Ikhwan apabila beliau berkata:

“Saya tidak bimbangkan keadaan kamu dan ancaman musuh- musuh Islam, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah diri kamu sendiri. Saya tidak takutkan ancaman orang orang Inggeris terhadap kamu, atau orang Amerika atau Rusia atau lainnya. Yang saya takutkan ialah kamu melakukan dua perkara:

(a) Kamu mengenepikan Allah, lalu Allah mengenepikan kamu;

(b) Kamu berpecah belah sesama sendiri, maka kamu tidak akan berguna lagi

[Diungkapkan semula oleh Dr. Yusuf al-Qardawi dalam Harakah Islamiyyah ; Suatu Tuntutan, Shah Alam: KPIITM, 1981, hal. 30-31]

Thursday, November 12, 2009

Catatan Santai - Berkongsi Rasa Tawadhuk

Adik-adikku, barisan pemuda/i yang telah membariskan dirinya di jalan dakwah...

Terdetik rasa hati di petang ini untuk mencatatkan beberapa perkara sebagai perkongsian santai bersama untuk tidak menghampakan pengunjung blog ini khususnya kalian yang cintakan dakwah.

Mari kita berbicara tentang sifat TAWADHUK. Masih terbayang-bayang di tirai kenangan sewaktu perpisahan dengan seorang guru yang sedikit sebanyak memberi kesan dalam proses pembinaan jiwa saya ketika pengajian di peringkat diploma dahulu. Beliau datang hanya seketika, hadir bersama sentuhan halus seorang pendidik. Sangat bersahaja tetapi amat terasa sentuhan dan kalimah nasihat yang disampaikannya. Ketika mengiringinya di terminal bas Kuantan, setelah bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain, beliau menyampaikan kalimah akhirah yang masih ku ingat sehingga kini. Katanya ; "Ingat pesan ana ni molek-molek. Jika antum semua ditakdirkan Allah s.w.t. menjadi orang yang alim, jadilah orang alim yang tawadhuk"

TAWADHUK lawannya TAKABBUR. Takabbur adalah sifat Syaitan yang menjadikan ia kafir kepada Allah .s.w.t. semata-mata kerana merasakan dia lebih hebat dari Adam a.s. Adam dicipta dari tanah sedangkan ia dicipta dari api. Takabbur menghasilkan HASAD atau dengki. Hasad adalah penyakit tertua di dunia yang diwarisi oleh manusia dari Syaitan. Hasad inilah sifat yang menguasai Qabil hingga dia nekad membunuh Habil. Hasad ini jugalah penyakit yang diwarisi oleh pembesar Yahudi sehingga menolak kenabian Nabi Muhammad s.a.w. lantaran Baginda dipilih dari bangsa Arab bukan dari bangsa Yahudi seperti harapan mereka, walaupun mereka sangat kenal dengan sifat dan perwatakan kenabian Nabi Muhammad s.a.w. lebih dari mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Sementelah lagi Arab dan Yahudi adalah bangsa yang datang dari titisan yang sama, warisan Ibrahim a.s.

Bagaimana untuk mendidik jiwa Tawadhuk? Di kesempatan yang ringkas ini, saya kongsikan beberapa tips :

1. Kenal hakikat diri dan hakikat Pencipta. Jika kita tahu dan sedar siapa diri kita dan betapa berhajatnya kita kepada Allah s.w.t., maka tiada sebab untuk kita merasa besar diri. Setiap udara yang kita hidup, setiap urat saraf dan sendi yang bergerak semua berlaku dengan izin Allah s.w.t. Kita cerdik, kerana akal yang sempurna kurniaan Allah. Kita petah berhujjah kerana lidah fasih kurniaan Allah, kita rajin dan ringan tulang kerana tubuh yang sihat pemberian Allah s.w.t. Semuanya dari Allah dan milik Allah. lalu bagaimana kita boleh rasa besar diri? La hawla wa la quwwata illa bilLah Al-Aliy Al-Azhim.

2. Ketika dipuji oleh orang lain, beristighfarlah dan wujudkan rasa malu terhadap Allah s.w.t. dan diri sendiri. Bisikkan pada diri, "Ya Allah, mereka puji aku semata-mata kerana menilai zahirku, kalaulah mereka mengetahui batinku, rahsiaku dan apa yang tersembunyi dari dosa-dosa silam dan keburukanku, pasti mereka tidak akan berberbuat demikian. Mereka tak tahu, tapi aku tahu dan Allah Maha Mengetahui. Ya Allah, peliharalah hatiku"

3. Rasakan dalam diri bahawa sesiapa sahaja yang kita temui samada kanak-kanak, remaja, orang tua, berpendidikan rendah, sederhana, tinggi atau pun tidak berpendidikan mungkin jauh lebih baik dari kita walaupun kita ini dihormati di mata mereka. Wujudkan sangkaan mungkin ilmunya lebih tinggi, akhlaknya lebih mulia, ibadahnya lebih banyak dan hubungannya dengan Allah mungkin lebih rapat dari kita.

Setakat ini dulu, nanti kalau ada kelapangan sambung lagi... 5.41 petang

Sunday, October 25, 2009

BERKASIHKAH KITA?



Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat 54 ; "Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang berpaling dari kalangan kamu dari agamanya, kelak Allah akan mendatangkan satu kaum (golongan) yang (sifatnya) Dia (Allah) mencintai mereka dan mereka mencintai Allah...."

Ayat ini dan dua ayat selepasnya adalah ayat yang menggariskan tentang ciri-ciri tentera Allah (hizbullah). Ciri yang pertama ialah ciri yang disebutkan di dalam ayat tersebut iaitu - Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah. Jika kita mentadabbur Al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w, kita akan bertemu dengan banyak dan pelbagai jalan untuk menggapai cinta Allah s.w.t. antaranya ialah Hadith Nabi s.a.w. di bawah ini yang bermaksud ;

Abu Hurairah r.a. berkata ; bersabda Nabi s.a.w. ; "Ada seorang lelaki menziarahi temannya di sebuah kampung yang lain, maka Allah mengutuskan seorang Malaikat (dengan berupa manusia) menahanya di tengah jalan dan ketika bertemu, Malaikat itu bertanya ; Engkau hendak ke mana? Jawabnya ; Aku hendak bertemu saudaraku di kampung ini. Maka ditanya ; Adakah dia ada berbudi kepadamu hingga kamu terhutang budi padanya? Jawabnya ; Tidak, (tiada sebab lain) melainkan sesungguhnya aku mengasihinya semata-mata kerana Allah. Berkata Malaikat itu ; Maka sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, (untuk menyampaikan) bahawa Allah sesungguhnya mengasihimu sebagaimana kamu kasih kepada saudaramu keranaNya (Allah)" - HR Imam Muslim

Hadith ini antara hadith yang boleh menjadi motivasi kepada kita untuk menghadiri program-program dakwah, tarbiyah dan perjuangan samada usrah, tamrin, mukhayyam, liqa' fikri, mabit, ijtimah, ziarah dan sebagainya. Selain dari manfaat peningkatan ilmu, pengalaman, ukhuwwah dan sebagainya, pertemuan-pertemuan kerana Allah itu sebenarnya mengundang KASIH ALLAH kepada kita. Dengan syarat, pertemuan itu hendaklah semata-mata kerena Allah s.w.t. dan kasihnya kita kepada saudara itu juga hendaklah kerena Allah s.w.t.

Inilah di antara proses pembinaan yang perlu kita berikan perhatian. BERTEMU KERANA ALLAH. MENJALIN BEBENANG UKHUWWAH KERANA ALLAH. Untuk mencapai hasrat tersebut, aktiviti yang melibatkan pertemuan mesti dikerapkan. Lebih kerap bertemu, lebih mendalam perkenalannya, lebih hangat bahang cintanya dan lebih kasih Allah pada kita...

Saudara yang saling berkasih kerana Allah, akan menjaga tutur kata dan tingkah lakunya dari mengguris atau melukakan saudaranya sendiri.... SOALNYA, BERKASIHKAH KITA?

Monday, September 21, 2009

Catatan Hujung Ramadhan ; Tiada Daya & Upaya Tanpa Allah...


Alhamdulillah, kita sudah tiba di hari terakhir Ramadhan (ketika artikel ini ditulis). Dalam kesempatan ini, saya ingin mengajak kita semua melihat bagaimana Allah s.w.t. menutup ayat 185 dari Surah Al-Baqarah dengan firmanNya :

وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن


Yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”


Ayat 185 surah Al-Baqarah adalah sambungan kepada ayat sebelumnya yang menjelaskan pada awalnya tentang bulan Ramadhan adalah hari-hari tertentu yang difardhukan kita berpuasa. Kemudian dijelaskan kelebihan bulan Ramadhan sebagai bulan diturunkan padanya Al-Quran yang berfungsi sebagai petunjuk kepada manusia, keterangan yang jelas kepada petunjuk serta pembeza di antara hak dan bathil.


Selanjutnya Allah s.w.t. menyebut tentang kelonggaran tidak berpuasa yang diberikan kepada orang yang sakit atau musafir dengan digantikan pada hari yang lain (selain bulan Ramadhan) sebagai bukti kemudahan islam dan Allah tidak ingin menyusahkan manusia agar mereka dapat menyempurnakan bilangan hari puasa mereka.. dan agar mereka mengagungkan Allah s.w.t. (ingat Allah) di atas hidayah yang dikurniakan ke atas mereka (hidayah mampu menyempurnakan ibadah puasa) dan semoga mereka bersyukur.


Sengaja saya bold-kan perenggan terakhir keterangan di atas. Inilah titik tumpuan perbincangan kita. Allah s.w.t. menghendaki agar kita mengagungkannya (ingat kepada Allah) sebaik sahaja kita selesai menyempurnakan sesuatu ibadah. Nada anjuran seumpama ini tidak sahaja terdapat pada ibadah puasa, tetapi juga pada ibadah-ibadah yang lain. Antaranya ialah ;

  • Ibadah Solat – firman Allah s.w.t. yang mafhumnya ; “Maka apabila kamu telah menyelesaikan shalat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring…” [An-Nisaa’:103]
  • Ibadah Solat Jumaat - firman Allah s.w.t. yang mafhumnya ; “Apabila telah ditunaikan shalat (Jumaat), maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.” [Al-Jumuah:10]
  • Ibadah Haji - firman Allah s.w.t. yang mafhumnya ; Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah dengan menyebut Allah..” [Al-Baqarah:200]
  • Ibadah Jihad - firman Allah s.w.t. yang mafhumnya ; Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat” [An-Nashr:1-3]

Ayat-ayat di atas juga menjelaskan kepada kita akan saranan Allah s.w.t. agar segera ingat kepada Allah s.w.t. apabila selesai melakukan sesuatu kebaikan atau amal ibadah termasuklah ibadah puasa. Untuk apakah perlunya ingat kepada Allah s.w.t. setelah berjaya menyempurnakan sesuatu ibadah? Antara hikmahnya ialah ;

  • Semoga manusia tidak cepat lupa diri dan menginsafi bahawa kebaikan yang berhasil dilakukan atau diperolehi bukanlah disebabkan oleh kekuatan dirinya semata-mata melainkan kerana taufik dan hidayah Allah s.w.t. Tiada daya dan upaya kita tanpa Allah s.w.t. Alhamdulillah kerana kita tidak diuji oleh Allah dengan ujian yang tidak mampu kita tanggung. Ada orang yang gagal atau belum dapat menyempurnakan kebaikan lantaran mereka diuji dengan ujian-ujian yang pelbagai. Ada yang diuji dengan ibu bapa yang bermasaalah, ada yang diuji dengan anak isteri yang melalaikan, ada yang diuji dengan teman-teman yang merosakkan, ada yang diuji dengan pangkat dan kedudukan yang menjauhkan mereka dari beramal, ada yang diuji dengan tekanan dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, kita dipermudahkan oleh Allah untuk melalui jalan kebaikan..
  • Agar sesuatu kejayaan dalam melaksanakan kebaikan diisi dengan pengisian kebaikan juga sebagai tanda kesyukuran dan penerusan. Semoga kebaikan tidak terhenti apabila sesuatu ibadah telah dapat disempurnakan dan semoga sesuatu kejayaan dalam menunaikan sesuatu ibadah itu tidak diisi dengan perkara yang menjauhkan manusia dari mengingati Allah s.w.t. apatah lagi perkara-perkara maksiat. Janganlah hendaknya selepas selesai sebulan puasa, terus disambung dengan aktiviti dan perkara-perkara maksiat.. tapi isilah dengan pengisian-pengisian yang membawa kita ingat kepada Allah seperti takbir, solat malam, solat dan khutbah raya, ziarah menziarahi kerana Allah, infak dan sedekah dan sebagainya..
  • Ia juga mengajar kita agar tidak bersikap lupa diri atau besar diri dengan menganggap bahawa segala kebaikan itu hanyalah disebabkan kekekuatan dan kehebatan diri kita semata-mata. Sedarlah, bahawa tanpa taufik dan hidayah, tanpa kemudahan yang dilorongkan oleh Allah belum tentu kita mampu mencapai kedudukan dan martabat kebajikan yang kita lakukan. Di sinilah pentingnya sifat tawadhuk. Sekiranya kita menjadi orang yang alim, kita tidak cepat memandang hina dan rendah keilmuan orang lain. Janganlah kita menyangka hanya kita sahajalah yang betul, orang lain semuanya salah. Hadith yang kita sampaikan sahajalah yang sahih sedangkan hadith yang dipegang oleh orang lain semuanya dhaif dan maudhuk. Hukum yang kita pegang sahajalah yang paling menepati nas sedangkan orang lain semua salah. Belajarlah untuk menghormati orang lain. Kadang-kadang yang di hadapan kita itu mungkin lebih berilmu dari kita. Wallahu A’lam. Kalau kita diberi kurnia pangkat dan kuasa, janganlah lupa diri sehingga pangkat dan kuasa menjadikan kita membelakangi syariat Allah dan berlaku zalim kepada sesama insan. Ingatlah, bahawa Allah-lah pemilik bagi segala kekuasaan!
  • Menginsafi bahawa sebahagian dari kebaikan yang kita perolehi adalah kerana taufik dan hidayah Allah s.w.t. menyebabkan kita tidak cepat memandang kotor dan jijik kepada golongan yang belum mendapat hidayah dan belum berada di dalam nikmat kebaikan. Keinsafan ini sepatutnya menimbulkan satu kesedaran dan keinginan kepada kita untuk bersungguh-sungguh berkongsi nikmat iman dan islam tersebut dengan mereka. Lantaran itulah DAKWAH di syariatkan dan boleh diusahakan dengan pendekatan yang pelbagai mencakupi nasihat-menasihati, membina hubungan baik dalam pergaulan, menunjukkan teladan dan sebagainya…

Demikianlah serba sedikit coretan saya di penghujung Ramadhan ini. Semoga amalan kita di sepanjang Ramadhan diterima Allah s.w.t. dan.. SELAMAT MENYAMBUT EIDIL FITRI.. MAAF ZAHIR BATIN!

Wednesday, September 09, 2009

10 Tanggungjawab Kita Dengan Al-Qur’an



1. Mendengar Seruan Al-Qur’an

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-A’raff : 204]

2. Membaca Al-Qur’an

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran” [Al-Ankabut : 45]

3. Mentadabbur (memperhatikan isi) Al-Qur’an

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” [Muhammad : 24]

4. Mengimani Keseluruhan Al-Qur’an

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ

“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman;”[Al-Baqarah : 285]

5. Menjadikan Al-Qur’an Kitab Rujukan dan Panduan

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa;”

6. Berpegang Teguh Dengan Al-Quran

فَاسْتَمْسِكْ بِالَّذِي أُوحِيَ إِلَيْكَ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

“Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.” [Az-Zukhruf : 43]

7. Mengikut (Melaksana) Ajaran Al-Quran

فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” [Al-A’raaf : 157]

8. Menyampaikan Risalah Ajaran Al-Qur’an

الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالَاتِ اللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ ۗ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ حَسِيبًا

“orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” [ Al-Ahzab : 39]

9. Tidak Menyembunyikan Isi Al-Quran

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَىٰ مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ ۙ أُولَٰئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” [Al-Baqarah : 159]

10. Memiliki Hubungan Hati Yang Sangat Mendalam Dengan Al-Quran

وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَىٰ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ ۖ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ

“Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).” [Al-Maidah : 83]


Wednesday, August 12, 2009

TIKA MENDUNG DI SENJA KALA


Catatan Santai Di Senja Kala 11.8.2009

Hujan yang turun sepetang ini, bermula seusai detik menunggu asar, mengundang mendung hingga ke senja. Memang semenjak dulu lagi, suasana mendung di kala senja hampir menjengah, sering saja menjentik rasa damai dan syahdu dalam diriku.

Sejak dulu lagi… ketika mengintai di tabir asrama Ihsan (sekolahku), mendung di senja kala mengundang semacam satu rasa.. bisa sahaja menghanyutkan gelora jiwa remaja yang sering berfantasi, berimaginasi… Alhamdulillah, gelora ketika itu beradun tiupan bayu dakwah islamiyah!

Sejak dulu lagi… ketika bermenung di bumbung Masjid Negeri (diploma tahfiz) melepas lelah, sesudah lenguh mengulang hafal mutiara bait-bait Al-Qur’an, mendung di senja kala mengundang satu rasa… tenang… Alhamdulillah, damai bercampur lesu itu beradun khibrah (pengalaman) memperkasa jiwa…

Demikianlah, sejak dulu lagi… ketika bersendirian di musim sejuk, sesekali menikmati mendung senja kala di celahan debu-debu Kaherah (Mesir), bumi ilmu dan perjuangan. Terasa indah, nyaman.. Alhamdulillah, keindahan itu berbaur nafas perjuangan.. Usrah, muzakarah berkelompok, serambi, madrasah, ijtimak nuqabak, kolokium fikir, mukhayyan, kuliah talaqqi dan segala-galanya itu adalah memori yang sangat indah dan terpahat di hati… Tanpa kenangan sesingkat 3 tahun itu, entah bagaimana aku di hari ini…

Alhamdulillah, kedamaian dan kesyahduan itu kembali menyentuh lagi ulu hatiku, di kala senja 11 Ogos ini.. ketika bersiap mengulangkaji kitab untuk kuliah maghrib di bilik pejabat… langit itu mendung lagi… rasa damai itu menarik ingatanku kepada adik-adik alumni Sahabat Masjid yang telah meninggalkan bumi UMP. Kenangan bersama menggerakkan usaha dakwah di kampus UMP tersingkap satu demi satu… Habis bukit di daki, ombak diharungi, sungai direnangi, pulau ditakluki untuk membina kekuatan jiwa dan penghayatan nilai buat warga UMP khususnya siswa/i. Ada kenangan yang indah, manis, sedih, luka, lucu dan pelbagai..

Agar tidak semakin jauh, hati ini hanyut dengan memori silam itu.. ku utuskan sms buat kalian. Maaf jika tidak termesej pada semuanya lantaran memori simpanan telefon yang sangat terhad. Di sini kupaparkan sms tersebut – “SESEKALI MENDUNG DI SENJA KALA, KENANGAN MANIS BERSAMA MENJENGAH TIBA, MOGA KALIAN SUKSES WALAU DI MANA”

Ada yang telah beristeri, ada yang telah bersuami, ada yang telah berkerjaya, ada yang masih mencari kerja… pesanku hanya satu.. JANGAN DILUPA PADA SEGALA KENANGAN KETIKA BERSAMA! LANTARAN BERSAMANYA ADA KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB YANG MESTI DILAKSANA…. Semoga Allah memelihara kalian..

Wednesday, July 08, 2009

Solat Tiang Agama

Assalamualaikum wrt wbt

Alhamdulillah, sepanjang cuti semester yang lepas, saya sempat menjalankan 3 siri Klinik Kesempurnaan Solat yang melibatkan penyertaan lebih kurang 30 orang staf UMP bagi setiap siri. Had penyertaan tersebut adalah berdasarkan kapasiti bilangan kerusi meja di Bilik Latihan Masjid UMP yang hanya memuatkan sekitar tersebut.

Modul yang ditawarkan di dalam klinik tersebut ialah :

1-Kesedaran & Penghayatan Solat
2-Asas Bersuci, Wudhuk, Tayammum
3-Asas Solat (Syarat, Rukun, Sunat, Pembatal)
4-Permasalahan Solat Berjamaah
5-Kesempurnaan Solat

Modul yang tidak sempat dibentangkan di ketiga-tiga klinik tersebut ialah Modul Solat Jamak dan Qasar lantaran masa yang terhad. InsyaAllah, dalam cuti semester berikutnya akan diadakan Klinik Khas Kecemerlangan Solat yang menumpukan secara khusus tentang permasalahan tersebut. Mungkin kesemua peserta ketiga-tiga kilinik yang lepas akan digabungkan, insyaAllah.

Walaupun klinik yang telah diadakan peratus pengisiannya banyak berkaitan dengan hukuk-hakam solat, tetapi saya turut menyelitkan beberapa perkara yang berkaitan penghayatan dan kesedaran tentang peripentingnya hubungan yang teguh dan kuat dengan Allah s.w.t. Punca kepada sumbang dan terselewengnya kehidupan sebahagian manusia dewasa ini adalah lantaran terputusnya hubungan hidupnya dengan Penciptanya.

Seronok melihat teman-teman staf bersungguh-sungguh bersoal-jawab tentang ibadah solat mereka. Semoga bermula dengan solat, mereka akan meningkatkan keseronokan mereka untuk memahami dan menghayati syariat seluruhnya...

Semoga Allah s.w.t. menerima amalan kita yang sedikit ini. Amin.

Tuesday, June 16, 2009

Sangat terasa kehilangannya..amat terasa..

Assalamualaikum wrt wbt

Jauh di sudut hati kecil ada terasa sesuatu yang hilang. Sangat terasa. Amat terasa. Walau dunia cuba menutup 'kehebatan' nya, dia tetap hebat. Ketika dunia menonjolkan Hassan Nasrallah sebagai 'hero' Lubnan/Lebanon... dialah hero Lebanon yang sebenar di hati para Mutarobbi (orang yang ditarbiyah)..

Walau daku tidak pernah bersua dengannya, tetapi pemikiran dan bukunya adalah 'suhbah solehah' (teman rapat) yang sering mendampingiku.. Demikianlah tokoh yang hebat.. mendampingi tulisannya saja sudah berbekas dan terkesan... beruntunglah mereka yang pernah bernaung di bawah lembayung tarbiyahnya...

Sungguh, hati ini sangat terasa dengan pemergiannya... namun, biarlah.. rohnya terbang mendapatkan rinduNya.. Syeikh, semoga dikau bahagia bertemu Sang Kekasih yang selama ini amat kau rindui...

oleh - Hazmi Dibok


berikut di bawah ini adalah petikan sebahagian dari catatan Ustaz Hasrizal dalam blognya saiful islam.com ...

KEHILANGAN

Masakan tidak tumpah air mata, dan bergetar tubuh dan jiwa, tatkala menyambut berita sedih kepulangan insan yang paling kerap meneman hidup di gelanggang usrah, biar pun tidak pernah berkenalan atau bersua muka, namun juzuk-juzuk diri ini banyak terbentuk daripada sentuhan Murabbi umat ini… Al-Sheikh Fathi Yakan.

f_yakan

Sebanyak-banyak doa kuiringkan, agar kepulanganmu kepada Allah, adalah kepulangan kekasih kepada Kekasih yang dirindu. Kehilanganmu bukan sekadar kehilangan manusia bernama bapa, suami, teman dan guru di sisi insan-insan yang berada di sekitarmu. Tetapi pemergianmu adalah kehilangan buat umat, tercabutnya satu lagi mata rantai ilmu dan ilmuwan, dari umat yang masih di perjalanan, mencari kemenangan.

cabutilmu

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan merentapnya dari dada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama. Apabila tiada lagi ilmuan, maka nantinya manusia akan mengambil pemimpin-pemimpin yang jahil, pemimpin itu ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka sesatlah golongan yang bertanya, sebagaimana sesatnya juga golongan yang ditanya” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]

Kepulangan Sheikh Fathi Yakan ke Rahmatullah pada Subuh Sabtu 13 Jun 2009 yang lalu, meninggalkan kita sejumlah hasil tulisan dan pengalaman, buat teladan umat ini;

fathiyakans

Janganlah disepikan khazanah itu.

Jalanlah dialpakan jalan itu.

Atau nanti binasalah umat ini tanpa bimbingan, tanpa panduan, tanpa da’ie dan tanpa dakwah, yang semua itu menjadikan kita, umat terbaik dalam sejarah manusia ini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Friday, May 08, 2009

Kem Jatidiri Sahabat Masjid (SAHAM) - Adventure of Creation

Assalamualaikum wrt wbt

Lama pulak rasanya tak mencoret di alam maya ni. Sibuk sikit semenjak dua menjak ni. Terima kasihlah buat teman-teman yang rajin mengakses blog saya ni tanpa jemu walaupun jarang update. Saya akan berusaha menulis sesuatu walaupun sikit-sikit. Kali ni saya nak berkongsi pengalaman tentang kem yang telah saya jalankan baru-baru ini.

Alhamdulillah, pada 1 hingga 3hb Mei yang lepas bersamaan hari Jumaat – Ahad, Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI), UMP dengan kerjasama siswa/i Sahabat Masjid (SAHAM) telah berjaya menjalankan program rutin semester iaitu Perkhemahan Jatitidiri Sahabat Masjid untuk kali ke-7. Program yang mendapat feedback yang sangat positif dari para peserta ini di adakan di Kela Adventure Camp, Ulu Sungai, Raub (http://www.kelacamp08.blogspot.com/) (http://www.freewebs.com/kelacamp/)

Ada peserta yang beranggapan program kali ini adalah yang ter’best’ berbanding kem-kem yang sebelum ini, walaupun kenyataan tersebut masih boleh dipertikai lantaran program ini telah melalui 7 atau 8 siri. Bermula dengan Kem Semuji, Tasik Kenyir, DeerLand Lanchang, Tasik Kenyir sekali lagi, Pulau Kapas, Taman Negara Kuala Tahan, Gua Kota Gelangi, Lanchang sekali lagi dan kali ini di Ulu Sungai Raub. Setiap satu kem tersebut ada keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri. Dari sudut persiapan sebelum, sebenarnya perkhemahan kali ini adalah yang paling lintang pukang operasinya. Tapak program yang berubah-rubah hingga ke saat akhir, bilangan penyertaan yang tidak mencapai sasaran, malah ramai pula AJK yang tidak dapat menyertainya lantaran pertembungan program. Walaupun begitu, hasilnya adalah agak lumayan! Hingga ada peserta yang anggap perkhemahan kali ini adalah paling best…

Saya akan mencatat beberapa perkara yang boleh dimanfaatkan bersama sepanjang kem ini berlansung dalam beberapa siri tulisan berikutnya, insyaAllah. Anda boleh menonton gambar-gambar sepanjang kem di sini - http://sahamump.blogspot.com/ atau di sini http://inspirasikuaurora.blogspot.com/ . Syabas saya ucapkan kepada semua peserta, barisan urusetia program, kem komandan (Alif) dan tak lupa para fasilitator dari kalangan staf yang membantu menjayakan program ini… ikuti siri catatan berikutnya…