Friday, November 02, 2012

Khutbah Eidil Adha - Ibrah 5 Peringkat




Para hadirin peserta himpunan Eidil Adha yang dirahmati Allah s.w.t.

Marilah kita bersyukur dan berterima kasih ke hadrat Allah s.w.t kerana kita masih dipanjangkan usia untuk bertemu dan berhimpun pada pagi dan hari yang diberkati ini.

InsyaAllah dalam kesempatan khutbah pada pagi ini, khatib tidak berhasrat mengambil masa yang terlalu panjang demi memberi ruang yang seluas-luasnya kepada para hadirin untuk menjayakan ibadah qurban seusai khutbah ini nanti.

Allahuakbar 3x walillahilhamd

Terlalu banyak pengajaran yang boleh dikutip dari ibadah Qurban mahu pun Haji yang menjadi syiar Allah kepada kita sebagaimana terlalu banyak juga isu-isu ummah dan agama yang boleh untuk bangkitkan dalam kesempatan ini. Marilah kita ringkaskan ibrah atau pengajaran dari Qurban dan Haji untuk dikaitkan dengan reality hari ini kepada beberapa aspek, sector atau peringkat. Secara mudahnya saya bahagikan kepada 5 aspek mencakupi aspek individu atau peribadi, aspek keluarga, aspek masyarakat, negara dan akhirnya aspek ummah atau global.


Dalam ASPEK PERIBADI ATAU INDIVIDU, marilah kita mengambil pengajaran dari kisah pengorbanan yang dilakukan oleh kedua anak Nabi Adam a.s. Keduanya masyhur dengan nama Qabil dan Habil. Firman Allah s.w.t. :

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;  (Al-Maaidah 5:27)

Cerita yang kita sedia maklum, korban yang dilakukan oleh keduanya atas perintah Allah, satu diterima dan satu lagi ditolak. Habil mengorbankan binatang ternak yang terbaik, Qabil memberi hasil tanaman yang sudah rosak. Bukanlah isu utamanya pada binatang gemuk dan kurus, sayur baik atau layu.



Isu besarnya ialah peribadi yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. berusaha melakukan yang terbaik dalam menjayakan suruhan Allah. Peribadi yang siap menjunjung seluruh perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Kewajipan kita selaku mukmin ialah tunduk dan patuh kpd seluruh perintah Allah tanpa berdolak dalih. Menerima hukum dan undang-undang Allah tanpa syak dan ragu-ragu. Itulah makna taqwa. Sia-sia ibadah qurban jika aktiviti hidup subur dengan maksiat. Sia-sia mengagihkan lembu qurban ke masjid-masjid dan surau jika menolak atau membelakangi undang-undang Allah s.w.t. dengan apa alasan sekali pun.

Allahuakbar 3x walillahilhamd

Dalam ASPEK KELUARGA, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. sekeluarga adalah teladan yang tiada tolok bandingnya. Seorang suami yang taat perintah Allah, mendidik isteri dan anak menjadi hamba Allah yang taat dan memiliki keteguhan iman yang sangat luar biasa. Seorang Isteri yang menyakini Allah lebih dari suaminya sehingga yakin walau ditinggalkan bersendirian di lembah Bakkah atau Mekah yang kontang. Seorang anak yang kejap imannya kepada Allah, hingga redha walau nyawa menjadi taruhan. Kehebatan iman si ibu, umat mewarisi zam-zam, safa dan marwah.


Kehebatan si anak, lahir dari zuriatnya Bani Ismail, keturunan yang mulia dan terpelihara. Kehebatan sang bapa, nama menjadi sebutan hingga ke akhir zaman. Allahumma salli ala Muhammad wa ala aali Muhammad kama sollaita ala Ibrahim wa ala aali Ibrahim. Bagaimana kita sang suami hari ini. Apa khabar iman kita? Apa khabar iman anak isteri kita? Percayakah mereka kepada Allah? Yakinkah mereka dengan dosa dan pahala? Syurga dan neraka? Bagaimana solat mereka? Bagaimana aurat dan pergaulan mereka? Bagaimana ilmu agama mereka? Bagaimana subuh dan maghrib mereka. Berlaku jujur dan jawablah persoalan itu secara ikhlas dalam diri masing-masing sebelum di soal di hadapan Allah di hari akhirat kelak.

Allahuakbar 3x walillahilhamd

Dalam ASPEK MASYARAKAT, peristiwa tohmahan dan kritikan terhadap Rasulullah s.a.w. dan para sahabat oleh musyrikin jahiliyyah lantaran melakukan ibadah tawaf dengan berpakaian ihram dan memakan daging binatang sembelihan wajar dikaji dan diteliti. Musyrikin jahiliyyah itu hilang pertimbangan waras dek kerana sudah terlalu lama diperbodohkan oleh Syaitan dengan penyembahan berhala. Mereka ditimpa kerosakan sistem nilai yang sangat dahsyat dalam menentukan betul dan salah, baik dan buruk.


Bayangkan, tawaf berpakaian dianggap menyelewengan dari amalan datuk nenek mereka dan sikap mereka yang melakukan tawaf secara telanjang dianggap sebagai betul. Daging yang dihalalkan, diharamkan oleh mereka ketika tawaf tanpa sebab yang munasabah. Allah s.w.t. memerintahkan Nabi s.a.w. dan para sahabat tegas meluruskan krisis nilai itu dengan firmanNya:

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Al-A'raaf 7:31)

Inilah yang berlaku pada hari ini, berlakunya keterbalikan dalam sistem nilai. Hukum hudud yang diturunkan Allah bagi mengajar si penzina tegar di anggap buruk dan tidak releven sedangkan yang menentang dan menghina hukum hudud itu sendiri adalah peribadi kepimpinan yang terpalit dengan skandal vcd seks. Skandal seks dianggap normal, pelakunya yang telah mengaku terbukti diangkat menjadi pemimpin. Sementara hukuman islam yang ingin mengawal pelaku seks tegar yang boleh merosakkan


akhlak masyarakat walau belum dilaksanakan, difitnah dan dijaja kononnya menakutkan pelabur dan sebagainya. Namun, wajar untuk kita merenung lebih jauh ke dalam, mengapa pemimpin bukan islam itu berani menghina hukum hudud? Mereka berani menyentuh hukum Allah lantaran pemimpin umat Islam sendiri yang meremeh hukum tersebut setelah sekian lama.

Allahuakbar 3x walillahilhamd

Dalam ASPEK KENEGARAAN ambillah iktibar dari feqah ibadah qurban itu sendiri. Daging diagih kepada 3 bahagian. Satu untuk peserta, satu bahagian hadiah kepada sesama sendiri, satu bahagian adalah peruntukan untuk golongan faqir miskin. Demikianlah islam menyuburkan sosio-ekonomi masyarakat dalam sesebuah negara. Ruh sistem zakat dipraktis dalam ekonomi. Mereka yang senang boleh membantu yang susah lantaran miskin dan kaya saling memerlukan. Tanpa si kaya, bagaimana si miskin mampu melestari kehidupan. Tanpa si pesawah miskin, bagaimana sesuap nasi masuk ke mulut si kaya. Bertolong bantu antara sesama insan atas kebajikan dan taqwa bukan bertolong bantu atas dosa dan permusuhan.

Dalam fiqh penyembelihan, sembelihan ahli kitab penganut yahudi dan kristian adalah halal di makan. Firman Allah s.w.t. :

Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) (Al-Maaidah 5:5)

Para ulamak membahagikan hukum sembelihan ahli kitab kepada 3 jenis ; 1) Jika yakin betul sembelihannya dan yakin dimulakan dengan nama Allah, halal di makan. 2) Jika yakin salah sembelihannya dan yakin tidak dimulakan dengan nama Allah, haram sembelihannya. 3) Jika tidak jelas sembelihannya samada betul atau tidak, disebut nama Allah atau tidak, maka hukumnya adalah HALAL berdasarkan hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari.

Ini salah satu dalil yang jelas terang lagi bersuluh untuk mengajar kita cara yang betul dalam bermuamalat atau berinteraksi dengan non-muslim dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk. Menjadikan orang bukan islam sebagai ancaman dan musuh, bukan dari ajaran islam. Islam tidak menjadikan seseorang itu musuh hanya kerana dia islam atau bukan islam. Permusuhan di dalam islam ialah atas dasar

kezaliman dan pencabulan hak samada si pelakunya muslim atau non muslim. Firman Allah s.w.t. :

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah 2:193)

Permusuhan di dalam Islam, bukan atas dasar Islam atau bukan islam. Asasnya, Islam menyuruh kita berbuat baik kepada seluruh manusia. Saling bertolong bantu dalam melestari seluruh keperluan hidup. Permusuhan hanya berlaku bila berlakunya kezaliman. Kezaliman yang dimaksudkan ialah pencabulan hak kebebasan, menafikan dan membelakangkan nilai2 keadilan, penghinaan dan sekatan terhadap dakwah penyebaran nilai dan penegakan hukum Islam samada yang bersikap zalim itu muslim atau non-muslim.




Yang terakhirnya ialah ASPEK UMMAH atau GLOBAL. Perhimpunan haji di Makkah Al-Mukarramah adalah simbolik kesatuan dan perpaduan ummah atas asas tauhid dan taat kepada Allah s.w.t. Itulah makna kesatuan yang sebenar. Sama taraf tanpa ada beza bangsa, pakaian dan pangkat kedudukan. Semuanya berdisiplin dan bersepakat dengan peraturan dan suruhan Allah untuk menjayakan ibadah haji. Ini menyuntik rasa pertanggungjawaban kita sesama ummah. Di sana ada saudara kita yang dibunuh dan dihalau. Saudara kita di Syria, di Roghiya, di Iraq, di Gaza dan lain-lainnya Jika ummah yang berjuta bersatu di masjidil haram itu benar-benar menyatukan hati, kesedaran dan tindakan mereka, pasti nasib saudara kita sedikit terbela. Namun sayangnya ummah berpecah. Umat islam seperti anak-anak ayam kehilangan ibunya. Lantaran itu, khilafah Islam wajib dikembalikan dengan segala usaha dan tenaga. Institusi khlaifah itu, hanya boleh dikembalikan oleh pemimpin2 negara umat islam yang memiliki aspirasi islam. Daulah islam wajib ditegakkan di negara2 umat islam.  Kewajipan tersebut dapat dilaksanakan dalam sistem demokrasi dengan syarat ruang demokrasi di buka seluas-luasnya kepada kumpulan islam. Jika tidak usaha memulihkan sistem tersebut mestilah menjadi keutamaan. Teruskanlah solidarity kita kepada mereka saudara seakidah kita yang mungkin tidak berpeluang menyambut aidil adha seperti kita pada tahun ini. Kita wajib menolong mereka semampu mungkin. Setidak-tidaknya kirimkan sepotong doa buat mereka dari kejauhan ini.

Friday, September 21, 2012

Sahabat Masjid (SAHAM) UMP (2003 – 2012) ~ Memoir Sebuah Perjalanan Dakwah Kampus




Selaku pengasasnya, saya sendiri pun tidak ingat dengan tepat bila tarikh penubuhannya atau permulaannya (kerana SAHAM bukan pertubuhan). Seingat saya, Sahabat Masjid (SAHAM) bermula seiring awal perkhidmatan saya bersama UMP pada tahun 2003 ataupun 2004 yang ketika itu masih dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia atau ringkasannya KUKTEM. Pada waktu itu, KUKTEM masih terlalu muda dan tengah giat membangunkan struktur organisasi dan metal modelnya. Saya diamanahkan bermula Mei 2003 oleh pihak pengurusan sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam bagi membangunkan masjid, aktiviti keagamaan dan kerohanian warga UMP serta mendokong usaha-usaha penghayatan nilai teras universiti. Pelanggan saya adalah warga UMP mencakupi pelajar (siswa-siswi) dan staf.

Di tahun-tahun awal KUKTEM, semua warga kerja dilibatkan secara aktif untuk membangunkan universiti secara kolektif dengan bidang kepakaran dan sector masing-masing. Ketika itu, dalam rangka menerapkan penghayatan nilai teras universiti, saya dilibatkan dengan RAKSI iaitu singkatan program Rakan Siswa anjuran HEP (nama lama JHEPA) yang mewajibkan penglibatan seluruh mahasiswa sama ada sebagai peserta atau sebagai pembantu fasilitator. Terlibat sebagai fasilitator beberapa semester dan bersama membangunkan modul RAKSI beberapa tahun adalah antara pengalaman manis generasi awalan UMP yang mengimpikan lahirnya produk yang seimbang dari segi intelektual dan spiritualnya. Ketika itu, staf-staf dan para pensyarah muda menawarkan diri secara sukarela untuk menjayakan program tersebut samada sebagai AJK pembangunan modul mahupun fasilitator. Program tersebut sangat baik walaupun nafasnya tidak panjang atas sebab-sebab yang saya tidak mengetahuinya secara terperinci dan tidak berminat untuk memanjangkannya di sini. Bagaimana pula dengan SAHAM?

Dengan amanah sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam yang pertama dan berseorangan di bawah pejabat Rektor, saya diberi peluang untuk sendiri membangunkan bidang tugas hal ehwal Islam dan bentuk program yang ingin dijalankan. Skop asasnya mudah ; pembangunan masjid, aktiviti keagamaan dan pembangunan keinsanan melibatkan warga UMP, staf dan pelajar. Saya mulakan usaha dengan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa agama bagi operasi masjid, aktiviti memakmurkan masjid dengan pelantikan AJK, jadual kuliah maghrib, tugasan imam dan bilal serta klinik Al-Quran. Untuk staf, saya mula menyampaikan tazkirah ringkas di jabatan-jabatan selain pengisian sempena hari-hari kebesaran Islam. Alhamdulillah, rakan-rakan staf terutamanya ustaz-ustaz pensyarah banyak membantu. 

Bagaimana dengan mahasiswa? Bagaimana untuk mendekati mereka sedangkan saya bukan pensyarah? Apa ruang yang ada untuk memainkan peranan hal ehwal islam dan penghayatan nilai teras kepada mereka? Masjid bukan tempat tumpuan dan serbuan anak muda untuk datang berbondong-bondong dan itu semua adalah perkara yang kita sedia maklum. Dengan jarak yang ada antara saya selaku staf non akademik dengan mereka, pertemuan hanyalah ketika waktu-waktu solat berjemaah. Peluang itulah yang saya manfaatkan untuk mengenali sebahagian mereka selain dari pengalaman dan kenalan melalui program RAKSI.

Pertemuan demi pertemuan, membawa kepada pelantikan mereka (mahasiswa) sebagai AJK tambahan di dalam AJK Masjid KUKTEM pada ketika itu. AJK masjid yang dipengerusikan oleh tuan Pendaftar pertama UMP (KUKTEM) ketika itu meminta saya selaku setiausaha merangkap Pegawai Hal Ehwal Islam merancang aktiviti-aktiviti yang bersesuaian untuk pembangunan keagamaan dan keinsanan anak-anak muda ini. Malah Dato’ Rektor pertama UMP (KUKTEM) sendiri pernah memanggil saya dan bertanyakan apa aktiviti-aktiviti yang dijalankan serta beliau mencadangkan agar dipelbagaikan program untuk menarik anak-anak muda ini seperti program kemasyarakatan, rehlah dan perkhemahan tanpa terhad di dalam dewan masjid semata-mata. Motivasi dan sokongan dari pihak tertinggi pengurusan dan rakan-rakan pensyarah inilah yang mendorong saya merancang dan memulakan program menghimpunkan sekumpulan mahasiswa/i yang aktif ke masjid untuk membantu menggerakkan idea dan pelaksanaan program. 

Sebenarnya program ini bukanlah idea tulen saya. Ia hanyalah satu usaha menyokong program kerajaan yang sedang bergerak ketika itu iaitu Rakan Muda bersama masjid yang dipopularkan dengan nama Rakan Masjid, cuma disesuaikan dengan realiti mahasiswa universiti. Mengapa saya tidak terus memakai nama Rakan Masjid? Pada awalnya itulah nama yang ingin saya cadangkan. Cuma saya memikirkan apakah nama ringkasan yang sesuai untuk Rakan Masjid.. RAKID? RAJID? RAMAS? (lagi teruk).. Ketika itulah timbul ilham untuk menamakannya dengan Sahabat Masjid dengan ringkasan SAHAM. Nama yang nampak menarik. Ada kalimah ‘sahabat’ yang saya rasa lebih menarik dari ‘rakan’ termasuklah maksud ‘saham’ yang boleh dikaitkan dengan saham (pelaburan) akhirat dan sebagainya. 

SAHAM adalah PROGRAM BERTERUSAN DAN JANGKA PANJANG yang dijalankan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam UMP, kemudiannya diteruskan oleh UNIT HAL EHWAL ISLAM, PEJABAT NAIB CANSELOR UMP sehinggalah kini masih berstatus program di bawah PUSAT ISLAM & PEMBANGUNAN INSAN (PIMPIN) UMP. Pelbagai aktiviti menarik yang disusun sepanjang operasinya seperti program Smart Group, kelas bimbingan fardhu ain, klinik Al-Quran, kem Sahabat Masjid dan lain-lain lagi selain AJK SAHAM membantu menggerakkan program PIMPIN yang lain serta program keagamaan di peringkat Universiti. Untuk kepelbagaian medium kreatif, selain program hiburan sambil mendidik, juga digerakkan aktiviti rehlah dan perkhemahan dengan kekerapan 2 atau 3 kali setahun. Perkhemahan di Tasik Kenyir, Pulau Kapas, Deerland Lanchang, Kela Camp Raub, Sungai Miang Selangor, Cameron Highland, sekitar Kuantan dan lain-lain lagi tempat menarik dijalankan dengan bajet PIMPIN. Alhamdulillah, usaha murni ini mendapat sokongan dan penyertaaan. SAHAM diiktiraf dalam menjayakan aktiviti keagamaan.

Sudah banyak kali Pejabat Naib Canselor, JHEPA dan lain-lain PTJ menghubungi PIMPIN untuk menyediakan tenaga SAHAM samaada bagi menjayakan aktiviti keagamaan peringkat universiti , tenaga fasilitator dalam motivasi kerohanian, mahu pun memenuhi kouta jemputanpihak luar kepada mahasiswa UMP khasnya dalam program-program sambutan hari kebesaran Islam. Kami menghubungi AJK SAHAM dan mereka bergerak menghimpunkan peserta walaupun tanpa merit dan bukan sebuah pertubuhan atau kelab. Ketika itu, tidak timbul langsung isu tersebut. Mereka mendokongnya, lantaran mereka percaya yang mereka sedang menyumbang kepada universiti yang mereka cintai. Malah lebih dari itu, atas komitmen mereka dalam menjayakan aktivti keagamaan yang melibatkan PIMPIN dan pihak berkuasa agama daerah mahu pun negeri, SAHAM pernah diiktiraf secara lisan dan disebut secara rasmi dalam program anjuran Bahagian Masjid Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dan dijadikan sebagai contoh kepada masjid-masjid dalam negeri Pahang dalam mendekati anak muda. Setakat yang saya maklum Masjid Daerah Lipis telah menubuhkan Sahabat Masjid, termasuk Masjid Lama Permatang Badak dan pernah dihubungi oleh Masjid KIPSAS dan Masjid Tanah Rata untuk mendapatkan maklumat atas tujuan yang sama.

Dengan rekod komitmen cemerlang tersebutlah agaknya teman-teman dari JHEPA di peringkat awal dahulu bertemu saya bila tiba musim pemilihan MPP dan bertanyakan, tiadakah calon-calon dari budak-budak SAHAM yang sesuai dicalonkan sebagai MPP. Mungkin ketika itu, bilangan mahasiswa masih belum ramai. Saya seringkali menjawap acuh tak acuh dan tidak menunjukkan minat terhadap perkara tersebut lantaran saya lebih suka SAHAM terus focus membantu PIMPIN (dulunya PIPI atau UHEI) membangunkan bidang tugasnya di UMP. 

Namun masa berlalu dan peserta program SAHAM semakin bertambah. Sepatutnya ia adalah berita gembira kepada pencinta agama. Gembira lantaran ada sekumpulan mahasiswa dan anak muda yang tekun membina jatidiri mereka dan tidak lelah berusaha menyebarkan nikmat Iman dan Islam kepada rakan-rakan sebaya mereka. Di zaman, masyarakat sebahagiannya mencemuh dan sebahagianya menyatakan kebimbangan atas kebobrokan social anak muda, ada sekumpulan dari mereka yang gigih berdakwah dan melakukan pengislahan. Seakan terpancar cahaya harapan yang kecil, di hujung lorong gelita. Dalam ramai-ramai itu, mungkin ada yang tertonjol bakat kepimpinan mereka dan dalam suka-suka, ada yang tercalon sebagai MPP, UMP. Pada peringkat awalnya saya melihat, penglibatan mereka dalam MPP adalah sebahagian usaha di antara beberapa orang sesama mereka yang semenjak awal tertonjol bakat kepimpinan dan melibatkan diri untuk menajamkan idealisme dan bakat kepimpinan mereka di samping menyumbang kepada kesuburan demokrasi politik kampus.

Saya tidak terlalu kisah dengan penglibatan mereka dalam MPP, malah ada yang saya tegur lantaran terlibat sebagai exco MPP , semakin kurang menjengah masjid dan aktiviti masjid. Sikap saya secara peribadi tidak ingin mengongkong dan menghalang mereka yang berminat dengan politik kampus. Itu pilihan mereka dan itu medan mereka. Biarlah mereka mengasah bakat dan idelisme mereka secara terpimpin bukan terkongkong. Kalau ada pun pandangan saya dirujuk, jika timbul isu-isu berkaitan agama, saya memberi pandangan dan tidak pernah memaksa sesiapa pun untuk menerimanya. Dangkal kalau saya mengatakan bahawa saya tidak tahu menahu tentang politik kampus. Saya tahu tentang label melabel berkaitan pro aspirasi dan pro mahasiswa. Tapi itu bukanlah tumpuan saya. Saya lebih suka meneruskan agenda dakwah dan islah di kalangan mahasiswa di samping staf. Agenda politik itu, biarlah mahasiswa sesama mereka mencari pengalaman sendiri mencorakkannya. Bagi saya, mengikat hidung mereka dan memaksa mereka mengikut aspirasi kita seolah-olah membudakkan mereka. Biarlah mereka memikir dan memutuskannya. Kita orang tua, tegurlah jika nampak mana yang salah dan menjolok mata. Jangan memperbudakkan anak-anak muda intelek ini. 

Namun sudah sunnatullah, di atas jalan dakwah akan ada mehnah dan tribulasi. Pada asalnya saya tidak ingin menyibukkan diri melayan karenah politik kampus dan birokrasi pentadbiran itu. Tetapi sudah berulangkali insiden yang tidak enak dikaitkan dengan SAHAM dan setiap kali itulah isu SAHAM bergerak secara haram dan tidak didaftarkan didendang kembali. Sehingga saya dimaklumkan ada blog liar yang terus-terusan menyerang SAHAM dan melabelnya sebagai pro mahasiswa, pro pembangkang dan sebagainya. Saya tegaskan di sini untuk makluman semua yang membaca catatan ini, SAHAM adalah PROGRAM BERTERUSAN DAN JANGKA PANJANG kelolaan PIMPIN dan diamanahkan secara terus kepada saya untuk menyelianya. Tuduhan bahawa SAHAM adalah pertubuhan haram adalah satu kekeliruan dan menuduhnya sebagai pro itu dan pro ini adalah satu fitnah liar. Mungkin ada di antara mereka yang menyokong atau pro kepada mana-mana pihak. Tapi itu adalah hak mereka yang dijamin dalam sebuah negara demokrasi .

Mengapa tidak mendaftarkan SAHAM? Jawapannya ialah, saya pernah mencadangkan agar ia didaftarkan dan SAHAM pernah membuat pemohonan untuk didaftarkan sebagai kelab atau persatuan di bawah JHEPA. Malah cadangan saya itu adalah atas permintaan Dekan JHEPA sendiri disebabkan isu-isu yang berbangkit. Walau pun secara peribadi, saya lebih selesa jika SAHAM kekal sebagai program di bawah PIMPIN, namun meraikan pandangan semua pihak dan menuetralkan tuduhan dan pandangan negative yang direka-reka kepada SAHAM, saya menyetujuinya. Namun setelah pemohonan dibentangkan, pendaftaranya tetap ditolak atas alasan kelab atau persatuan bercorak keagamaan. Menuduh SAHAM sengaja tidak mahu berdaftar adalah tuduhan jahat. Malah saya sekali lagi menyokong kenyataan pengerusi SAHAM yang terkini bahawa mereka akan mengusahakan permohonan pendaftaran sekali lagi kepada pihak JHEPA. Sekali lagi, saya kekal bersikap terbuka, berlapang dada dan tidak mengongkong  mereka. Biarlah mereka membuat keputusan secara kolektif tentang itu dan jika ia baik untuk dakwah dan islah, ia baik pada saya.

Tiada apa yang perlu saya bimbangkan kerana islam adalah agama Allah, masjid adalah rumah Allah, dakwah adalah kewajipan yang disyariatkan oleh Allah. Saya percaya, jika SAHAM tiada sekali pun akan tetap ada golongan yang akan bekerja melebarkan perkongsian nikmat Iman dan Islam di bumi UMP ini. Apatah lagi setelah berdaftar sebagai kelab atau persatuan di bawah JHEPA nantinya sudah tentu medan dakwah SAHAM akan semakin melebar dan meluas.. SAHAM akan bertebaran di mana-mana…. Maklumlah, sudah berdaftar kan?

Friday, August 17, 2012


KHUTBAH HUJUNG RAMADAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan  bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.(Al-Baqarah 2:185)

Kita sudah berada di penghujung Ramadan 1433H. Gembira dengan ketibaan raya Eidil Fitri, namun di sudut hati terselit rasa kehilangan pada detik dan saat yang sangat berharga dan bernilai, masa-masa emas, hari-hari yang sangat membahagiakan di bulan Ramadan Al-Mubarak. Sangat pantas masa berlalu. Hari ini, di hari yang mulia, penghulu sekalian hari, iaitu hari Jumaat, pada bulan yang sangat barokah, bulan Ramadan, di minggu yang sangat hebat iaitu minggu 10 terakhir Ramadan, marilah kita sama-sama merenung kembali dan bermuhasabah apakah yang telah kita pelajari dan hayati dalam menyelusuri perjalanan indah sebulan ini. Apa yang sebenarnya telah belajar dari Ramadan? Berikut dalam kesempatan yang singkat ini, saya senarai dan kongsikan semula pengajaran-pengajaran yang telah atau boleh kita perolehi sepanjang Ramadan Al-Mubarak :

Pengajaran 1 :

Ramadan kembali memugarkan iman dan rasa berhubung kita dengan Allah s.w.t. Masih terngia-ngia di cuping telinga kita akan hadis-hadis yang disyarahkan di sepanjang Ramadan ini yang menceritakan tentang sesiapa yang berpuasa, atau berteraweh yakni qiam di sepanjang Ramadan mahu pun di malam lailatil qadar dengan penuh iman dan mengharap redha Allah, diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.

Ramadan sungguh benar-benar menyegarkan jiwa. Melunakkan kembali hati yang semakin bebal. Melembutkan hati yang semakin keras dan memurnikan hati yang semakin karat. Merenung kepemurahan dan kasih sayang Allah, menerbitkan rasa sayu di atas kealpaan kita. Mendengar cerita kepemurahan Rasulullah yang telah dijamin syurga, membenih rasa malu pada diri sendiri.

Masih terpegun kita dengan ungkapan yang sangat halus, lembut, penuh kasih sayang, keakraban dan keramahan Allah s.w.t. di dalam perenggan cerita puasa dalam surah Al-Baqarah ayat 186 :

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah 2:186)

Semoga bertambah hebat dan manis iman kita sesudah Ramadan berlalu insyaAllah.

Pengajaran 2 :

Ramadan telah meluruskan fikrah, pemikiran dan kefahaman kita dalam menaggapi maksud beragama. Kita telah belajar bahawa ibadah itu, rahsia dan hakikatnya bukan pada bentuk atau jenis amalannya semata-mata, tidak terhenti pada sah batal, rukun dan syarat semata-mata tetapi hakikat ibadah adalah pada mewujud dan melahirkan jiwa yang tunduk, taat dan patuh kepada segala suruhan Allah seiring menjauhi dan meninggalkan segala larangannya. Rahsia dan tujuan ibadah ini terhimpun dalam satu ungkapan yang sering diulang-ulang di sepanjang Ramadan ini iaitu TAQWA!

Itulah matlamat ibadah. Kesimpulan ini dapat kita temui tatkala mentadabbur ayat-ayat Allah di maqra’ atau perenggan isu puasa dalam surah Al-Baqarah bermula ayat 177 sehinggalah ayat2 berikutnya. Allah s.w.t. dlm ayat 177 menghubungkan akan kepentingan prinsip hidup yang benar yang terangkum di dalam rukun iman dengan taqwa, dihubungkan amalan infak kpd kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin dan sebagainya dengan taqwa, juga ibadah solat dan zakat, termasuk persoalan teguh memegang janji dan bertahan dalam jihad menegakkan islam dihubungkan dengan taqwa.

Begitulah ayat-ayat berikutnya, ayat qisas iaitu satu dari sistem perundangan jenayah Islam dihubungkan dengan taqwa, ayat wasiat, iaitu sistem pewarisan harta dalam Islam diikat dengan taqwa, sehinggalah ayat-ayat puasa, ibadah haji, melihat anak bulan, jihad si sabilillah dan lain-lainnya dihubungkan dengan TAQWA, TAQWA dan TAQWA.

Pengajaran 3 :

Puasa Ramadan mengajar kita makna SABAR. Sabar itu indah dan sabar itu manis. Kita menikmati lazatnya makan setelah bersabar menahan diri seharian dari makan dan minum. Kita menikmati ketibaan Aidil Fitri setelah bersabar menempuh sebulan berpuasa dan bertaraweh. Sabar adalah keperluan dalam melayari bahtera kehidupan di atas mukabumi Allah s.w.t. ini. Sabar adalah buah keimanan kepada Allah dan keimanan kepada ketentuan qadha’ dan qadar. Hidup ini adalah sebuah ujian.Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Mulk ayat 2 :

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Hidup adalah ujian. Samada senang atau susah. Perintah syarak adalah ujian samada berat atau ringan. Ada manusia diuji dengan kepayahan dan musibah dalam hidupnya.Ada yang diuji dengan kesenangan dan kemewahan. Dalam mendepani ujian itu, ada yang berjaya dan ada yang gagal. Ada yang berjaya melepasi ujian kesusahan, gagal dalam melalui ujian kesenangan.

Apa pun bentuk ujiannya, kekuatan yang perlu ada ialah kekuatan SABAR. Sabar ketika menerima dan memikul beban syarak. Sabar dalam mendirikan solat, sabar dalam menunaikan puasa, sabar dalam meneruskan kelansungan ibadat, sabar dalam menghadapi godaan dunia dan isinya, sabar dari melakukan maksiat, sabar bila dikurniakan kesenangan dan kemewahan dan sabar jua dalam menempuh musibah. Sabar dalam tarbiyah yakni mendidik, sabar dalam dakwah, sabar dalam jihad dan segala-galanya. Kehidupan adalah tempoh untuk bersabar menahan diri, supaya dapat menikmati kemanisan memetik buah dan hasilnya di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t. :


Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Al-Baqarah 2:155)
Pengajaran 4 :

Ramadan melahirkan jiwa yang peduli. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, manusia hidup dalam perkampungan global. Sedunia jadi sekampung. Namun, harus diingat bahawa manusia tetap manusia walaupun teknologinya berubah. Jika teknologi berkembang pesat, tetapi manusiawinya terbiar dan terlantar tanpa ilmu dan iman, kerosakanlah natijahnya. Alam maya yang sepatutnya menjadikan manusia subur sifat peduli, merubah ramai manusia menjadi kera sumbang dan kurang berinteraksi secara fizikal.

Alat komunikasi hanya digunakan untuk hiburan dan keseronokan, bukan untuk memudahkan kelestarian tanggungjawab agama dan keinsanan. Mereka merayau ke seluruh dunia melalui alam maya, mengakses hiburan dan keseronokan, tetapi terperuk di sebalik tembok mahligainya tanpa peduli keperitan dan kesusahan alam keliling kelalangnya.

Lantas puasa datang mendidik jiwa. Galakan solat jamaah teraweh, ransangan infak dan zakat, motivasi agar menjamu orang yang berbuka puasa, membenihkan jiwa pemurah sebagai keteladanan dari kepemurahan Allah dan rasulNya, membuahkan jiwa peduli di atas keperitan dan kesusahan saudara seaqidah mahu pun insan sejagat. Sekiranya kita susah dek berlapar seharian, sedarlah nun di pelbagai pelusuk dunia di sana ada insan yang berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan malah bertahun-tahun kelaparan.
Ada yang menadah air kencing lembu yang kurus untuk membasahkan diri dan menyejukkan jiwa. Ada yang mengerumuni merebut makanan yang sudah dikerumuni lalat. Ada yang kurus kering seperti tengkorak hidup. Ada yang dibunuh, dihalau, dibakar dan dirogol.Itu akan menyuntikkan kesedaran kepada kita tentang pentingnya usaha mempersadakan Islam. Agar keadilan, kesamarataan, keseimbangan ekonomi dan jurang perbezaan taraf hidup dapat didekatkan. Agar nasib umat dan insan sejagat yang tertindas dan dizalimi mendapat pembelaan.

Di sana juga ada orang-orang miskin dan anak yatim yang bersendirian. Anak-anak yatim itu bersedih di kalan anak-anak kita gembira. Mereka lapar di kalan anak kita kenyang. Mereka kesepian di kala anak-anak kita bahagia bermanja. Mereka tiada tempat mengadu di kala anak-anak kita sering merintih dan merengek. Mereka tiada tempat meminta saat anak-anak kita meminta baju baru untuk berhari raya. Semoga puasa benar-benar menyedarkan kita tentang mereka, bersyukur di atas nikmat Allah ke atas kita dengan peduli ke atas sebahagian dari mereka..

Pengajaran 5 :

Puasa mendidik kita makna sebuah perjuangan. Puasa mentarbiyah dan mepersiapkan jiwa kita untuk berhasil mencapai sebuah cita-cita. Melengkapkan jadual Allah ke atas hambaNya.


Puasa dihubung dengan jihad peperangan badar yang bermula dengan tindakan-tindakan politik nabi s.a.w. dalam isu keselamatan sempadan dan laluan dagang di luar kota madinah, dilanjutkan dengan kebenaran untuk berjihad sekiranya berlaku pencabulan hak dari musuh islam, tapisan dalam isu perubahan arah kiblat untuk menzahirkan muslim mumin dengan muslim munafik, seterusnya ujian puasa buat kali pertama selama sebulan.

Oleh kerana para sahabat telah mencukupkan syarat dalam melalui jadual pembinaan dan ujian Allahyang bertalu-talu itu dengan baik, maka peperangan badar ditakdirkan berlaku dalam bulan Ramadan yang pertama pada tahun kedua hijrah itu. Dengan bilangan tentera yang sedikit, sementara musuh 3 kali ganda, persenjataan, kenderaan dan bekalan makanan yang tidak mencukupi, terbukti mampu mengalahkan musuh yang sangat kuat dan sangat bersedia. Allah mendatangkan pertolonganNya lantaran mereka para pejuang badar telah .melengkapkan diri mereka dengan syarat-syarat kemenangan.

Memahami hakikat ini, fahamlah kita bahawa puasa tidak terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadan. Puasa adalah salah satu bekal dan persiapan untuk memikul beban yang lebih besar dalam kehidupan iaitu beban sebagai khalifah untuk membantu mengembangkan islam, menegakkan syariat Allah dan mempersada islam di peringkat dunia.


Tugas yang sangat besar dan berat, namun akan menjadi ringan bagi jiwa yang telah diproses, di antaranya diproses dengan ibadah puasa dan amalan-amalan lainnya di sepanjang bulan Ramadan ini. Mudah-mudahan Allah meluruskan hidup kita, memperkasa jiwa kita, memantapkan ilmu dan iman kita. Bergembiralah dengan ketibaan Syawal, namun simpanlah sedikit kebimbangan dengan pemergian Ramadan jika pun tidak mampu bersedih. Marilah mengisi masa-masa yang berbaki dengan memperbanyak dan mengkualitikan amal ibadah. Anggaplah ini pelukan kemas terakhir sebelum melepaskan ia pergi. Kerana Ramadan akan datang belum tentu menjadi milik kita.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ