Friday, April 16, 2010

Fokus Tarbiyah, Jangan Leka Dengan Ramainya Pengikut



Sejarah harakah Islam (Ikhwan Al-Muslimin) tidak berapa lama dahulu telah dapat melihat pertambahan bilangan anggota tanpa mutu yang telah menyukar dan melalaikan harakah. Ini memaksa da’i hari ini untuk mengambil pengajaran. Perkembangan yang seimbang adalah pesanan untuk hari esok.


Kita katakanan, ia adalah pesanan untuk hari esok kerana kita dapati ramai orang telah melupakannya. Padahal itulah wasiat lama dari Imam Hassan al-Banna rahimahulLah yang ditegaskan sejak tahun 1938 di dalam Muktamar (Ikhwan) Ke-5. Ketika menjelaskan pelbagai jenis manusia ketika berdepan dengan kerja. Khayalan langsung tidak menyumbang apa-apa kerana ia hanyalah gambaran sahaja dalam memikul bebanan jihad.


Hassan al-Banna telah berkata:


“Jadi saya mahu berterus-terang betul-betul dengan kamu kerana tiada guna lagi saya berselindung.


- Medan bercakap tidak sama dengan medan berkhayal.

- Medan beramal tidak sama dengan medan bercakap.

- Medan berjihad tidak sama dengan medan beramal.

- Medan berjihad sebenar tidak sama dengan medan berjihad yang silap.


Ramai yang mudah berkhayal namun tidak semua apa yang terbayang di kepala mampu diungkapkan dengan kata-kata.


Ramai yang mampu bercakap namun hanya segelintir daripadanya yang mampu bertahan ketika beramal.


Ramai di kalangan segelintir ini yang mampu beramal namun hanya segelintir sahaja di kalangan mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan amal yang nekad.


Para mujahid yang kecil jumlahnya ini mungkin akan tersilap jalan dan tidak menepati sasaran jika tidak kerana mereka dipelihara oleh Allah. Kisah Talut menjelaskan apa yang saya katakan ini.


Oleh itu, siapkanlah diri kamu, pupuklah jiwa kamu dengan tarbiyah yang betul, latihan yang ketat dan ujilah diri kamu beramal dengan kerja-kerja yang keras, tidak disukai dan menyukarkan. Kekanglah dari segala kehendak dan adat kebiasaan yang biasa dilakukan oleh jiwa.” (243 Al-Muktamar Al-Khamis, al-Majmu’ah, m.s. 258)


Fiqh itu dipusakai oleh Syed Qutb rahimahulLah. Ini menyebabkan beliau gelisah menjelang hari kematiannya apabila melihat keadaan Sudan yang dilanda dengan demonstrasi umat Islam yang merebak dan meluas memenuhi jalan-jalan raya. Beliau pun memberi wasiat kepada para da’i dari Sudan yang melawatnya. Beliau berkata kepada mereka:


“Janganlah sambutan orang ramai itu menyibukkan kamu dari menyusun barisan dalaman dan menyediakan para pejuang yang mampu menghadapi segala kesukaran dan akan dapat bertahan lama.” (244 Syed Qutb, Kitab al-Syahid, m.s. 91)


Sebenarnya kepentingan pemantapan barisan dalaman bukan hanya kerana untuk memudahkan penyusunan dan memudahkan penggunaan tenaga secara selaras, tetapi, kewujudan “masyarakat tarbawi” ini akan mampu menjadi nursery kepada pentarbiahan ‘anak-anak baru’. Ia akan mampu memperlihatkan bentuk-bentuk Islam dan mendinding mereka dari melihat pemandangan jahiliyyah orang-orang jahil dan menghalang dari mendengar jahiliah dan sekaligus menjauhkan ‘anak-anak baru’ dari kesan dan pengaruh tarbiyyah yang bukan Islam.


Rujuk : Al-Muntalaq – Muhammad Ahmad Ar-Rasyid m.s.159


Wednesday, April 14, 2010

Mari Bersama Membantu Palestin!

KENYATAAN MEDIA

NGO-NGO Malaysia Dan Wakil IHH Lancar Projek Lifeline 4 Gaza

KUALA LUMPUR, Selasa 13 April -- Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia menyertai usaha konvoi antarabangsa bagi tujuan menerobos sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel dan menghantar barangan keperluan asas kepada penduduk Gaza yang sekian lama dihalang daripada mendapatkan bantuan kemanusiaan yang sangat mereka perlukan.

Beberapa NGO bersatu dan bekerjasama menganjurkan program-program dalam usaha mengumpul dana daripada masyarakat Malaysia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan ini melalui sebuah projek yang dinamakan “Lifeline4Gaza – Break The Siege” ataupun “Talian Hayat Untuk Gaza – Menerobos Tembok Kematian.” Antara pertubuhan tersebut termasuklah Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, dan Viva Palestina Malaysia (VPM). Bagi menjayakan misi menghantar bantuan ke Gaza ini, mereka akan menyertai usaha konvoi antarabangsa yang diketuai oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation for Human Rights & Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri – atau lebih dikenali sebagai I.H.H.) bersama-sama NGO-NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European Campaign to End the Siege on Gaza (ECESG.)

Dalam sidang akbar yang turut disertai oleh wakil IHH bagi bantuan Malaysia dan Brunei Darussalam dan pemimpin-pemimpin NGO terbabit di Kuala Lumpur pagi ini, Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman berharap agar kerjasama dan sokongan erat daripada semua pihak di Malaysia akan dapat memberi kesedaran akan jenayah yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dan sekutunya ke atas penduduk Gaza dan Negara Palestin secara umumnya. Dengan kerjasama NGO Malaysia terbabit, mereka akan dapat menggembeling tenaga, pengalaman, dan komitmen untuk menjayakan usaha menerobos sekatan ke atas Gaza dan membantu penduduk Gaza membina semula kehidupan mereka.

Rejim Zionis Israel membina Tembok Kematian di Gaza dan Tebing Barat, yang telah menjadikan Gaza sebagai penjara terbesar di dunia. Tembok yang setinggi 8-12 meter dan sepanjang 850 km itu menjadi senjata utama Rejim Zionis untuk “membunuh” penduduk Gaza serta mencengkam mereka secara perlahan-lahan. Tembok itu telah digunakan untuk menghalang kemasukan bahan-bahan keperluan asas kehidupan termasuk makanan, minyak, bahan perubatan dan lain-lain. Gaza tidak hanya menjadi penjara terbesar tetapi hak untuk hidup rakyat Gaza juga telah dinafikan. Zionis ganas ini telah menggunakan kekuatan lobi mereka untuk menyekat dan melaksanakan embargo ke atas Gaza dengan dokongan Amerika Syarikat, Britain dan kuasa-kuasa besar dunia.

Tidak cukup dengan embargo dan Tembok Kematian, pihak Zionis juga telah menyerang Gaza pada 27 Disember 2008 selama 23 hari. Serangan yang amat brutal itu telah menggunakan senjata-senjata terlarang seperti bom fosforus, peluru uranium dan lain-lain. Mereka telah menggugurkan lebih daripada 1.5 juta kilogram bom dari semua arah iaitu daratan, lautan dan udara.

Hampir keseluruhan infrastruktur utama bandar Gaza hancur. Banyak bangunan-bangunan penting seperti pusat pentadbiran kerajaan, hospital, universiti, masjid, gereja, sekolah, janakuasa elektrik, bekalan air bersih dan lain-lain telah hancur akibat serangan rejim Zionis tersebut yang jelas telah mensasarkan keperluan orang awam.
Kini setelah lebih setahun tragedi serangan berlaku, penduduk Gaza masih lagi tidak dapat mendirikan semula rumah-rumah mereka, termasuk juga kemudahan asas yang lain seperti sekolah, masjid dan hospital. Mereka masih terpaksa berteduh di khemah-khemah sementara kerana bahan dan jentera binaan tidak dibenarkan dibawa masuk sama-sekali. Malahan ada yang masih terpaksa tinggal di bawah runtuhan bangunan rumah mereka. Ramai pesakit yang terpaksa menanggung penderitaan sakit berterusan hinggakan membawa kepada maut kerana tidak ada kemudahan perubatan dan tidak juga dibenarkan keluar dari Gaza untuk mendapatkan rawatan di hospital luar.

Tahun 2006 menyaksikan banyak usaha-usaha membantu membebaskan Palestin, terutamanya Gaza, daripada cengkaman embargo kejam Zionis. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada seluruh dunia telah mencuba pelbagai cara untuk masuk dan memberi bantuan kepada rakyat Gaza. Lebih daripada 10 percubaan telah dilakukan oleh NGO-NGO sedunia untuk memasuki Gaza tetapi hanya sekali dua saja yang berjaya menembusi sekatan tersebut.


Usaha terbaru telah dilakukan oleh sebuah konvoi yang telah dipelopori oleh Viva Palestina yang berpusat di Eropah pada 5hb Disember 2009. Usaha tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 320 orang sukarelawan, di mana mereka memulakan perjalanan sejauh lebih 3,000km dari United Kingdom melalui Turki, Syria, Jordan dan seterusnya ke El-A’rish di Rafah, Mesir sebelum akhirnya berjaya masuk ke Gaza pada 6hb Januari 2010. Alhamdulillah 12 orang rakyat Malaysia, termasuk 2 orang wakil HALUAN Malaysia, telah menyertai konvoi tersebut.

Walaupun konvoi Viva Palestina yang ketiga itu telah berjaya memasuki, ia masih tidak berjaya menghapuskan embargo ke atas Gaza.

Kini, IHH dengan sokongan penuh kerajaan Turki dan NGO-NGO antarabangsa dari lebih 17 buah negara lain telah memulakan usaha untuk melaksanakan konvoi talian hayat Gaza yang ke-empat iaitu Lifeline4Gaza. Satu usaha besar-besaran iaitu satu konvoi yang akan merentasi Laut Mediterranean bermula dari Istanbul, Cyprus dan akhirnya terus ke Gaza mengikut jalan laut. Konvoi ini akan membawa lebih daripada 20 buah kapal dan bot.


Kempen ini akan diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Erdogan. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Bantuan tersebut akan dibawa terus ke Gaza dengan menggunakan hubungan diplomatik kerajaan Turki yang memang mempunyai Perjanjian Keselamatan dengan rejim Israel semenjak peperangan dunia yang ke-dua lagi. Mengikut butiran perjanjian tersebut, Israel tidak boleh mengganggu kapal-kapal daripada Turki.

Konvoi ini amat penting kerana sekiranya ia berjaya maka kapal-kapal tersebut akan digunakan untuk menghantar semua barangan keperluan Gaza dari semasa ke semasa. Ini bermakna sekatan embargo Israel ke atas Gaza akan terangkat walaupun Tembok Kematian Israel masih berdiri utuh.

Berkaitan dengan konvoi ini, IHH telah melantik HALUAN sebagai penyelaras bagi semua bantuan daripada dermawan di Malaysia dan juga Brunei Darussalam. Sehubungan dengan amanah tersebut, HALUAN bersama-sama semua NGO yang hadir pada hari ini menyeru semua institusi, organisasi, badan-badan, syarikat-syarikat dan individu yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan supaya memberikan sokongan dan bantuan untuk menyelamatkan rakyat Palestin dengan menganjurkan apa jua aktiviti dapat menzahirkan solidariti mereka, seperti solat hajat dan doa selamat, pameran dan seminar kesedaran Palestin, kutipan derma untuk projek Kemanusiaan Palestin, dan juga ceramah, dialog, diskusi mahupun forum penerangan permasalahan Palestin. Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjayakan aktiviti-aktiviti tersebut.

Sumbangan derma bagi menjayakan bantuan ini boleh disalurkan terus melalui akaun khusus untuk projek Lifeline4Gaza seperti berikut:

Nama akaun : “TABUNG PALESTIN HALUAN”
Nombor akaun: 5644 9020 8528
Bank : Maybank Berhad

Diharapkan usaha seperti ini akan dapat melahirkan generasi Malaysia yang perihatin terhadap isu kemanusiaan, dan yang lebih penting dapat menginsafi nikmat kemerdekaan yang mereka kecapi selama ini.


Wednesday, April 07, 2010

Target Dakwah Individu - Setahun 2 Orang?


Renungan


Dengan mengandaikan seorang da’ie (pendakwah) hanya mampu mendakwah 2 orang mad’u (sasaran dakwah) sehingga berjaya dalam masa setahun, maka di tahun kedua akan akan berlaku 3 orang daie mendakwah 6 orang mad’u. Tahun ketiga pula 9 orang daie mendakwah 18 orang mad’u. Tahun keempat pula 27 orang daie mendakwah 54 orang mad’u. Tahun kelima pula 81 orang daie mendakwah 162 orang mad’u. Tahun keenam pula 243 orang daie mendakwah 486 orang mad’u. Tahun ketujuh pula 729 orang daie mendakwah 1458 orang mad’u. Tahun kelapan pula 2187 orang daie mendakwah 4374 orang mad’u. Tahun kesembilan pula 6561 orang daie mendakwah 13122 orang mad’u. Tahun kesepuluh pula 19683 orang daie mendakwah 39366 orang mad’u. Begitulah seterusnya.


Pada tahun kelima belas bilangan daie mencapai jumlah 4,782,969 orang dengan mad’u seramai 9,566,938 orang. Pada tahun ketujuh belas kita memiliki 43,046,721 orang daie. Ini bermakna seluruh penduduk Malaysia berada di peringkat daie dan tiada seorang pun yang menjadi mad’u.


Sekiranya kita mengandaikan seorang daie mampu mendakwah 3 orang mad’u sahaja dalam masa setahun sehingga berjaya, maka di tahun kelima kita mempunyai 256 orang daie dan 765 orang mad’u. Pada tahun kesepuluh pula bilangan daie meningkat kepada 262,144 dan mad’u pula seramai 786,432 orang. Pada tahun keempat belas kita memiliki 67,108,864 orang daie.


Bayangkanlah betapa berkesannya dakwah apabila ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Hanya 2 atau 3 orang setahun! Soalnya, kita buat ker tidak?


Tuesday, April 06, 2010

Menikmati Sentuhan dan Belaian Alam


Assalamualaikum wrt wbt


Alhamdulillah, hujung minggu lepas, 2-4hb April 2010, saya dan teman-teman Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI), UMP dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM) selamat menjalankan aktiviti Perkhemahan Sahabat Masjid kali ke-9 (kalau tak silap) bertempat di Lubok Semak Akob's Place, Ulu Dong (jalan ke Lata Jarum). Nama program kali ini ialah - Discover The Amazing Creation (DIMENSION). Peserta lebih kurang 50 orang dari kalangan siswa dan siswi UMP.


Tempat perkhemahan tersebut sangat menarik. Pulau kecil yang di kelilingi air sungai. Ada tempat dalam dan ada tempat cetek (tohor). Sesekali jauh dari keriuhan kota, bertemankan siulan burung, keriuhan air terjun, nyanyian cengkerik dan menikmati nyamannya udara segar hutan amat mendamaikan. Semoga keindahan itu dapat dipertahankan dari pencemaran bertopengkan pembangunan dan kemajuan...

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang fatrah perkhemahan. Bermula dengan kuliah subuh dalam sungai, mandi air terjun mini, aktiviti merentas hutan melihat bunga Rafflesia, pertandingan panjat pokok getah bagi siswa, modul "nenel si bongkok tiga" bagi siswi, modul peperangan, pertandingan menyelam, aktiviti kebudayaan di sebelah malam dan berakhir dengan Slot Motivasi bersama 260 orang pelajar tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA) Raub.


Saya menyampaikan ucapan penutup selepas tamat sesi motivasi bersama pelajar SEMESTA. Antara point penting dalam ucapan tersebut ialah :

1- Kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dapat mengisi masa di hujung minggu ini dengan aktiviti dan amal yang sangat bermanfaat. Bermanfaat untuk pembangunan diri kita dan kepada orang lain.

2- Kita tetap bersyukur kerana kita terpilih untuk menyertai program ini walaupun bilangan penyertaan tidak seperti perancangan asal. Namun saya yakin bahawa apabila ia telah berlaku, itu adalah ketentuan Allah. Kita berusaha mempromosinya secara bersungguh-sungguh sebelum program berlangsung dan apabila telah berlangsung, itu urusan Allah s.w.t. Kerja kita adalah menyampai dan mengajak, Allah yang menentukan.

3- Antara objektif program perkhemahan kita ialah memupuk kesedaran serta semangat kesukarelaan dan kebaktian di kalangan siswa siswi UMP. Oleh sebab itu, slot bersama pelajar SEMESTA dimasukkan ke dalam jadual program.

4- Program ini bagi saya dan kami barisan urusetia adalah program memberi dan menerima (give and take). Di samping kami berusaha menyampaikan pengajaran dan pendidikan melalui aktiviti santai, langsung atau tidak langsung, kami juga sebenarnya sedang mentarbiyah diri kami sendiri. Kami mengambil peluang yang ada untuk memuhasabah diri kami sendiri pada perkara-perkara yang kami sampaikan pada peserta. Di samping memberi, kami mengkoreksi diri.

5- Demikianlah juga kami harapkan dari para peserta (siswa-siswi UMP) yang telah memimpin LDK bersama para pelajar tahun 4 dan 5 SEMESTA. Di samping memberi mereka ilmu dan perkongsian tips serta pengalaman, kalian juga wajar mengkoreksi diri masing-masing agar kita juga mendapat manfaat. Jangan kita hanya menyampaikan, sedang kita sendiri tidak laksanakan.

Alhamdulillah, sungguh nyaman terasa jiwa... melalui detik-detik yang berlalu... merasai belaian lembut alam semesta... menikmati sebahagian kenangan bersama kalian.. terima kasih!