Monday, August 30, 2010

Contoh Keikhlasan, Keberanian dan Ketegasan Seorang Ulama'


Video ini menunjukkan keberanian, ketegasan dan keikhlasan Al-Marhum Syaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi, seorang Ulama terkenal di Mesir sedang menasihati Presiden Mesir, Muhammad Husni Mubarak yang terkenal diktatornya, tanpa sedikit pun rasa gentar, malah memegang bahunya, seperti seorang ayah menasihati anak. Baik untuk menjadi qudwah kepada para Ulama atau Mufti pada hari ini...

Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi).. wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku menjadi munafiq. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa. Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan). Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata? “..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” – (Surah al-Baqarah:258, al Quranul Karim)

Maka kekuasaan itu Allah diberi kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia. Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu. Aku berkata kepada kamu sekalian, Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :“..Wayamkuruuna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :“..Innahum yakiidunakaidan wanakiiuunakaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga). Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;

“..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.

Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita!(Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu presiden Mesir dan berkata;) “..Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami)..”.

http://aljoofre.iluvislam.com/

Sunday, August 29, 2010

Bolehkah Non Muslim Masuk Masjid?


Soalan:

Apakah hukum dlm Islam jika non-Muslims memasuki masjid utk membuat baik-pulih/ubah-suai, menyampaikan ucapan, atau belajar lebih lanjut mengenai Islam?

Jawapan oleh Syeikh `Atiyyah Saqr, & Syeikh Muhammad Saleh Al-Munajjid

Adalah ditegaskan yg Islam menggalakkan toleransi dan kewujudan bersama secara aman antara Muslims dan non-Muslims. Jika non-Muslim masuk ke masjid utk menyampaikan ucapan yg boleh membawa kpd persefahaman lebih baik, maka ia amat di alu-alukan dan digalakkan mengikut pandangan agama. Islam ialah agama yg mengamalkan dialog yg bermanfaat dlm maksud sebenar. Sejarah Muslim ialah satu contoh yg baik berkenaan hal ini.

Sheikh `Atiyyah Saqr, bekas ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar Fatwa, menjelaskan pandangan Fuqaha berkenaan hal ini seperti berikut:

Allah SWT berfirman, (Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis (tidak suci), maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.) (At-Tawbah 9: 28)

Allah SWT berfirman lagi, (Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi...) (An-Nisaa’ 4: 43)


Berpandukan ayat-ayat ini, majority Fuqaha, termasuk mereka dari Mazhab Fiqah Maliki, Shafi`i dan yg lain, menegaskan yg musyrikin/penyembah berhala tidak dibenarkan utk memasuki Masjidil Haram di Makkah. Bagaimanapun, mereka berpendapat tidak salah kalau Orang Kristian dan Yahudi memasukinya. Mereka berpendapat hukum ini diguna-pakai kpd Masjidil Haram di Makkah juga kawasan persekitarannya. Abu Hanifah, bagaimanapun, berpendapat musyrikin/penyembah berhala boleh masuk ke Masjidil Haram di Makkah selagi dia tidak tinggal atau menetap disitu. Dia menafsirkan tidak suci sebagai kekotoran spiritual (syirik).


Utk masjid lain selain Masjidil Haram di Makkah, Fuqaha Madinah melarang non-Muslims dari memasuki masjid kerana non-Muslims dianggap oleh al- Qur’an sebagai tidak suci. Imam Ahmad diriwayatkan berkata mereka boleh masuk ke masjid dgn kebenaran Muslims. Ini disokong oleh riwayat yg Rasululllah (SAW) membenarkan penduduk At-Ta’if utk tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Baginda juga menerima Orang Kristians dari Najran dlm masjid baginda di Madinah. Apabila masa sembahyang mereka sampai, mereka bersembahyang di masjid mengadap arah timur. Maka Rasululllah (SAW) bersabda (kpd Sahabat), “Biarkan mereka (utk menunaikan sembahyang).”

Di bawah tajuk ‘Musyrik Masuk Ke Masjid’, Al-Bukhari, dlm Sahih nya menyebut yg Thamamah ibn Athal (sedangkan dia seorang Musyrik) diikat dlm masjid.

Dlm Fath al-Bari, Ibn Hajar menyebut terdapat pelbagai pendapat mengenai hal ini. Fuqaha Hanafi memberikan kebenaran tanpa syarat sedangkan ulama Maliki dan al-Mazni diriwayatkan melarang nya langsung. Ulama Shafi`i membezakan antara Masjidil Haram dgn masjid lain. Terdapat satu pendapat yg kebenaran itu dihadkan kpd Ahli Kitab tetapi ini di bantah dgn kes Thamamah yg disebutkan di atas.

Sheikh M. S. Al-Munajjid, penceramah dan pengarang Islam dari Arab Saudi, menyatakan:

Adalah diharamkan kpd Muslims utk membenarkan sebarang non-Muslim utk masuk ke Al-Masjid Al-Haram di Makkah dan persekitarannya yg suci, kerana Allah berfirman: (Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis (tidak suci), maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskinmaka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.) (At-Tawbah 9: 28)

Berkenaan dgn masjid lain, beberapa Fuqaha Muslim berpendapat adalah dibenarkan kpd non-Muslims utk masuk ke dlm nya kerana tiada dalil utk menyebut keharaman perbuatan itu; yg lain berkata ia nya tidak dibenarkan, dgn qias kpd kes Al-Masjid Al-Haram.


Pandangan tepat ialah ia nya dibenarkan jika ia menepati matlamat Shari`ah atau menepati sebab penting, seperti jika non-Muslim perlu masuk ke masjid utk mendengar sesuatu yg mungkin menggalakkan nya utk memeluk Islam, atau dia perlu minum air, atau seumpamanya. Ini adalah tujuan cara Rasulullah (SAW) dlm hal ini; dia mengikat (tawanan baginda ) Thamaamah ibn Athal Al-Hanafi dlm masjid sebelum dia menjadi Muslim, dan rombongan dari Thaqif dan Kristian dari Najran tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Sebenarnya, banyak manfaat diperolehi dari hal ini: mereka boleh mendengar ucapan dan khutbah Rasulullah (SAW) utk melihat orang solat dan membaca al- Qur’an, dan sebagainy. (Fatawa Al-Lajnah Al-Da'imah – Jawatan kuasa Tetap Utk Kajian Islam dan Ifta’)


Sumber: Can a non-Muslim Enter the Mosque?

http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503543870&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaE

Perterjemah: Zul Yusoff http://zulyusoff.blogspot.com

Non-Muslim Masuk Masjid - Hormati Keputusan Muzakarah JK Majlis Fatwa Kebangsaan


Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:
  1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.
  2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.
  3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.
  4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.

Thursday, August 26, 2010

Doa Untuk Bukan Muslim


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut. SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;

1. Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh –bukan lemah seperti saya- dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

5. Kata Abdullah bin Mas’ud:

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.

7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:

“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.

11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?

12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:

“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.


10 Pembohongan Besar Media Berkenaan Israel


Seorang jurnalis dan pengarang yang berasal dari Belgium, Michel Collon, mengecam media Eropah kerana sikap mereka yang telah berabad-abad berbohong kepada masyarakat awam semata-mata untuk memberi sokongan kepada negara haram Israel. Melalui buku beliau yang bertajuk “Israel, let’s talk about it”, Collon telah menyenaraikan “10 pembohongan besar” yang telah disebarkan oleh media Barat bagi “menjustifikasi kewujudan dan tindakan-tindakan kejam rejim Zionis Israel”.

Berikut adalah pembohongan-pembohongan yang dimaksudkan:


1. Pembohongan pertama adalah bahawa negara haram Israel tertubuh sebagai reaksi kepada pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi ketika peperangan dunia kedua. Dakwaan ini sangat tidak betul, kerana penubuhan Israel pada hakikatnya adalah sebuah perancangan tirani yang kejam dan otokratik, yang telah dipersetujui oleh Kongres Zionis yang pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897. Dari sinilah puak-puak nasionalis Yahudi memutuskan untuk menakluk dan menzalimi Palestin.

2. Justifikasi kedua bagi mereka mendirikan negara haram Israel adalah bahawa kaum Yahudi kembali ke bumi nenek moyang mereka, dari mana mereka telah dihalau pada tahun 70 A.D. Ini hanyalah satu cerita dongeng! Collon telah berbincang dengan beberapa orang tokoh sejarah Israel, termasuklah Shlomo Sand, dan mereka semua percaya bahawa tidak pernah berlaku pemindahan beramai-ramai kaum Yahudi. Jadi “kembali ke bumi asal” adalah suatu yang tidak benar. Mereka yang menetap di Palestin pada zaman lampau tidak pernah meninggalkan bumi itu.

Malahan keturunan Yahudi yang berasal dari Palestin adalah mereka yang sekarang ini tinggal di Palestin. Mereka yang mendakwa untuk kembali ke bumi Palestin adalah sebenarnya berasal daripada Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.

Shlomo Sand menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebuah negara Yahudi. Malahan, puak-puak Yahudi tidak pernah mempunyai persamaan dalam sejarah, bahasa mahupun budaya. Satu-satunya perkara yang mempunyai persamaan antara mereka adalah agama, dan agama tidak membentuk sebuah negara.

3. Pembohongan ketiga adalah bahawa ketika pendatang-pendatang Yahudi memasuki dan menduduki Palestin, bumi tersebut merupakan sebuah negara yang “kosong’ dan tidak diduduki. Sesungguhnya terdapat dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang mengesahkan terdapat transaksi mengekspot barangan pertanian daripada Palestin ke negara-negara luar, termasuk Perancis, dalam abad ke sembilan belas.

4. Keempat, ada pihak yang mendakwa bahawa rakyat Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela. Ini adalah satu lagi pembohongan besar yang dipercayai ramai, termasuklah Collon sendiri, sehinggalah tokoh-tokoh sejarah Israel seperti Benny Morris dan Ilan Pappe menyatakan bahawa warga Palestin telah dihalau dan dihapuskan dari tanahair mereka melalui kekerasan, jenayah dan kekejaman.


5. Dikatakan bahawa negara Zionis Israel yang wujud hari ini adalah satu-satunya negara yang mengamalkan demokrasi di Timur Tengah, jadi negara itu harus dilindungi kerana ianya adalah sebuah negara yang menegakkan undang-undang.

Tetapi menurut Collon, bukan sahaja Israel sebuah negara yang tidak menegakkan undang-undang, malahan Israel juga adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai undang-undang yang dapat menjelaskan di mana wilayah dan sempadan negaranya.

Semua negara di dunia ini mempunyai undang-undang atau konstitusi yang memberi denifisi jelas berkenaan wilayah dan sempadan negara mereka, tetapi perkara ini tidak pernah wujud bagi negara Israel. Israel hanyalah sebuah projek penaklukan yang berkembang tanpa mengenal sempadan, dan undang-undang yang ada bagi negara tersebut benar-benar berbentuk perkauman. Menurut undang-undang mereka, Israel adalah sebuah negara untuk Yahudi dan penduduk Israel yang bukan daripada keturunan Yahudi tidak diiktiraf sebagai manusia. Adakah undang-undang seperti ini membentuk sebuah demokrasi?

6. Amerika dikatakan cuba menegakkan demokrasi di Timur Tengah dengan membantu dan mempertahankan negara Israel. Kita semua maklum bahawa bantuan kewangan tahunan Amerika kepada Israel mencecah sehingga USD 3 bilion. Dana ini sebenarnya digunakan untuk menghancurkan negara-negara yang berjiran dengan Israel.

Amerika tidak pernah menegakkan demokrasi di Timur Tengah, mereka mungkin hanya membantu mengukuhkan pemerintah yang sedia ada dan penguasaan kekayaan minyak di wilayah tersebut.

7. Mereka mendakwa Amerika membantu usaha mencapai persetujuan dalam perjanjian antara Israel dan Palestin. Ini juga suatu yang tidak benar dan pembohongan. Mantan Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Javier Solana pernah menyebut bahawa Israel adalah negara yang ke-21 dalam Kesatuan Eropah. Industri pertahanan Eropah bekerjasama dengan industri pertahanan Israel dan malahan membantu mereka dari segi kewangan. Tetapi apabila rakyat Palestin memilih pemerintah kerajaan mereka, negara-negara Eropah tidak mahu mengiktirafnya dan membenarkan Israel menyerang dahsyat bumi Gaza.

8. Apabila seseorang bercakap tentang perkara-perkara seperti ini dan juga sejarah pergolakan Israel dan Palestin, apabila seseorang mendedahkan kepentingan Amerika terhadap isu ini, dia akan didakwa sebagai anti-semit untuk memberi tekanan supaya beliau menutup mulut.

Tetapi kita harus menyebut bahawa bilamana kita mengkritik Israel, itu bukanlah suatu bentuk perkauman atau anti-semitism. Kita mengkritik sebuah kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan antara pemganut-penganut Yahudi, Kristian dan Islam, dan seterusnya menghapuskan keharmonian di kalangan penganut-penganut agama yang berbeza.

9. Media massa juga mendakwa bahawa rakyat Palestin melakukan jenayah dan keganasan. Kita percaya bahawa penaklukan secara kejam yang dilakukan oleh tentera Israel adalah sebenarnya satu jenayah dan keganasan, begitu juga dengan polisi mereka merampas tanah dan rumah-rumah milik rakyat Palestin adalah satu keganasan yang nyata. Rakyat Palestin hanyalah mempertahankan hak dan bumi milik mereka daripada jenayah dan keganasan Israel.

10. Ramai yang mengatakan bahawa tidak ada langsung harapan untuk menyelesaikan konflik ini, dan tidak akan ada penyelesaikan terhadap kebencian yang terbentuk akibat aksi-aksi ganas Israel dan sekutunya.

Percayalah di sana ada satu penyelesaian. Salah satu perkaya yang dapat menghentikan konflik ini adalah dengan memberi tekanan terhadap Israel, Amerika, Eropah dan sekutu-sekutu mereka yang lain. Media massa perlu diberi tekanan supaya memberitakan apa yang benar dan menghentikan pembohongan.

Gunakan internet dan apa sahaja media yang ada bagi menyebarkan perkara yang sebenarnya berkenaan Palestin dan apa yang berlaku di sana.

sumber - http://haluanpalestin.haluan.org.my/

Tuesday, August 17, 2010

Bahkan, Lebih Bangsat Dari Binatang!!!




SANDAKAN [ 3 Julai 2010 ] Mayat seorang bayi perempuan ditemui di tapak pelupusan sampah di Batu 8 Jalan Fook Kim . Sandakan Sabah .

JOHOR BHARU [ 12 Julai 2010 ] Mayat bayi lelaki yang disimpan di dalam sebuah beg plastik di kawasan semak ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu . Johor Bharu .

JOHOR BHARU [ 22 Julai 2010 ] seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg berhampiran hentian bas dekat Hospital Sultan Ismail sebelum ditemui seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi jalan pesiaran Mutiara Emas yang mengesyaki sesuatu apabila melihat sebuah beg bergerak - gerak .

KUALA LUMPUR [ 24 Julai 2010] Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat Sri KelantanBandar Baru Sentul. Mayat yang masih bertali pusat dan diselimuti dengan kain batik itu ditemui dalam tong sampah oleh pengutip barangan lusuh ketika menggeledah tong sampah di flat itu .
NIBONG TEBAL [ 31 Julai 2010 ] Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan berbalut dengan plastik dan kertas surat khabar di kaki lima sebuah bangunan kedai di taman Cegar Simpang Ampat .

KUALA LUMPUR [ 6 August 2010 ] seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditinggalkan dalam sebuah lubang paip dalam longkang berhampiran sebuah stesen minyak di Klang Gate.

GEORGE TOWN [ 9 August 2010 ] Janin bayi lelaki dipercayai digugurkan ditemui seorang lelaki pemungut tin kosong dalam tong sampah di Pasar Borong Pulau Mutiara Jalan Makloom.

TAMPIN [ 10August 2010 ] Tidak sampai 4 jam selepas dilahirkan , seorang bayi perempuan terpaksa menahan sejuk lapar sambil menangis akibat ditinggalkan dihadapan sebuah rumah di Air Kuning Selatan dekat Gemencheh .

TANAH MERAH [ 12 August 2010 ] Bayi perempuan masih bertali pusat dipercayai dibuang sejak seminggu lalu ditemui seorang murid di dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej di bandar Bukit Bunga .

MELAKA [ 12 August 2010 ] Bayi baru dilahirkan dan masih hidup ditemui dalam tong sampah berdekatan pondok kawalan sebuah kilang plastik di Ayer keroh . Bayi perempuan yang masih bertali pusat itu dimasukkan dalam sebuah beg pakaian berwarna hitam sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

KELANTAN , MELAKA DAN KUALA LUMPUR [13 August 2010 ] 3 kes lagi pembuangan bayi telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam di kelantan , Melaka dan Kuala Lumpur .

PETALING JAYA [ 15 August 2010 ]- Meskipun kerajaan telah mengumumkan akan bertindak tegas terhadap pesalah kes buang bayi, ia masih gagal memberi kesedaran malah perbuatan itu berlaku lagi. Kali ini, mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah beg sandang yang tersangkut di tebing Sungai Tambun, Kota Damansara di sini hari ini.
Komen saya : Bila hiburan meliar dan berleluasa, kerja haram dianggap biasa (judi, arak dll), hukum Allah dan syariat dijeling penuh curiga, nafsu syahwat bermaharaja lela, insan hilang kemanusiaannya, anak2 kecil inilah menjadi mangsa.. "BINATANG JADI LEBIH BAIK DARI MANUSIA"