Monday, May 31, 2010

ASAS2 MENGENAL HAKIKAT DIRI DAN ISLAM


Assalamualaikum wrt wbt


Dalam kesempatan kali ini, marilah sama-sama kita bincangkan hadith Nabi s.a.w. yang dipetik dari buku Hadis 40 susunan Imam An-Nawawi.

Dari Abi Muhammad, Abdullah bin Amru Bin Al-'Ash r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda (yang mafhumnya) ; "Tidak (sempurna) iman seseorang dari kalian sehinggalah hawa nafsunya mengikuti apa yang telah aku bawa" [Hadith Sahih yang diriwayatkan di dalam kitab al-Hujjah susunan Abu Al-Fath Nashr Ibnu Ibrahim AL-Maqdisy dengan sanad sahih]

Secara umumnya, hadits ini menyentuh dan menghubungkan di antara 3 perkara penting iaitu :
  1. Tuntutan kesempurnaan iman
  2. Hakikat jiwa (hawa nafsu) manusia
  3. Apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. (Risalah Islam)

Bagaimanakah jiwa yang mengikut risalah Allah s.a.w. dapat dikaitkan dengan kesempurnaan iman? Untuk menjawap persoalan ini, memerlukan kita mengetahui dan memahami secara mendalam berkaitan topik IMAN.

Iman mengajar kita menginsafi akan HAKIKAT JIWA INSAN. Sekurang-kurangnya akal yang waras akan mengakui bahawa kita selaku manusia ;
  1. Tidak berupaya mencipta diri kita sendiri. Kita langsung tiada daya untuk menentukan dan memilih bentuk, masa, jenis, tempat atau ibu bapa yang akan melahirkan kita. Semuanya telah ditentukan dan ditetapkan oleh pencipta kita, yakni Allah s.w.t.
  2. Kita juga tidak berupaya mengawal tumbuh besar dan perkembangan usia kita. Langsung tiada upaya. Sama ada bersedia menerima atau tidak, usia dan fizikal kita berkembang (semakin dewasa dan tua), tanpa kawalan kita.
  3. Lebih menakutkan ialah, kita langsung tidak dapat menentu dan menetapkan tempoh kehidupan kita serta pengakhirannya. Mati tidak mengikut jadual kita, ia mengikut jadual Yang Mencipta kita.

Iman juga mengajar kita bahawa satu-satunya jalan untuk selamat dalam menelusuri kehidupan di dunia ini dan seterusnya di hari akhirat ialah dengan kita merujuk kepada panduan yang diturunkan oleh Pencipta yang mengawal dan menentukan segala-galanya tadi. Itulah satu-satunya PANDUAN yang BENAR, menjelaskan tentang hakikat MANUSIA, hakikat KEHIDUPAN, hakikat PENCIPTA dan seterusnya hakikat JALAN YANG LURUS yang selamat untuk ditempohi oleh manusia dalam menuju ke PENGAKHIRAN perjalanan hidupnya yang hakiki.

Manusia yang tidak sempurna imannya atau tidak beriman, akan merasakan bahawa DIRINYA adalah hak dan milik mutlaknya. Oleh yang demikian, ia akan merasakan bahawa dia boleh dan bebas untuk berbuat apa sahaja menurut hawa nafsunya. Mereka lupa bahawa sebenarnya TIDAK WUJUD apa yang dinamakan KEBEBASAN MUTLAK dalam kehidupan manusia. Manusia bukan pemilik dirinya. Dirinya itu milik Allah s.w.t. Kalau dia masih berdegil, mintalah dia tahan perkembangan diri dan usianya agar tidak tua. Kalau manusia masih berdegil, larilah dari MATI nantinya apabila ia menjengah tiba... MUSTAHIL! kesemuanya itu langsung di luar kawalannya...

Menyedari dan menginsafi hakikat ini, marilah kita bersama-sama menjalani kehidupan ini dengan sewajarnya. Dari Allah kita datang, kepada ALlah jualah kita akan kembali. Oleh itu, hiduplah di bawah naungan dan kehendak Allah, dengan MENGIKUTI cahaya panduan yang telah diperturunkan kepada kita oleh Baginda Rasulullah s.a.w... KITA PASTI SELAMAT!