Friday, July 04, 2008

Islam dan Realiti Ummah



Muqaddimah

Masyarakat manusia pada hari ini sesungguhnya hidup dalam bencana. Bencana besar yang saya maksudkan di sini ialah berlakunya krisis nilai. Krisis ini menimpa hampir ke semua peringkat dan golongan masyarakat termasuk umat Islam itu sendiri. Akibat dari krisis tersebut mengundang pelbagai polemik, kecelaruaan sikap dan tindakan, kegawatan berkaitan isu agama, moral, sosial, politik dan lain-lainnya. Apakah punca krisis ini berlaku? Banyak faktor sebenarnya yang membawa kepada terjadinya krisis tersebut. Antaranya ialah penolakan manusia dan egonya mereka untuk kembali kepada Islam yang tulen, terhadnya kebebasan untuk menyampaikan maklumat dan ilmu yang sebenar selain bangsa Melayu itu sendiri dijajah oleh kuasa asing lebih kurang 500 tahun lamanya. Segala perkara boleh berlaku dan berubah sepanjang tempoh tersebut.

Realiti

Hari ini umat Melayu Islam boleh dikatakan mewarisi Islam yang telah bercampur aduk dengan ideologi, budaya, adat resam yang pelbagai, antaranya :

1. Pemikiran Sekuler – iaitu ideologi yang memisahkan agama dan urusan dunia. Inilah yang banyaknya dianuti oleh bangsa melayu dan umat Islam khususnya. Dalam pergaulan harian atau urusan kerjaya, kita akan menemui orang Islam yang hanya menganggap Islam dan hukum Islam hanya terpakai ketika di masjid, hari-hari kebesaran agama, aktiviti kerohanian dan bacaan doa rasmi semata-mata.Tiada kaitan antara Islam dengan sukan, budaya, seni, pengurusan, pentadbiran dan aktiviti-aktivit yang lainnya. Kesannya, lahirlah masyarakat Islam yang mencari agama hanya ketika berlaku kelahiran (majlis cukur jambul), berkhatan, perkahwinan (cari wali hakim) dan kematian. Selain itu agama ditinggalkan. Berlaku juga wanita Islam yang hanya menutup aurat ketika sembahyang, apabila memasuki masjid atau menghadiri perbicaraan di mahkamah syariah. Selain itu, aurat tidak perlu dijaga.

2. Islam Liberal – golongan cendiakawan dan kumpulan orang Islam yang terpengaruh dengan bacaan dan kajian mereka terhadap tulisan-tulisan oreantalis barat mahu pun timur. Mereka mengambil Islam bukan dari ahlinya dan tidak mengikut kaedah yang sepatutnya. Islam difahami secara meliar dan penuh prasangka. Timbullah isu-isu berkaitan peribadi Rasulullah s.a.w., penolakan terhadap hadith sebagai sumber rujukan kedua Islam, isu kewanitaan, aurat, pembahagian harta pusaka, prejudis terhadap poligami, anti jihad dan lain-lain lagi.

3. Islam Warisan – atau juga disebut Islam secara keturunan. Golongan ini memahami Islam yang telah bercampur dengan pelbagai adat istiadat dan budaya amalan resam masyarakat. Amalan-amalan tersebut sebati sehingga menjadi kemestian dan sunnah pula terkadang diabaikan. Amalan mengadakan kenduri marhaban dan mencukur jambul dengan air yang diletakkan di dalam kelapa yang ditebuk kadang-kadang lebih didahulukan berbanding sunnah tahnik (belah mulut dengan kurma), sedeqah dengan kadar timbangan berat rambut bayi, akikah dan sebagainya. Kenduri marhaban yang diadakan tidak dilibatkan ibadah akikah. Demikianlah juga adat mengkebumikan uri secara luar biasa, diikat bayi dengan benang hitam sebagai tangkal, adat persandingan ketika perkahwinan, adat membatal air sembahyang, kenduri arwah dan tahlil 7 hari berturut-turut, adat membaca Al-Qur’an di kubur 7 atau 40 malam berturut-turut dan lain-lain lagi. Segala adat istiadat ini diamalkan oleh sesetengah masyarakat melayu Islam dengan beranggapan ianya satu kemestian.

4. Ajaran-ajaran sesat – seperti ajaran Ayah Pin, tidak wajib solat Jumaat, ajaran sembahyang pakai (sekadar) niat, rijal ghaib, wehdatul wujud, wali-wali keramat (walaupun berlaku pelanggaran syariat), ilmu hitam, sihir, santau, pukau, pembomohan, dukun, pawang, nujum dan sebagainya dengan bantuan Jin dan Syaitan, dakwaan mengaku Nabi, mendakwa Imam Mahdi, kumpulan blackmetal, dan lain-lainnya

Hakikat Islam

Islam adalah tatacara panduan hidup yang bersumberkan wahyu iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai penyuluh kehidupan manusia. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 185, mafhumnya :

"(hari-hari tertentu itu ialah) bulan Ramadhan yang diturunkan padanya AL-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan yang jelas kepada petunjuk tersebut serta sebagai pembeza (antara haq dan batil)...”

Allah s.w.t. yang menciptakan manusia dan menurunkan manusia awal iaitu Adam a.s. dan Hawa ke bumi sebagai khalifah, telah menitip satu pesanan yang sangat penting kepada Adam a.s. sebagai peringatan kepada baginda dan seluruh keturunannya sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah s.a.w. di dalam surah Thoha ayat 123-124 Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya :

"Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebagian kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain (Syaitan dan manusia atau manusia sesama manusia). Maka jika datang kepadamu petunjuk daripadaKu, lalu barangsiapa yang mengikut petunjukKu, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta."

Ciri-ciri Utama Islam

Ciri-ciri Islam yang paling utama ialah Syumul iaitu menyeluruh. Islam adalah satu tatacara hidup yang mencakupi seluruh bidang, peringkat dan lapangan kehidupan manusia. Islam adalah kenegaraan dan tanahair, kerajaan dan sistem keadilan, undang-undang dan kehakiman, ketenteraan dan jihad, keselamatan dan pertahanan, ekonomi dan material, kemajuan dan tamadun, kesenian dan kebudayaan, penguasaan ilmu dan kecemerlangan akademik, kebersihan dan kesihatan sama sepertimana Islam juga adalah aqidah yang benar, ibadah yang betul dan akhlak yang tulus tanpa ada beza di antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nahl ayat 89, mafhumnya :

"... Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri."

Kewajipan kita

Menjadi kewajipan kita sebagai muslim untuk meyakini, menghayati dan melaksanakan Islam dalam segenap jurusan dan urusan hidup. Allah s.w.t. memerintahkan kita agar beriman dengan seluruh Al-Qur’an dan mengancam mereka yang beriman sebahagian serta engkar pada sebahagian ayat-ayat Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 85 yang mafhumnya :

"Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat"

Dengan sejelas-jelasnya Allah s.w.t. memerintahkan kita sebagai tuntutan iman untuk menerima dan melaksana Islam secara menyeluruh dengan firmanNya di dalam surah Al-Baqarah ayat 208, mafhumnya :

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Penutup


Inilah Islam yang kita yakini dan kita bertanggungjawab dengannya. Islam yang asal bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai rujukan yang konkrit dan tidak tercabar (mukjizat). Kita benar-benar meyakini bahawa hanya Islam dalam bentuknya yang tulen inilah mampu menyelesaikan segala kerumitan dan konflik hidup yang dihadapi manusia. Inilah janji dari Allah s.w.t. kepada kita. Kita mengimpikan kesejahteraan hidup manusia dan masyarakat di bawah naungan Islam samada dalam lapangan sosial, ekonomi mahu pun politik. Mungkin ada orang yang beranggapan bahawa kita sedang berenang di lautan khayalan dengan impian tersebut.. pedulikan mereka! Tegaskan kepada mereka, inilah prinsip keyakinan kita! dan.. jiwa kita tenang dengannya...

(Tulisan ini adalah tokoh tambah kepada nota ceramah saya yang bertajuk Indahnya Islam yang disampaikan pada pelajar-pelajar baru UMP dalam program Celik Minda sempena Minggu Induksi Siswa UMP 2008 yang di adakan pada 2hb Julai 2008, selepas solat Maghrib bertempat di Masjid UMP)

No comments: