Selaku pengasasnya, saya sendiri pun tidak ingat dengan tepat bila tarikh penubuhannya atau permulaannya (kerana SAHAM bukan pertubuhan). Seingat saya, Sahabat Masjid (SAHAM) bermula seiring awal perkhidmatan saya bersama UMP pada tahun 2003 ataupun 2004 yang ketika itu masih dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia atau ringkasannya KUKTEM. Pada waktu itu, KUKTEM masih terlalu muda dan tengah giat membangunkan struktur organisasi dan metal modelnya. Saya diamanahkan bermula Mei 2003 oleh pihak pengurusan sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam bagi membangunkan masjid, aktiviti keagamaan dan kerohanian warga UMP serta mendokong usaha-usaha penghayatan nilai teras universiti. Pelanggan saya adalah warga UMP mencakupi pelajar (siswa-siswi) dan staf.
Di tahun-tahun awal KUKTEM, semua warga kerja dilibatkan
secara aktif untuk membangunkan universiti secara kolektif dengan bidang kepakaran
dan sector masing-masing. Ketika itu, dalam rangka menerapkan penghayatan nilai
teras universiti, saya dilibatkan dengan RAKSI iaitu singkatan program Rakan
Siswa anjuran HEP (nama lama JHEPA) yang mewajibkan penglibatan seluruh
mahasiswa sama ada sebagai peserta atau sebagai pembantu fasilitator. Terlibat
sebagai fasilitator beberapa semester dan bersama membangunkan modul RAKSI
beberapa tahun adalah antara pengalaman manis generasi awalan UMP yang
mengimpikan lahirnya produk yang seimbang dari segi intelektual dan
spiritualnya. Ketika itu, staf-staf dan para pensyarah muda menawarkan diri
secara sukarela untuk menjayakan program tersebut samada sebagai AJK
pembangunan modul mahupun fasilitator. Program tersebut sangat baik walaupun
nafasnya tidak panjang atas sebab-sebab yang saya tidak mengetahuinya secara
terperinci dan tidak berminat untuk memanjangkannya di sini. Bagaimana pula
dengan SAHAM?
Dengan amanah sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam yang pertama
dan berseorangan di bawah pejabat Rektor, saya diberi peluang untuk sendiri
membangunkan bidang tugas hal ehwal Islam dan bentuk program yang ingin
dijalankan. Skop asasnya mudah ; pembangunan masjid, aktiviti keagamaan dan
pembangunan keinsanan melibatkan warga UMP, staf dan pelajar. Saya mulakan
usaha dengan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa agama bagi operasi masjid,
aktiviti memakmurkan masjid dengan pelantikan AJK, jadual kuliah maghrib,
tugasan imam dan bilal serta klinik Al-Quran. Untuk staf, saya mula
menyampaikan tazkirah ringkas di jabatan-jabatan selain pengisian sempena
hari-hari kebesaran Islam. Alhamdulillah, rakan-rakan staf terutamanya
ustaz-ustaz pensyarah banyak membantu.
Bagaimana dengan mahasiswa? Bagaimana untuk mendekati mereka
sedangkan saya bukan pensyarah? Apa ruang yang ada untuk memainkan peranan hal
ehwal islam dan penghayatan nilai teras kepada mereka? Masjid bukan tempat
tumpuan dan serbuan anak muda untuk datang berbondong-bondong dan itu semua
adalah perkara yang kita sedia maklum. Dengan jarak yang ada antara saya selaku
staf non akademik dengan mereka, pertemuan hanyalah ketika waktu-waktu solat
berjemaah. Peluang itulah yang saya manfaatkan untuk mengenali sebahagian
mereka selain dari pengalaman dan kenalan melalui program RAKSI.
Pertemuan demi pertemuan, membawa kepada pelantikan mereka
(mahasiswa) sebagai AJK tambahan di dalam AJK Masjid KUKTEM pada ketika itu.
AJK masjid yang dipengerusikan oleh tuan Pendaftar pertama UMP (KUKTEM) ketika
itu meminta saya selaku setiausaha merangkap Pegawai Hal Ehwal Islam merancang
aktiviti-aktiviti yang bersesuaian untuk pembangunan keagamaan dan keinsanan
anak-anak muda ini. Malah Dato’ Rektor pertama UMP (KUKTEM) sendiri pernah
memanggil saya dan bertanyakan apa aktiviti-aktiviti yang dijalankan serta
beliau mencadangkan agar dipelbagaikan program untuk menarik anak-anak muda ini
seperti program kemasyarakatan, rehlah dan perkhemahan tanpa terhad di dalam
dewan masjid semata-mata. Motivasi dan sokongan dari pihak tertinggi pengurusan
dan rakan-rakan pensyarah inilah yang mendorong saya merancang dan memulakan
program menghimpunkan sekumpulan mahasiswa/i yang aktif ke masjid untuk
membantu menggerakkan idea dan pelaksanaan program.
Sebenarnya program ini bukanlah idea tulen saya. Ia hanyalah
satu usaha menyokong program kerajaan yang sedang bergerak ketika itu iaitu
Rakan Muda bersama masjid yang dipopularkan dengan nama Rakan Masjid, cuma
disesuaikan dengan realiti mahasiswa universiti. Mengapa saya tidak terus
memakai nama Rakan Masjid? Pada awalnya itulah nama yang ingin saya cadangkan.
Cuma saya memikirkan apakah nama ringkasan yang sesuai untuk Rakan Masjid..
RAKID? RAJID? RAMAS? (lagi teruk).. Ketika itulah timbul ilham untuk
menamakannya dengan Sahabat Masjid dengan ringkasan SAHAM. Nama yang nampak
menarik. Ada kalimah ‘sahabat’ yang saya rasa lebih menarik dari ‘rakan’
termasuklah maksud ‘saham’ yang boleh dikaitkan dengan saham (pelaburan)
akhirat dan sebagainya.
SAHAM adalah PROGRAM BERTERUSAN DAN JANGKA PANJANG yang
dijalankan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam UMP, kemudiannya diteruskan oleh UNIT
HAL EHWAL ISLAM, PEJABAT NAIB CANSELOR UMP sehinggalah kini masih berstatus
program di bawah PUSAT ISLAM & PEMBANGUNAN INSAN (PIMPIN) UMP. Pelbagai
aktiviti menarik yang disusun sepanjang operasinya seperti program Smart Group,
kelas bimbingan fardhu ain, klinik Al-Quran, kem Sahabat Masjid dan lain-lain
lagi selain AJK SAHAM membantu menggerakkan program PIMPIN yang lain serta
program keagamaan di peringkat Universiti. Untuk kepelbagaian medium kreatif,
selain program hiburan sambil mendidik, juga digerakkan aktiviti rehlah dan
perkhemahan dengan kekerapan 2 atau 3 kali setahun. Perkhemahan di Tasik
Kenyir, Pulau Kapas, Deerland Lanchang, Kela Camp Raub, Sungai Miang Selangor,
Cameron Highland, sekitar Kuantan dan lain-lain lagi tempat menarik dijalankan
dengan bajet PIMPIN. Alhamdulillah, usaha murni ini mendapat sokongan dan
penyertaaan. SAHAM diiktiraf dalam menjayakan aktiviti keagamaan.
Sudah banyak kali Pejabat Naib Canselor, JHEPA dan lain-lain
PTJ menghubungi PIMPIN untuk menyediakan tenaga SAHAM samaada bagi menjayakan
aktiviti keagamaan peringkat universiti , tenaga fasilitator dalam motivasi
kerohanian, mahu pun memenuhi kouta jemputanpihak luar kepada mahasiswa UMP
khasnya dalam program-program sambutan hari kebesaran Islam. Kami menghubungi
AJK SAHAM dan mereka bergerak menghimpunkan peserta walaupun tanpa merit dan
bukan sebuah pertubuhan atau kelab. Ketika itu, tidak timbul langsung isu
tersebut. Mereka mendokongnya, lantaran mereka percaya yang mereka sedang
menyumbang kepada universiti yang mereka cintai. Malah lebih dari itu, atas
komitmen mereka dalam menjayakan aktivti keagamaan yang melibatkan PIMPIN dan pihak berkuasa agama daerah mahu pun negeri, SAHAM pernah diiktiraf secara lisan dan disebut secara rasmi dalam program anjuran Bahagian Masjid Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dan dijadikan sebagai contoh kepada masjid-masjid dalam negeri Pahang dalam mendekati anak muda. Setakat yang saya maklum Masjid Daerah Lipis telah menubuhkan Sahabat Masjid, termasuk Masjid Lama Permatang Badak dan pernah dihubungi oleh Masjid KIPSAS dan Masjid Tanah Rata untuk mendapatkan maklumat atas tujuan yang sama.
Dengan rekod komitmen cemerlang tersebutlah agaknya teman-teman dari JHEPA di peringkat awal dahulu bertemu saya bila tiba musim pemilihan MPP dan bertanyakan, tiadakah calon-calon dari budak-budak SAHAM yang sesuai dicalonkan sebagai MPP. Mungkin ketika itu, bilangan mahasiswa masih belum ramai. Saya seringkali menjawap acuh tak acuh dan tidak menunjukkan minat terhadap perkara tersebut lantaran saya lebih suka SAHAM terus focus membantu PIMPIN (dulunya PIPI atau UHEI) membangunkan bidang tugasnya di UMP.
Dengan rekod komitmen cemerlang tersebutlah agaknya teman-teman dari JHEPA di peringkat awal dahulu bertemu saya bila tiba musim pemilihan MPP dan bertanyakan, tiadakah calon-calon dari budak-budak SAHAM yang sesuai dicalonkan sebagai MPP. Mungkin ketika itu, bilangan mahasiswa masih belum ramai. Saya seringkali menjawap acuh tak acuh dan tidak menunjukkan minat terhadap perkara tersebut lantaran saya lebih suka SAHAM terus focus membantu PIMPIN (dulunya PIPI atau UHEI) membangunkan bidang tugasnya di UMP.
Namun masa berlalu dan peserta program SAHAM semakin
bertambah. Sepatutnya ia adalah berita gembira kepada pencinta agama. Gembira
lantaran ada sekumpulan mahasiswa dan anak muda yang tekun membina jatidiri
mereka dan tidak lelah berusaha menyebarkan nikmat Iman dan Islam kepada
rakan-rakan sebaya mereka. Di zaman, masyarakat sebahagiannya mencemuh dan
sebahagianya menyatakan kebimbangan atas kebobrokan social anak muda, ada
sekumpulan dari mereka yang gigih berdakwah dan melakukan pengislahan. Seakan
terpancar cahaya harapan yang kecil, di hujung lorong gelita. Dalam ramai-ramai
itu, mungkin ada yang tertonjol bakat kepimpinan mereka dan dalam suka-suka,
ada yang tercalon sebagai MPP, UMP. Pada peringkat awalnya saya melihat,
penglibatan mereka dalam MPP adalah sebahagian usaha di antara beberapa orang
sesama mereka yang semenjak awal tertonjol bakat kepimpinan dan melibatkan diri
untuk menajamkan idealisme dan bakat kepimpinan mereka di samping menyumbang
kepada kesuburan demokrasi politik kampus.
Saya tidak terlalu kisah dengan penglibatan mereka dalam
MPP, malah ada yang saya tegur lantaran terlibat sebagai exco MPP , semakin
kurang menjengah masjid dan aktiviti masjid. Sikap saya secara peribadi tidak
ingin mengongkong dan menghalang mereka yang berminat dengan politik kampus.
Itu pilihan mereka dan itu medan mereka. Biarlah mereka mengasah bakat dan
idelisme mereka secara terpimpin bukan terkongkong. Kalau ada pun pandangan
saya dirujuk, jika timbul isu-isu berkaitan agama, saya memberi pandangan dan
tidak pernah memaksa sesiapa pun untuk menerimanya. Dangkal kalau saya
mengatakan bahawa saya tidak tahu menahu tentang politik kampus. Saya tahu
tentang label melabel berkaitan pro aspirasi dan pro mahasiswa. Tapi itu
bukanlah tumpuan saya. Saya lebih suka meneruskan agenda dakwah dan islah di
kalangan mahasiswa di samping staf. Agenda politik itu, biarlah mahasiswa
sesama mereka mencari pengalaman sendiri mencorakkannya. Bagi saya, mengikat
hidung mereka dan memaksa mereka mengikut aspirasi kita seolah-olah membudakkan
mereka. Biarlah mereka memikir dan memutuskannya. Kita orang tua, tegurlah jika
nampak mana yang salah dan menjolok mata. Jangan memperbudakkan anak-anak muda
intelek ini.
Namun sudah sunnatullah, di atas jalan dakwah akan ada
mehnah dan tribulasi. Pada asalnya saya tidak ingin menyibukkan diri melayan
karenah politik kampus dan birokrasi pentadbiran itu. Tetapi sudah berulangkali
insiden yang tidak enak dikaitkan dengan SAHAM dan setiap kali itulah isu SAHAM
bergerak secara haram dan tidak didaftarkan didendang kembali. Sehingga saya
dimaklumkan ada blog liar yang terus-terusan menyerang SAHAM dan melabelnya
sebagai pro mahasiswa, pro pembangkang dan sebagainya. Saya tegaskan di sini
untuk makluman semua yang membaca catatan ini, SAHAM adalah PROGRAM BERTERUSAN
DAN JANGKA PANJANG kelolaan PIMPIN dan diamanahkan secara terus kepada saya
untuk menyelianya. Tuduhan bahawa SAHAM adalah pertubuhan haram adalah satu
kekeliruan dan menuduhnya sebagai pro itu dan pro ini adalah satu fitnah liar.
Mungkin ada di antara mereka yang menyokong atau pro kepada mana-mana pihak.
Tapi itu adalah hak mereka yang dijamin dalam sebuah negara demokrasi .
Mengapa tidak mendaftarkan SAHAM? Jawapannya ialah, saya
pernah mencadangkan agar ia didaftarkan dan SAHAM pernah membuat pemohonan
untuk didaftarkan sebagai kelab atau persatuan di bawah JHEPA. Malah cadangan
saya itu adalah atas permintaan Dekan JHEPA sendiri disebabkan isu-isu yang berbangkit.
Walau pun secara peribadi, saya lebih selesa jika SAHAM kekal sebagai program
di bawah PIMPIN, namun meraikan pandangan semua pihak dan menuetralkan tuduhan
dan pandangan negative yang direka-reka kepada SAHAM, saya menyetujuinya. Namun
setelah pemohonan dibentangkan, pendaftaranya tetap ditolak atas alasan kelab
atau persatuan bercorak keagamaan. Menuduh SAHAM sengaja tidak mahu berdaftar
adalah tuduhan jahat. Malah saya sekali lagi menyokong kenyataan pengerusi
SAHAM yang terkini bahawa mereka akan mengusahakan permohonan pendaftaran sekali
lagi kepada pihak JHEPA. Sekali lagi, saya kekal bersikap terbuka, berlapang
dada dan tidak mengongkong mereka.
Biarlah mereka membuat keputusan secara kolektif tentang itu dan jika ia baik
untuk dakwah dan islah, ia baik pada saya.
Tiada apa yang perlu saya bimbangkan kerana islam adalah agama Allah, masjid adalah rumah Allah, dakwah adalah kewajipan yang disyariatkan oleh Allah. Saya percaya, jika SAHAM tiada sekali pun akan tetap ada golongan yang akan bekerja melebarkan perkongsian nikmat Iman dan Islam di bumi UMP ini. Apatah lagi setelah berdaftar sebagai kelab atau persatuan di bawah JHEPA nantinya sudah tentu medan dakwah SAHAM akan semakin melebar dan meluas.. SAHAM akan bertebaran di mana-mana…. Maklumlah, sudah berdaftar kan?
3 comments:
ada baiknya SAHAM diletakkan terus di bawah kelolaan PIMPIN..supaya agenda pembangunan insan dalam kalangan mahasiswa mendapat sokongan sepenuhnya dari PIMPIN sendiri..ia idea PIMPIN sendiri dan bukan ditubuhkan oleh pelajar..jadi autoritinya lebih universal..mempertikai SAHAM umpama mencubit PIMPIN..terasa pedihnya sama..
sebaiknya SAHAM tidak perlu didaftarkan sebagai persatuan..idea penubuhannya adalah dari PIMPIN sendiri dan bukan dicetuskan oleh mahasiswa..sesungguhnya SAHAM sendiri telah melakukan kerjanya dengan baik di bawah kelolaan PIMPIN..bahkan ruang lingkup autoritinya di bawah PIMPIN adalah lebih universal..justeru mempertikai status SAHAM adalah ibarat mencubit PIMPIN sebenarnya..
Salam, boleh bg no tel rasmi kelab pimpin ?
Atau email ?
Boleh sent di fakhrun999@gmail.com
Trima kaseh.
Post a Comment