KHUTBAH
HUJUNG RAMADAN
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ
رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ
أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ
وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا
اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Bulan Ramadan yang padanya
diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang
menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa
bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka,
Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada
hari-hari yang lain.Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya
kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.(Al-Baqarah
2:185)
Kita sudah berada di penghujung
Ramadan 1433H. Gembira dengan ketibaan raya Eidil Fitri, namun di sudut hati
terselit rasa kehilangan pada detik dan saat yang sangat berharga dan bernilai,
masa-masa emas, hari-hari yang sangat membahagiakan di bulan Ramadan Al-Mubarak.
Sangat pantas masa berlalu. Hari ini, di hari yang mulia, penghulu sekalian
hari, iaitu hari Jumaat, pada bulan yang sangat barokah, bulan Ramadan, di
minggu yang sangat hebat iaitu minggu 10 terakhir Ramadan, marilah kita
sama-sama merenung kembali dan bermuhasabah apakah yang telah kita pelajari dan
hayati dalam menyelusuri perjalanan indah sebulan ini. Apa yang sebenarnya telah
belajar dari Ramadan? Berikut dalam kesempatan yang singkat ini, saya senarai
dan kongsikan semula pengajaran-pengajaran yang telah atau boleh kita perolehi
sepanjang Ramadan Al-Mubarak :
Pengajaran
1 :
Ramadan kembali memugarkan iman dan
rasa berhubung kita dengan Allah s.w.t. Masih terngia-ngia di cuping telinga
kita akan hadis-hadis yang disyarahkan di sepanjang Ramadan ini yang
menceritakan tentang sesiapa yang berpuasa, atau berteraweh yakni qiam di
sepanjang Ramadan mahu pun di malam lailatil qadar dengan penuh iman dan
mengharap redha Allah, diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.
Ramadan sungguh benar-benar menyegarkan
jiwa. Melunakkan kembali hati yang semakin bebal. Melembutkan hati yang semakin
keras dan memurnikan hati yang semakin karat. Merenung kepemurahan dan kasih
sayang Allah, menerbitkan rasa sayu di atas kealpaan kita. Mendengar cerita
kepemurahan Rasulullah yang telah dijamin syurga, membenih rasa malu pada diri sendiri.
Masih terpegun kita dengan ungkapan
yang sangat halus, lembut, penuh kasih sayang, keakraban dan keramahan Allah
s.w.t. di dalam perenggan cerita puasa dalam surah Al-Baqarah ayat 186 :
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya
kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah)
sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa
apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan
mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka
menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah 2:186)
Semoga bertambah hebat dan manis
iman kita sesudah Ramadan berlalu insyaAllah.
Pengajaran
2 :
Ramadan telah meluruskan fikrah,
pemikiran dan kefahaman kita dalam menaggapi maksud beragama. Kita telah
belajar bahawa ibadah itu, rahsia dan hakikatnya bukan pada bentuk atau jenis
amalannya semata-mata, tidak terhenti pada sah batal, rukun dan syarat
semata-mata tetapi hakikat ibadah adalah pada mewujud dan melahirkan jiwa yang
tunduk, taat dan patuh kepada segala suruhan Allah seiring menjauhi dan
meninggalkan segala larangannya. Rahsia dan tujuan ibadah ini terhimpun dalam
satu ungkapan yang sering diulang-ulang di sepanjang Ramadan ini iaitu TAQWA!
Itulah matlamat ibadah. Kesimpulan
ini dapat kita temui tatkala mentadabbur ayat-ayat Allah di maqra’ atau
perenggan isu puasa dalam surah Al-Baqarah bermula ayat 177 sehinggalah ayat2
berikutnya. Allah s.w.t. dlm ayat 177 menghubungkan akan kepentingan prinsip
hidup yang benar yang terangkum di dalam rukun iman dengan taqwa, dihubungkan
amalan infak kpd kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin dan sebagainya
dengan taqwa, juga ibadah solat dan zakat, termasuk persoalan teguh memegang
janji dan bertahan dalam jihad menegakkan islam dihubungkan dengan taqwa.
Begitulah ayat-ayat berikutnya,
ayat qisas iaitu satu dari sistem perundangan jenayah Islam dihubungkan dengan
taqwa, ayat wasiat, iaitu sistem pewarisan harta dalam Islam diikat dengan
taqwa, sehinggalah ayat-ayat puasa, ibadah haji, melihat anak bulan, jihad si
sabilillah dan lain-lainnya dihubungkan dengan TAQWA, TAQWA dan TAQWA.
Pengajaran
3 :
Puasa Ramadan mengajar kita makna
SABAR. Sabar itu indah dan sabar itu manis. Kita menikmati lazatnya makan
setelah bersabar menahan diri seharian dari makan dan minum. Kita menikmati
ketibaan Aidil Fitri setelah bersabar menempuh sebulan berpuasa dan bertaraweh.
Sabar adalah keperluan dalam melayari bahtera kehidupan di atas mukabumi Allah
s.w.t. ini. Sabar adalah buah keimanan kepada Allah dan keimanan kepada
ketentuan qadha’ dan qadar. Hidup ini adalah sebuah ujian.Firman Allah s.w.t. di
dalam surah Al-Mulk ayat 2 :
Dia lah yang telah mentakdirkan
adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu:
siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas
amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
Hidup adalah ujian. Samada senang
atau susah. Perintah syarak adalah ujian samada berat atau ringan. Ada manusia
diuji dengan kepayahan dan musibah dalam hidupnya.Ada yang diuji dengan
kesenangan dan kemewahan. Dalam mendepani ujian itu, ada yang berjaya dan ada yang
gagal. Ada yang berjaya melepasi ujian kesusahan, gagal dalam melalui ujian
kesenangan.
Apa pun bentuk ujiannya, kekuatan
yang perlu ada ialah kekuatan SABAR. Sabar ketika menerima dan memikul beban
syarak. Sabar dalam mendirikan solat, sabar dalam menunaikan puasa, sabar dalam
meneruskan kelansungan ibadat, sabar dalam menghadapi godaan dunia dan isinya,
sabar dari melakukan maksiat, sabar bila dikurniakan kesenangan dan kemewahan
dan sabar jua dalam menempuh musibah. Sabar dalam tarbiyah yakni mendidik,
sabar dalam dakwah, sabar dalam jihad dan segala-galanya. Kehidupan adalah
tempoh untuk bersabar menahan diri, supaya dapat menikmati kemanisan memetik
buah dan hasilnya di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t. :
Demi sesungguhnya! Kami akan
menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai)
kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta
hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Al-Baqarah
2:155)
Pengajaran
4 :
Ramadan melahirkan jiwa yang
peduli. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, manusia hidup dalam perkampungan
global. Sedunia jadi sekampung. Namun, harus diingat bahawa manusia tetap manusia
walaupun teknologinya berubah. Jika teknologi berkembang pesat, tetapi
manusiawinya terbiar dan terlantar tanpa ilmu dan iman, kerosakanlah
natijahnya. Alam maya yang sepatutnya menjadikan manusia subur sifat peduli,
merubah ramai manusia menjadi kera sumbang dan kurang berinteraksi secara
fizikal.
Alat komunikasi hanya digunakan
untuk hiburan dan keseronokan, bukan untuk memudahkan kelestarian tanggungjawab
agama dan keinsanan. Mereka merayau ke seluruh dunia melalui alam maya, mengakses
hiburan dan keseronokan, tetapi terperuk di sebalik tembok mahligainya tanpa
peduli keperitan dan kesusahan alam keliling kelalangnya.
Lantas puasa datang mendidik jiwa. Galakan
solat jamaah teraweh, ransangan infak dan zakat, motivasi agar menjamu orang
yang berbuka puasa, membenihkan jiwa pemurah sebagai keteladanan dari
kepemurahan Allah dan rasulNya, membuahkan jiwa peduli di atas keperitan dan kesusahan
saudara seaqidah mahu pun insan sejagat. Sekiranya kita susah dek berlapar
seharian, sedarlah nun di pelbagai pelusuk dunia di sana ada insan yang berhari-hari,
berminggu-minggu, berbulan-bulan malah bertahun-tahun kelaparan.
Ada yang menadah air kencing lembu
yang kurus untuk membasahkan diri dan menyejukkan jiwa. Ada yang mengerumuni
merebut makanan yang sudah dikerumuni lalat. Ada yang kurus kering seperti
tengkorak hidup. Ada yang dibunuh, dihalau, dibakar dan dirogol.Itu akan
menyuntikkan kesedaran kepada kita tentang pentingnya usaha mempersadakan Islam.
Agar keadilan, kesamarataan, keseimbangan ekonomi dan jurang perbezaan taraf
hidup dapat didekatkan. Agar nasib umat dan insan sejagat yang tertindas dan
dizalimi mendapat pembelaan.
Di sana juga ada orang-orang miskin
dan anak yatim yang bersendirian. Anak-anak yatim itu bersedih di kalan
anak-anak kita gembira. Mereka lapar di kalan anak kita kenyang. Mereka kesepian
di kala anak-anak kita bahagia bermanja. Mereka tiada tempat mengadu di kala
anak-anak kita sering merintih dan merengek. Mereka tiada tempat meminta saat
anak-anak kita meminta baju baru untuk berhari raya. Semoga puasa benar-benar
menyedarkan kita tentang mereka, bersyukur di atas nikmat Allah ke atas kita
dengan peduli ke atas sebahagian dari mereka..
Pengajaran
5 :
Puasa mendidik kita makna sebuah
perjuangan. Puasa mentarbiyah dan mepersiapkan jiwa kita untuk berhasil
mencapai sebuah cita-cita. Melengkapkan jadual Allah ke atas hambaNya.
Puasa dihubung dengan jihad peperangan
badar yang bermula dengan tindakan-tindakan politik nabi s.a.w. dalam isu
keselamatan sempadan dan laluan dagang di luar kota madinah, dilanjutkan dengan
kebenaran untuk berjihad sekiranya berlaku pencabulan hak dari musuh islam,
tapisan dalam isu perubahan arah kiblat untuk menzahirkan muslim mumin dengan
muslim munafik, seterusnya ujian puasa buat kali pertama selama sebulan.
Oleh kerana para sahabat telah
mencukupkan syarat dalam melalui jadual pembinaan dan ujian Allahyang
bertalu-talu itu dengan baik, maka peperangan badar ditakdirkan berlaku dalam bulan
Ramadan yang pertama pada tahun kedua hijrah itu. Dengan bilangan tentera yang sedikit,
sementara musuh 3 kali ganda, persenjataan, kenderaan dan bekalan makanan yang
tidak mencukupi, terbukti mampu mengalahkan musuh yang sangat kuat dan sangat
bersedia. Allah mendatangkan pertolonganNya lantaran mereka para pejuang badar
telah .melengkapkan diri mereka dengan syarat-syarat kemenangan.
Memahami hakikat ini, fahamlah kita
bahawa puasa tidak terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadan. Puasa adalah
salah satu bekal dan persiapan untuk memikul beban yang lebih besar dalam
kehidupan iaitu beban sebagai khalifah untuk membantu mengembangkan islam,
menegakkan syariat Allah dan mempersada islam di peringkat dunia.
Tugas yang sangat besar dan berat,
namun akan menjadi ringan bagi jiwa yang telah diproses, di antaranya diproses
dengan ibadah puasa dan amalan-amalan lainnya di sepanjang bulan Ramadan ini.
Mudah-mudahan Allah meluruskan hidup kita, memperkasa jiwa kita, memantapkan
ilmu dan iman kita. Bergembiralah dengan ketibaan Syawal, namun simpanlah
sedikit kebimbangan dengan pemergian Ramadan jika pun tidak mampu bersedih. Marilah
mengisi masa-masa yang berbaki dengan memperbanyak dan mengkualitikan amal
ibadah. Anggaplah ini pelukan kemas terakhir sebelum melepaskan ia pergi. Kerana
Ramadan akan datang belum tentu menjadi milik kita.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ
العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ
فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment