Assalamualaikum wrt wbt
Umat Islam adalah umat dakwah. Dakwah adalah perkongsian cinta, perkongsian nikmat Iman dan Islam. Menjadi kewajipan di kalangan mereka yang sedar dari umat ini, untuk berusaha melaksanakan dakwah, menegakkan amar makruf nahi mungkar, memberi peringatan, membudayakan an-nasihah dan menyebarkan mau’izoh. Asal dakwah ialah menyampaikan seruan dengan lunak, lembut dan menggembirakan. Dakwah bukan membenci batang tubuh sesiapa, tetapi membenci sikap dan perangainya yang buruk. Marah di dalam dakwah bukan kerana pembengis, tetapi marah kita adalah seumpama marahnya seorang bapa tatkala melihat anak kecilnya bermain di jalan raya ketika jalan sibuk dengan kenderaan. Kerasnya kita di dalam dakwah bukan kerana tabiat, tetapi demi menyelamatkan mereka yang alpa seperti ’kerasnya’ kita ketika menggerakkan insan yang sedang ’tidur mati’ tatkala rumahnya sedang marak dibakar api..
Untuk memikul beban amanah dakwah yang berat, memerlukan kepada persediaan dan persiapan yang menyeluruh, meliputi dan pelbagai. Sementelah lagi apabila mendepani manusia yang berada di zaman yang serba sofistikated ini. Zaman segala-galanya berubah dengan cepat dan pantas. Perubahan sosial, ekonomi, politik dan teknologi yang amat pantas berlaku samada di peringkat global atau lokal. Pendakwah yang tidak bersedia berubah seiring zaman dan persekitaran yang serba pantas berubah ini, mungkin akan ketinggalan. Walaupun prinsip dan tajuk dakwah tidak berubah iaitu Iman dan Islam, tetapi wasilah, strategik, pendekatan, tektik dan teknik perlu berubah.
Pemimpin gerakan dakwah tidak boleh berpada dengan wibawa peribadi dan aura semata-mata tetapi mestilah juga seorang pengurus yang memiliki kemahiran mengurus organisasi, manusia dan sistem. Pendakwah sewajarnya berusaha melengkapkan diri dengan ilmu prinsip Islam dan kemahiran yang pelbagai. Walaubagaimana pun, seiring membina penguasaan dan kemahiran yang pelbagai, penting juga untuk kita berusaha mempertingkatkan kefahaman kita kepada ilmu teras Islam yang bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunnah secara langsung. Asas ini amat penting demi memastikan kefahaman dan tasawwur Islam kita benar-benar menepati dan tidak terseleweng. Ia juga berguna bagi menjawab persoalan semasa berkaitan APA DIA ISLAM dalam menangani isu semasa berkaitan politik, ekonomi, sosial, budaya, hiburan dan lain-lainnya.
Di kesempatan ini, saya menyenaraikan beberapa disiplin ilmu Islam yang penting untuk dimiliki oleh seorang Islam dewasa ini seperti yang disebut oleh Al-Marhum Ustaz Said Hawa, seorang pendakwah, murobbi, pengarang dan pemimpin gerakan dakwah dalam bukunya yang berjudul JundulLah Thaqafatan wa Akhlaqan (Keilmuan dan Akhlak Tentera Allah) :
- Ilmu Al-Usul At-Thalathah atau Iman
- Al-Qur’an dan ilmu berkaitannya
- As-Sunnah dan ilmu berkaitannya
- Ilmu Usul Fiqh
- Ilmu Aqidah (Teologi)
- Ilmu Feqah
- Ilmu Al-Akhlak dan Tazkiyah
- Sirah dan Sejarah Islam
- Ilmu Bahasa Arab
- Fiqh Ad-Dakwah
- Pengajian Islam Kontemporari
- Perancangan serta propaganda terhadap Islam dan umat Islam
Setiap dari disiplin ilmu itu ada perinciannya dan pembahagiannya. Bukanlah menjadi kewajipan fardhu ain ke atas pendakwah dan individu Islam untuk mempelajari ke semuanya sehingga sampai ke tahap pakar. Ada sebahagian ilmu tersebut hukum mempelajarinya fardhu ain, ada yang fardhu kifayah dan ada yang hukum wajib berdasarkan keperluan. Walau bagaimana pun, penting kepada pemimpin gerakan dakwah Islam dan para pendakwah memiliki tasawwur (gambaran kasar) keseluruhan ilmu-ilmu tersebut walaupun tidak pakar kesemuanya.
Juga tidak menjadi kesalahan untuk para duat berusaha dari masa ke semasa mempertingkatkan dan mendalami disiplin ilmu tersebut satu persatu sedikit demi sedikit selagi hayat di kandung badan. Semakin mendalam pengetahuan kita tentang Islam, semakin luas kefahaman dan semakin jauh kita dari kesalahan dan penyelewengan.
Perlu juga rasanya disebut di sini, kepentingan penguasaan ilmu-ilmu tersebut tidaklah bermaksud kita perlu disibukkan dengannya semata-mata sehingga meninggalkan kerja dan usaha-usaha dakwah. Mungkin akan ada orang yang berhujjah, kita perlu menguasai ilmu dahulu baru boleh berdakwah atau menggabungkan diri dengan dakwah. Kesan dari silap faham ini, terbengkalai atau terbantutlah usaha dakwah lantaran anggotanya beralasan disibukkan dengan kelas-kelas pengajian semata-mata. Hujjah ini bercanggah dengan sunnah Nabi s.a.w. di dalam berdakwah bersama para sahabat.
Jika meneliti sirah, kita akan mendapati bahawa Nabi s.a.w. dan para sahabat giat meneruskan usaha-usaha dakwah walaupun Al-Qur’an belum sempurna penurunannya. Al-Qur’an turun sedikit demi sedikit berperingkat-peringkat dan para sahabat mempelajarinya dari masa ke semasa di samping terus menerus beramal, berdakwah dan berjihad mengikut kemampuan dan peringkat pengetahuan masing-masing.
Kesimpulannya, tidak betul jika meninggalkan usaha dakwah dengan beralasan sibuk menghadiri majlis ilmu sepertimana juga satu kesilapan sekiranya sibuk berdakwah dengan mengabaikan peningkatan ilmu pengetahuan. Apa yang saya catatkan di kesempatan ini hanyalah persiapan berkaitan disiplin ilmu-ilmu Islam secara khusus sebagai keperluan kepada para pendakwah. Itu pun sudah terlalu banyak rasanya yang perlu kita lakukan. Belum lagi kita masuk dalam topik keperluan kemahiran kepimpinan, pengurusan, ilmu dan kemahiran teknologi dan lain-lain lagi yang juga menjadi tuntutan semasa dan keperluan dalam menggerakkan usaha dakwah.
Alangkah banyaknya kewajipan dan kerja kita, tapi amat pelik kerana masih ramai lagi yang bermalas-malasan, membuang masa dan membudayakan sikap menangguh-nangguh kerja termasuklah saya sendiri.. sekian, semoga kita bersama-sama berubah!
No comments:
Post a Comment