Friday, January 18, 2013

Khutbah Jumaat 18.1.2013 - Sebuah Peperiksaan Bernama Hidup



KHUTBAH JUMAAT : PEPERIKSAAN HIDUP



QaalalLah taala :

Mafhumnya : [Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu sehingga ternyata pada pengetahuan Kami tentang adanya orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu ] (Muhammad 47:31)

Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada tuan-tuan hadirin solat Jumaat sekalian, bertaqwalah kepada Allah s.w.t…..

Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, hari ini adalah hari yang terakhir bagi siswa dan siswi UMP dan mungkin juga IPT2 yang lain menduduki ujian peperiksaan akhir bagi semester ini. Dalam musim peperiksaan ini pelbagai karakter, karenah atau perangai samada siswa mahupun siswi yang boleh kita lihat secara langsung mahupun melalui coretan di alam maya, facebook, twetter dan sebagainya.

Ada yang stress, ada yang bersengkang mata menjadi burung hantu, ada yang tidak sabar untuk menamatkan kertas peperiksaannya, ada yang tak lekang dengan buku dan laptop, ada yang bersungguh2 penuh semangat bermujahadah, ada yang berharap, ada yang kecewa, ada yang steady  and happy go lucky dan pelbagai lagi…Itulah lumrah yang biasa kita lihat dalam musim peperiksaan.

Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Peperiksaan atau ujian, adalah salah satu mekanisme yang telah sekian lama diterima pakai dalam sistem pendidikan. Tujuan atau falsafah peperiksaan ialah antara lainnya :

1) mekanisme untuk menilai pencapaian para pelajar dalam menguasai ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi,

2) sebagai faktor yang boleh memberi motivasi atau peringatan kepada para pelajar agar tidak berlebih kurang dengan proses pembelajaran yang dilalui .

3) untuk melahirkan modal insan yang terbaik dan berkualiti, haruslah menerusi produk yang terbukti dan teruji. Firman Allah s.w.t. :

Mafhumnya : [Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.] (Al-'Ankabuut 29 :2-3)

Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang beriman, melihat kehidupan tidak dengan mata lendirnya semata-mata. Mereka dituntut oleh Allah s.w.t. untuk merenung kejadian alam dan manusia, meneliti penciptaan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, mentadabbur dan tafakkur di sebalik peristiwa dan pengalaman dengan matahatinya.

Firman Allah s.w.t. :

yang bermaksud:  [Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal fikiran] (Surah Ali-Imraan, ayat 190)

Yang bermaksud : [Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.] (Ar-Ruum 30:22)

Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Demikianlah sepatutnya musim peperiksaan yang telah berlalu dan telah seringkali kita laluinya dalam fasa-fasa kehidupan kita. Samada di peringkat pendidikan awal rendah, menengah, matrikulasi mahupun university.

Tidakkah pengalaman yang berulang-ulang itu mengajar kita sesuatu?  Tidakkah kita menyedari bahawa HIDUP ini juga adalah sebuah ujian? Adakah kita insaf bahawa kita sedang melalui sebuah peperiksaan besar yang namanya kehidupan? Kita diuji dan diuji samada ujian itu mudah mahu pun ujian yang susah. Firman Allah s.w.t. :

Mafhumnya : [Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); ] (Al-Mulk 67:2)

Peperiksaan atau ujian yang bernama hidup ini menuntut kita untuk berusaha bersungguh-sungguh dan tidak membudayakan sikap tertangguh. Tiada istilah last minute dalam persiapan menghadapi ujian ini. Peperiksaan hidup ini sangat cemas dan mendebarkan, tidak bermusim tetapi berterusan. Tempoh akhirnya peperiksaan tidak diketahui tetapi ia boleh tamat bila-bila masa sahaja. Gagal peperiksaan di dunia masih ada peluang kedua untuk ulang kertas atau mendaftar semula di bidang yang lain atau memohon pula IPT yang lain.

Selagi hidup selagi itu ada peluang.. Namun gagal dalam peperiksaan yang bernama kehidupan, jika tamat tempohnya, yang bernama kematian, sudah tiada lagi peluang kedua. Menangislah air mata darah sekali pun, tiada lagi peluang kedua. Allah merakamkan di dalam Al-Quran cerita orang yang gagal dalam peperiksaan hidup ini dengan firmannya :

Mafhumnya : [Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu dan supaya kami menurut agama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?]  (Ibrahim 14:44)

Begitulah kita di dalam peperiksaan di dunia ini. Ada sahaja di antara kita yang menangguh-nangguh dalam berusaha, mengulangkaji pelajaran dan sebagainya. Apabila semakin dekat peperiksaan, barulah kita tergesa-gesa, berjaga malam, bersengkang mata membaca dan mengulangkaji, masa seperti pantas berlalu, setiap detik berharga.. ketika itu baru kita terasa, alangkah baiknya jika aku dahulunya mengulangkaji lebih awal. Alangkah baiknya jika masa dapat diputar semula dan aku memulakan segala-galanya lebih awal? Alangkah, alangkah, alangkah… Begitulah kita manusia dalam pengalaman peperiksaan di dunia ini… namun selagi hidup, masih ada peluang kedua.

Demikianlah juga dengan ujian atau peperiksaan yang bernama KEHIDUPAN ini. Selagi hidup, selagi itu ada peluang.. namun jangan membudayakan tangguh beramal.. Manfaatkanlah masa hidupa yang sangat singkat ini demi kejayaan dan kebahagiaan yang kekal abadi. Masa sesungguhnya bukan milik kita, kematian pula tidak dalam kawalan kita. Beringatlah dan beringatlah! wahai orang yang diberi akal fikiran! Firman Allah s.w.t. :

Mafhumnya : [Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.] (Al-A'raaf 7:34)

Mafhumnya : [Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan] (Al-Anbiyaa' 21:35)

[Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.]  (Surah Al-A’raf 7: 179)

No comments: