Assalamualaikum wrt wbt
Alhamdulillah, hujung minggu lepas, 2-4hb April 2010, saya dan teman-teman Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI), UMP dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM) selamat menjalankan aktiviti Perkhemahan Sahabat Masjid kali ke-9 (kalau tak silap) bertempat di Lubok Semak Akob's Place, Ulu Dong (jalan ke Lata Jarum). Nama program kali ini ialah - Discover The Amazing Creation (DIMENSION). Peserta lebih kurang 50 orang dari kalangan siswa dan siswi UMP.
Tempat perkhemahan tersebut sangat menarik. Pulau kecil yang di kelilingi air sungai. Ada tempat dalam dan ada tempat cetek (tohor). Sesekali jauh dari keriuhan kota, bertemankan siulan burung, keriuhan air terjun, nyanyian cengkerik dan menikmati nyamannya udara segar hutan amat mendamaikan. Semoga keindahan itu dapat dipertahankan dari pencemaran bertopengkan pembangunan dan kemajuan...
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang fatrah perkhemahan. Bermula dengan kuliah subuh dalam sungai, mandi air terjun mini, aktiviti merentas hutan melihat bunga Rafflesia, pertandingan panjat pokok getah bagi siswa, modul "nenel si bongkok tiga" bagi siswi, modul peperangan, pertandingan menyelam, aktiviti kebudayaan di sebelah malam dan berakhir dengan Slot Motivasi bersama 260 orang pelajar tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA) Raub.
Saya menyampaikan ucapan penutup selepas tamat sesi motivasi bersama pelajar SEMESTA. Antara point penting dalam ucapan tersebut ialah :
1- Kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dapat mengisi masa di hujung minggu ini dengan aktiviti dan amal yang sangat bermanfaat. Bermanfaat untuk pembangunan diri kita dan kepada orang lain.
2- Kita tetap bersyukur kerana kita terpilih untuk menyertai program ini walaupun bilangan penyertaan tidak seperti perancangan asal. Namun saya yakin bahawa apabila ia telah berlaku, itu adalah ketentuan Allah. Kita berusaha mempromosinya secara bersungguh-sungguh sebelum program berlangsung dan apabila telah berlangsung, itu urusan Allah s.w.t. Kerja kita adalah menyampai dan mengajak, Allah yang menentukan.
3- Antara objektif program perkhemahan kita ialah memupuk kesedaran serta semangat kesukarelaan dan kebaktian di kalangan siswa siswi UMP. Oleh sebab itu, slot bersama pelajar SEMESTA dimasukkan ke dalam jadual program.
4- Program ini bagi saya dan kami barisan urusetia adalah program memberi dan menerima (give and take). Di samping kami berusaha menyampaikan pengajaran dan pendidikan melalui aktiviti santai, langsung atau tidak langsung, kami juga sebenarnya sedang mentarbiyah diri kami sendiri. Kami mengambil peluang yang ada untuk memuhasabah diri kami sendiri pada perkara-perkara yang kami sampaikan pada peserta. Di samping memberi, kami mengkoreksi diri.
5- Demikianlah juga kami harapkan dari para peserta (siswa-siswi UMP) yang telah memimpin LDK bersama para pelajar tahun 4 dan 5 SEMESTA. Di samping memberi mereka ilmu dan perkongsian tips serta pengalaman, kalian juga wajar mengkoreksi diri masing-masing agar kita juga mendapat manfaat. Jangan kita hanya menyampaikan, sedang kita sendiri tidak laksanakan.
Alhamdulillah, sungguh nyaman terasa jiwa... melalui detik-detik yang berlalu... merasai belaian lembut alam semesta... menikmati sebahagian kenangan bersama kalian.. terima kasih!
1 comment:
semesta xdop thn 4 & 5 lh ustaz...tingkatan 4 & 5 ade ar..huhu
Post a Comment