4. Pendokong fitnah sentiasa cuba mengeksploitasi perbezaan di kalalangan pimpinan
Tidak syak lagi bahawa setiap orang adalah ibarat logam. Masing-masing dipengaruhi oleh beberapa faktor dalam pembentukan keperibadian mereka, seperti faktor kesediaan fitrah, kemampuan diri, keintelektualan jati, lama bersama jamaah, pengalaman, suasana keluarga dan persekitaran, di samping sifat-sifat jiwa dan akhlak tertentu yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. sehingga menjadikan setiap orang mempunyai ciri-ciri dan keistimewaannya yang tersendiri terhadap kehidupan dan tabiat pemikiran serta cara menjalani kehidupan yang tersendiri juga.
Para da'i secara umumnya dan para pemimpin secara khususnya adalah tidak terkeluar daripada lingkungan manusia. Sekalipun mereka mempunyai aqidah dan pemikiran yang hampir serupa, bahkan kadang-kadang mempunyai perancangan yang sama, tetapi sudah pasti akan berlaku sedikit sebanyak perselisihan di dalam pemikiran atau di dalam methodologi pemikiran, atau kelainan ketika melakukan sesuatu.
Bahkan kadang-kadang kita dapat melihat dua individu yang berada di dalam kepimpinan yang sama, yang kedua-duanya secara umum memiliki pemikiran dan manhaj yang sama, mereka juga tunduk di bawah fenomena di atas, kerana beberapa perbezaan peribadi akan menyebabkan mereka berselisih, yang mana perselisihan mereka - pada sangkaan kami - akan melajukan lagi pergerakan jamaah, membanyakkan lagi kemungkinan bahawa pendapat mereka adalah tepat , tanpa memberikan kesan terhadap kasih sayang dan ukhuwwah, serta tidak menyebabkan perpecahan atau mendatangkan keburukan kepada jamaah.
Ini adalah kerana ia adalah di antara perkara yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. di sebalik penciptaan manusia yang mempunyai tabiat yang berbeza dan apa yang dikehendaki oleh tabiat kehidupan. Bahkan keadaan (perbezaan) ini adalah amat diperlukan bagi mengisi keperluan dakwah. Tetapi, ahli fitnah sentiasa cuba -berdasarkan pengalaman dakwah - untuk mengeksploitasi fenomena kehidupan dan tabiat manusia ini (perbezaan) dengan menjuruskan perselisihan di kalangan barisan kepimpinan ini untuk kepentingan falsafah fitnah yang mereka dokong.
Oleh itu, mereka sentiasa mengambil kesempatan dari setiap perbincangan, kritikan, bahkan nasihat, untuk ditafsirkan dengan tafsiran yang merosakkan dan memecahbelahkan.
topik ke-4 ini ada sambungan lagi , insyaAllah...
* Petikan dari buku Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah - Muhammad Ahmad Ar-Rashid m.s. 68-69
No comments:
Post a Comment