Sunday, February 15, 2009

Rebutlah Peluang Tika Dia Masih Ada Bersama Kita...


Lebih kurang 3 hari yang lepas, 11hb Februari 2009 bersamaan hari Rabu, lebih kurang jam 10.30 malam, saya telah kehilangan ibu mertua yang telah kembali ke rahmatulLah. Sebagai menantu sulung, suami kepada anak al-marhumah yang sulung saya cuba sebaik mungkin untuk menahan diri dari menangis sepanjang menguruskan jenazah al-marhumah bermula dari saat menghembuskan nafasnya yang terakhir hinggalah saya sendiri yang memimpin solat jenazah, tazkirah ringkas (talqin) dan bacaan doa di tanah kuburan. Namun, saya tidaklah terlalu tabah. Ada masanya air mata terus mengalir sebak lantaran beberapa perkara yang ingin saya kongsikan bersama dalam catatan ini.


Al-Marhumah sebenarnya telah lama menderita sakit di rumah dan beliau sangat takut dan sukar untuk diajak ke klinik apatah lagi hospital. Faktor yang membawa kepada keuzurannya sangat banyak. Jangkitan kuman di paru-paru dan TB adalah kemuncaknya. Tidak perlu rasanya saya ceritakan di sini faktor-faktor yang lain. Biarlah ia menjadi kenangan dan pengalaman kami sekeluarga adik beradik dan menantunya yang masih hidup ini. Saya percaya, setiap keluarga ada kisah dan masalahnya yang tersendiri.


Al-Marhumah ibu mertua saya dimasukkan ke hospital lebih kurang 2 minggu yang lepas setelah keadaannya bertambah teruk. Itu pun di atas cadangan saudara mara tua (pak saudara dan tok saudara) yang bersungguh-sungguh mencadangkannya setelah melihat keadaan beliau yang semakin teruk. Kami anak-anak dan menantunya akur kerana itulah yang terbaik. Al-Marhumah juga tidak menolak kerana yang mengesorkan beliau masuk ke hospital itu ialah mereka yang berpangkat adik dan bapa saudaranya sendiri.


Keadaannya semakin tenat setelah didapati pasti mengidap TB. Pada hari Selasa malam Rabu 10hb, saya dan isteri dikejutkan dengan panggilan adik kami yang memberitahu keadaan al-marhumah yang semakin tenat dan tercungap-cungap. Kami menghubungi kebanyakan saudara mara yang tua dan kerabat yang terdekat apabila menghadapi situasi cemas tersebut. Saya diberi taklimat oleh doctor pakar pada malam tersebut bahawa pernafasan dan jantung beliau semakin lemah dan doctor mencadangkan agar dijalankan operasi “intubation” (memasukkan bantuan tiub untuk membantu pernafasan). Pada malam itu, suasana muram dan sedih menguasai keadaan di wad dan katil tersebut. Adik-adik isteri saya tidak dapat lagi mengawal perasaan mereka apatah lagi yang ramai dari kalangan mereka ialah perempuan.


Pada malam tersebut, al-marhumah dalam keadaan bernafas tercungap-cungap sempat bercakap dengan hampir ke semua yang hadir. Saya dan isteri beberapa kali berbisik ke telinganya kalimah syahadah serta lafaz Jalalah (Allah) dan beliau mengikutinya. Hati terasa sebak apabila al-marhumah berbisik kepada saya ; “Mie, mak minta maaf..Mie..” Pada ketika itu hati saya berbisik ; “ mak tidak pernah berdosa kepada saya, sayalah menantu yang tidak mampu untuk membahagiakan mak sewajarnya…” Pada ketika itu saya tidak mampu meluahkannya. Hanya air mata yang mengalir perlahan di pipi saya. Segera saya mengesatnya demi memberi kekuatan kepada adik-adik yang lain.


Alhamdulillah, di tengah malam tersebut dalam keadaan ruangan katilnya dipenuhi dengan kami adik beradik dan kaum kerabat, di samping menunggu doctor pakar yang akan melakukan proses ‘intubation’ tersebut, al-marhumah beransur-ansur bernafas seperti biasa dan baik. Selepas doctor mengesahkan intubation tidak perlu dilakukan dan keadaan kembali normal, saudara-mara tua dan kami anak-anaknya yang datang bersama bala tentera (berpuluh-puluh orang semuanya campur anak-anak) beransur pulang ke rumah sedikit demi sedikit. Tinggallah anak-anak al-marhumah yang bujang (3-4 orang) tidur di hospital menemaninya.


Keesokan harinya, 11hb di sebelah siang, saya dan isteri datang melawat beliau di wad hospital. Keadaan beliau nampak semakin ok dan sekali sekala berleter kepada adik-adik ipar saya. Saya memegang tangannya dan beliau meminta saya mendengar bacaan surah Yaasin. Beliau membaca 4-5 ayat dan kemudian berhenti. Saya memintanya jangan banyak bercakap dan bernafas dengan baik. Saya meninggalkan isteri untuk menemaninya dan pergi membawa anak-anak berehat di rumah mak dan ayah saya di Balok. Menjelang petang, kami sekeluarga kembali ke rumah di Permatang Badak. Pada malam tersebut, selepas waktu maghrib, kami sekali lagi mendapat panggilan telefon kecemasan dari adik di hospital memaklumkan keadaan al-marhumah yang kembali tercungap-cungap seperti semalamnya. Saya dan isteri bergegas ke hospital dan meninggalkan anak-anak kami di rumah salah seorang tok saudara kami.


Sampai sahaja di hospital, doctor yang bertugas memaklumkan bahawa keadaan al-marhumah semakin kritikal. Al-Marhumah sudah semakin tenat. Hampir seluruh pancainderanya semakin lemah. Beliau sudah tidak mengenali kami. Doktor memaklumkan bahawa Intubation hanyak akan dilakukan jika keadaannya stabil. Selepas Isya’ keadaannya semakin tidak stabil dan para doctor dan jururawat mengerumuni beliau serta terpaksa memberikan rawatan bantuan terakhir. Kami adik beradik semakin cemas apabila dimaklumkan oleh jururawat yang bertugas bahawa rawatan bantuan akhir ini hanya akan dilakukan paling lama dalam 40 minit, dan sekiranya jantungnya tidak respon dan berhenti berdenyut, maka mereka sudah tidak boleh berbuat apa-apa. Kami menanti saat-saat tersebut dengan hati yang sebak. Isteri saya dan adik-adiknya semakin kuat menangis. Lebih kurang jam 10.30 malam, doctor memaklumkan bahawa jantung al-marhumah berhenti berdenyut (maknanya telah meninggal dunia) dan sekiranya masih berlaku pergerakan, itu adalah kesan ubat. Inna lilLahi wa Inna Ilaihi Rajiun.


Kami menghubungi dan memaklumkan berita kematian tersebut kepada kaum keluarga dan sahabat handai. Alhamdulillah, jenazah al-marhumah dibawa pulang ke rumah pada malam itu juga. Saya menunggu mendapatkan surah pengesahan dan permit pengkebumian sehingga lebih kurang jam 12.30 malam. Untuk tidak melewatkan masa, saya dan isteri meminta dari pihak hospital untuk membawa sendiri jenazah pulang ke rumah. Saya memandu van (milik salah seorang pak saudara) membawa jenazah tersebut bersendirian dan isteri saya menemani jenazah di bahagian belakang. Hanya saya dan isteri bersama jenazah al-marhumah di dalam van tersebut dengan dieskot oleh biras saya dengan kereta kancil di belakang.


Kami sekeluarga bersetuju agar pengurusan jenazah al-marhumah dilakukan di rumah salah seorang pak saudara al-marhumah merangkap tuk saudara isteri saya. Ini kerana rumah al-marhumah yang sedia ada agak uzur dan kami rasa tidak mampu menangggung kapasiti tetamu yang ramai. Setelah sampai ke rumah tersebut, sebaik sahaja selesai membersihkan diri.. saya dan isteri mendekati jenazah dan kami mengambil peluang ini untuk membaca Al-Quran berhampiran jenazah. Orang-orang lain kebanyakannya telah tidur pada waktu itu. Adik-adik kami sebahagianya telah tertidur dan sebahagiannya ada yang masih berjaga dalam keadaan mengantuk.


Semasa inilah saya tidak mampu mengawal perasaan sebak di dada. Saya membaca surah Yaasin diikuti surah Ar-Ra’du. Sepanjang pembacaan tersebut, saya tidak dapat mengawal perasaan sedih yang amat sangat. Air mata terus menerus mengalir. Saya menangis bukan kerana tidak meredhai pemergian al-marhumah, bukan juga tidak redha dengan ketentuan Allah. Saya redha.. Yang menjadikan saya sebak ialah apabila terkenangkan segala jasa baik dan kasih sayang al-marhumah kepada diri saya secara peribadi. Sewaktu saya dan isteri membuat keputusan untuk berkahwin di Mesir, ada adik beradik dan kaum keluarga kami yang kurang bersetuju.. beliaulah yang menyokong kami dengan sepenuhnya. Beliau adalah ibu mertua yang sangat sporting..


Isteri saya tidak jemu menceritakan keperitan hidup al-marhumah dalam membesarkan anak-anaknya (biarlah keperitan ini hanya menjadi nostalgia kami, tidak pelu diceritakan di sini). Apabila pulang dari Mesir, saya bertekad bersama isteri untuk membahagiakannya. Kami berusaha setakat termampu dalam tempoh tersebut hinggalah ke saat al-marhumah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya bercita-cita apabila adik-adik kami telah mempunyai keluarga sendiri, kami ingin agar beliau menghabiskan usia tuanya bersama kami sekeluarga dengan anak-anak. Saya sekeluarga ingin membawa beliau menetap dengan kami. Bersama-sama menghadiri program-program dakwah kami ke mana-mana sahaja. Itulah permintaannya dahulu. Beliau pernah menyatakan kepada kami untuk menghabiskan usia tuanya menghadiri majlis-majlis ilmu dan dakwah bersama kami. Disebabkan oleh masalah keluarga dan kesibukan, sebahagian dari perkara tersebut tidak tercapai. Saya juga pernah merancang dengan isteri untuk membawa beliau menunaikan haji bersama kami sekiranya ada rezeki nanti. Itu juga nampaknya, tidak tercapai. Banyak lagi yang kami rancang, tetapi perancangan Allah mendahului segala-galanya. Kami akur dan belajar dari ketetapan ini. Beliau pergi di ketika usia 52-53 tahun.


Sehingga ke saat ini, saya merasai kehilangannya. Walaupun saya cuba sibukkan diri dengan terus menghadiri program dan aktiviti yang pelbagai dalam sehari dua ini, tetapi jauh di sudut hati, masih ada kesedihan yang mencengkam. Saya tidak dapat menahan air mata ketika menulis catatan ini. Alhamdulillah, setidak-tidaknya saya berusaha menguruskan jenazahnya dengan baik. Saya mengimamkan solat jenazahnya, memberi tazkirah (talqin) dan memimpin bacaan doa di sisi kuburannya. Semoga amalan yang sedikit itu menjadi sebahagian tanda kasih dan sayang saya terhadap budi baik dan kasih sayang beliau kepada saya selama hidupnya. Selanjutnya, kami (saya dan isteri) menerima amanah beliau untuk menjaga dan mendidik adik-adik yang masih bujang dan bersekolah.


Ibu, masih sangat terasa bagi kami ketiadaanmu… tenanglah dikau di alam barzakh.. doa kami mengiringimu.. semoga kuburmu menjadi taman dari taman-taman syurga..


Ya Allah, kurniakanlah rahmat, keampunan dan syafaat ke atas beliau, ibu kami yang tercinta… kami insaf dan sedar, bahawa kami tidak mampu untuk membahagiakannya sebahagia-bahagianya ketika di dunia… Dikau bahagiakanlah dia, Ya Allah.. di alam sana… Amin Ya Arhamar-Rahimin.


5 comments:

An-Nasrullah said...

ALlahu rabbi..."sesayang dan sekasih mana pun kita pada dia, dia sekarang dah tiada. pergi selama-lamanya meninggalkan kita...redhalah pemergiannya...dia bukan milik kita, dia milik ALlah..bahkan kita tiada hak atas kewujudannya..dia...redhalah.." - khutbah ringkas ustaz di sisi kuburan ibu...

sabarlah ustaz....

Mohd Hazmi Dibok said...

Terima kasih Nasrul,

Semoga dengan menulis catatan ini sedikit sebanyak meredakan rasa pilu yang mencengkam.Buka tidak redho dengan pemergiannya, tetapi sedih krn tdk sempat melakukan yg terbaik buatnya...

Anonymous said...

Innalillahi wa inna ilaihi raaji'uunn..
ana xtau nk ucap apa pd ust yg lebih arif...sebak dada seperti ms ziarah arwah bapa shbt ana, nasrul..sama sebak..
maaf ust, ana xdpt bersama2 ust pd hr penuh kehilangn..pergi tiada ganti..xgn jd shbt

Anonymous said...

Innalillahi wa inna ilaihi raaji'un..

Ana baru tahu tentang berita ni setelah diberitahu oleh sahabat-sahabat ana dan membaca sndiri blog ustaz..

Ana turut tumpang bersedih atas pemergian ibu mertua ustaz yang disayangi.

Sabarlah ustaz..

Anonymous said...

Takziah dari hamba ustaz...KAMARUL HISYAM SEKELUARGA..BESERAH..kawan lama ustaz..ni pun terjumpa blog ustaz..puasa tahun lepas ada dengar kuliah subuh ustaz kat masjid permatang badak..tapi masa tu saya tak perasan tu USTAz...sebab lama sangat tak jumpa...