Monday, February 09, 2009

Bengkel Dakwah Kampus 2009


Alhamdulillah, Bengkel Dakwah Kampus 09 anjuran Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI), UMP bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sahabat Masjid (SahaM) berjaya diadakan dengan mencapai sasaran kehadiran melebihi 200 orang penyertaan dari kalangan pelajar UMP serta IPT-IPT sekitar Kuantan.


Program ini juga mendapat respon yang sangat positif oleh para penceramah yang dijemput dari pelbagai pertubuhan dakwah seperti JIM, ABIM, HALUAN, PPMS, PERKIM serta motivator terkenal pemilik laman web http://saifulislam.com/ iaitu Ustaz Hasrizal. Saya sangat berharap agar para pelajar yang didedahkan dengan bekalan ilmu dan maklumat berkaitan dakwah ini akan dapat memainkan peranan mereka sebagai seorang muslim untuk berkongsi nikmat Iman dan Islam dengan sesiapa sahaja yang bersama mereka, di mana sahaja mereka berada samada ketika masih bergelar mahasiswa atau telah bekerjaya, bersama sahabat handai ataupun kaum keluarga. Semoga mereka dapat mempraktikkan perkongsian ilmu dan maklumat yang diperolehi sepanjang bengkel tersebut sebagai bekalan dalam menelusuri perjalanan hidup agar menjadi lebih bermakna.


Saya sendiri yang diamanahkan dengan tajuk “Dakwah Secara Kolektif dan Menangani Kepelbagaian Kumpulan Dakwah di Kampus” sangat berharap dari pengisian tersebut agar dapat berkongsi membantu melahirnya para pendakwah yang berfikiran terbuka, berjiwa besar, berlapang dada terhadap perbezaan dan saling bantu-membantu pada titik-titik persamaan yang sangat banyak. Dalam masa yang sama, keterbukaan terhadap perbezaan pendekatan oleh kepelbagaian pertubuhan dan kumpulan dakwah itu tidaklah menjadi alasan untuk mengendurkan komitmen, kesetiaan, disiplin dan lain-lain tuntutan berorganisasi terhadap pertubuhan dakwah yang dianggotai masing-masing demi merealisasikan matlamat dan objektif dakwah Islam yang disunnahkan gerakannya secara jamaie dan munazzam (organisasi yang tersusun).


Selebihnya ialah saya sangat berharap agar dengan terhimpunnya peserta dari pertubuhan dakwah yang pelbagai ini, dapat menipiskan prasangka antara satu sama lain, melihat peluang-peluang bersama yang cukup banyak, mewujudkan benih-benih ukhuwwah seterusnya berkongsi idea bagi menghadapi tanggungjawab dakwah dan cabaran-cabaran semasa umat Islam dewasa ini. Semoga usaha yang tidak seberapa ini menjadi lorong kecil yang membawa kita ke sebuah halaman yang lebih luas. Sekian, terima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat.


No comments: