Thursday, December 08, 2011

Diskusi Surah As-Sof SAHAM Selesai

Alhamdulillah, setelah sekian lama merancang, baru hari ni dipermudahkan untuk kembali mencoret di dalam blog ni. Tambahan lagi kebelakangan ni facebook dan twiter seperti mengambil alih fungsi blog, namun lebih mudah dan relaks.

Semalam 7/12/2011, 5.20pm - 6.30pm, sesi diskusi surah As-Sof bersama teman-teman Sahabat Masjid (SAHAM) dapat ditamatkan dengan jayanya. Diskusi yang berlansung beberapa siri itu berjalan secara santai di bilik Pejabat, selepas waktu pejabat (5.oopm) dengan disertai oleh purata 20 orang siswa dan siswi. Biasanya siswi yang dominan.

Sama-sama berkongsi menyelami surah As-Sof dengan bimbingan Fi Zilal Al-Qu'ran Terjemahan tulisan Syed Qutb sangat nyaman, damai dan menggetarkan. Bermula dengan sentuhan kenyataan TASBIH seluruh alam kepada Allah, yang memperkenal diriNya dengan nama AL-AZIZ AL-HAKIM (Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana), perbincangan berkenaan perjuangan bertitik tolak dengan Asas Aqidah.

Disambung dengan PERSOALAN yang menyentak kesedaran bagi menegaskan bahawa Aqidah (simpulan keyakinan) bukan semata-mata ungkapan manis di BIBIR, teori falsafah ketuhanan, mahupun kepercayaan kosong.. bahkan adalah akar tunjang keyakinan yang kukuh mencengkam bumi, menumbuhkan pepohon yang teguh berjatidiri, ditumpang manfaat seterusnya melebar dan menebar manfaat kepada alam seluruhnya..

Pohon yang berkeperibadian unggul itu tadi, bukan sahaja perkasa dirinya, malah membekas kepada lingkungannya. Bergerak di jalan Allah dengan minda dan budaya CEMERLANG (qital adalah ufuk tertinggi dalam jihad), berSTRATEGIK (soffan-teamwork) dan berSISTEMATIK (bunyanun marsus-binaan kukuh). Terangkum di dalamnya segala adab, akhlak, peraturan dan disiplin.

Namun, sunnah perjuangan akan ada CABARAN. Pengalaman Nabi Musa dan Nabi Isa mengahadapi karenah umat mereka, yahudi dan nasrani menjadi pedoman.. kerana kehidupan umpama lakonan layar filem yang berulang, cuma pelakonnya sahaja yang berubah. Abu Jahal adalah pelakon watak Firaun di awal sejarah umat Islam. Malah jika dirungkai, kita akan melihat bagaimana dari dua aliran ini (yahudi dan nasrani) akhirnya timbul segala pecahan ideologi, dan isme-isme baru yang menyesatkan dan mengancam Islam dan ummah.

Adakah dengan ancaman dan cabaran ini cahaya ISLAM akan TERPADAM? Mustahil! Kerana ia adalah CAHAYA ILAHI. Allah pasti menyempurnakan cahayaNya. Apakah sumber kekuatan Islam? Apa rahsianya? Kerana Islam adalah CARA HIDUP yang sebenar bersumberkan HIDAYAH wahyu dari Pencipta Insan dan Kehidupan iaitu Allah, bertujuan agar Islam mengalahkan segala isme dan ideologi ciptaan manusia, makhluk ciptaan Allah. Bagaimana mungkin IDEA MANUSIA lebih hebat dari ILMU ALLAH?

Allah pasti memenang dan mempertahankan Islam. Tetapi, dengan limpah kasih sayangNya, ditawarkan kita untuk menjadi penyebab dan pendokong kemenangan tersebut. Tawaran ini adalah urusniaga yang paling lumayan dan amat tinggi keuntungannya hingga tiada bandingannya di dunia ini. Harganya adalah sebuah keimanan bersulam jihad dan pengorbanan. Berkorban harta dan jiwa raga. Bukanlah terlalu sukar dan mustahil, malah mengikut kemampuan seorang hamba. Iman bukanlah jalan yang sangat sukar. Fitrah insan telah dipersiapkan untuk beriman.. hanya nafsu yang seringkali mengalahkannya. Jihad nyawa adalah kemuncaknya. Dalam realiti hari ini sangat kecil peluang dan ruangnya. Namun, lebih ringan dari korban nyawa ialah korban masa, keringat, tenaga, pemikiran dan keseronokan serta kerehatan yang berlebihan demi Islam. Adakah itu pun kita tidak mampu? Lelah? Memang melelahkan. Letih, lenguh, stres, lemah dan pelbagai lagi perasaan dan rasa yang akan mendatang di atas jalan perjuangan.. namun tempohnya tidak lama. 60 tahun? 70 tahun? atau 80 tahun sahaja...

Apalah sangat 80 tahun itu untuk dibandingkan dengan apa yang ingin Allah jualkan kepada kita.. Iaitu pengampunan DOSA, TAMAN SYURGA yang mengalir sungai-sungai di dalamnya dan MAHLIGAI INDAH di syurga dengan segala keabadiannya.. selama-lamanya.. bukan ribuan tahun, bukan jutaan tahun.. tapi selama-lamanya. Perniagaan apakah ini? Sangat menguntungkan dan tiada taranya.. Inilah kejayaan yang agung! Di samping itu ada bonus bagi yang beruntung.. Mengecapi kemenangan dalam kesempatan hidup yang singkat ini, untuk melihat Islam di daulatkan!

Lebih hebat dari tawaran perniagaan yang menguntungkan ini, adalah tawaran berikutnya. Iaitu tawaran untuk terus menisbahkan diri kita sebagai ANSARULLAH! Penolong-penolong Allah! SubhanalLah! adakah lagi kedudukan lebih hebat dari menjadi Penolong Allah? Surah As-Sof ini.. memang seluruhnya menggetarkan jiwa! Allahuakbar!!!

1 comment:

semaniss cokelat said...

subhanallah...