Tuesday, July 06, 2010

KHUTBAH : 5 ASAS PENTING


Hadirin Solat Jumaat Yang dirahmati Allah

Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. yang telah memberi kelapangan dan kemudahan kepada kita untuk kita berhimpun pada hari ini dalam satu pertemuan yang disyariatkan wajib kepada kaum lelaki dari ummat Muhammad s.a.w. Pertemuan sekali seminggu ini pastinya tersembunyi pelbagai hikmah yang dapat kita nikmati, rasai dan hayati. Hikmah yang kita sedar atau yang belum kita sedari. Selain dari ruang untuk memperkukuhkan diri dengan pengisian peringatan atau tazkirah khutbah oleh khatib, di sini jugalah peluang kita, manusia sebagai makhluk social untuk saling berkenalan, berinteraksi dan selanjutnya membawa kepada memenuhi keperluan di antara satu sama lain dalam keadaan yang pastinya sangat terpelihara lantaran ia bermula di dalam tempat yang sangat mulia iaitu rumah Allah, masjid. Selain itu, ada keberkatan, naungan dan rahmat Allah yang tersembunyi, bagi hamba-hambanya yang bertemu dan berpisah keranaNya, memakmurkan rumahNya dan menyebut-nyebut namaNya di dalam perhimpunan tersebut.

Dalam kesempatan yang terhad dan singkat ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengajak diri saya dan tuan-tuan hadirin solat Jumaat sekalian sesekali kita memperingatkan diri kita masing-masing dengan beberapa noktah atau titik asas yang utama dalam kehidupan kita selaku seorang muslim mukmin., Saya menyedari bahawa di sana terlalu banyak isu-isu besar yang bersifat internasional, nasional maupun local yang berkaitan Islam dan umat Islam yang boleh kita sentuh dan kupas. Namun, biarlah pada hari ini kita menyebut perkara-perkara asas yang juga tidak kurang pentingnya. Janganlah keghairahan kita untuk memetik bintang di langit , sampai kita terlupa bahawa telapak kaki masih menjejak di bumi.

Ada 5 perkara asas yang ingin saya sebut dan peringatkan dalam kesempatan khutbah pada hari ini.

Asas Yang Pertama :

Kita adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Kita tidak lahir dengan sendiri, ibu bapa hanyalah jalan atau wasilah untuk mengeluarkan kita tetapi mereka bukan pencipta kita. Sebagai bukti, masih ramai ibu bapa yang tidak memperolehi anak walau mereka sangat menginginkannya lantaran kuasa dan uapaya penciptaan itu bukan milik mereka. Firman Allah s.w.t. :

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; [7] Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang[8] As-Sajdah

Siapa pun kita hari ini, apa pun jawatan dan kedudukan kita pada hari ini, sebanyak mana pun harta dan kekayaan yang kita miliki atau sebanyak mana pun nikmat yang kita kecapi, ia bermula dari satu titik permulaan atau pintunya iaitu bermula dari sehembus nafas dan nyawa yang ditiupkan Allah s.w.t. kepada kita. TanpaNya, kita tiada apa-apa..

Asas Yang Kedua :

Sebagaimana ia mencipta kita, Dialah Allah s.w.t. yang sangat berkuasa yang akan mematikan kita. Dia Yang Menghidup dan Mematikan. Friman Allah s.w.t. :

Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan;(An-Najm : 44)

Mati bukan dalam bidang kuasa kita. Saya ulang sekali lagi sebagai peringatan untuk diri saya dan tuan-tuan. Ketahuilah sesungguhnya mati bukan dalam bidang kuasa kita. Kita tidak tahu bila kita akan dimatikan dan di bumi mana kita akan dikuburkan. Mungkin sahaja sesusai solat Jumaat ini, mungkin sahaja mala mini, mungkin sahaja esok, lusa, minggu depan, bulan depan, tahun ini atau tahun depan. Tiada siapa yang tahu.

Sangat menghairankan, apabila kita masih lagi hidup sepertinya mati di dalam kawalan kita. Sedangkan saban hari kita mendengar berita kematian, sudah kerap kita dikejutkan dengan berita kematian sahabat handai mahu pun kerabat terdekat. Adakah mustahil selepas ini kematian kita pula akan memeranjatkan mereka?

Asas Yang Ketiga :

Sebagai muslim mukmin, kita meyakini bahawa kita tidak mati begitu sahaja. Ada kebangkitan selepas kematian yang namanya alam akhirat. Satu perjalanan yang bermula dengan alam barzakh, qiamat, alam mahsyar dan seterusnya hinggalah berakhir dengan satu antara dua perhentian. Syurga atau Neraka. Syurga, destinasi akhir bagi mansuia yang berbahagia. Neraka, destinasi akhir bagi manusia yang celaka. Jika kita dimatikan detik ini juga, adakah kita telah merasa pasti yang manakah satu destinasi terakhir kita? Tepuk dada tanyalah iman. Friman Allah s.w.t. :

Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? [4] Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), [5] Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? [6] – Al-Muthafffin

Asas yang Keempat :

Destinasi akhir kita di alam akhirat itu sangat bergantung kepada bekalan yang sempat kita kumpulkan ketika hidup di dunia ini. Asas yang keempat ini bermula dengan kita menginsafi hakikat diri kita dan hakikat dunia ini. Siapa diri kita sebenarnya? Tanyalah diri sendiri, siapakah kita ini sebenarnya? Seorang Raja? Presiden? Ketua tertinggi Negara? Pengurusan tertinggi institusi atau organisasi? Pimpinan Masyarakat? Hartawan? Budayawan? Karyawan? Pensayarah dan mahasiswa di gedung pengajian tinggi tempat himpunan golongan intelek? Pegawai besar? Demi Allah, kesemuanya itu tidak hakiki. Yang hakikinya ialah kita semua adalah hamba Allah s.w.t. Berkewajipan melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan seluruh larangannya. Firman Allah s.a.w. :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu [56]- Az-Zaariyat)

Hamba yang dibebankan dengan jawatan selaku khalifah, untuk mengurus, mentadbir dan membimbing alam seluruhnya dengan syariat Allah s.w.t. Hamba yang diberi tempoh hayat yang tidak lama untuk membuktikan kesetiaan dan komitmen mereka dengan Penciptanya dalam meksanakan beban amanah tersebut.Hamba yang dicipta bukan untuk hidup mengikut hawa nafsu. Bukan untuk membelakangi syariat Allah s.w.t. Bukan untuk menongkat langit, lantaran akhirnya ia tetap akan kembali bertemu Allah s.w.t.

Asas Yang Kelima dan terakhir :

Keempat-empat asas yang telah saya sebutkan tadi adalah titik noktah yang sangat penting untuk sentiasa diperbaharui ingatan dan kesedaran tentangnya. Asal usul, pengakhiran, hakikat insan dan hakikat dunia yang sebenar bersumberkan sumber yang sangat kukuh. Sumber yang sangat kukuh itulah asas kelima yang saya maksudkan. Hari ini ramai manusia yang mencipta pegangan dan prinsip hidup, membentuk corak pemikiran, yang kemudiannya menghasilkan sesuatu nilai dan budaya yang kemudiannya menatijahkan tindakan-tindakan bukan dari sumber yang kukuh dan konkrit.

Perkara yang sepenting prinsip pegangan, pola pemikiran, nilai dan peraturan, budaya dan amalan diasaskan dengan asas yang bersumberkan sumber yang tidak kukuh dan konkrit. Ada yang menjadikan amalan turun temurun sebagai sumber dan asas, ada yang menjadikan - kerana ramai orang dalam sesebuah masyarakat menerima sesuatu perkara tersebut- sebagai sumber nilainya, ada yang menjadikan segala apa yang datang dari barat itu sebagai sumber rujukannya, lebih malang lagi ramai juga yang menjadikan hawa nafsu sebagai sumber rujukannya.

Hasil dari sumber yang tidak konkrit dan jelas, prinsip pegangan menjadi bercelaru, pemikiran menjadi keliru, nilai menjadi haru biru. Kelucahan diiktiraf sebagai hasil seni yang tinggi. Hiburan yang asalnya keinginan atau keperluan, menjadi kewajipan dan kemestian. Agama sebagai cara hidup bertukar menjadi aktiviti atau upacara kerohanian. Alam ghaib menjadi dunia mistik. Moral menjadi hak asasi. Jihad Islam dianggap keganasan, Serangan Israel dianggap sebagai mempertahankan keselamatan dan memerangi pengganas.

Marilah kita kembali kepada sumber yang paling kukuh, sumber yang konkrit, mukjizat yang mencengangkan dan tidak dapat dipertikaikan kesahihannya semenjak dahulu, kini dan selamanya iaitu wahyu Ilahi, Al-Quran dan Hadith sahih yang menjadi sumber tertinggi dalam Islam selaku cara hidup manusia yang sepatutnya.

Alif, Laam, Miim. [1]Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; [2]Al-Baqarah


No comments: