Monday, June 21, 2010

SEMANGAT BUKAN GOPOH!


Terkadang, dalam keghairahan kita menggerakkan usaha tarbiyah dan dakwah (termasuk di dalamnya siyasah) dalam sesebuah jamaah, berlaku kesilapan apabila kita tidak meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Dalam ilmu dakwah, ia disebut HIKMAH. Hikmah ada banyak takrifannya. Di antara takrifan hikmah ialah MELAKUKAN SESUATU YANG SESUAI KEPADA SESEORANG YANG SESUAI DALAM MASA YANG SESUAI PADA SITUASI DAN KONDISI YANG SESUAI. Ia memerlukan kebijaksanaan. Ia juga memerlukan kita memahami realiti (FIQH AL-WAQIE') dan memahami serta mengenali tabiat dan tahap seseorang atau sasaran (FIQH AN-NAAS).

Menarik apabila kita melihat bagaimana Allah s.w.t. menurunkan syariat atau hukum hakam yang berbeza kepada umat yang berbeza. Umat Nabi Adam, hukum hakamnya berbeza dengan umat Nabi Ibrahim. Umat Nabi Ibrahim berbeza hukum hakamnya dengan umat Nabi Musa dan begitulah seterusnya. Yang sama antara umat itu ialah Ad-Din mereka (ISLAM) dan aqidah mereka (TAUHID). Adapun hukum hakam syariatnya berbeza sesuai dengan zamannya dan tabiatnya yang berbeza.

Al-Quran itu sendiri pun tidak turun sekali gus. Ia turun berperingkat-peringkat sesuai dengan isu dan realiti yang berlaku. Di dalam ilmu tafsirnya di sebut (ASBAB AN-NUZUL). Ayat-ayat berkaitan dengan pembangunan IMAN mendahului ayat-ayat HUKUM. Umat di zaman Nabi s.a.w. perlu dipukul hati dan akal mereka lebih dahulu dengan pengkisahan dan ibarat-ibarat yang logik berkaitan hakikat kejadian, hakikat diri, akhirat, hidup dan mati mereka sebelum mereka dibebankan dengan syariat solat, zakat, puasa dan JIHAD. Kepada hati yang tidak beriman, hukum tidak akan memberi apa=apa makna dan erti terhadap dirinya.

Demikianlah dalam keghairahan kita menggerakkan amal islami dan amal jamaie. Kesungguhan kita dalam memperkasakan Islam dengan meramaikan anggota, penyokong, pengikut dan pendokong jamaah jangan sampai berlakunya pencuaian dalam meraikan PERINGKAT manusia dan REALITI yang melingkarinya. Marhalah TAKRIF berbeza dengan TAKWIN dan TAKWIN berbeza dengan TANFIZ. Dalam usrah, tangga TAARUF tidak sama dengan TAFAAHUM, apatah lagi TAKAAFUL.

Tersilap dalam memahami dan menyingkapi hakikat-hakikat ini, terkadang merugikan dakwah itu sendiri. Ada masanya kita sangat obses untuk mengajak segolongan manusia agar dapat bersama-sama kita turun ke medan dan ke akar umbi perjuangan. Kita ancam mereka dengan azab Allah dan kita sindir mereka dengan balasan Allah kepada orang yang BERAT TULANG dan tidak sanggup berkorban untuk Islam, secara tidak sedar rupa-rupanya, ancaman dan sindiran itu bukan mendekatkan, malah menjauhkan mereka dari kita dan dakwah. Apa untungnya? Adakah kita berbahagia dengan menjauhnya mereka dari dakwah? Agar mereka nantinya padan muka di lempar ke dalam neraka???

Kita ingin memetik buah sebelum ia benar-benar masak. Kita menjadi seperti seekor IBU AYAM yang tidak dapat bersabar menanti tempoh mengeram yang sempurna lalu kita mematuk-pecahkan telur supaya ANAK-ANAK ayam itu cepat keluar. Memang ibu ayam itu boleh cepat melihat anaknya, tetapi anak yang keluar itu ialah ANAK yang LEMAH paruhnya, LEMAH kukunya dan KURANG SIHAT tubuhnya. Mungkin sahaja silap haribulan, anak ayam itu akan MATI. Demikianlah sebahagian kesilapan kita dalam dakwah dan tarbiyah, sedangkan kita sering sahaja membaca ayat Allah s.w.t. yang mengungkapkan tentang tabiat jalan Islam itu PANJANG dan JAUH (ayat 42 surah At-Taubah).

Bersyukurlah ke hadrat Allah jika kita dikurniakan SEMANGAT yang berkobar-kobar, KEAZAMAN yang kuat dan KEBERANIAN yang tinggi.. tetapi jangan sampai menjadi GOPOH, GELOJOH dan TIDAK SABAR. Ada golongan dalam anggota masyarakat yang lemah imannya. Ada yang belum memiliki keyakinan yang mendalam terhadap akhiratnya. Ada yang masih cetek ilmunya dan ada yang masih sempit pemikirannya (dek keduniaan). Mereka ini kadang-kadang tertarik dengan kumpulan dakwah dan tokoh-tokohnya. Mereka cuba mendekati jamaah dan anggotanya dengan tujuan untuk memperbaiki diri, menambah ilmu dan ingin menjadi orang yang baik. Tiba-tiba, dengan penuh semangat, mereka kita bebankan dengan sepikul tugas dan segunung beban, hingga kemudiannya mereka semakin hari semakin lelah, lemah dan patah semangat.. di mana pesanan Nabi s.a.w. BASSYIRU WA LAA TUNAFFIRU, YASSIRU WA LAA TU'ASSIRU - jinakkanlah (gembirakanlah) jangan meliarkan, permudahkan jangan menyusahkan..

Bergembiralah jika mereka sudah sedikit berminat dengan dakwah kita. Terimalah pendapat mereka jika mereka sudah condong dengan kita. Jangan sambut mereka dengan kata-kata : "ELEH.. CAKAP SEMUA BOLEH, TEORI AJER.. KALAU BETUL-BETUL NAK BERJUANG, TERJUN KE MEDAN SEBENAR SEPERTI KAMI.. nanti mereka kebingungan, kerana itu bukan marhalah mereka...


* Sekadar coretan pandangan seorang pengail faqir di tengah lautan perjuangan dakwah yang sangat luas. Boleh diterima dan boleh ditolak.

3 comments:

sakinah_gurlz said...

betul apa yang ustaz utarakan..

manusia ni ibarat pokok...
pokok hidup subur dengan memberi sinar matahari,karbon dioksida dan air yang cukup.

Tapi ada pokok yang perlukan baja yang lebih untuk hidup..
Ada juga pokok yang kena diletakkan di kawasan yang sejuk untuk hidup..
Tidak kurang juga ada yang perlu diletakkan di kawasan yang panas untuk hidup..

Sekiranya pokok yang perlukan kawasan sejuk diletakkan di kawasan panas,maka layu dan akhirnya matilah pokok tersebut...

hamba Allah said...

alhamdulillah...

~ana semakin faham ustaz bgmana nak mengajak manusia mendekati Allah... kerana suatu ketika dahulu ana juga seperti mereka, mencari2..alhamdulillah akhirnya ketemu jua...

~mendahulukan iman sebelum hukum hakam..

~selami hati mereka insyaAllah...kerana marhalah mereka berbeza

~jazakallh khairn kathir...

~doakan ana teguh memancarkan sinar didlm medan dakwah&tarbiyah ini:) amin

An-Nasrullah said...

Subhanallah...artikel yang sangat menarik...isi dan maksud artikel memang sudah dijangka, tetapi olehan yg 'hidup' dan gaya bahasa yg pelbagai menjadikannya sbg santapan rohani yang menjentik jiwa..