Sepanjang berada di Penang berseminar, saya telah bertemu kembali dengan teman-teman seperjuangan di medan ilmu ketika menuntut di Shoubra Al-Azhar Mesir. Akhi Zamrus dan Akhi Zayd yang bertugas di Pusat Islam USM, antara urusetia seminar tersebut. Akhi Bukhari yang bertugas sebagai Guru JQAF, menyambut dan menghantar kami ke rumah tamu USM setibanya kami di airport Bayan Lepas. Akhi Khairul Asyraf yang bertugas di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, menjamu kami makan malam di sebuah restoran Balik Pulau dan Akhi Taufik yang juga guru JQAF sudi melayani kami hingga lewat malam minggu walaupun sibuk dipenuhi jadual ceramah dan kuliah, masih sudi menghantar kami ke airport semula keesokannya.
Akhi Khairul Asyraf dan Akhi Taufik, kedua-duanya adalah mantan Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa MAQAZ, iaitu badan kebajikan bagi mahasiswa Malaysia yang menuntut di Maahad Qiraat Al-Azhar. DPM MAQAZ inilah tempat saya menimba pengalaman berorganisasi, belajar berbakti dan berdakwah. Walaupun pertemuan di Penang itu terlalu singkat, ia amat bermakna buat saya dan mungkin juga Ustaz Abdu yang seangkatan dengan kami di Mesir dahulu. ‘Muqabalah’ singkat ini membawa saya mengimbau kembali segala kenangan dan pengalaman manis sewaktu kami bersama di bumi Anbiya’.
Sungguh! Ilmu, kemahiran dan segala-galanya yang saya perolehi di bumi Anbiya’ adalah cebisan pengalaman penting yang tidak mungkin dapat dilupakan. Sebahagian dari pengalaman itulah yang membentuk siapa saya pada hari ini. Sementara sebahagian besar dari kenangan itu adalah teman-teman yang saya temui di Penang baru-baru ini. Kami yang bersama-sama menadah kitab, bersama-sama beraktiviti, bersama-sama berbakti, bersama-sama bermuzakarah, bersama-sama berdakwah, bersama-sama mentarbiyah dan ditarbiyah, bersama-sama berhibur, bersama-sama berkongsi semangat, bersama-sama berjanji untuk memanfaatkan ilmu dan pengalaman kami untuk agama, nusa dan bangsa..
Walaupun tempoh 3 tahun di Mesir adalah terlalu singkat, namun ia adalah saat keemasan yang sehingga kini seringkali saya impikan untuk mengulanginya… maafkan saya kerana terlalu sentimental.. tapi percayalah! Pertemuan singkat di Penang itu benar-benar memberi erti… terima kasih teman..
No comments:
Post a Comment