KHUTBAH JUMAAT : PEPERIKSAAN HIDUP
QaalalLah taala :
Mafhumnya : [Dan demi sesungguhnya!
Kami tetap menguji kamu sehingga ternyata pada pengetahuan Kami tentang adanya
orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan
perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya)
berita-berita tentang keadaan kamu ] (Muhammad
47:31)
Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati
Allah,
Saya berpesan kepada diri saya sendiri
dan kepada tuan-tuan hadirin solat Jumaat sekalian, bertaqwalah kepada Allah
s.w.t…..
Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati
Allah,
Alhamdulillah, hari ini adalah hari
yang terakhir bagi siswa dan siswi UMP dan mungkin juga IPT2 yang lain
menduduki ujian peperiksaan akhir bagi semester ini. Dalam musim peperiksaan
ini pelbagai karakter, karenah atau perangai samada siswa mahupun siswi yang
boleh kita lihat secara langsung mahupun melalui coretan di alam maya,
facebook, twetter dan sebagainya.
Ada yang stress, ada yang bersengkang
mata menjadi burung hantu, ada yang tidak sabar untuk menamatkan kertas
peperiksaannya, ada yang tak lekang dengan buku dan laptop, ada yang
bersungguh2 penuh semangat bermujahadah, ada yang berharap, ada yang kecewa, ada
yang steady and happy go lucky dan
pelbagai lagi…Itulah lumrah yang biasa kita lihat dalam musim peperiksaan.
Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati
Allah,
Peperiksaan atau ujian, adalah salah
satu mekanisme yang telah sekian lama diterima pakai dalam sistem pendidikan.
Tujuan atau falsafah peperiksaan ialah antara lainnya :
1) mekanisme untuk menilai pencapaian
para pelajar dalam menguasai ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi,
2) sebagai faktor yang boleh memberi
motivasi atau peringatan kepada para pelajar agar tidak berlebih kurang dengan
proses pembelajaran yang dilalui .
3) untuk melahirkan modal insan yang
terbaik dan berkualiti, haruslah menerusi produk yang terbukti dan teruji. Firman
Allah s.w.t. :
Mafhumnya : [Patutkah manusia
menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami
beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji
orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian),
nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya
beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang
berdusta.] (Al-'Ankabuut
29 :2-3)
Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati
Allah,
Orang-orang yang beriman, melihat
kehidupan tidak dengan mata lendirnya semata-mata. Mereka dituntut oleh Allah
s.w.t. untuk merenung kejadian alam dan manusia, meneliti penciptaan langit dan
bumi serta apa yang ada di antara keduanya, mentadabbur dan tafakkur di sebalik
peristiwa dan pengalaman dengan matahatinya.
Firman Allah s.w.t. :
yang bermaksud: [Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi,
dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan
keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal fikiran] (Surah Ali-Imraan, ayat
190)
Yang bermaksud : [Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian
langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
berpengetahuan.] (Ar-Ruum
30:22)
Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati
Allah,
Demikianlah sepatutnya musim peperiksaan
yang telah berlalu dan telah seringkali kita laluinya dalam fasa-fasa kehidupan
kita. Samada di peringkat pendidikan awal rendah, menengah, matrikulasi mahupun
university.
Tidakkah pengalaman yang
berulang-ulang itu mengajar kita sesuatu?
Tidakkah kita menyedari bahawa HIDUP ini juga adalah sebuah ujian?
Adakah kita insaf bahawa kita sedang melalui sebuah peperiksaan besar yang
namanya kehidupan? Kita diuji dan diuji samada ujian itu mudah mahu pun ujian
yang susah. Firman Allah s.w.t. :
Mafhumnya : [Dia lah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji kamu: siapakah di
antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu),
lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); ] (Al-Mulk 67:2)
Peperiksaan atau ujian yang bernama
hidup ini menuntut kita untuk berusaha bersungguh-sungguh dan tidak
membudayakan sikap tertangguh. Tiada istilah last minute dalam persiapan
menghadapi ujian ini. Peperiksaan hidup ini sangat cemas dan mendebarkan, tidak
bermusim tetapi berterusan. Tempoh akhirnya peperiksaan tidak diketahui tetapi
ia boleh tamat bila-bila masa sahaja. Gagal peperiksaan di dunia masih ada
peluang kedua untuk ulang kertas atau mendaftar semula di bidang yang lain atau
memohon pula IPT yang lain.
Selagi hidup selagi itu ada peluang..
Namun gagal dalam peperiksaan yang bernama kehidupan, jika tamat tempohnya,
yang bernama kematian, sudah tiada lagi peluang kedua. Menangislah air mata
darah sekali pun, tiada lagi peluang kedua. Allah merakamkan di dalam Al-Quran
cerita orang yang gagal dalam peperiksaan hidup ini dengan firmannya :
Mafhumnya : [Dan berilah amaran (wahai
Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang
padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang
berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami,
(kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu
masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu dan supaya kami menurut agama
yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak
dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh
untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah dahulu, bahawa keadaan
kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?]
(Ibrahim 14:44)
Begitulah kita di dalam peperiksaan di dunia
ini. Ada sahaja di antara kita yang menangguh-nangguh dalam berusaha, mengulangkaji
pelajaran dan sebagainya. Apabila semakin dekat peperiksaan, barulah kita
tergesa-gesa, berjaga malam, bersengkang mata membaca dan mengulangkaji, masa
seperti pantas berlalu, setiap detik berharga.. ketika itu baru kita terasa,
alangkah baiknya jika aku dahulunya mengulangkaji lebih awal. Alangkah baiknya
jika masa dapat diputar semula dan aku memulakan segala-galanya lebih awal?
Alangkah, alangkah, alangkah… Begitulah kita manusia dalam pengalaman
peperiksaan di dunia ini… namun selagi hidup, masih ada peluang kedua.
Demikianlah juga dengan ujian atau
peperiksaan yang bernama KEHIDUPAN ini. Selagi hidup, selagi itu ada peluang..
namun jangan membudayakan tangguh beramal.. Manfaatkanlah masa hidupa yang
sangat singkat ini demi kejayaan dan kebahagiaan yang kekal abadi. Masa sesungguhnya
bukan milik kita, kematian pula tidak dalam kawalan kita. Beringatlah dan
beringatlah! wahai orang yang diberi akal fikiran! Firman Allah s.w.t. :
Mafhumnya : [Dan bagi tiap-tiap umat
ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat
mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.]
(Al-A'raaf
7:34)
Mafhumnya : [Tiap-tiap diri akan
merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai
cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan] (Al-Anbiyaa'
21:35)
[Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk
memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.] (Surah
Al-A’raf 7: 179)
No comments:
Post a Comment