Friday, July 25, 2008

Khutbah Jumaat 25 Ogos 2008 di Masjid UMP

BEBERAPA PENGAJARAN DARI ISRA’ & MI’RAJ


إِنّ الْحَمْدَ ِللهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَسَيّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنّ مُحَمّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ .اَللهُمّ صَلّ وَسَلّمْ عَلى مُحَمّدٍ وَعَلى آلِهِ وِأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدّيْن...

يَاأَيّهَا الّذَيْنَ آمَنُوْا اتّقُوا اللهَ حَقّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنّ إِلاّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .يَاأَيّهَا الّذِيْنَ آمَنُوْا اتّقُوا اللهَ وَقُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيْدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيْمًا، أَمّا بَعْدُ ...


Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taqwa dengan ertikata menjunjung dan melaksanakan segala suruhanNya serta menjauhi dan meninggalkan segala tegahannya dan janganlah hendaknya kita mati melainkan sebagai seorang Islam yang tunduk patuh menyerah diri kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Isra’ ayat pertama :

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsha yang telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Alhamdulillah, kita berada di berada di penghujung bulan rajab, satu bulan mulia di antara empat bulan yang dihormati di dalam Islam. Dalam catatan sejarah Islam, pada bulan ini berlakunya peristiwa besar yang disebut Isra’ dan Mi’raj. Peristiwa Nabi s.a.w. diperjalankan dari masjidil haram di Makkah al-Mukarramah, tempat tumpuan jutaan manusia saban masa dan tahun hingga ke masjidil aqsa di Palestine, bumi yang tidak henti bergolak sehingga kini, kemudian dari masjidil aqsa diangkat dari langit ke langit sehingga bertemu Allah s.w.t. di sidratil muntaha.

Saban tahun, tidak sedikit dari kalangan umat Islam yang mengadakan sambutan bagi memperingati peristiwa besar tersebut samada disambut dengan mengadakan majlis-majlis ilmu, ceramah, forum, wacana, halaqah zikir dan seumpamanya. Demikianlah juga saban tahun kita mendengar para pendakwah, penceramah dan pentazkirah mengulang-ulang riwayat atau penceritaan peristiwa tersebut namun kita juga tidak jemu mendengarnya..

Dalam kesempatan masa yang terhad ini, saya ingin mengajak hadirin solat Jumaat sekalian untuk bersama-sama kita mengambil beberapa pengajaran penting secara ringkas dari peristiwa tersebut :

Pengajaran yang pertama : Dalam peristiwa ini, solat fardhu lima waktu disyariatkan. Pentingnya ibadah solat sehingga Allah s.w.t. menjemput Nabi s.a.w. mengadap ke hadratNya untuk disampaikan pensyariatan ibadah tersebut. Solat menjadi tiang agama, penghubung lansung antara manusia dan Penciptanya. Kewajipan yang pertama dinilai oleh Allah s.w.t. di hari akhirat kelak. Persoalannya, adakah ia juga menjadi perkara yang penting dan utama kepada kita? Adakah solat menjadi slot wajib dalam setiap tentatif program dan aktiviti yang kita adakan? Adalah menjadi satu perkara yang amat menyedihkan apabila slot jamuan 6 kali sehari tidak pernah kita lupa dalam setiap kursus, latihan atau seminar yang disertai tetapi slot solat 5 waktu sering diabaikan. Di kala jasad kita terlentang kekenyangan, ruh kita terlantar kelaparan.

Pengajaran yang kedua : Peristiwa Isra’ Mi’raj amat berkait rapat dengan masjid, malah masjidil haram dan aqsa menjadi transit Nabi s.a.w. dalam perjalanan tersebut. Mengapa pentingnya institusi masjid dalam Islam? Tabiat manusia memerlukan di antara satu sama lain. Saling melengkapi, memberi dan menerima. Keperluan ini hanya dapat dipenuhi apabila berlakunya at-taaruf yakni perkenalan. Perkenalan biasanya berlaku di antara sesama manusia di dalam perhimpunan samada majlis keraian, program dan sebagainya. Allah s.w.t. yang memiliki syariat ini telah memprogramkan masjid sebagai tempat pertemuan, pusat komiti masyarakat dalam Islam.

Sebab itulah, masjid menjadi projek pembangunan pertama Rasulullah s.a.w. apabila diangkat sebagai pemimpin negara Madinah. Segala aktiviti masyarakat akan bermula di masjid. Kalau tidak di masjid, manusia akan tetap berkumpul dan berhimpun di mana sahaja dan dengan pelbagai cara. Perhimpunan di masjid adalah perhimpunan yang terkawal. Perkumpulan untuk sebarang aktiviti yang diharuskan tetapi penuh nilai dan etika. Lalu, sebagai penjana untuk menggerakkan manusia ke masjid, solat fardhu secara berjamaah itu disyariatkan. Firman Allah s.w.t. :

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” [At-Taubah ayat 18]

Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Pengajaran yang ketiga : Dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, Nabi s.a.w. dipertemukan oleh Allah dengan nabi-nabi yang terdahulu di antaranya ialah Nabi Musa yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nabi Isa yang dipuja oleh orang Kristian. Fakta ini, jelas menunjukkan kebenaran Islam dan Islam sebagai agama perpaduan. Umat islam diwajibkan mengiktiraf, beriman dan memuliakan Nabi Musa yang dianggap nabi kepada orang Yahudi dan nabi Isa yang dipuja oleh orang Kristian di kala Nabi Muhammad s.a.w. dikeji, difitnah dan dihina oleh ramai orang-orang yahudi dan kristian di negara-negara barat. Umat Islam mengiktiraf kitab Taurat dan Injil yang asal, malah wajib beriman kepadanya di kala Al-Quran dihina oleh musuh islam dari kalangan penganut yahudi dan kristian.

Pengajaran yang keempat : Dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj, Nabi s.a.w. diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa sebagai gambaran kebaikan atau keburukan sesuatu perkara. Di antaranya ialah Rasulullah s.a.w. bertemu dengan satu kaum yang memotong-motong lidah dan bibir mereka dengan gunting besi, apabila bercantum kembali digunting lagi dan seterusnya. Rasulullah juga bertemu dengan satu kaum yang mencakar-cakar muka dan dada mereka yang kuku dari tembaga . Apabila ditanya kepada Jibril maka Jibril menjelskan bahawa yang memotong-motong lidah dan bibir itu ialah penyebar fitnah dan yang mencakar-cakar dada dan muka itu ialah pemakan daging manusia (pengumpat), menjatuhkan maruah dan kehormatan seseorang. Bayangkanlah saudara para hadirin solat Jumaat sekalian, betapa berleluasanya budaya fitnah mengfitnah, umpat mengumpat hingga menjatuhkan maruah satu sama lain yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini yang sebahagiannya disuburkan oleh media dan sebagainya.

Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Pengajaran yang kelima dan terakhir : Dalam perjalanan tersebut, Rasulullah s.a.w. terhidu dengan satu bau yang sangat harum. Jibril memberitahu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa bau tersebut adalah bauan Mashitah seorang pekerja wanita yang menjawat jawatan tukang sikat rambut anak perempuan Firaun yang telah mengorbankan dirinya dan anak-anaknya dengan dicampak oleh majikannya Firaun dalam kawah tembaga yang panas menggelegak demi mempertahankan aqidah serta menolak arahan Firaun agar murtad dari agamannya. SubhanalLah, berbahagialah Masyitah di sisi tuhannya. Dia yang telah tegar memilih mati dari mengorbankan prinsip keimanannya. Sedangkan masyarakat kita pada hari ini ramai yang menggadaikan agamanya kerana kemewahan hidup, membelakangkan agama kerana cinta, menentang agama kerana pangkat dan kedudukan.

Beruntunglah Masyitah, seorang perempuan yang telah menikmati kemanisan iman hingga tegap dan kejap mempertahankan kebenaran di hadapan majikannya, seorang raja yang kejam dan zalim, walau nyawa yang menjadi taruhannya. Sedangkan kita pada hari ini, diam tertunduk membisu tiada upaya walau sekadar untuk mengatakan tidak pada perkara maksiat.

Hadirin solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Terlalu banyak pengajaran dan manfaat yang boleh diceduk dari keseluruhan peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Perjalanan tersebut benar-benar memperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w. ketika itu dan kepada kita generasi kemudian yang menelitinya akan tanda-tanda keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. :

Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar. [An-Najm : 18]

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذا أَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرّحِيْمِ


Sesekali Bersajak... Meluah Rasa...

Tajuk : Kita Generasi Muslim Masakini

Duhai teman…
Andai masih tersisa secubit iman di hatimu…
Marilah bersama berkongsi rasa denganku...

Kita generasi muslim lewat zaman ini...
Tika jubah dan serban ditanggap penuh curiga...
Tika tudung dan jilbab diintai penuh waspada...
Tika teguh jiwa disangka ekstrimis agama...
Tika telanjang dan seksi di nobat sebagai hak asasi..
Tika arak dan judi menjadi tuntutan intergrasi...
Tika hukum dan syariat dijeling penuh irihati...

Kita generasi muslim lewat zaman ini...
Tika agama dan pentadbiran di anggap terpisah..
Tika ibadat dan adat bercampur aduk sudah..
Tika liberalis agama di beri ruang dan wadah..
Tika anak muda semakin hilang maruah..
Tika amanah penuh penyelewengan dan rasuah..
Tika maksiat dipandang sinis dan mudah..

Kita generasi muslim lewat zaman ini...
Tika Al-Quran sekadar dibaca..
Tika sunnah semakin dilupa..
Tika bidaah bermaharajalela..
Tika khilafah telah lama tiada..
Tika ruh jihad semakin luput di jiwa..
Tika umat terseksa menderita..

Kita generasi muslim lewat zaman ini...
Di kala setiap ruang terasa gelap gulita..
Moga nun di hujung lorong yang berjela..
Masih ada sekelumit cahaya!

Nukilan rasa ;
Al-faqir ilallah, Ibnu Dibok

Wednesday, July 16, 2008

Suburkan Tanah Jiwa Dengan Hujan Ilmu & Hidayah


Mafhum Teks Hadith :

Dan daripada Abi Musa r.a. melaporkan ; telah bersabda Nabi s.a.w. (mafhumnya) : “Perumpamaan hidayah dan ilmu yang dengannya aku dibangkitkan oleh Allah s.w.t adalah seumpama hujan yang turun ke bumi. Maka sebahagiannya ada jenis tanah yang baik, yang dapat menerima (menyerap) air (hujan) tersebut lalu ia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rampai yang banyak.

Ada pula sebahagiannya jenis tanah yang keras yang menahan air (tidak menyerap), maka Allah s.w.t. memanfaatkan manusia dengannya lalu mereka minum daripada (lopak atau takungan) nya, memberi minum dengannya (binatang ternak) dan menyiram kebun tanaman.

Dan ia (air hujan itu juga) mencurah turun pada sejenis tanah yang lain, iaitu (tanah) yang keras dan kering yang tidak boleh menakung air dan tidak boleh juga menumbuhkan tumbuh-tumbuhan . Maka demikianlah perumpamaan orang yang diberi kefahaman dalam agama Allah dan apa yang diutuskan bersamaku (dari hidayah dan ilmu) memberi manfaat kepadanya, lalu di mempelajarinya dan mengajarkannya (kepada orang lain). Dan perumpamaan orang yang tidak terangkat kepalanya dengan perkara tersebut (tidak bermanfaat baginya) dan ia tidak dapat menerima hidayah Allah yang telah diutuskan aku dengannya.” [Hadith Muttafaqun ‘alaih]


Pengajaran Hadith :

Manusia diciptakan oleh Allah s.w.t. dari tanah sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Faathir ayat 11 : “dan Allah menciptakan kamu dari tanah”. Oleh yang demikian di dalam hadith ini kita dapat melihat beberapa perumpamaan jenis tanah yang juga dimiliki sifatnya oleh manusia.

Allah s.w.t. juga mengumpamakan hidayah dan ilmu itu seperti air hujan yang turun mencurah bumi. Alangkah indahnya perumpamaan ini. Air hujan adalah air mutlaq yang turun dari Allah tanpa apa-apa bahan campuran, perasa, pewarna dan sebagainya. Ia amat memberi manfaat kepada seluruh alam khususnya manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Tanpa air ini manusia akan mati jasadnya, tanpa ilmu dan hidayah manusia akan mati jiwanya (sesat).


Allah membuat perumpamaan manusia seperti tanah kepada 3 kategori :

  • Ada tanah baik lagi subur yang boleh menyerap air hujan dengan baik lalu menumbuhkan dengannya tanaman dan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai. Ini adalah jenis manusia yang baik jiwanya. Ia boleh menerima hidayah dan ilmu dengan sebaiknya lalu dimanfaatkan untuk dirinya dengan beramal soleh serta memberi manfaat pula kepada orang lain dengan perkongsian ilmu, mengajar atau berdakwah.
  • Ada pula jenis tanah yang kedua iaitu tanah yang kering dan tidak subur. Ia tidak mampu mengambil manfaat dari hujan yang turun tetapi boleh diambil manfaat darinya oleh manusia, binatang atau digunakan untuk tujuan pertanian. Ini jenis manusia yang tidak tidak dapat mengambil manfaat dari ilmu dan hidayah buat dirinya. Ia tidak beramal dengan ilmunya akan tetapi ia boleh memberi manfaat kepada orang lain samada dengan menyampaikan ilmunya atau dia tidak menghalang orang lain dari melakukan kebaikan dan amal. Golongan ini ramai juga di dalam masyarakat kita. Walaupun ia tidak dapat mengubah dirinya menjadi baik atau lebih baik dengan ilmu Islam dan hidayah Allah, tetapi ia tidak menjadi penghalang kepada kebaikan orang lain.
  • Tanah ketiga ialah jenis tanah yang terlampau kering dan kontang yang paling tidak berguna. Sudahlah ia tidak boleh menyerap air hujan, ia juga tidak mampu menakungnya apatah lagi untuk dimanfaatkan oleh selainnya. Inilah manusia yang menjadi beban kepada masyarakat manusia dewasa ini. Golongan manusia yang tidak mampu menerima hidayah dan ilmu Allah s.w.t. dengan sebaiknya, malah tidak boleh pula manusia mengambil manfaat darinya. Terkadang manusia begini pula yang menjadi penghalang dan penentang kepada hidayah dan ilmu yang benar itu tadi.


Anda berjumpa atau tidak hari ini dengan jenis manusia yang tidak suka kepada hukum hakam dan nilai-nilai Islam malah berusaha menghalang praktisnya di dalam masyarakat. Pada ketika itu kita akan merasakan, tidak mengapa jika ia tidak suka kepada Islam, tetapi mengapa menghalang orang lain untuk mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka samada dalam konteks individu, berorganisasi, bermasyarakat atau bernegara?

Saban hari dan ketika, hujan terus turun mencurah-curah sebagai lambang rahmat Yang Maha Esa. Soalnya, jenis tanah apakah kita ini?

Thursday, July 10, 2008

Mari Bersama Menyuluh Hidup Dengan Cahaya Islam!

Assalamulaikum wrt wbt dan salam kemanusiaan…

Alhamdulillah, saya dikurniakan oleh Allah dengan nikmat Iman dan Islam. Saya lahir sebagai seorang Islam dan dengan takdir tersebut, saya mengecapi kenikmatan Iman. Islam adalah kebenaran yang sudah terang lagi bersuluh. Suluhannya secerah mentari di siang hari, seterang purnama tika malam menjengah. Seorang muslim yang beriman dengan prisip-prinsip keimanan dan mengingkari Thagut (ajaran Syaitan atau segala sesuatu yang diagung dan disembah setanding Allah) maka sesungguhnya dia telah berpegang kejap dengan ikatan simpulan tali yang tersangat kukuh dan teguh. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang selalu diwiridkan sebagai zikir ma’thurat pada setiap pagi dan petang ;

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Keteguhan prinsip, nilai dan hukum Islam yang saya pegang adalah berasaskan sumbernya yang konkrit lagi tiada tercabar iaitu wahyu Allah s.w.t. dalam format Al-Qur’an dan As-Sunnah. Firman Allah selepas ayat di atas, mafhumnya ;

“Allah pelindung (penolong dan pemimpin) orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” [Al-Baqarah ayat 157]

Islam mengajar saya agar menjadi manusia yang berpegang kepada sesuatu prinsip, nilai atau tatacara yang berasaskan kepada sumber yang kukuh. Pendirian hidup dan nilai yang disandarkan kepada sumber ilmu yang benar, bukan sangkaan dan rekaan sesiapa. Jika tidak, setiap manusia akan bebas menetapkan pegangan dan nilaian mereka sendiri yang berasaskan kepada hawa nafsu dan sumber yang menyeleweng. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Isra’ ayat 36, mafhumnya ;

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.”

Islam memberi jaminan kepada manusia atas ketulenan sumbernya yang tiada tercabar lagi mukjizat. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hijr ayat 9, mafhumnya :

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya”

Kitab Al-Qur’an yang menjadi sumber rujukan utama seorang muslim itu adalah kitab panduan yang menyeluruh dan mencakupi segala aspek dasar kehidupan manusia sepertimana yang disifatkan oleh Allah s.w.t. dalam surah An-Nahl ayat 89, mafhumnya ;

“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.”

Sementara As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan kedua selepas Al-Quran pula digambarkan oleh Allah s.w.t. di dalam surah An-Najm ayat 3 dan 4, mafhumnya ;

“dan tiadalah yang diucapkannya (Muhammad) itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”

Inilah dia simpulan ikatan tali yang kukuh yang menjadi pegangan dan pergantungan saya selama ini. Saya amat meyakininya, menjadikannya sumber rujukan tertinggi di dalam setiap keputusan hidup dan saya merasa mulia dengannya. Dengan Islam yang bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunnah itu, saya hidup di dunia ini dengan mata hati yang celik dalam segala perkara. Jelas kepada saya mana yang betul dan mana yang salah. Apa yang baik dan apa yang buruk dari semudah-mudah perkara sehingga kepada sebesar-besar urusan dan gagasan hidup. Islam ada jawapannya, itulah prinsip keyakinan saya!

Dalam suasana kehidupan manusia yang sedang menghadapi krisis nilai ini, saya menyeru kepada seluruh manusia, kumpulam, golongan dan kelompok samada manusia muslim yang tersasar dari titian hidupnya, atau non-muslim yang teraba-raba mencari hakikat hidupnya.. marilah kepada Islam.. marilah kembali kepada fitrah… Sesungguhnya cara hidup (yang benar) di sisi Allah ialah Islam.

Kepada manusia sekularis, sosialis, liberalis, komunis, free thinker, darwinis atau apa pun ideologinya… marilah bersama saya, mengecap nikmat Iman dan Islam dengan kembali kepada cara hidup yang bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam segala aspek kehidupan. Berfikirlah dengan jiwa yang jujur dan waras. Apakah asas pegangan hidup kalian selama ini… apakah sumber rujukan kalian selama ini dalam menentukan pegangan hidup, nilai dan etika… konkritkah sumbernya? Usah biarkan diri anda teraba-raba dalam kegelapan.. marilah menyuluh hidup di bawah sinaran cahaya Islam yang gemilang!

Ya Allah, saksikanlah.. bahawa sesungguhnya aku telah menyampaikan..

Monday, July 07, 2008

Ungkapan Keji Buat Fitrah Yang Suci

Assalamualaikum wrt wbt

Baru-baru ini isteri saya yang sedang mengajar murid tahun 5 di sekolahnya, dikejutkan dengan soalan ‘cepu emas’ oleh seorang murid lelaki. Soalannya ialah ; “muallimah (guru perempuan), liwat tu apa yek?” Dalam keadaan terkejut, isteri saya bertanya ; “heh, awak dengar kat mana perkataan tu?” Jawab murid terebut ; “tu dalam tv, surat khabar ada sebut liwat.. liwat tu?”…. tergamam isteri saya dan dia tidak mampu menjawabnya.

Selesai sahaja isteri saya bercerita kepada saya tentang perisriwa tersebut, dia pula bertanya ; “abang rasa macamana nak cerita kat budak-budak tu yek?” saya pula tergamam, tidak mampu menjawabnya. Kalau anda di tempat isteri saya macamana? Ada cadangan jawapan?

Lelaki suka lelaki? Lelaki ‘buat’ sama lelaki? Atau lelaki ‘memasukkan’ x@#$&.....?Apa jawapan yang lebih berlapik bagi anda?.

Saya pun sebenarnya tidak mampu menjawab soalan tersebut. Apa yang saya tahu, media massa sepatutnya lebih beradab dan beretika. Kalau pun orang politik sudah hilang moralnya, janganlah orang media pula terikut-ikut semata mencari keuntungan... biar kita menjadi lebih bertanggungjawab... Liwat adalah isu besar dan memalukan. Tuduhan liwat pula adalah bencana besar yang bisa menghancurkan maruah orang yang tertuduh. Biarlah pihak keselamatan atau institusi keadilan yang menyiasat dan membicarakan isu besar tersebut. (semoga keadilan benar-benar dapat ditegakkan...)

Janganlah pula orang media yang berlebih-lebihan menceritakan situasi peristiwa rogol berlaku hingga menjadi panduan kepada bakal perogol dan peransang kepada orang yang bernafsu buas. Begitulah juga... janganlah galak mengarang dan melapor berita melondehkan keaiban orang lain sehingga akhlak dan akal budi anak-anak kecil kita juga akhirnya terlondeh! Mereka masih terlalu suci fitrahnya untuk dikotorkan dengan maklumat sekeji kalimah ‘liwat’.

Friday, July 04, 2008

Islam dan Realiti Ummah



Muqaddimah

Masyarakat manusia pada hari ini sesungguhnya hidup dalam bencana. Bencana besar yang saya maksudkan di sini ialah berlakunya krisis nilai. Krisis ini menimpa hampir ke semua peringkat dan golongan masyarakat termasuk umat Islam itu sendiri. Akibat dari krisis tersebut mengundang pelbagai polemik, kecelaruaan sikap dan tindakan, kegawatan berkaitan isu agama, moral, sosial, politik dan lain-lainnya. Apakah punca krisis ini berlaku? Banyak faktor sebenarnya yang membawa kepada terjadinya krisis tersebut. Antaranya ialah penolakan manusia dan egonya mereka untuk kembali kepada Islam yang tulen, terhadnya kebebasan untuk menyampaikan maklumat dan ilmu yang sebenar selain bangsa Melayu itu sendiri dijajah oleh kuasa asing lebih kurang 500 tahun lamanya. Segala perkara boleh berlaku dan berubah sepanjang tempoh tersebut.

Realiti

Hari ini umat Melayu Islam boleh dikatakan mewarisi Islam yang telah bercampur aduk dengan ideologi, budaya, adat resam yang pelbagai, antaranya :

1. Pemikiran Sekuler – iaitu ideologi yang memisahkan agama dan urusan dunia. Inilah yang banyaknya dianuti oleh bangsa melayu dan umat Islam khususnya. Dalam pergaulan harian atau urusan kerjaya, kita akan menemui orang Islam yang hanya menganggap Islam dan hukum Islam hanya terpakai ketika di masjid, hari-hari kebesaran agama, aktiviti kerohanian dan bacaan doa rasmi semata-mata.Tiada kaitan antara Islam dengan sukan, budaya, seni, pengurusan, pentadbiran dan aktiviti-aktivit yang lainnya. Kesannya, lahirlah masyarakat Islam yang mencari agama hanya ketika berlaku kelahiran (majlis cukur jambul), berkhatan, perkahwinan (cari wali hakim) dan kematian. Selain itu agama ditinggalkan. Berlaku juga wanita Islam yang hanya menutup aurat ketika sembahyang, apabila memasuki masjid atau menghadiri perbicaraan di mahkamah syariah. Selain itu, aurat tidak perlu dijaga.

2. Islam Liberal – golongan cendiakawan dan kumpulan orang Islam yang terpengaruh dengan bacaan dan kajian mereka terhadap tulisan-tulisan oreantalis barat mahu pun timur. Mereka mengambil Islam bukan dari ahlinya dan tidak mengikut kaedah yang sepatutnya. Islam difahami secara meliar dan penuh prasangka. Timbullah isu-isu berkaitan peribadi Rasulullah s.a.w., penolakan terhadap hadith sebagai sumber rujukan kedua Islam, isu kewanitaan, aurat, pembahagian harta pusaka, prejudis terhadap poligami, anti jihad dan lain-lain lagi.

3. Islam Warisan – atau juga disebut Islam secara keturunan. Golongan ini memahami Islam yang telah bercampur dengan pelbagai adat istiadat dan budaya amalan resam masyarakat. Amalan-amalan tersebut sebati sehingga menjadi kemestian dan sunnah pula terkadang diabaikan. Amalan mengadakan kenduri marhaban dan mencukur jambul dengan air yang diletakkan di dalam kelapa yang ditebuk kadang-kadang lebih didahulukan berbanding sunnah tahnik (belah mulut dengan kurma), sedeqah dengan kadar timbangan berat rambut bayi, akikah dan sebagainya. Kenduri marhaban yang diadakan tidak dilibatkan ibadah akikah. Demikianlah juga adat mengkebumikan uri secara luar biasa, diikat bayi dengan benang hitam sebagai tangkal, adat persandingan ketika perkahwinan, adat membatal air sembahyang, kenduri arwah dan tahlil 7 hari berturut-turut, adat membaca Al-Qur’an di kubur 7 atau 40 malam berturut-turut dan lain-lain lagi. Segala adat istiadat ini diamalkan oleh sesetengah masyarakat melayu Islam dengan beranggapan ianya satu kemestian.

4. Ajaran-ajaran sesat – seperti ajaran Ayah Pin, tidak wajib solat Jumaat, ajaran sembahyang pakai (sekadar) niat, rijal ghaib, wehdatul wujud, wali-wali keramat (walaupun berlaku pelanggaran syariat), ilmu hitam, sihir, santau, pukau, pembomohan, dukun, pawang, nujum dan sebagainya dengan bantuan Jin dan Syaitan, dakwaan mengaku Nabi, mendakwa Imam Mahdi, kumpulan blackmetal, dan lain-lainnya

Hakikat Islam

Islam adalah tatacara panduan hidup yang bersumberkan wahyu iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai penyuluh kehidupan manusia. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 185, mafhumnya :

"(hari-hari tertentu itu ialah) bulan Ramadhan yang diturunkan padanya AL-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan yang jelas kepada petunjuk tersebut serta sebagai pembeza (antara haq dan batil)...”

Allah s.w.t. yang menciptakan manusia dan menurunkan manusia awal iaitu Adam a.s. dan Hawa ke bumi sebagai khalifah, telah menitip satu pesanan yang sangat penting kepada Adam a.s. sebagai peringatan kepada baginda dan seluruh keturunannya sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah s.a.w. di dalam surah Thoha ayat 123-124 Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya :

"Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebagian kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain (Syaitan dan manusia atau manusia sesama manusia). Maka jika datang kepadamu petunjuk daripadaKu, lalu barangsiapa yang mengikut petunjukKu, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta."

Ciri-ciri Utama Islam

Ciri-ciri Islam yang paling utama ialah Syumul iaitu menyeluruh. Islam adalah satu tatacara hidup yang mencakupi seluruh bidang, peringkat dan lapangan kehidupan manusia. Islam adalah kenegaraan dan tanahair, kerajaan dan sistem keadilan, undang-undang dan kehakiman, ketenteraan dan jihad, keselamatan dan pertahanan, ekonomi dan material, kemajuan dan tamadun, kesenian dan kebudayaan, penguasaan ilmu dan kecemerlangan akademik, kebersihan dan kesihatan sama sepertimana Islam juga adalah aqidah yang benar, ibadah yang betul dan akhlak yang tulus tanpa ada beza di antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nahl ayat 89, mafhumnya :

"... Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri."

Kewajipan kita

Menjadi kewajipan kita sebagai muslim untuk meyakini, menghayati dan melaksanakan Islam dalam segenap jurusan dan urusan hidup. Allah s.w.t. memerintahkan kita agar beriman dengan seluruh Al-Qur’an dan mengancam mereka yang beriman sebahagian serta engkar pada sebahagian ayat-ayat Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 85 yang mafhumnya :

"Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat"

Dengan sejelas-jelasnya Allah s.w.t. memerintahkan kita sebagai tuntutan iman untuk menerima dan melaksana Islam secara menyeluruh dengan firmanNya di dalam surah Al-Baqarah ayat 208, mafhumnya :

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Penutup


Inilah Islam yang kita yakini dan kita bertanggungjawab dengannya. Islam yang asal bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai rujukan yang konkrit dan tidak tercabar (mukjizat). Kita benar-benar meyakini bahawa hanya Islam dalam bentuknya yang tulen inilah mampu menyelesaikan segala kerumitan dan konflik hidup yang dihadapi manusia. Inilah janji dari Allah s.w.t. kepada kita. Kita mengimpikan kesejahteraan hidup manusia dan masyarakat di bawah naungan Islam samada dalam lapangan sosial, ekonomi mahu pun politik. Mungkin ada orang yang beranggapan bahawa kita sedang berenang di lautan khayalan dengan impian tersebut.. pedulikan mereka! Tegaskan kepada mereka, inilah prinsip keyakinan kita! dan.. jiwa kita tenang dengannya...

(Tulisan ini adalah tokoh tambah kepada nota ceramah saya yang bertajuk Indahnya Islam yang disampaikan pada pelajar-pelajar baru UMP dalam program Celik Minda sempena Minggu Induksi Siswa UMP 2008 yang di adakan pada 2hb Julai 2008, selepas solat Maghrib bertempat di Masjid UMP)

Thursday, July 03, 2008

Memahami Konsep Taaruf, Tafaahum dan Takaaful



Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Hujurat ayat 13, mafhumnya ;

“Wahai manusia, sesungguhnya kami telah ciptakan kalian dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-puak agar kalian saling berkenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”

1. At-Taaruf ialah saling berkenalan. Tujuan manusia dicipta ialah untuk mengabdikan diri dan hidupnya kepada Allah s.w.t. Adapun tujuan manusia dicipta sebagai lelaki dan perempuan dari bangsa dan suku kaum yang berbeza dan pelbagai ialah untuk mereka saling berkenalan antara satu sama lain

2. Alangkah besarnya kepentingan taaruf atau berkenalan di dalam Islam. Mengapa? Kerana taaruf adalah muqaddimah atau permulaan kepada At-Tafaahum iaitu membina hubungan yang intim sehingga ke peringkat saling memahami antara insan yang berkenalan itu tadi.

3. At-Tafaahum bermaksud saling memahami. Hubungan yang terjalin di atas dasar saling memahami ini biasanya berlaku di kalangan dua yang bersaudara. Seorang abang lebih memahami adik sebagai saudaranya berbanding orang luar yang tiada ikatan persaudaraan. Di sinilah indahnya Islam. Ia menjadikan orang-orang mukmin itu bersaudara. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Hujurat ayat 10, mafhumnya : “Hanya sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara”

4. Persoalan seterusnya, atas kepentingan apakah hubungan persaudaraan itu terjalin? Keakraban hubungan tersebut dijalinkan atas asas iman kepada Allah, demi menunaikan tabiat penciptaan manusia yang diciptakan saling melengkapi antara satu sama lain (At-Takaaful). Sabda Rasulullah s.a.w., mafhumnya : “Perumpamaan orang Mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.” (Hadith Riwayat Muslim).

5. Manusia saling memerlukan di antara satu sama lain. Bayangkan manusia yang ingin menyuapkan nasi ke mulutnya memerlukan pesawah yang mengusahakan sawah padi, pengurus, pengilang beras, pembekal, pemborong, peruncit, pembeli dan tukang masak malah tukang hidang untuk mencapai tujuannya. Bagaimna kita mampu menikmati sesuap nasi tanpa semua itu? Inilah tabiat hidup dan manusia.

6. Kepada siswa dan siswi baru, kalian amat memerlukan ilmu dan kemahiran dari para pensyarah, kerjasama dan pertolongan staf pentadbiran, perkongsian pengalaman dan tunjuk ajar pelajar senior dan lain-lain lagi. Segala kelengkapan tersebut lebih mudah dan selesa diperolehi dengan membina hubungan yang baik antara satu sama lain. Hubungan itu hanya akan terbina kukuh didahului dengan taaruf atau berkenalan.

7. Untuk saling mengenali, memerlukan kemahiran komunikasi dan keramahan. Untuk lebih mengenali memerlukan pergaulan dan bersosial. Segala-galanya itu boleh diperolehi dengan penglibatan kita dalam pelbagai aktiviti anjuran fakulti, kelab, persatuan, jabatan dan unit, tidak semata-mata terhad kepada bilik kuliah.

8. Selain itu, hidup secara bermasyarakat atau berjamaah dapat memelihara kita dari ancaman fenomena kelemahan jiwa (syahwat) dan pujuk rayu syaitan tatkala bersendirian. Sesungguhnya syaitan ibarat seringala kepada manusia, seperti seringala kepada sekumpulan kambing yang akan menerkam mana-mana kambing yang bersendirian..

9. Oleh itu, marilah hidup secara berjamaah, bermasyarakat dan memakmurkan masjid sebagai medan berhimpun. Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP melalui aktiviti SAHAM atau Sahabat Masjid bersedia membantu kalian bagi mencapai cita-cita tersebut. Pelbagai aktiviti yang menarik menanti anda untuk bersama-sama kita membina peribadi berkualiti di samping mewujudkan persekitaran yang kondusif.

(Pengisian ini ditokok-tambah dari tazkirah zuhur yang telah saya sampaikan di Masjid UMP pada 1hb Julai 2008 (Selasa) sempena kemasukan pelajar-pelajar baru UMP)

~ SELAMAT DATANG KE BUMI UMP BUAT SISWA DAN SISWI BARU 2008 ~