Wednesday, August 06, 2008

Menyelak Tabir Kenangan Pada Sebuah Pertemuan


Sepanjang berada di Penang berseminar, saya telah bertemu kembali dengan teman-teman seperjuangan di medan ilmu ketika menuntut di Shoubra Al-Azhar Mesir. Akhi Zamrus dan Akhi Zayd yang bertugas di Pusat Islam USM, antara urusetia seminar tersebut. Akhi Bukhari yang bertugas sebagai Guru JQAF, menyambut dan menghantar kami ke rumah tamu USM setibanya kami di airport Bayan Lepas. Akhi Khairul Asyraf yang bertugas di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, menjamu kami makan malam di sebuah restoran Balik Pulau dan Akhi Taufik yang juga guru JQAF sudi melayani kami hingga lewat malam minggu walaupun sibuk dipenuhi jadual ceramah dan kuliah, masih sudi menghantar kami ke airport semula keesokannya.

Akhi Khairul Asyraf dan Akhi Taufik, kedua-duanya adalah mantan Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa MAQAZ, iaitu badan kebajikan bagi mahasiswa Malaysia yang menuntut di Maahad Qiraat Al-Azhar. DPM MAQAZ inilah tempat saya menimba pengalaman berorganisasi, belajar berbakti dan berdakwah. Walaupun pertemuan di Penang itu terlalu singkat, ia amat bermakna buat saya dan mungkin juga Ustaz Abdu yang seangkatan dengan kami di Mesir dahulu. ‘Muqabalah’ singkat ini membawa saya mengimbau kembali segala kenangan dan pengalaman manis sewaktu kami bersama di bumi Anbiya’.

Sungguh! Ilmu, kemahiran dan segala-galanya yang saya perolehi di bumi Anbiya’ adalah cebisan pengalaman penting yang tidak mungkin dapat dilupakan. Sebahagian dari pengalaman itulah yang membentuk siapa saya pada hari ini. Sementara sebahagian besar dari kenangan itu adalah teman-teman yang saya temui di Penang baru-baru ini. Kami yang bersama-sama menadah kitab, bersama-sama beraktiviti, bersama-sama berbakti, bersama-sama bermuzakarah, bersama-sama berdakwah, bersama-sama mentarbiyah dan ditarbiyah, bersama-sama berhibur, bersama-sama berkongsi semangat, bersama-sama berjanji untuk memanfaatkan ilmu dan pengalaman kami untuk agama, nusa dan bangsa..

Walaupun tempoh 3 tahun di Mesir adalah terlalu singkat, namun ia adalah saat keemasan yang sehingga kini seringkali saya impikan untuk mengulanginya… maafkan saya kerana terlalu sentimental.. tapi percayalah! Pertemuan singkat di Penang itu benar-benar memberi erti… terima kasih teman..

Medan Ilmu ; Meransang Minda, Membakar Semangat!


Alhamdulillah, pada 2hb – 3hb Ogos baru-baru ini, saya berpeluang menyertai Seminar Kebangsaan Penghayatan Ramadhan anjuran Pusat Islam USM dan Jabatan Mufti Pulau Pinang. Saya bersama-sama Ustaz Amidi dan Ustaz Abdu dari Pusat Islam & Pembangunan Insan, UMP pergi menaiki penerbangan MAS Kuantan – KL – Penang. 2 hari di sana penuh dan padat disumbatkan dengan ilmu oleh pembentang kertas kerja sehingga tidak sempat untuk berjalan-jalan sekitar tempat menarik di Penang. Program penuh dari pagi hingga ke petang. Kesempatan waktu malam kami manfaatkan dengan bertemu kawan-kawan lama yang menetap di Penang.


Antara tokoh yang membentang kertas kerja ialah :

  • Prof Madya Mohd Radzi Othman, USM (Pakar Hadith) - Lailatul Qadr dan Pendapat Ulama : Satu Perbahasan
  • Y. Bhg. Prof Dato’ Paduka Dr. Mahmud Zuhdi Hj. Majid, UIAM (Pakar Fiqh) - Fiqh Asas Puasa ; Perspektif Mazhab Utama Fiqh.
  • Sahibus Samahah Dato’ Hj. Hassan Hj. Ahmad, Mufti P.Pinang - Meraih Taqwa Melalui Puasa
  • Dr Abd. Aziz Hanafi, Kolej Univ. Islam Negeri Kedah - Pelaksanaan Solat Tarawih & Amalannya di Malaysia.
  • Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, USIM - Israiliyyat & Pendustaan Berhubung Ramadhan.
  • Dato’ Sheikh Hj. Abd. Hamid Md. Tahir, Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah - Kaedah Qadha, Kaffarah & Fidyah Berhubung Puasa.


dan ramai lagi pembentang dengan pelbagai tajuk mencakupi puasa dan kesihatan, fatwa berkaitan puasa dan perubatan, fiqh puasa wanita, rukyah dan hisab dan lain-lain lagi. 23 tajuk kertas kerja yang dibentangkan kesemuanya di dalam seminar ini. InsyaAllah, seminar Ihya' Ramadhan akan kami usahakan agar diadakan di UMP pada 30hb Ogos ini. Tapi mungkin hanya melibatkan 5 kertas kerja serta 1 diskusi dan dibuka terhad kepada warga Kuantan sahaja.


Walaubagaimana pun saya benar-benar seronok dengan minda yang diasak bertubi-tubi dengan ilmu dan maklumat di sepanjang seminar ini berlansung walau sesekali tersengguk keletihan. Ia benar-benar meransang daya fikir di samping membakar semangat juang saya untuk berusaha menjadi lebih alim dari seadanya. Perasaan seperti masa menuntut di Mesir dahulu kembali mengalir dalam diri… sungguh, saya benar-benar gila dengan ilmu! Salahkah saya?