Monday, March 30, 2009

Mengenali Puak Ekstremis & Penderhaka Tegar


Dewasa ini kita sering dimomokkan dengan permainan istilah. Antaranya ialah istilah ‘EKSTREMIS’ yang biasanya ditujukan kepada kumpulan manusia (termasuk muslim)yang bersungguh-sungguh berpegang teguh dengan doktrin sesuatu ajaran (termasuk ajaran Islam) serta melaungkan seruan kembali kepada ketulenan ajaran tersebut secara menyeluruh. Demikian juga dengan lontaran istilah ‘PENDERHAKA’ ke atas mana-mana pihak yang berbeza pendapat dengan golongan penguasa, kerajaan atau raja. Sewajarnya difahami bahawa berpegang teguh dengan sesuatu ajaran yang berasaskan sumber yang konkrit, bukan bermaksud ekstrem dan berbeza pendapat dan pandangan tidak semestinya menderhaka.

Tulisan saya kali ini ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian melihat dan merenung bagaimana Allah s.w.t. melabelkan ciri-ciri setengah golongan ekstremis dan penderhaka tegar di dalam Al-Qur’an dengan istilah ‘MU’TADIN ATHIM’. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Muthoffifin ayat 10 – 17 :

وَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِلْمُكَذِّبِينَ. الَّذِينَ يُكَذِّبُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ . وَمَا يُكَذِّبُ بِهِ إِلَّا كُلُّ مُعْتَدٍ أَثِيمٍ . إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ . كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ . كَلَّا إِنَّهُمْ عَنْ رَبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَمَحْجُوبُونَ . ثُمَّ إِنَّهُمْ لَصَالُو الْجَحِيمِ . ثُمَّ يُقَالُ هَٰذَا الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ

Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (10) Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan (11) Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka! (12) (Sehingga) apabila dia dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata ; Ini ialah dongeng orang-orang dahulu kala! (13) Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan(14) Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya (15) Kemudian, sesungguhnya mereka akan menderita bakaran Neraka (16) Akhirnya dikatakan (kepada mereka); Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu (17)

Himpunan ayat tersebut secara keseluruhannya menerangkan kepada kita beberapa pengajaran berikut :

1. Allah s.w.t. menjelaskan bahawa ‘wail’ iaitu kecelakaan besar, hancur dan binasalah orang-orang yang mendustai hari akhirat. Ini kerana hari akhirat adalah sesuatu yang sangat jelas dan logik. Banyak tempat di dalam Al-Qur’an, Allah s.w.t. membentangkan hujjah logik dengan beberapa perumpamaan bahawa hari akhirat adalah sesuatu yang pasti dan boleh diterima akal. Malah Allah mencabar manusia yang berakal fikiran agar mendatang hujjah bagi menafikan kebenaran perkara tersebut.

2. Tiada manusia yang waras pemikiran dan jernih hatinya menafikan dan mendustakan kebenaran hari akhirat, melainkan orang-orang yang MU’TADIN ATHIM. Apa dan siapakah golongan mu’tadin athim ini? Mereka ialah golongan yang ekstrem dalam menolak kebenaran, walaupun tiada hujjah di sisi mereka melainkan hanya kepentingan diri dan hawa nafsu serta golongan yang tegar dalam menderhakai suruhan dan larangan Allah s.w.t. selaku Raja bagi segala Raja dan Pemilik Sebenar Seluruh Kerajaan Bumi dan Langit! Golongan ekstrem ini sangat berkait dengan teguran Allah di awal surah ini (ayat 1-3 surah Al-Muthoffifin) kepada golongan yang menipu dalam timbangan (takaran). Mereka ialah dari kalangan elit politik Makkah yang berkomplot dengan golongan pedagang agar mengaut keuntungan dengan secara haram melalui penipuan dalam urusniaga. Selaku golongan yang monopoli perdagangan eksport import, mereka menipu golongan peladang dan penternak yang menjual hasil ternak dan tani dengan cara mengurangkan timbangan. Mereka mengaut keuntungan dengan cara menipu lantaran merekalah yang menguasai politik dan monopoli perdagangan.

3. Itulah antara faktor sebenar mereka menentang Nabi Muhammad s.a.w. bukan sepertimana tohmahan mereka bahawa Muhammad adalah seorang gila, pemecah belah perpaduan masyarakat dan lain-lainnya. Mereka menentang Muhammad s.a.w. kerana risalah Islam yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. sangat menentang penipuan dan kezaliman termasuklah di dalam urusan perniagaan. Risalah dan seruan Islam ini bagi mereka akan menghapuskan peluang dan kepentingan jahat mereka selama ini. Tuduhan-tuduhan sesat, pemecah belah perpaduan dan sebagainya hanyalah propaganda mereka untuk menutup hakikat dan kebenaran ini. Mereka inilah antaranya yang digolongkan sebagai golongan ‘Mu’tadin – Ekstremis’ dan ‘Athim – Penderhaka tegar’ dalam Islam lantaran menentang kebenaran bukan kerana jahil atau tersilap, tetapi menentang kebenaran dan tegar menderhakai Allah s.w.t. semata-mata kerana kepentingan diri dan hawa nafsu yang jahat walaupun mereka sebenarnya akur dan tidak mampu menafikan kebenaran Islam!

4. Kesan dari sikap ekstrem dan derhaka tegar inilah menimbulkan sifat dan kelakuan buruk yang lain seperti degil, tertutup telinga, mata dan hati dari mendengar dan menerima kebenaran, hilang sensitiviti dan kemanusiaan serta sanggup memperlekehkan Islam dan hukum hakam Islam. Ini berlaku disebabkan hati mereka telah tertutup dari kebenaran disebabkan sikap melampau dan dosa-dosa tegar yang telah mereka lakukan. (lihat ayat 13 dan 14)

5. Golongan ekstrem dan penderhaka tegar ini tidak lagi sesuai dihadapi dengan nasihat, tazkirah dan seumpamanya. Ia sudah tidak bermanfaat kepada mereka. Dakwah, seruan dan sebagainya hanya bermanfaat bagi mereka yang masih memiliki pemikiran yang waras dan hati yang bertimbang rasa. Untuk golongan ekstrem penentang kebenaran dan penderhaka Allah yang tegar ini, bahasa yang sesuai bagi mereka ialah bahasa kuasa, politik, undang-undang, hukuman dan jihad. Inilah antara fungsi dan peranan bab iqab (hukuman denda), siasah (politik kuasa), qhudhah (kehakiman) dan jihad (perjuangan) dalam Islam. Untuk selain Mu’tadin Athim, bagi mereka adalah pendekatan penerangan, dakwah, debat, diskusi, forum, konvensyen, ceramah, kuliah ilmu dan sebagainya.

6. Golongan yang sengaja membiarkan hatinya tertutup dari kebenaran ini, diancam oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak dengan dirinya tertutup dari rahmat Allah (lihat ayat 15). Menurut setengah Ulama’ tafsir, mereka akan terhijab (tertutup) dari nikmat dapat melihat Allah s.w.t. di akhirat kelak. Untuk makluman bersama, MELIHAT ALLAH S.W.T. di akhirat kelak adalah nikmat yang paling agung dan terhebat di dalam syurga Allah s.w.t. Bayangkan, seorang mukmin itu sangat meyakini bahawa yang menciptanya adalah ALLAH, dia bersungguh-sungguh menjalani kehidupannya mengikut hidayah ALLAH, beramal ibadah tanpa henti semata-mata kerana ALLAH, berjuang dan berkorban demi ALLAH, bercita-cita mati dalam keredhaan ALLAH, lalu di akhirat kelak dia akan dikurniakan peluang hebat iaitu bertemu dan melihat langsung ALLAH S.W.T. yang selama ini menjadi tujuan hidup dan segala-gala baginya…

7. Lebih malang lagi, golongan ini diancam oleh Allah s.w.t. dengan disalai di dalam api neraka jahim. Dalam keadaan tubuh diseksa dengan seksaan yang sangat dahsyat itu, jiwa pula terseksa dengan kata-kata sindiran – Inilah dia akibat dari apa yang kamu dustakan dahulu – (rujuk ayat 16 dan 17) yang pastinya menimbulkan kesakitan yang tiada tara dan penyesalan yang tidak terhingga. Namun, tiada lagi peluang untuk kembali. Allah s.w.t. telah mengurniakan akal yang waras dan sekeping hati untuk mereka merasa dan berfikir dengan selayaknya. Wahyu dan Rasul telah diutuskan untuk memberi peringatan. Tetapi, mereka memutuskan untuk mengikut hawa nafsu dan syaitan, dari bersikap jujur terhadap diri sendiri… mereka sendiri yang memilihnya, maka siapa lagi yang boleh mereka persalahkan selain diri mereka sendiri???

Itulah di antara golongan Eksremis dan Penderhaka sebenar yang dibongkarkan oleh Allah s.w.t. Bagaimana pendapat anda? Dalam melayari bahtera kehidupan sehingga kini, berapa ramaikah anda bertemu dengan golongan manusia seperti yang dimaksudkan? Memang terkadang kita merasa pelik dan berang apabila berdepan dengan golongan manusia yang bertindak seperti hilang kewarasan dan pertimbangan, menghadapi hujjah kebenaran bukan dengan hujjah tetapi dengan kuasa dan kezaliman, menolak kebaikan walaupun sudah terang lagi bersuluh, menegakkan kejahatan walau menjolok mata, penyelewengan menjadi kebanggaan, penindasan menjadi kebiasaan dan seumpamannya.

Namun, bila kita hidup di bawah naungan Al-Quran, kita akan bertambah yakin bahawa inilah rencam kehidupan. Golongan tersebut hanyalah sebahagian dari cabaran dalam perjuangan hidup kita bagi mencapai misi dan visi Islam di dunia ini, seterusnya beroleh redha Allah s.w.t. di akhirat kelak dengan penuh kemuliaan menjejakkan kaki di gerbang pintu syurgawi…

Teman, marilah bersama kita kecapi manisnya hidup di bawah naungan Al-Qur’an.

Thursday, March 19, 2009

Catatan Santai Pada Menyelami Tarbiyah Allah s.w.t. Dalam Musibah Sakit


Catatan 1 (4/3/2008) - Sebaik Keluar Dari Hospital HTAA..


InnalilLahi wa Inna ilaihi Rajiuun..

Buat pertama kali dalam hidup, saya ditahan dalam wad sakit di hospital. Tanpa disangka, rasa pedih di kaki ketika mengangkat barang-barang dan perabot adik-adik ipar yang berpindah ke rumah saya (setelah pemergian mak mertua) lebih kurang 2 minggu yang lalu melarat kepada bengkak dan jangkitan kuman sehingga menginap 4 malam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Peringkat awalnya, saya hanya menyangka kaki terasa pedih kerana bergesel dengan perabot.. tapi keesokkannya saya ditimpa demam yang agak kuat hingga mendapat suntikan antibiotik di klinik. Kaki di kawasan tulang ‘keting’ menjadi bengkak dan berwarna merah. Doktor menyesyaki kemungkinan saya disengat oleh ‘serangga’ berbisa lantas berlaku jangkitan kuman.

Seminggu berikhtiar dengan memakan pil antibiotic dan 3 hari disambung dengan suntikan di klinik panel, nampaknya tidak dapat mengekang jangkitan tersebut sepenuhnya. Kaki kekal merah dan merasa panas walaupun bengkak agak sedikit surut. Doktor klinik panel tersebut mencadangkan agar saya dimasukkan ke wad hospital bagi mendapat antibiotic dengan dos yang lebih kuat. Akhirnya, tanggal 28hb Februari saya mendaftarkan diri di bahagian kecemasan HTAA seterusnya dimasukkan ke dalam wad. Ada beberapa pengalaman menarik yang ingin saya kongsi bersama dalam tempoh berada di dalam wad tersebut pada catatan kali ini.

Pelbagai karenah manusia

Hari pertama saya bermalam di Wad 5B (kelas 3). Saya diletakkan di bilik terbuka bersama-sama dengan pelbagai jenis pesakit. Ada yang lumpuh kerana kemalangan, ada yang dimasukkan besi untuk tarik tulang paha, ada yang diabetes, ada yang mengidap TB, ada yang bisul jangkitan kuman di paha dan lain-lain lagi. Yang menariknya ialah sikap sebahagian mereka. Berdekatan dengan saya sahaja, 2 hingga 3 orang yang mencuri-curi merokok dalam wad tersebut dan ada pembekalnya dari kalangan pesakit itu sendiri. Ada yang sudah tidak larat bangun, malah makan pun sambil berbaring tapi masih mencuri-curi merokok. Saya terfikir.. macamana kita nak ubah tabiat merokok dalam masyarakat khususnya perokok tegar seperti ini kalau tengah tenat pun masih berusaha agar istiqamah merokok???

Ada pesakit berbangsa cina yang agak berusia, diminta ber’puasa’ kerana ingin menjalani operasi pembedahan. Apabila ditanya oleh jururawat, samada dia ada makan atau minum, si pak cik ini bersumpah yang beliau tidak makan atau minum dan bersumpah berkali-kali yang beliau ikut sebagaimana arahan jururawat. Saya ketawa berdekah-dekah melihat kelucuan tersebut sebab pagi itu sahaja tanpa pengetahuan jururawat, beliau telah makan hampir 3 polystren mee halus dan minum mineral water beberapa kali…..

Terkenang Saudara di Gaza

Sakit juga (sikit) apabila tangan dimasukkan saluran (wayar) untuk membekalkan antibiotic dan ubat sepertimana sakit ketika suntikan untuk mengambil darah dilakukan. Mungkin kerana ini kali pertama saya menghadapi keadaan demikian. Tapi, apabila teringatkan suasana sahabat-sahabat Palestin yang menderita kesakitan tidak cukup bekalan ubat-ubatan dan rawatan samada di hospital Gaza maupun sempadan Mesir, sedikit sebanyak menginsafkan… apa lah sangat berbanding mereka… jauh macam langit dan bumi… Berada dalam wad 5B dengan dikelilingi para pesakit yang pelbagai di peringkat awal itu mengingatkan saya pada saudara-saudara di Gaza.. Ya Allah, bantulah mereka dalam serba kekurangan itu…

Nikmatnya Persaudaraan Atas Jalan Dakwah

Alhamdulillah, sepanjang berada di wad, tidak putus-putus para sahabat datang melawat. Adik-adik UMP, adik-adik PoliSAS, adik-adik UIA datang bertali arus. Terima kasih.. ziarah kalian adalah hiburan di masa-masa boring di wad tersebut. Tak lupa juga teman-teman se-usrah, sahabat-sahabat doktor, rakan-rakan sekerja, kaum kerabat, saudara mara dan saudara seperjuangan dalam dakwah yang meluangkan masa menziarahi saya ketika di wad maupun di rumah setelah keluar… Semoga Allah mengekalkan nikmat persaudaraan Islam ini serta menjadikan ianya sebahagian dari kemanisan dan keindahan yang tercatat dalam memori perjalanan hidup kita yang sangat singkat ini…

Beruzlah Dan Tafakkur Menilai Diri

Sepanjang keseorangan di wad, selain mengulang Al-Quran dan membaca buku, saya banyak berfikir dan bermuhasabah. Sepi mengajar kita memahami bahasa cinta. Dalam tempoh sesingkat 4 hari itu, saya melihat kesungguhan isteri yang belum boleh memandu kereta, berusaha sedaya mungkin untuk datang menziarahi setiap hari walau sangat letih (sedang mengandung) dan pastinya sibuk mengurus rumah, adik-adik dan anak-anak. Bahasa cinta itu sangat jelas, walau pun tanpa sepatah ungkapan.

Sakit juga menyedarkan kita dengan banyak perkara. Dengan musibah sakit, Allah sedang ‘berbicara’ dengan kita. Sakit mungkin kaffarah, mungkin teguran, mungkin ujian, mungkin amaran dan mungkin bala (na’uzubilLah). Beberapa orang sahabat yang menziarahi atau menelefon saya berpendapat, Allah s.w.t. nak bagi peluang ‘berehat’ dengan sakit tersebut. Entahlah, saya pun tak pasti boleh bersetuju atau tidak dengan pendapat tersebut. Yang pasti, sakit ini menginsafkan saya akan peripentingnya waktu sihat untuk dimanfaatkan sepenuhnya dengan amal. Apa pun rahsia dan hikmah di sebalik ‘bicara’ Allah s.w.t. kepada saya dengan sakit ini, semoga saya dapat mencedok manfaat yang terbaik darinya…

Waktu Sakit Lupa Allah, Waktu Senang?

Satu perkara yang agak menyedihkan ketika di wad ialah melihat jauhnya kesedaran saudara seagama kita terhadap kepentingan solat dalam keadaan menderita kesakitan. Boleh dikira dengan jari berapa kerat sangat yang sembahyang. Sangat ramai yang tidak solat dalam keadaan tersebut. Wallahu a’lam tak dapat saya pastikan adakah mereka meninggalkan solat ketika sakit atau memang mereka tidak solat. Yang boleh saya catatkan di sini ialah, jika waktu sakit itu kita boleh lupa Allah.. bagaimana dengan waktu senang??? Ya Allah, tunjukkan kami jalan untuk membantu umatMu yang jauh dariMU..


Catatan 2 (19/3/2009) – Sakit Bersambung-Sambung, Bertali Arus


Alangkah Besarnya Nikmat Sihat

Walaupun sudah hampir 3 minggu keluar dari hospital, keadaan fizikal saya masih belum benar-benar menyegarkan. Setelah bengkak di kaki semakin surut, datang pula demam, lelah, batuk berkahak dan selesema. Cuti rehat dan cuti sakit saling berganti. Walau bagaimana pun, saya sempat memenuhi permintaan dari sahabat-sahabat untuk ceramah sempena Maulid Ar-Rasul apabila badan rasa sedikit segar. Tapi apabila kesihatan semakin merosot lesu dan suara pula semakin hilang dek kerana batuk, saya membuat keputusan untuk benar-benar berehat minggu ini. Saya andaikan sahabat-sahabat memahami apabila saya menolak jemputan dengan suara yang tidak berapa keluar.

Kerja-kerja di pejabat juga sudah pasti tidak berjalan lancar. Banyak yang tertangguh dan sudah pasti menjadikan sebahagian dari perancangan aktiviti tergendala atau tidak berjalan beres. Saya cuba selesaikan sebahagiannya di rumah. Saya beruntung kerana berketuakan seorang Pengarah Pusat Tanggungjawab yang sangat bertanggungjawab, proaktif, kemas pengurusan dan tegas di samping berhemah dalam menggerakkan organisasi. Setidak-tidaknya ada teguran kala saya terleka sebagai tarbiyah yang sangat bernilai.

Beberapa Persoalan Di Benak Pemikiran

Ada beberapa persoalan yang sedang bermain dalam benak pemikiran saya apabila lesu tubuh menanggung sakit silih berganti ini. Yang pertama, adakah selama ini saya terlalu menerima beban kerja yang banyak dalam dakwah dan tarbiyah tanpa mengukur dengan keupayaan diri termasuk kesihatan? Benarkah kerja itu sudah terlalu banyak atau saya yang terlalu manja? Adakah saya harus membatalkan sebahagian dari program dakwah tersebut dan menolak jemputan bagi memberi ruang untuk rehat atau aktiviti riadhah fizikal? Mampukah saya sebagai contoh, menolak jemputan bagi memimpin halaqah selepas Isya’ dengan alasan bermain futsal? Bolehkah saya menolak jemputan memberi pengisian untuk program pembinaan adik-adik kampus di hujung minggu dengan alasan itu masa untuk beriadhah bersama keluarga? Memang jadual harian saya ‘hampir’ penuh sekarang ini (saya guna perkataan hampir kerana saya sedar ada ramai lagi daie lain yang benar-benar penuh dan sendat aktivitinya). Hujung minggu juga aktiviti hampir penuh. Itu pun jemputan demi jemputan terus mendatang. Program rutin sedia menunggu, program mendatang bertindan-tindan. Saya pula agak bermasalah dengan kemahiran menolak jemputan kerana tidak terbiasa memberi alasan kecuali sakit atau bertembung program. Saya sendiri tak pasti, adakah aktiviti memang terlalu banyak, atau tubuh dan jiwa saya yang sebenarnya amat manja?

Rumusan

Sekarang saya sudah membuat rumusan. Membina kembali kekuatan fizikal dan kesihatan menjadi agenda yang sangat penting ketika ini. Saya wajib merancang masa riadhah secara konsisten. Walaubagaimana pun, saya tidak akan membatalkan program rutin sedia ada. Saya akan cuba cari sela masa yang masih ada untuk diefektifkan sebaiknya. Program mendatang akan saya pertimbangkan agar tidak mengganggu jadual riadhah tersebut. Inilah tekad saya untuk 2009. Semoga kesihatan saya akan bertambah baik dan sihat. Buat sahabat-sahabat, doakanlah!

Kalau kita menderita sakit, ada ubat sebagai penawarnya, ada doktor untuk merawatnya… Tapi, apabila Islam dan ummah menderita sakit, siapakah yang akan memulihkannya? Allahu Akbar!