Friday, June 20, 2008

Ya Allah, keluasan rahmatMU yang tidak bertepi...

Assalamualaikum wrt wbt

Hari ini saya ingin berkongsi pengisian tazkirah yang saya sampaikan kepada staf JHEPA pada pagi 20hb Jun bertempat di Conference Room, UMP untuk manfaat bersama...

Matan Hadith :

Dari Abi Said, Saad bin Malik bin Sinan Al-Khudri r.a. bahawasa Rasulullah s.a.w. telah bersabda ; “Dahulu ada di kalangan umat sebelum kamu seorang lelaki telah membunuh 99 orang. Maka dia mencari orang yang paling alim di kalangan penduduk bumi (kerana ingin bertaubat), maka ditunjukkan kepadanya seorang Rahib (ahli ibadat). Maka dia pun mendatangi ahli ibadat tersebut seraya bertanya ; ‘sesungguhnya dia telah membunuh 99 nyawa, maka masih adakah baginya (peluang) untuk bertaubat?’ Maka jawab Rahib tersebut ; ‘Tidak!’ Maka dibunuhnya (Rahib tersebut) dan dengan itu mencukupkan bilangan yang dibunuhnya 100 orang.

Maka dia kembali mencari orang yang paling alim di kalangan penduduk bumi (kerana ingin bertaubat), maka ditunjukkan kepadanya seorang lelaki Alim (berilmu). Maka dia pun bertanya ; ‘sesungguhnya dia telah membunuh 100 nyawa, maka masih adakah baginya (peluang) untuk bertaubat?’ Maka jawab Alim tersebut ; ‘Ya (boleh bertaubat). Siapakah yang dapat menghalangnya antara dia dengan taubat? Pergilah ke tempat sekian.. sekian, maka sesungguhnya di sana penduduknya mengabdikan diri (beribadat) kepada Allah..maka beribadahlah kepada Allah bersama mereka dan jangan kembali ke tempat (kampung atau negeri) kamu kerana sesungguhnya (tempat negeri kamu itu) tempat (yang penuh dengan) kejahatan.’

Maka berangkatlah lelaki tersebut (ke negeri yang disarankan), hinggalah sampai separuh perjalanan, ia didatangi maut. Maka Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab berselisih tentang hal keadaannya (lelaki itu). Maka berkatalah Malaikat Rahmat ; ‘Dia telah datang dalam keadaan taubat sepenuh hatinya kepada Allah taala.’ Dan berkata Malaikat Azab ; ‘Sesungguhnya dia tiada melakukan kebaikan lansung pun!.’ Maka datanglah kepada mereka seorang Malaikat dalam rupa manusia lantas menjadi hakim di antara mereka seraya mencadangkan ; ‘Ukurlah jarak antara kedua negeri tersebut (negeri jahat tempat asalnya dan negeri baik tempat tujunya). Maka mana negeri yang lebih dekat dengannya (lelaki itu), maka dia termasuk di kalangan mereka.’ Maka mereka (para malaikat) mengukurnya dan mendapatinya (lelaki itu) lebih hampir dengan negeri yang ditujunya, maka malaikat Rahmat memegang (ruh)nya” [Muttafaqun alaih]

[Hadith ke-8 dalam Bab At-Taubah, kitab Nuzhah Al-Muttaqin Syarah Riadhus-Solihin jilid 1 muka surat 35, terbitan Muassasah Ar-Risalah]

Pengajaran hadith :

1. Antara tips keberkesanan tazkirah, ceramah atau nasihat ialah dengan mendatangkan fakta atau contoh yang berdasarkan cerita yang benar-benar berlaku untuk tujuan memperkuatkan lagi isu yang disampaikan.

2. Pintu taubat sentiasa terbuka. Mereka yang pernah memiliki sejarah hitam dalam kehidupan lantaran perlakuan dosa-dosa silam, usah berputus asa dengan kasih sayang Allah yang melimpah ruah. Kembalilah! Allah pasti menerima kita... Setiap manusia pernah melakukan kesalahan, sebaik-baik pelaku kesalahan ialah mereka yang bertaubat

3. Orang alim yang sedikit beribadah lebih baik dari orang jahil yang banyak beribadah kerana ahli ibadat yang beramal dalam keadaan jahil dibimbangi banyak melakukan kesalahan dalam ibadahnya. Syarat-syarat amal ibadah itu diterima oleh Allah taala ialah ; niatnya atau tujuannya betul-betul kerana Allah dan cara pelaksanaannya bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Bagaimana amal itu dapat dipastikan betul menepati sunnah kalau tidak belajar?

4. Hari ini kita dapati ramai orang Islam yang menerima Islam secara adat dan warisan. Islam yang telah bercampur dengan adat istiadat dan pemikiran luar hasil dari lamanya kita hidup di bawah jajahan kuasa asing. Sehingga lahirlah pemikiran sekuler yang mengasingkan Islam dari kehidupan. Islam yang tiada kaitan dengan urusan ekonomi, politik, pentadbiran dan lain-lainnya. Islam hanya menjadi bidang tugas atau aktiviti khusus pejabat-pejabat agama, badan-badan dakwah, instistusi-institusi agama bukan sebagai peraturan dan panduan kepada seluruh manusia dalam segenap lapisan kehidupan. Akhirnya lahirlah ahli ibadat yang jahil, mempraktik Islam secara bermusim, bersempena dan pada tempat-tempat tertentu. Seolah-olah, selain dari tempat, sempena dan musim-musim tersebut, Malaikat pencatat amal semuanya akan bercuti lantaran tiada hubungkaitnya dengan ‘agama’.

5. Pentingnya mewujudkan bi’ah solehah atau suasana persekitaran yang kondusif dari sudut akhlak dan nilai. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mewujudkan persekitaran yang baik bagi membantu diri kita sendiri dan orang lain dapat mempertingkatkan jatidiri masing-masing. Kita mesti insaf dan sedar bahawa nafsu sentiasa mengarah kepada keburukan. Suasana yang tidak baik hanya akan merosak dan meransang nafsu yang sedemikian sifatnya. Persekitaran yang baik ialah persekitaran yang sentiasa dilingkungi oleh ilmu dan zikir. Suasana ilmu dan zikir ini sebaiknya disuburkan di dalam lingkungan masyarakat, jabatan atau unit kita. Di samping itu, undang-undang dan peraturan juga memainkan peranan penting untuk membantu ke arah mewujudkan suasana tersebut. Pihak yang berkuasa bertanggungjawab melaksanakan peranan tersebut sebaiknya.

6. Kematian, adalah sesuatu yang tidak dijangka dan tidak diketahui kedatangannya. Ketahuilah wahai pejuang kebebasan hak asasi manusia, kita sebenarnya tidak pernah bebas sebebas-bebasnya. Andai kita mampu, bebaskanlah diri dari kematian. Terkadang kita gah dengan berkata ; ‘ikut akulah nak buat apa pun, diri aku, aku punya pasal!.’ Namun, sedarlah bahawa nyawa kita bukan milik kita. Allah taala boleh melewatkan kematian kita walaupun kita terlalu puas dan bosan dengan kehidupan.. dan Allah taala boleh menamatkan riwayat hidup kita di kala kita sedang ghairah menyusun hidup dan membina masa depan! Insaflah...

1 comment:

Mohd Hazmi Dibok said...

saya nak komen.. try try