Monday, June 30, 2008

Fitnah itu benar-benar menggemparkan!

Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur ayat 11-13, mafhumnya ;

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah segolongan dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.

Mengapakah di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berprasangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata : ini adalah suatu berita bohong yang nyata?!

Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu?! Oleh karena mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.”

Pengajaran ayat :
  • Ayat-ayat ini adalah berkaitan fitnah besar yang menimpa Aisyah r.a. iaitu isteri Nabi s.a.w. yang dituduh berlaku curang dengan seorang sahabat apabila mereka ketinggalan rombongan dalam perjalanan pulang dari satu musafir yang turut disertai oleh Rasulullah s.a.w.
  • Fitnah ini telah menggegarkan Negara dan umat Islam ketika itu. Ia digerakkan dan disebarkan oleh orang Islam sendiri tetapi dari kalangan orang munafik (munafik – zahirnnya Islam tetapi batinnya kafir). Ia bertujuan politik untuk menjejaskan kredibiliti Nabi s.a.w. dan melemahkan sokongan kepada perjuangan Baginda s.a.w.
  • Walaubagaimana pun, orang yang beriman sepatutnya tidak cepat melatah dan terperangkap dengan mainan fitnah seumpama ini kerana Islam mengajar kita untuk menyelidik terlebih dahulu kesahihan satu-satu pengkhabaran atau pertuduhan. Selain itu, kita juga diminta untuk bersangka baik kepada saudara kita sesama mukmin.
  • Di dalam Islam, tuduhan penyelewengan seks (berzina) mesti disertakan 4 orang saksi. Sekiranya gagal, maka yang menuduh dan menyebarkan berita tersebut adalah di anggap pendusta.
  • Mereka yang menjadi mangsa pertuduhan dan fitnah tersebut beserta ahli keluarganya, hendaklah bersabar. Yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik berlakunya fitnah tersebut. Mungkin Allah s.w.t. ingin menzahirkan karenah dan kejahatan orang-orang yang zalim dan meninggikan darjat orang yang difitnah itu di dunia dan di hari akhirat.
  • Kepada golongan yang suka bersekongkol dalam menyebarkan tuduhan dan pengkhabaran yang tidak benar, bertujuan untuk mengaib dan menjatuhkan orang yang lain… takutlah dengan azab yang tersangat pedih yang dijanjikan oleh Allah terhadap mereka…
YA Allah, lindungilah kami dari kejahatan penggerak dan penyebar fitnah...

No comments: