KHUTBAH : PENDUSTA AGAMA
Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah
Firman Allah s.w.t. :
Tahukah kamu (orang)
yang mendustakan agama? (1) Itulah orang yang mengherdik anak yatim, (2) dan tidak menganjurkan memberi makan
orang miskin.(3) Maka
celakalah bagi orang-orang yang solat, (4) (iaitu) orang-orang yang lalai dari
solatnya, (5) orang-orang yang berbuat riak,(6) dan enggan (menolong dengan) barang berguna (7)
Surah al-maa’un yang
saya bacakan tadi adalah satu surah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. lebih
kurang 1400 tahun yang lalu, antara lain bertujuan untuk membetulkan pemikiran
nasionalis arab makkah dari kalangan pembesar quraish dalam menanggapi makna
beragama. Dan ayat ini dahulu, kini dan
selama-lamanya sangat menarik untuk dirujuk dan dijadikan panduan dalam
memahami hakikat makna beragama dan
siapakah mereka yang sebenar-benarnya bergelar pendusta agama .
Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah
Kaum musyrikin makkah
sebelum dan semasa Nabi diutus sebagai Rasul bukanlah masyarakat yang kosong
dari agama dan kepercayaan kepada tuhan. Walaupun mereka disebut sebagai
musyrikin, bukan bermakna mereka tidak percaya kepada tuhan. Musyrik kerana
mereka menjadikan adanya sembahan atau rakan kongsi yakni sekutu selain dari
Allah s.w.t. : Firman Allah s.w.t. :
Dan sesungguhnya jika
engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah
yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: "
Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai
bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian tidak mengingkari Allah),
bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian
syirik). [Surah Luqman. Ayat 25] Mereka tahu Allah cuma mereka jahil tentang
hakikat Allah.
Dan sesungguhnya jika
engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah
yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan
di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah
(wahai Muhammad): Alhamdulillah, bahkan kebanyakan mereka tidak memahami [Surah
Al'Ankabut. Ayat 063]
Ayat2 ini membuktikan
bahawa musyrikin Makkah itu mempercayai adanya Allah dan mengakui bahawa Allah
adalah pencipta langit dan bumi, menurunkan hujan serta menghidupkan
tumbuh-tumbuhan. Musyrikin Makkah mempercayai adanya makhluk ghaib seperti
malaikat dan jin yang didakwa berada di dalam tubuh patung berhala yang mereka
sembah sebagai penyampai hasrat dan permintaan mrk kpd Allah.
Ada di antara mereka
yang digelar golongan ahnaf yang telah melakukan ibadat solat di pagi dan
petang. Mereka juga bersungguh memelihara
kaabah dan berkhidmat kepada para tetamu luar yang datang melakukan upacara
haji yang diwarisi dari Nabi Ibrahim dan Ismail yang telah mereka ubahsuai
bercampur aduk antara baik dan buruk. Antara upacara ibadat dan maksiat.
Akan tetapi, itulah
sahaja yang mereka faham tentang makna beragama. Beragama di sisi mereka
semata2 mewarisi kepercayaan kepada Allah dan perkara2 ghaib walau telah
bercampur aduk dengan khurafat dan syirik. Di samping kepercayaan warisan
tersebut, beragama di sisi mereka berlegar sekitar solat, masjid, kaabah dan
musim haji. Tidak lebih dari itu. Sedang dalam masa yang sama mereka menganiaya
anak yatim, makan harta anak yatim atau orang lain secara batil.
Mereka menipu dan
memperhamba orang miskin serta menghalang dan memusuhi mereka yang menolong dan
membela orang-orang miskin. Mereka mahu mengekalkan status quo yang ada. Biar
golongan miskin terus miskin, anak yatim terus dianiaya, agar mereka boleh bermaharajalela
mengekalkan penguasaan dalam politik dan monopoli ekonomi di Makkah pada ketika
itu.
Apabila Nabi s.a.w.
datang membawa wahyu dan mengaku sebagai utusan Allah, lantas Nabi s.a.w.
membaca ayat2 seperti ayat dari surah Al-Maa’un yang terang-terang membela
orang miskin dan anak yatim yang tertindas serta pemulihan sosio-ekonomi
masyarakat, mereka para pembesar musyrikin quraisy merasa pelik dan tertekan.
Pelik kerana mereka tidak memahami makna agama diluar konteks kepercayaan dan
ritual semata2 seperti yang mrk warisi sebelum ini. Dan tertekan kerana
ayat-ayat ini membongkar pengkhianatan dan kebobrokan mereka kepada golongan
marhaen atau mustadhafin di Makkah pada zaman itu di samping suburnya
perdagangan manusia dalam bentuk perhambaan, berleluasanya hiburan melampau,
persundalan dan arak.
Maha Bijaksananya
Allah yang telah mencengangkan mereka dengan pendidikan kefahaman beragama yang
sebenar dan sempurna. Inilah bashirah – hujjah dan bukti –
pedoman langit yang
amat menakjubkan, merentasi zaman dalam membongkar watak manusia. Manusia
adalah pengulangan watak-watak yang sama dalam merentasi perjalanan zaman,
hanya pelakonnya sahaja yang berbeza.
Ayat-ayat dari surah
Al-Maaun ini masih sangat releven dan sentiasa segar utk diambil faedah hingga
ke hari ini. Surah ini tidak hanya ditujukan kepada musyrikin Quraiy tetapi
juga kepada umat islam yang berpura-pura. Sebab itulah diancam dengan neraka
Wail atau kecelakaan kepada orang yang solat. Betapa ramai hari ini umat Islam
yang solat tetapi lalai dari mengingati Allah dalam mengisi kehidupannya.
Membangunkan binaan masjid yang indah sebagai tempat solat dalam masa yang sama
suburnya tempat-tempat judi, pusat-pusat hiburan dan program2 hiburan yang
melampaui batas.
Berbangga dengan
program dan majlis memperdengar serta melagukan bacaan Al-Quran tetapi Al-Quran
diletak ke tepi dalam urusniaga dan aktiviti kehidupan. Di mana letaknya
Al-Quran ketika urusniaga bergelumang dengan riba dan penipuan? Di mana
Al-Quran ketika rancangan joget dan tari menari bercampur baur bebas lelaki
perempuan? Di mana Al-Quran ketika berekreasi atau sukaneka tanpa peduli aurat
dan bersentuhan lelaki perempuan.
Di mana letaknya Al-Quran
dalam menunaikan amanah sebagai penjawat awam tatkala bercampur penyelewengan,
ketirisan dan rasuah? Dek kerana rasuah, nyawa terkorban di jalanraya, kerana
rasuah, vcd lucah terjual berleluasa, disebabkan rasuah, pendatang tanpa izin
masuk bermaharajalela, oleh kerna rasuah, akhirnya ancaman keselamatan dan
sempadan Negara jadi huru-hara.
Apa gunanya meyambut
upacara hari2 kebesaran Islam, jika dalam masa yang sama berlakunya ketirisan
dalam amanah mengurus dana awam? Pemimpin dan pemerintah dalam sesebuah negeri
dan Negara adalah sama seperti pengurus harta anak yatim di dalam surah
Al-Maaun. Mereka bukan pemilik harta tersebut. Harta Negara adalah harta awam
yang diamanahkan kepada para pemimpin untuk diuruskan dengan dibayar elaun dan
gaji yang tidak sedikit sesuai dengan beban amanah berat yang mereka pikul.
Harta negara itu
semestinya diurus, diagih dan diperturunkan sebaik dan seadilnya untuk
dinikmati oleh seluruh warga rakyat dalam sesebuah Negara. Itu adalah hak
mereka yang selayaknya untuk dinikmati bukan pemberian simpati atau bantuan
ihsan. Larangan agar harta itu tidak hanya berlegar dalam kalangan orang-orang
kaya sahaja. Firman Allah s.w.t. :
“Apa saja harta
rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang
berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum
kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam
perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di
antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang
dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya,” (al-Hasyr, 59: 7)
Adalah sumbang
sekiranya harta anak yatim itu dinikmati sewenang2nya oleh pengurus harta
secara bermewah2 sedangkan anak yatim sebagai pemilik sebenar menderita
kemiskinan dan apabila mereka menyuarakan hak mereka, lalu pengurus tersebut
mengherdiknya seperti peminta sedekah. Inilah yang berlaku dalam reality
masyarakat musyrikin quraisy dahulunya sehingga Allah menegur mereka dalam
surah Al-Maaun ini.
Usah biarkan
kemungkaran ini berulang. Jangan biarkan pengurus harta awam yang dibayar upah
oleh rakyat dibiarkan berwenang2 dan bersenang2 dengan harta awam tersebut
untuk mengkayakan diri, anak beranak, kaum kerabat dan rakan terdekat sahaja.
Apabila rakyat sebagai pemilik sebenar bersuara, maka dilayan sebagai peminta
sedekah, dihulur sedikit wang kemudian diulang-ulang agar tahu berterima kasih
dan jangan lupa mengenang budi.
Demikianlah Maha
Bijaksananya Allah dalam membetulkan makna beragama dalam kehidupan manusia. Lihatlah
masyarakat kita dan bertanya secara ikhlas. Apa pendapat mereka sekiranya ada
orang yang menipu dalam ibadat. Katakanlah menipu dalam solat. Menjadi imam
tetapi tidak berwudhuk selama seminggu, jika diketahui pasti akan menjadi isu
gempar dan huru-hara. Andaikan ada orang yang menceritakan si polan dan si
polan sebenarnya menipu ketika haji. Mereka sebenarnya tawaf hanya sebanyak 3
pusingan sahaja. Kalau pembohongan ini terbongkar, pasti akan menjadi tajuk
berita utama. Bayangkan jika ada pegawai tertentu menyeleweng wang kutipan
zakat, pasti keluar muka depan semua akhbar harian. Mereka sangat marah jika
penganut agama lain ingin memakai nama Allah walaupun para ulamak sendiri
berbeza pendapat tentangnya.
Masyarakat kita sangat
sensitif jika berlakunya penipuan dalam penyelewengan dalam ibadat tertentu
seperti itu dan mereka beranggapan penipu dan penyeleweng dalam urusan2
tersebut sebagai pendusta agama.
Mereka marah kalau
menipu dalam solat, puasa, zakat dan haji tetapi sebahagian mereka berdiam jika
berlaku penipuan dan penyelewengan dalam urusan yang lain seperti pilihanraya
sebagai contoh. Seolah-olah menipu dalam tawaf haji dan menipu dalam
pilihanraya itu dua jenis penipuan yang berbeza. Satunya dicatit malaikat satu
lagi diabaikan oleh para malaikat. Sedangkan menipu ketika haji hanya
melibatkan seorang individu, sementara menipu dalam pilihanraya melibatkan
ramai manusia dan kerosakan berpanjangan.
Ada yang marah dan
mengamuk kerana penganut agama lain ingin menggunakan nama Allah, tetapi mereka
berdiam tatkala ramai umat islam sendiri
mengamalkan cara hidup bebas sama seperti penganut agama lain dalam
seluruh aktiviti kehidupan hampir tiada beza halal dan haram, dari segi
pemakaian, pergaulan, dan membelakangkan
hukum hakam Allah dalam kehidupan. Jika dimuhasabahkan dengan sesungguhnya surah
Al-Maaun itu, jelaslah siapakah sebenarnya PENDUSTA AGAMA!
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan". Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (Al-Baqarah 2:11-12)