Friday, March 15, 2013

Khutbah Jumaat Minggu Ini



KHUTBAH : PENDUSTA AGAMA

Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah

Firman Allah s.w.t. :

Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? (1) Itulah orang yang mengherdik anak yatim, (2) dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.(3) Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (4) (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, (5) orang-orang yang berbuat riak,(6) dan enggan (menolong dengan) barang berguna (7)

Surah al-maa’un yang saya bacakan tadi adalah satu surah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. lebih kurang 1400 tahun yang lalu, antara lain bertujuan untuk membetulkan pemikiran nasionalis arab makkah dari kalangan pembesar quraish dalam menanggapi makna beragama.  Dan ayat ini dahulu, kini dan selama-lamanya sangat menarik untuk dirujuk dan dijadikan panduan dalam memahami hakikat makna beragama  dan siapakah mereka yang sebenar-benarnya bergelar pendusta agama .

Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah

Kaum musyrikin makkah sebelum dan semasa Nabi diutus sebagai Rasul bukanlah masyarakat yang kosong dari agama dan kepercayaan kepada tuhan. Walaupun mereka disebut sebagai musyrikin, bukan bermakna mereka tidak percaya kepada tuhan. Musyrik kerana mereka menjadikan adanya sembahan atau rakan kongsi yakni sekutu selain dari Allah s.w.t. : Firman Allah s.w.t. :

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: " Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). [Surah Luqman. Ayat 25] Mereka tahu Allah cuma mereka jahil tentang hakikat Allah.

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah, bahkan kebanyakan mereka tidak memahami [Surah Al'Ankabut. Ayat 063]

Ayat2 ini membuktikan bahawa musyrikin Makkah itu mempercayai adanya Allah dan mengakui bahawa Allah adalah pencipta langit dan bumi, menurunkan hujan serta menghidupkan tumbuh-tumbuhan. Musyrikin Makkah mempercayai adanya makhluk ghaib seperti malaikat dan jin yang didakwa berada di dalam tubuh patung berhala yang mereka sembah sebagai penyampai hasrat dan permintaan mrk kpd Allah.

Ada di antara mereka yang digelar golongan ahnaf yang telah melakukan ibadat solat di pagi dan petang. Mereka  juga bersungguh memelihara kaabah dan berkhidmat kepada para tetamu luar yang datang melakukan upacara haji yang diwarisi dari Nabi Ibrahim dan Ismail yang telah mereka ubahsuai bercampur aduk antara baik dan buruk. Antara upacara ibadat dan maksiat.

Akan tetapi, itulah sahaja yang mereka faham tentang makna beragama. Beragama di sisi mereka semata2 mewarisi kepercayaan kepada Allah dan perkara2 ghaib walau telah bercampur aduk dengan khurafat dan syirik. Di samping kepercayaan warisan tersebut, beragama di sisi mereka berlegar sekitar solat, masjid, kaabah dan musim haji. Tidak lebih dari itu. Sedang dalam masa yang sama mereka menganiaya anak yatim, makan harta anak yatim atau orang lain secara batil.

Mereka menipu dan memperhamba orang miskin serta menghalang dan memusuhi mereka yang menolong dan membela orang-orang miskin. Mereka mahu mengekalkan status quo yang ada. Biar golongan miskin terus miskin, anak yatim terus dianiaya, agar mereka boleh bermaharajalela mengekalkan penguasaan dalam politik dan monopoli ekonomi di Makkah pada ketika itu.

Apabila Nabi s.a.w. datang membawa wahyu dan mengaku sebagai utusan Allah, lantas Nabi s.a.w. membaca ayat2 seperti ayat dari surah Al-Maa’un yang terang-terang membela orang miskin dan anak yatim yang tertindas serta pemulihan sosio-ekonomi masyarakat, mereka para pembesar musyrikin quraisy merasa pelik dan tertekan. Pelik kerana mereka tidak memahami makna agama diluar konteks kepercayaan dan ritual semata2 seperti yang mrk warisi sebelum ini. Dan tertekan kerana ayat-ayat ini membongkar pengkhianatan dan kebobrokan mereka kepada golongan marhaen atau mustadhafin di Makkah pada zaman itu di samping suburnya perdagangan manusia dalam bentuk perhambaan, berleluasanya hiburan melampau, persundalan dan arak.

Maha Bijaksananya Allah yang telah mencengangkan mereka dengan pendidikan kefahaman beragama yang sebenar dan sempurna. Inilah bashirah – hujjah dan bukti –
pedoman langit yang amat menakjubkan, merentasi zaman dalam membongkar watak manusia. Manusia adalah pengulangan watak-watak yang sama dalam merentasi perjalanan zaman, hanya pelakonnya sahaja yang berbeza.

Ayat-ayat dari surah Al-Maaun ini masih sangat releven dan sentiasa segar utk diambil faedah hingga ke hari ini. Surah ini tidak hanya ditujukan kepada musyrikin Quraiy tetapi juga kepada umat islam yang berpura-pura. Sebab itulah diancam dengan neraka Wail atau kecelakaan kepada orang yang solat. Betapa ramai hari ini umat Islam yang solat tetapi lalai dari mengingati Allah dalam mengisi kehidupannya. Membangunkan binaan masjid yang indah sebagai tempat solat dalam masa yang sama suburnya tempat-tempat judi, pusat-pusat hiburan dan program2 hiburan yang melampaui batas.

Berbangga dengan program dan majlis memperdengar serta melagukan bacaan Al-Quran tetapi Al-Quran diletak ke tepi dalam urusniaga dan aktiviti kehidupan. Di mana letaknya Al-Quran ketika urusniaga bergelumang dengan riba dan penipuan? Di mana Al-Quran ketika rancangan joget dan tari menari bercampur baur bebas lelaki perempuan? Di mana Al-Quran ketika berekreasi atau sukaneka tanpa peduli aurat dan bersentuhan lelaki perempuan.

Di mana letaknya Al-Quran dalam menunaikan amanah sebagai penjawat awam tatkala bercampur penyelewengan, ketirisan dan rasuah? Dek kerana rasuah, nyawa terkorban di jalanraya, kerana rasuah, vcd lucah terjual berleluasa, disebabkan rasuah, pendatang tanpa izin masuk bermaharajalela, oleh kerna rasuah, akhirnya ancaman keselamatan dan sempadan Negara jadi huru-hara.

Apa gunanya meyambut upacara hari2 kebesaran Islam, jika dalam masa yang sama berlakunya ketirisan dalam amanah mengurus dana awam? Pemimpin dan pemerintah dalam sesebuah negeri dan Negara adalah sama seperti pengurus harta anak yatim di dalam surah Al-Maaun. Mereka bukan pemilik harta tersebut. Harta Negara adalah harta awam yang diamanahkan kepada para pemimpin untuk diuruskan dengan dibayar elaun dan gaji yang tidak sedikit sesuai dengan beban amanah berat yang mereka pikul.

Harta negara itu semestinya diurus, diagih dan diperturunkan sebaik dan seadilnya untuk dinikmati oleh seluruh warga rakyat dalam sesebuah Negara. Itu adalah hak mereka yang selayaknya untuk dinikmati bukan pemberian simpati atau bantuan ihsan. Larangan agar harta itu tidak hanya berlegar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. Firman Allah s.w.t. :

“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya,” (al-Hasyr, 59: 7)

Adalah sumbang sekiranya harta anak yatim itu dinikmati sewenang2nya oleh pengurus harta secara bermewah2 sedangkan anak yatim sebagai pemilik sebenar menderita kemiskinan dan apabila mereka menyuarakan hak mereka, lalu pengurus tersebut mengherdiknya seperti peminta sedekah. Inilah yang berlaku dalam reality masyarakat musyrikin quraisy dahulunya sehingga Allah menegur mereka dalam surah Al-Maaun ini.

Usah biarkan kemungkaran ini berulang. Jangan biarkan pengurus harta awam yang dibayar upah oleh rakyat dibiarkan berwenang2 dan bersenang2 dengan harta awam tersebut untuk mengkayakan diri, anak beranak, kaum kerabat dan rakan terdekat sahaja. Apabila rakyat sebagai pemilik sebenar bersuara, maka dilayan sebagai peminta sedekah, dihulur sedikit wang kemudian diulang-ulang agar tahu berterima kasih dan jangan lupa mengenang budi.

Demikianlah Maha Bijaksananya Allah dalam membetulkan makna beragama dalam kehidupan manusia. Lihatlah masyarakat kita dan bertanya secara ikhlas. Apa pendapat mereka sekiranya ada orang yang menipu dalam ibadat. Katakanlah menipu dalam solat. Menjadi imam tetapi tidak berwudhuk selama seminggu, jika diketahui pasti akan menjadi isu gempar dan huru-hara. Andaikan ada orang yang menceritakan si polan dan si polan sebenarnya menipu ketika haji. Mereka sebenarnya tawaf hanya sebanyak 3 pusingan sahaja. Kalau pembohongan ini terbongkar, pasti akan menjadi tajuk berita utama. Bayangkan jika ada pegawai tertentu menyeleweng wang kutipan zakat, pasti keluar muka depan semua akhbar harian. Mereka sangat marah jika penganut agama lain ingin memakai nama Allah walaupun para ulamak sendiri berbeza pendapat tentangnya.

Masyarakat kita sangat sensitif jika berlakunya penipuan dalam penyelewengan dalam ibadat tertentu seperti itu dan mereka beranggapan penipu dan penyeleweng dalam urusan2 tersebut sebagai pendusta agama.

Mereka marah kalau menipu dalam solat, puasa, zakat dan haji tetapi sebahagian mereka berdiam jika berlaku penipuan dan penyelewengan dalam urusan yang lain seperti pilihanraya sebagai contoh. Seolah-olah menipu dalam tawaf haji dan menipu dalam pilihanraya itu dua jenis penipuan yang berbeza. Satunya dicatit malaikat satu lagi diabaikan oleh para malaikat. Sedangkan menipu ketika haji hanya melibatkan seorang individu, sementara menipu dalam pilihanraya melibatkan ramai manusia dan kerosakan berpanjangan.

Ada yang marah dan mengamuk kerana penganut agama lain ingin menggunakan nama Allah, tetapi mereka berdiam tatkala ramai umat islam sendiri  mengamalkan cara hidup bebas sama seperti penganut agama lain dalam seluruh aktiviti kehidupan hampir tiada beza halal dan haram, dari segi pemakaian, pergaulan, dan  membelakangkan hukum hakam Allah dalam kehidupan. Jika dimuhasabahkan dengan sesungguhnya surah Al-Maaun itu, jelaslah siapakah sebenarnya PENDUSTA AGAMA!
 
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan". Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (Al-Baqarah 2:11-12)

No comments: