Monday, February 28, 2011

Mantan PM Turki Necmettin Erbakan Meninggal

Necmettin Erbakan

Perdana Menteri Turki pertama dari partai berhaluan Islam, Necmettin Erbakan tutup usia (meninggal). Necmettin Erbakan yang merupakan guru politik bagi Erdogan dan Abdullah Gul wafat (meninggal) dalam usia 85 tahun.

Erbakan menjadi perdana menteri selama satu tahun sampai 1997 ketika ia dipaksa mundur oleh angkatan bersenjata Turki yang berhaluan sekuler garis keras.

Tahun berikutnya Partai Kesejahteraan yang ia pimpin dilarang sedangkan Erbakan sendiri dilarang berpolitik selama lima tahun karena melanggar konstitusi.

Partai AK yang sekarang berkuasa di Turki mewarisi ideologi yang mendasari Partai Kesejahteraan.

Erbakan adalah seorang profesor dalam bidang mekanika yang oleh para pengikutnya dikenal dengan sebutan Hodja atau guru.

Dua di antara anak buah Erbakan di Partai Kesejahteraan adalah Presiden Abdullah Gul dan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan.

"Kami akan selalu mengenangnya dengan penuh syukur sebagai guru dan pemimpin," kata Erdogan.

Erbakan meninggal di sebuah rumah sakit di Ankara ketika sedang menjalani perawatan penyakit jantung.

http://us.detiknews.com/read/2011/02/27/205835/1580775/934/mantan-pm-turki-necmettin-erbakan-wafat

Monday, January 17, 2011

Berkemas Untuk ke Syurga

Assalamualaikum wrt wbt

Semalam menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Kg. Mahkota Kuantan, ibrah (pengajaran) dari surah Yaasin. Masuk ayat 53 hingga ayat 58. Ya Allah.. seronoknya menyelam dalam lautan mutiara wahyuMu. Cerita semalam ialah cerita Syurga bersulam cinta dan nikmat keabadian...

Penghuni syurga teramat sibuk dengan kenikmatan. Dihiasi cahaya yang gilang-gemilang. Persekitaran yang tidak panas dan tidak terlalu sejuk. Bersama isteri-isteri serta bidadari memadu kasih di pelaminan empuk, menikmati buah-buahan syurga. Tiada kalimah secantik bahasa yang mampu terungkap bagi menggambarkan hakikat sebenar akan kenikmatan taman syurgawi itu...

Namun, yang paling menggetarkan hati adalah saat diziarahi Yang Maha Pengasih. Seakan terlupa segala nikmat yang lain, lantaran pertemuan itu adalah kemuncak segala nikmat.. Bayangkan... seorang mukmin selama di dunia... ia hidup kerana Allah, beribadah kerana Allah, menahan diri kerana Allah, berjuang dengan harta dan jiwa raga untuk Allah.. maka di saat itu, ia berpeluang untuk bertemu dan melihat Allah.. Adakah lagi nikmat yang lebih hebat dari pertemuan itu???

Ya Allah.. terima kasih kerana memberi peluang pada hatiku untuk merasai sentuhan lembut dan bahagia dari kalamMu ini...

InsyaAllah, kami akan bersiap dan berkemas untuk ke SyurgaMU.. bimbinglah kami.

Monday, November 29, 2010

Rindu Yang Tidak Terucap, Bahagia Yang Sukar Diungkap


BismilLahirRahmanirRahim




Hidup ini benar-benar satu ujian. Pejam celik pejam celik, usia semakin meningkat. Tempoh hidup semakin singkat. Sesekali kesihatan terjejas, jiwa terasa lemah. Longlai nafas perjuangan. Lelah, letih, jemu dan segala-galanya menjengah. Sedaya mungkin.. bermengah-mengah mencari punca, agar jiwa terus bermaya. Tidak cepat menyerah kalah apatah lagi berputus asa...

Segera perkukuh rasa berhubung dengan Allah (Ma'iyatulLah), adalah antibiotiknya. Pertemuan ukhuwwah dan tarbiyah adalah ubatnya. Menyibukkan diri dengan amal dakwah adalah pencegahannya. Sedikit demi sedikit tubuh kembali terasa segar.. menghirup nafas panjang perjuangan dengan kelapangan dada dan kebesaran jiwa..


Terima kasih Ya Allah, melorongkan aku di jalan ini. Sungguh, tiada daya dan upaya diri ini tanpa keagungan kasihMu, tanpa keluasan rahmatMu. Seringkali dalam perjalanan dakwahku yang kerdil ini, mereka para mad'u (sasaran dakwah) dan mutarobbi (anak didik) menyatakan penghargaan dan terima kasih mereka buatku atas usaha yang sangat sedikit itu. DemiMu Ya Allah! Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya akulah yang lebih memerlukan mereka dan akulah yang sepatutnya berterima kasih kepada mereka...

Akulah yang sebenarnya sangat memerlukan dakwah ini. Untuk membasuh dosa-dosa silamku yang tidak mereka ketahui, namun Engkau Maha Mengetahuinya, Ya Allah. Akulah yang sebenarnya sangat memerlukan mereka. Perkongsian ilmu, didikan dan bimbinganku selama ini kepada mereka sebenarnya bukan sepenuhnya untuk mereka, tetapi juga untuk diriku. Terlebih banyak sebenarnya untuk diriku sendiri. Agar selepas itu aku mempunyai satu sebab yang sangat jelas yang boleh memaksa diriku untuk lebih gigih beramal dan mempertingkatkan diri. Agar aku boleh mengherdik diriku diriku sendiri "cakap jangan tak serupa bikin". Agar boleh aku mencela hatiku sendiri "apa ni, cakap bukan main lagi, mu sendiri buat ker tidak?" Semoga semua celaan dan herdikan itu menjadi satu sebab yang boleh mendorong aku mempertingkatkan diri. Sungguh, aku lebih memerlukan dakwah ini dari mereka.

Ya Allah, peliharalah hatiku atas penghargaan yang mereka berikan. Kerana hakikatnya diriku ini memang langsung tidak berharga tanpaMu Ya Allah. Ya Allah bantulah aku untuk terus menikmati manisnya berhubung denganMu di atas jalan dakwah ini. Terima kasih kerana menjadikan lelahku di atas jalan dakwah ini, satu nikmat yang tidak terucap. Letih tapi sangat membahagiakan... Termengah-mengah, tapi melahirkan kerinduan yang bersangatan... Sehingga kini aku sedari, tak mungkin dapat aku jalani hidup ini tanpanya. Tak tergambar bagaimana boleh aku melalui hari demi hari tanpanya. Moga bahagia itu adalah keranaMu. Moga rindu itu adalah untukMu... terima kasih Ya Allah!


Monday, August 30, 2010

Contoh Keikhlasan, Keberanian dan Ketegasan Seorang Ulama'


Video ini menunjukkan keberanian, ketegasan dan keikhlasan Al-Marhum Syaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi, seorang Ulama terkenal di Mesir sedang menasihati Presiden Mesir, Muhammad Husni Mubarak yang terkenal diktatornya, tanpa sedikit pun rasa gentar, malah memegang bahunya, seperti seorang ayah menasihati anak. Baik untuk menjadi qudwah kepada para Ulama atau Mufti pada hari ini...

Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi).. wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku menjadi munafiq. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa. Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan). Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata? “..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” – (Surah al-Baqarah:258, al Quranul Karim)

Maka kekuasaan itu Allah diberi kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia. Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu. Aku berkata kepada kamu sekalian, Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :“..Wayamkuruuna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :“..Innahum yakiidunakaidan wanakiiuunakaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga). Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;

“..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.

Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita!(Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu presiden Mesir dan berkata;) “..Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami)..”.

http://aljoofre.iluvislam.com/